Rabu, September 30, 2009

mari beramal....."BERBELANJA SAMBIL MENDERMA"



semasa balik ke kerayong untuk berhari raya, aku terpandang satu kain rentang yang tergantung di pagar dewan majlis daerah bera/dewan orang ramai, padang luas. program apa pulak ni, kata aku dalam hati. tapi aku tak sempat nak baca. apabila balik dari jeram ular pada raya pertama, aku cuba amati dan fahamlah apa yang tertera pada kain rentang itu. dan pada tembok pagar sk kerayong jugak ada satu.

korang boleh baca sendiri apa isi butirannya, sebab aku malas nak cerita panjang. jika ada sesiapa yang terbaca blog ini dan pernah bersekolah di sk kerayong, atau mengenali kawan, saudara mara atau sesiapa saja yang pernah bersekolah di sk kerayong bolehlah dimaklumkan atau diceritakan tentang program yang dianjurkan oleh pibg sk kerayong ini. bila dah tahu, janganlah pulak malu nak menghadirkan diri atau buat-buat segan. di sinilah kita semua bersekolah dan berlajar mengenal abc, 123, alif, ba, ta dan bermacam perkara lagi.
datang jangan tak datang. datang jangan tak datang. datang jangan tak datang!!!

kalah.....

kalah pulak.....
tak apa, pertandingan dan perlawanan masih banyak lagi. kalah sekali tak bererti kalah selamanya.

YOU'LL NEVER WALK ALONE!!!

terlepas dan melepas...

apa pulak yang terlepas ni? aku tak tahu tah macam mana anak aku si ahmad bilal abdullah mainkan tivi kat rumah aku, hilang gambar dan suaranya.
jadi melepaslah aku nak tengok liverpool berentap dengan fiorentina.
puas aku cuba membetul dan memandai-mandai menggunakan remote, tapi masih tak berfungsi lagi. tak kan astro potong line? selalunya lambat pun, ok aje.
aku betul-betul melepas geram dengan tak tidur sepanjang malam mengadap laptop aku ni. selepas siap membuat posting 1 syawal 1430 yang tersangkut beberapa kali, aku cuba lagi bukak tivi tapi masih lagi gagal berfungsi. lantaklah, tak tengok tivi jimat sikit duit nak bayar bil letrik ye tak.

tapi liverpool boleh menangkan!!!
hahaha!!!
YOU'LL NEVER WALK ALONE.

* mesti mamat-mamat m.u dan chelsea bengkek ni.

Isnin, September 21, 2009

1 syawal 1430


belakang dari kiri: puteri sulong aku-siti nur akmal(15 tahun), puteri kedua aku-siti nur amni(13 tahun), isteri kesayangan aku-rusnah binti ramli, ibu kesayangan aku-jawiah binti sulong dan puteri bongsu aku- siti nur aisyah(5 bulan lebih) serta ahmad ali abdullah.



putera-putera kesayangan aku. dari kiri: ahmad kamal abdullah(11 tahun), ahmad ali abdullah(2 tahun), ahmad abdullah abbas(4 tahun), ahmad abdullah azzam(8 tahun) dan ahmad bilal abdullah(6 tahun)



akhirnya satu syawal menjelma juga. dan berakhirlah ramadan yang penuh keberkatan. sungguh beruntung bagi mereka yang telah berjaya menunaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim mukmin yang memenuhi ramadan dengan beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah Yang Maha Khalik. sementara bagi yang gagal atau cuai melaksanakan ibadah puasa dengan penuh keimanan pada tahun ini, berdoalah semoga dipanjangkan umur oleh Allah agar ada lagi kesempatan bagi melakukan ibadah puasa dan memakmurkan bulan yang dijanjikan ganjaran berlipat kali ganda ini pada tahun hadapan. InsyaAllah.

bagi aku sekeluarga raya tahun ini seperti juga raya-raya tahun lepas disambut secara sederhana sahaja. tiada apa yang istimewa disediakan. jika tahun lepas aku beraya di rumah sendiri, tapi tahun ini aku terpaksa beraya di rumah mak mertua aku. sejak aku duduk di keratong sembilan, rumah aku itu telah aku sewakan, kini ia disewa oleh "bulat" anak kak semah yang baru beberapa bulan mendirikan rumahtangga. pada mulanya aku keberatan untuk menyewakannya, tapi bila memikirkan daripada dibiarkan kosong berhabuk lebih baik disewakan. ada jugak duit masuk.

