Ahad, November 04, 2012

Bila dan Kenapa Mesti Bersabar.



Assalamualaikum wa rohmatullahi wa barokatuh...

Sebagai hamba Allah, setiap masa dan ketika dalam kehidupan ini adalah merupakan ujian dan dugaan dari Allah Yang Maha Esa. Sama ada kita sedar atau tidak segala yang berlaku dan terjadi adalah ketentuan dari Allah.  Bila berlaku sesuatu perkara yang diluar jangkaan kita, sering kali kita akan mengeluh dan bersungut kerana timbul rasa tidak puas hati atas apa yang telah terjadi. Apa tah lagi ia bukan sesuatu yang kita harapkan. Untuk itu, seharusnya kita sedar dan insaf bahawa hanya mereka yang punya kesedaran saja tahu yang mereka sedang diuji oleh Allah. Jadi tidak perlulah bersusah hati, sebaliknya bersabar dan redha menerimanya.

Menyentuh tentang perkara sabar, ia bukanlah semudah menyebutnya tetapi  menuntut kita semua untuk benar-benar menghayati bila dan kenapa kita mesti bersabar. Di bawah ini disenaraikan beberapa intipati dari kelebihan sifat sabar disamping cuba menjelaskan secara ringkas tentang kesabaran.

  1. Kita hendaklah tekun dalam melaksanakan segala perintah Allah dengan ikhlas dan penuh ketaatan serta bersabar.

  1. Allah s.w.t sentiasa menguji keimanan hamba-Nya dengan berbagai kesulitan, penderitaan, bala dan bencana.

  1. Menahan diri untuk melakukan segala perbuatan jahat yang didorong oleh hawa nafsu yang boleh menjerumuskan seseorang ke lembah kehinaan.

  1. Tidak berputus asa dan memperkuatkan kembali segala kekurangan dan kelemahan atau kegagalan akan dijadikan sebagai pengajaran.

  1. Islam menegaskan bahawa umat Islam tidak seharusnya terpengaruh dengan kenikmatan dunia yang sementara sehingga boleh melalaikan kepentingan hidup di akhirat.


Dengan kata lain seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : Sabar itu separuh dari iman. Justeru itu usahlah bersedih hati, sebaliknya jadikan ia sebagai penguat semangat untuk memulakan kehidupan yang baru. Langit tak selalunya cerah tetapi setelah berlalunya mendung, pasti ia kan cerah kembali untuk memberi kita peluang buat kali yang kedua.

Sekian, sedikit perkongsian untuk bersama bersabar.