Sabtu, September 24, 2011

Penyesalan.

Keampunan Allah S.W.T terhadap hamba-Nya adalah dengan terlaksananya amalan taubat dan istighfar. Kedua-dua amalan ini saling lengkap melengkapi untuk memastikan Allah S.W.T mengurniakan kita pengampunan-Nya. Namun beberapa perkara perlu diambil perhatian dalam menuntut keampunan Ilahi, antaranya:

1- Tinggalkan maksiat tersebut.

2- Menyesal dengan maksiat yang telah dilakukan.

3- Berazam tidak mengulangi maksiat itu lagi.

4- Memperbanyakkan ibadah dan berbuat amal kebajikan seperti bersedekah, memberi makan kepada fakir miskin dan menolong mereka yang dalam kesusahan.



*nota b.tan:-

Rasa kesal atau sesal sering kali timbul apabila kita terlajak atau telah berbuat sesuatu yang salah. Tak kiralah kecil atau besar kesalahan atau kesilapan yang telah dilakukan, perasaan itu tetap timbul dan sering menganggu perjalanan hidup. Apa yang penting ialah kesedaran dari kesalahan yang telah terjadi. Kerana atas kesedaran itulah seseorang akan mengubah corak dan cara ia melayari kehidupan ini. Berubah dari yang negatif kepada yang positif, dari hitam kepada putih dan dari lalai kepada taat.

Cuma yang menghairankan ialah terdapat segelintir manusia yang terus-terusan hanyut dalam kelalaian dan keseronokan yang menjerumuskan mereka ke lembah kehinaan. Mereka tahu, mereka telah terpesong jauh dari landasan kebenaran, jauh dari petunjuk Allah, tetapi mereka sengaja tidak mahu berubah malah ingkar akan janji Allah yang akan menerima taubat sesiapa saja yang ingin berbuat demikian. Asal saja taubat itu dengan sebenar-benar taubat dan diiringi dengan rasa penyesalan dan berikrar tidak mahu melakukan atau mengulanginya lagi.

Terkadang kedapatan mereka yang bertindak nakal dengan memberi label atau gelaran seperti "taubat sambal belacan". Ketika pedas, konon tak mahu dah memakannya di masa akan datang,
tetapi apabila rasa pedas itu telah hilang, tak usah kan besok, pada hari yang sama juga ia menikmati lagi kepedasan sambal tersebut.

Semoga dengan sedikit catatan ini, dapatlah dikongsi sedikit pengajaran darinya dalam kita meneruskan kehidupan ini. sekian, wassalam.

Khamis, September 22, 2011

Bapa Saudara dan Ibu Saudara Nabi Muhammad s.a.w.

Antara bapa saudara dan ibu saudara Nabi s.a.w. ialah:

1- Al-Harith bin Abdul Mutalib

2- Muqawwam bin Abdul Mutalib

3- Zubair bin Abdul Mutalib

4- Hamzah bin Abdul Mutalib

5- Al-Abbas bin Abdul Mutalib

6- Abu Talib bin Abdul Mutalib

7- Abu Lahab bin Abdul Mutalib

8- Abdul Ka’bah bin Abdul Mutalib

9- Hijl bin Abdul Mutalib

10- Dzirar bin Abdul Mutalib

11- Ghaidaq bin Abdul Mutalib

12- Sofiyah binti Abdul Mutalib

13- Atikah binti Abdul Mutalib

14- Arwa binti Abdul Mutalib

15- Umaimah binti Abdul Mutalib

16- Barrah binti Abdul Mutalib

17- Ummi Hakim Al-Bidha binti Abdul Mutalib

Antara mereka yang sempat memeluk Islam ialah Saiyidina Hamzah, Saiyidina Abbas dan Saiyidatina Sofiyah.

Rabu, September 14, 2011

Empat Alam Yang Dilalui Oleh Setiap Manusia.

Pertama: Alam Rahim- iaitu ketika manusia dalam kandungan ibunya. Keadaan di dalam alam ini sangat sempit, terbatas, banyak kesukaran dan penuh kegelapan. Pada waktu ini manusia belum mengerti tentang kehidupan yang nyata.

Kedua: Alam Dunia- setelah sembilan bulan di dalam kandungan ibu, manusia dilahirkan ke alam dunia dalam keadaan lemah. Setelah itu manusia akan mengalami pertumbuhan dari seorang bayi menjadi seorang kanak-kanak, kemudian remaja, dewasa dan tua. Tujuan manusia hidup di alam ini ialah untuk mengabdikan diri kepada Tuhan.

Ketiga: Alam Barzakh- setelah manusia mati, dia akan dikuburkan. Waktu inilah ia mula memasuki alam barzakh. Keadaan alam ini lebih luas daripada alam dunia. Kehidupan di alam ini hanya sementara iaitu sehingga datangnya kiamat.

Keempat: Alam Akhirat- kehidupan terakhir yang akan ditempuh oleh manusia ialah di alam akhirat. Alam ini adalah kekal untuk selama-lamanya. Di alam ini, manusia yang beriman akan ditempatkan di dalam syurga manakala orang-orang yang ingkar ditempatkan di dalam neraka. Orang yang beriman wajib percaya adanya alam akhirat.