pagi raya pertama aku dan keluarga balik ke kerayong. solat sunat idil fitri di masjid bera, pergi jalan kaki saja dengan anak lelaki aku. tak jauh pun. sampai di masjid aku tengok orang dah ramai. aku ambil tempat di sebelah kanan luar masjid, duduk bersebelahan dengan md. sarif tokey yong tau fu yang tinggal di taman jati. orang makin ramai yang baru tiba antaranya cikgu amran anak beranak yang sekarang merupakan guru besar sk kuala bera dan bersalaman dengan aku. dari cikgu amranlah aku mula-mula belajar buat jadual waktu pada hari pertama aku melapur diri di sk kerayong pada 2.12.1995 dan juga belajar komputer. malah komputer pertama aku beli pun dengan bantuan beliau.

entah macam mana ada hamba Allah yang baru hadir, punyalah kuat dan pekat bau minyak atarnya. hidung aku pun apa lagi mulalah rasa lain macam dan terus terbersin dua tiga kali. dan baru tiba ialah dua beranak yang aku tak kenali tapi warna baju melayunya sama dengan baju melayu aku. mungkin ia baju melayu baru tahun ini, sedangkan aku baju tahun lepas yang masih elok dan kainnya tu pun adalah hadiah dari kak siti pengusaha kantin sk kerayong sempena hari guru 2008. dan aku dapati ada beberapa orang lagi yang hadir berbaju melayu sama dengan warna baju melayu aku. macam boria pulak kata hati aku.

lepas solat sunat iedil fitri, hidung aku mula buat hal akibat dari bau minyak atar dan terbersin, mengalirlah cecair jernih. aku pun bangun terus menuju ke tempat mengambil wuduk dan menyelesaikan masalah yang tiba-tiba muncul. aku memerhati manalah anak aku ini dan duduk saja di tangga masjid bersama hadirin yang lain sambil mendengar khutbah hari raya. kelihatan cikgu sahrunizam berbaju melayu warna merah meron baru keluar dari tandas agaknya menuju ke arah sebelah kiri masjid. tiba-tiba datang wan rosli ayah kepada siti wan nur ainatul mardhiah dan wan mohd aiman bersalaman dengan aku: nak balik dulu kena kerja ni, orang rumah dah hantar balik kampung. tak apa, bayar lebih tu, kata aku. ia pekerja tnb di temerloh yang telah lama aku kenali dan tinggal di taman permai.

setelah selesai khutbah, aku pun bersalaman dengan beberapa orang dan langsung pulang dengan anak aku. di rumah mak aku telah mula riuh rendah suara anak-anak dan masing-masing sibuk bersalaman antara satu sama lain. aku hanya sempat mengambil beberapa gambar saja kerana talifon bimbit aku telah kelemahan baterinya. jadi tak sempatlah nak suruh medan ambil gambar aku sekeluarga.

pada tahun ini tak semua adik beradik aku yang dapat berkumpul, antaranya andak yang beraya di tanjung lumpur, ngah di segamat kerana anaknya belum cukup sembuh lagi, abang teh(tapi perempuan!) yang tinggal di lebak dan chu yang beraya di kemayan di rumah mak mertuanya.

seperti biasa semua ke tanah perkuburan berhampiran masjid kampung kerayong dan seterusnya ke tanah perkuburan kampung mengkarak. balik singgah di jeram ular, rumah ayah cu dan bertemu dengan beberapa orang anak almarhum ayah ngah budin(baharudin) antaranya bahaznan sekeluarga, badrul hisam sekeluarga dan juga bekas anak murid aku syamsayanie adik bahaznan yang belum kahwin lagi, begitu juga syakilla yang bongsu sekali. ustaz ni, makin tua makin handsome pulak!! pandailah awok syamsayanie, tu tandanya dah nak mati, kata aku. janganlah macam tu ustaz, balas syamsayanie semula. seingat aku semasa upsr pada tahun 1996, syamsayanie hanya mendapat 3a 2b saja, tapi beliau telah ditawarkan ke sm sains batu pahat atas tiket pelajar miskin dari luar bandar. alhamdulillah ia telah berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke universiti. baru-baru ini ia menjadi guru sandaran di smk seri bera. awok ngajor di seri bera lagi ke? tanya aku. dok dah, kome merajuk dengan seri bera, katanya.

