Selasa, Julai 14, 2020

TANGGUNGJAWAB TERHADAP IBU BAPA



Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Berbakti kepada kedua Ibu bapa, bersikap mulia serta menunaikan hak-hak terhadap mereka, adalah diantara tugas yang wajib dilaksanakan sebagai orang Islam. Perintah mentaati keduanya jelas termaktub di dalam Al-Quran. Firman Allah s.w.t:

Dan Kami mewasiatkan (memerintahkan) kepada manusia itu supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menderita kelemahan demi kelemahan, dan cerai-susukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu ! kepadaKu tempat kembali”. (Lukman:14)

Allah s.w.t melarang kita menderhakai mereka dengan sekeras-keras larangan. Mengecilkan hati, melawan atau mengherdik keduanya dianggap sebagai suatu penderhakaan. Menderhaka kepada ibubapa adalah satu penderhakaan terhadap Allah dan ianya termasuk dalam ketogeri kabair (dosa-dosa besar). Sebagaimana Sabda Bagin Rasulullah s.a.w:

Ertinya: “Dosa yang paling besar ialah tiga: Mensyirikkan Allah, Menderhakai kedua ibu bapa den bersaksi dusta”

Ma’asyiral Muslimin rahimakumullah,
Memelihara Ibu bapa yang telah lanjut usianya, merupakan satu ujian besar kepada anak-anak. Dalam usia senja beginilah ibu bapa mengharapkan pembelaan, kasih sayang dari anak-anak untuk memenuhi keperluan sisa hidup.

Di zaman moden ini, terdapat juga segelintir masyarakat yang menganggap memelihara ibu bapa bukan satu tanggungjawab penting keatas mereka. Menjaga rumahtangga sendiri dan anak-anak lebih utama daripada mengambil berat keatas ibu-bapa, malah ada yang melepaskan tanggungjawab memelihara mereka bulat-bulat kepada kakak atau adiknya yang telah berumahtangga,  sedangkan dia menganggap dirinya terlepas daripada tanggungjawab tersebut. Yang lebih dahsyat lagi Ibu bapa tadi dihantar ke rumah orang tua-tua atas alasan sebuk dengan tugas serta tidak dapat memberikan tumpuan kepada mereka.

Sesungguhnya binasalah mereka yang mempunyai ibu bapa yang sudah lanjut usianya, sedangkan mereka tidak dapat berbakti kepada keduanya lalu perkara tersebut menjadi ujian kepada anak-anak tadi yang menyebabkan mereka terhalang daripada mencium Syurga Allah. Ingatlah firman Allah ini :

Ertinya: “Dan Tuhanmu telah memrintahkan supaya kamu jangan menyembah selain daripadaNya dan kepada kedua ibu bapa hendaklah berbuat baik. Dan kalau salah seorang diantara keduanya telah mencapai usia tuan, maka janganlah engkau mengatakan kepada keduanya ‘cis’ dan janganlah engkau menengking keduanya, tetapi hendaklah engkau berkata kepada keduanya dengan perkataan yang hormat. Dan turunkanlah sayap merendahkan diri terhadap keduanyadengan belas kasihan dan katakanlah: Tuhanku, kasihanilah kiranya keduanya, sebagaimana keduanya telah membelaku dengan penuh kasih saying semasa aku kecil”.     (Al-Isra’: 23-24)

Dalam sebuah hadith, Nabi Muhammad saw bersabda:

“Keredhaan Allah  bergantung kepada keredhaan kedua ibubapa dan kemurkaan Allah bergantung kepada kemurkaan kedua ibu bapanya”.

Sidang Jumaat rahimakumullah,
Oleh kerana besarnya pengorbanan ibubapa terhadap kita, maka sewajarnyalah Allah mewajibkan kita mematuhi mereka. Ganjaran di atas layanan kita terhadap ibu bapa dibalas oleh Allah semasa di dunia lagi. Contohnya, jika kita mentaati mereka, anak-anak kita akan taat kepada kita. Sebaliknya jika kita menderhaka kepada mereka, anak-anak kita akan derhaka kepada kita pula. 

Allah memberi penghormatan kepada ibu bapa semasa mereka masih hidup sehinggalah mereka meninggal dunia. Anak-anak masih boleh menyumbangkan kebaktian sekalipun mereka telah lama terkubur. Hakikatnya, sebagaimna kita wajib berbakti kepada kedua ibu bapa semasa mereka masih hidup, begitu juga wajib bagi kita berbakti kepada keduanya sesudah mereka meninggal dunia. Ini dapat dilakukan dengan banyak beristighfar dan doa untuk mereka berdua, bersedekah, membayar semua hutang piutang serta melaksanakan semua wasiat, menghubungkan silaturrahmi dengan teman-teman serta kaum kerabat dan orang-orang kesayangan mereka. Semua ini merupakan kebaktian yang dapat kita lakukan untuk ibu bapa yang telah meninggal dunia. Sabda Baginda s.a.w:   

" Berbaktilah kepada dua orang tua kamu (ibu bapa), nescaya anak-anak kamu akan berbakti kepada kamu. Dan peliharalah kehormatanisteri-isteri orang lain, nescaya isteri-isteri kamu akan memelihara kehormatan mereka”

Sidang Jumaat rahimakumullah,
Sebenarnya kita tidak berdaya membalas jasa ibu dan bapa. Hakikat ini perlulah kita insafi. Oleh sebab itu, untuk membalas jasa mereka, kita digalakkan mendoakan mereka setiap kali selepas solat samaada mereka masih hidup atau telah meninggal dunia. Jika mereka masih hidup, layanilah mereka dengan sebaik-baik mungkin. 
Fahamilah hakikat bahawa, setiap kita adalah anak dan setiap kita juga dalam masa yang sama sebagai seorang ayah. Sebagaimana kita mahukan anak-anak kita berbakti kepada orang tuanya, begitulah halnya dengan kemahuan kedua orang tua kita. Rebutlah peluang menjaga dan memelihara mereka khususnya semasa mereka telah lanjut usia. Janganlah biarkan hati mereka tertutup untuk tinggal atau singgah dirumah kita disebabkan layanan yang kurang menarik terhadap mereka.