Sabtu, April 09, 2011

Asas Amalan Harian.

Sebagai manusia yang masih diberi kesempatan untuk hidup, kelakuan dan perbuatan kita diperhati dan dinilai. Jika kita sayangkan diri kita, sudah tentu kita ingin membina hidup yang baik dan sejahtera. Untuk membinanya, amal perbuatanlah yang menjadi ukuran dan antara asasnya ialah amalan harian yang baik.

1- Membaca al-Quran- jangan jadikan al-Quran sebagai pemenuh rak buku atau ayat al-Quran hanya digantung di dinding rumah sebagai hiasan.

2- Istighfar- jangan hanya bila ditimpa bencana saja baru nak beristighfar, tetapi semasa dalam kesenangan lupa segala-galanya.

3- Banyakkan berselawat- jangan dalam sembahyang saja berselawat, sedangkan di masa lain asyik bernyanyi untuk keseronokan dunia.

4- Berdoa- jangan di waktu senang kita amat payah mengangkat tangan untuk memohon doa, tapi bila telah susah mulalah mencari imam untuk mintak doa.

5- Berzikir- jangan semasa kenduri arwah saja kita berzikir, sedangkan dimasa lain dipenuhkan dengan berborak.


*nota b.tan-

Terlalu banyak amalan baik yang boleh dilakukan dalam seharian kita menjalani kehidupan. Setiap amalan baik adalah ibadah dan setiap ibadah yang dilakukan dengan keikhlasan pasti akan mendapat ganjaran dari Yang Maha Pemurah. Sambil memandu, sambil berjalan kaki walau untuk jarak yang dekat atau sambil menunggu seseorang, lazimkanlah dan basahkanlah lidah kita dengan zikrullah. Terlalu senang dan ringan untuk melafazkannya, cuma terkadang kita lebih selesa menyanyi-nyanyi di dalam hati atau bermain games di handphone dari menyebut kalimah-kalimah suci. Jadikanlah masa senggang kita dipenuhi dengan barokah untuk mencapai maghfiroh bukannya leka bersenda yang membuatkan kita alpa pada Yang Maha Esa. Sekian, Wassalam.