balik dari rumah ayah cu, singgah pulak di rumah makndak zaiton untuk menziarah dan bertanya khabar dengan tok andak mat misai. ia satu-satunya adik beradik wan aku yang masih tinggal. sudah uzur tapi boleh lagi berjalan perlahan-lahan bertongkat dalam rumah. semasa aku hampir dengannya, ia sedang berbaring berehat atas katil. awok kenei orang ni, tanya mak aku padanya sambil menunjuk ke arah aku. kenei, katanya. mana tak kenei sebab dulu-dulu selalu bermesyuarat dan berusrah dengannya di darul huda. tapi memang ia kelihatan telah tua dan aku teringat kepada arwah tok aku dulu.

di rumah makndak zaiton lagi sekali berjumpa dengan anak murid iaitu nor fazila binti jaafar. aku pernah jadi guru kelasnya pada tahun 1996 dan 1997. kini dah besar panjang dan belajar di ikm kangar, perlis. begitu jugak adiknya nur ain yang sebaya dengan anak aku siti nur akmal. berborak panjanglah masing-masing, maklumlah lama tak berjumpa tak bercerita. bila sesekali jumpa banyaklah yang nak ditanya dan dijawab. begitulah kehidupan yang berputar ligat, tak terkejar dek kita. tahu-tahu dah berubah, dah tua, dah tiada. semuanya akan ke sana.

tak lama selepas balik dari jeram ular, kakak aku (abang teh) dari lebak pun sampai sekeluarga. tapi aku dan keluarga terpaksa balik ke kampung seri buntar kerana ada sedara nak datang, kesihan kat mak mertua aku, nanti tak terlayan pulak dek dia. adik ipar aku rukiah tak balik sebab tak dapat cuti, yang ada hanya ridhuan sorang saja. tak kesahlah sebab bukan jauh sangat pun. lagi pun besok raya kedua aku sekeluarga akan ke jengka dua untuk menziarahi kubur kak long zaini yang meninggal dunia semasa hari persiapan kenduri perkahwinan rukiah tempohari. raya ketiga pulak akan ke tanah perkuburan Islam taman ibu kota, gombak menziarahi kubur ayah mertua aku yang disemadikan disitu dan singgah di rumah maklong biah di greenwood untuk beraya dan bertanya khabar berita. seingat aku dah dua tahun kubur itu tak diziarahi oleh aku sekeuarga

itulah secebis kisah aku dan keluarga aku di hari raya pertama tahun ini. untuk hari kedua dan ketiga memang banyak yang nak dicatat tapi sengaja aku biarkan sebab aku nak beraya dan berehat seketika dari blog ini. semoga semua mendapat nikmat dan rahmat dari Ilahi di satu syawal pada tahun ini seterusnya di hari-hari mendatang. kepada yang pulang ke kampung semoga kepulangan itu membawa kebahagian dan mengukuhkan persaudaraan yang telah lama terjalin. kunjung mengunjung antara satu sama lain, insya-Allah akan ada hikmahnya, cuma terkadang kita leka pada yang telah tiada. kepada yang tidak berkesempatan untuk pulang ke kampung atau memang tiada kampung, usahlah bersedih atau berduka. raya tetap raya. dan ia adalah hari bahagia untuk semua.
wassalam.

Rabu, September 16, 2009

Rahsia Allah...

Syaidina Umar r.a. berkata: Allah merahsiakan lima perkara kepada hamba-Nya sebab lima perkara iaitu:

1- RedhaNya kepada hambaNya yang taat agar hambaNya itu tetap terus berbakti dan taat.

2- Wali-wali-Nya daripada orang ramai agar mereka tidak dipuja.

3- Umur seseorang hamba (hari kematiannya) agar ia selalu bersiap sedia untuk mati.

4- Keutamaan solat wusta (solat yang utama dari solat-solat yang lain) agar hamba-Nya itu tetap rajin beramal soleh dan berusaha mencapainya.

5- Turunnya LAILATUL QADAR di bulan Ramadhan agar hamba-Nya selalu berusaha untuk mencapainya dengan bersungguh-sungguh tanpa merasa bosan.

Wassalamu.

TAZKIRAH 1.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Assalamualaikum.

Kekayaan harta benda tidak kekal, ia boleh bertambah dan sebaliknya boleh musnah dalam sekelip mata. Justeru kekayaan adalah anugerah dan amanah Allah S.W.T. Cara mendapatkannya dan juga cara menggunakannya ditentukan peraturannya oleh Allah.

Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:

"Dan berjihadlah dengan harta dan diri kamu di jalan Allah. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui."

(Surah At-Taubah: 41)

Apa yang perlu difahami ialah Islam tidak menghalang memiliki harta dunia, kerana jika demikian tentulah Rasulullah s.a.w tidak membiarkan para sahabatnya berniaga dan memiliki harta. Memiliki kekayaan harta dunia itu di antara naluri manusia yang diizinkan oleh Islam. Tetapi bukan sebagai penghimpun harta kekayaan yang tamak seperti Qarun yang dilaknat Allah, atau menjadi kapitalis yang menindas melalui sistem riba. Sebaliknya Islam mengemukakan zakat sebagai satu peraturan yang menganjurkan manusia jadi pemurah, sekurang-kurangnya dengan mengeluarkan zakat untuk diagihkan kepada lapan asnaf, iaitu kepada kalangan orang yang berhak ke atas harta zakat.

Oleh itu, jangan abaikan kekayaan itu tanpa dimanfaatkan sepenuhnya, kerana jika alam semesta ini pun boleh kiamat maka tidak mustahil kekayaan juga akan musnah pada bila-bila masa.

Wassalam.


*dipetik dari majalah kartun "LANUN" terbitan Giant-Add Publishers Sdn. Bhd. tapi majalah ini dah tak ada, tak tahu ke mana menghilangnya.

SELAMAT BERZAKAT FITRAH, BAPAK-BAPAK DAN MEREKA YANG BERTANGGUNGJAWAB.

Selasa, September 15, 2009

terjemahan hadis qudsi.

Dari Abu Hurairah rodiallahu anhu, dari Rasulullah S.A.W Firman Allah:

Aku telah membahagikan Al-Fatihah kepada dua bahagian, separuhnya untukKu dan separuhnya lagi untuk hambaKu dan untuk hambaKu apa sahaja yang dipohonkan kepadaKu.
Apabila hamba itu berkata: Alhamdulillahi Robbil a'lamin,
Allah menjawab: HambaKu memujiKu.

Apabila hamba itu berkata: Ar-Rohmanir Rohim,
Allah menjawab: HambaKu memberi sanjungan kepadaKu.

Apabila hamba itu berkata: Maliki yaumiddin,
Allah menjawab: HambaKu telah mengagung-agungkanKu.

Dan apabila hamba itu berkata: Iyyaka na'budu wa iyyaka nasta'in,
Allah menjawab: Ini diantara hambaKu dengan Aku dan untuk hambaKu apa sahaja yang dipohonkan kepadaku.

Apabila hamba itu berkata: Ihdinas sirotol mustaqim, sirotol lazina an'amta a'laihim ghoiril maghdhu bi a'laihim waladhdholin,
Allah menjawab: Ini untuk hambaKu dan untuk hambaKu apa sahaja yang dipohonkan kepadaKu.

Sekian.

Ahad, September 13, 2009

satu peristiwa di bulan ramadan.....

kisah ini terjadi pada suatu hari jumaat dalam bulan ramadan. kejadian berlaku ketika khatib sedang membaca khutbah di atas mimbar. semua para jemaah sedang khusyuk dan tawadhuk mendengar khutbah tentang kelebihan puasa di bulan ramadan. terdapat beberapa kepala yang terkulai tunduk. sesekali diangkat dan tunduk semula dengan perlahan-lahan. ada yang merenung jauh sambil mata tertumpu kepada khatib di atas mimbar. agaknya bilalah nak habis khutbah ini.

tiba-tiba terdengar suatu suara yang cukup lantang dan bersemangat: sollallah wa sallam a'laih!!! semua mata tertumpu ke arah satu sudut di tepi dinding. aik! kenapa pulak si mamat ni tiba-tiba berselawat. masing-masing terpinga-pinga kehairanan. tok khatib di atas mimbar pun terhenti seketika, terkejut dengan bunyi selawat yang kuat itu. tetapi si mamat ni buat muka selamba sahaja. suasana menjadi pulih semula dan khatib meneruskan khutbahnya sehingga selesai.

peristiwa ini menjadi buah mulut di kampung tersebut. kenapalah tiba-tiba saja si mamat ini berselawat. nak protes tok khatib baca khutbah lama sangat ke atau pun sebab minggu sudah khutbah yang sama jugak dibacanya? semua itu menjadi persoalan kepada orang kampung. tetapi tiada seorang pun yang berani bertanya kepada si mamat.

setelah disiasat oleh beberapa orang 'sb' yang tak bertauliah, maka terjawablah akhirnya segala teka-teki yang sedang bermain di minda penduduk kampung. menurut lapuran 'sb' berkenaan kepada tok empat (ketua kampung): ketika kejadian itu berlaku, si mamat ini sedang khusyuk mendengar khutbah lalu tertidur, tiba-tiba dalam tidurnya ia terdengar khatib menyebut 'Allahumma solli a'la Muhammad'. oleh kerana menyangkakan beliau sedang sembahyang terawih, maka beliau pun dengan bersemangat dan lantang menjawab selawat khatib tersebut. tetapi beliau hairan kenapa beliau seorang sahaja yang berselawat. apabila semua mata memandang ke arahnya, barulah ia sedar, ia telah mengigau dan terus saja buat muka selamba seolah-olah tiada apa yang berlaku.

pecahlah perut ketua kampung dan para hadirin yang datang ketawa berdekah-dekah semasa sesi lapuran ini diadakan. mereka tidak dapat menahan perasaan gelihati yang amat sangat.

moral dari cerita ini: jangan tidur semasa khatib sedang membaca khutbah, nanti jadi macam si mamat yang mengigau tu.

Ahad, September 06, 2009

bubur lambuk dan ramadan

dalam bulan ramadan ini memang banyak makanan yang tidak dihidangkan atau dimasak dalam bulan-bulan lain tetapi terdapat dalam bulan ramadan, antaranya ialah bubur lambuk bukan bubur lombok. bukanlah tak ada bubur lambuk di bulan-bulan lain tapi dibulan puasa inilah banyak terdapat bubur lambuk dijual. malah terdapat masjid yang menyediakan bubur lambuk untuk diberi percuma kepada ahli kariahnya. manakala resepinya pulak tu hampir sama saja. kalau berbeza pun, mungkin ada tambahan beberapa bahan yang terdapat dalam bubur lambuk tersebut.

aku memang suka makan bubur lambuk ni. aku mula mengenali bubur ini ketika aku bersekolah di pekan dan menyewa rumah di kampung pancor berhampiran kampung padang polo dan kawasan istana sultan pahang bersama beberapa rodong dari jengka, maran dan pekan sendiri. bersekolah di sekolah menengah agama tengku ampuan fatimah, pekan. ketika aku tingkatan 5, pelajar lelaki seramai 18 sahaja. tetapi pengetua ketika itu ustazah soleha kata: awok ni 18 orang, tapi macam jaga 18 ribu orang. kami bukanlah nakal sangat atau ganas tapi budak lelaki biasalah. asrama ada tapi untuk pelajar perempuan saja. kamilah lelaki terakhir yang bersekolah di sekolah itu.

berbalik kepada cerita bubur lambuk ni, dekat rumah yang kami sewa ini ada satu keluarga, yang telah mengistiharkan mereka sebagai keluarga angkat kami. disitulah tempat kami tengok tivi, kadang-kadang kami diajak makan bersama, tak pun dihantar lauk atau kuih ke rumah kami. bila tiba bulan puasa, antara menu yang dihantar kepada kami ialah bubur lambuk. aku pada mulanya rasa pelik sebab tak pernah makan. rupa-rupanya bila dah sekali kena nak lagi. bak kata orang tu: sampai menjilat jarilah katakan. sehingga sekarang aku rasa bubur lambuk yang dimasak oleh mak angkat kami tu lah yang paling sedap. masa kat maktab dulu lain rasanya, masa kat lawas, sarawak pun ada jugak bubur lambuk tapi lain juga dia punya rasa. sekarang ni duduk di keratong, pun lain sikit rasanya. walau pun kadang-kadang ada rasa macam bubur lambuk yang makcik esah tu masak.

bagi aku bubur lambuk dan ramadan atau bulan puasa dah sinonim. kalau makan bubur ni di luar bulan puasa, rasa lain. rasa macam puasa pulak. entahlah, mungkin itu perasaan aku saja agaknya. untuk makcik esah dan pakcik noh sekeluarga, aku doakan semoga kehidupan mereka dilimpahi rahmat dari Ilahi. sekali sekala bila aku ke pekan teringat juga nak singgah tapi apa kan daya, hati saja yang nak pergi tapi kaki berat nak melangkah. seingat aku sejak berumahtangga, baru sekali aku pergi. ketika aku masih lagi berkereta 'toyota ke20'. tak tahulah bila lagi agaknya aku akan ke rumahnya untuk bertanya khabar. mungkinkah di syawal tahun ini.....
tapi setiap kali makan bubur lambuk aku mesti teringat bubur lambuk masakan makcik esah, mungkin sebab itu cinta pertama ku dengan bubur lambuk agaknya. tak kisah lah, janji aku memang gemar makan bubur lambuk selagi selera masih ada diizin Allah.