Rabu, Mac 17, 2010

Allah tambah nikmat jika bersyukur.

Assalamualaikum...

Perkataan syukur sering kita sebut dan sentiasa menjadi percakapan dan perbualan setiap insan, namun berapa ramai yang mengerti maksud syukur itu sendiri. Syukur atau berterimakasih adalah satu amalan dan perbuatan yang lahir dari lubuk hati yang ikhlas dengan melakukannya dalam perbuatan seharian. Sedar atau tidak, hidup manusia di dunia ini tidak akan terlepas dari menerima nikmat dan rahmat Alah. Nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia adalah tidak ternilai banyaknya. Jumlahnya tidak dapat ditimbang dan disukat. Ini telah dijelaskan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud:-
"Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya tidak mampu kamu menghitungnya. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(Surah an-Nahl ayat 18)

Jika kita meneliti kejadian tubuh badan manusia dan kurniaan anggotanya seperti kaki, tangan, perut, mulut, telinga, hidung, dan lain-lain sudah cukup bagi kita untuk membuat kesimpulan betapa berkuasa dan pemurahnya Allah kepada manusia serta betapa lemah dan tidak berdayanya manusia yang menjadi penghuni alam yang fana ini.

Anggota badan itu pula dijadikan Allah dengan sempurna dan dapat bergerak serta berfungsi serentak pada waktu yang sama. Sambil bercakap kita dapat melihat, mendengar, menghidu, berjalan dan sebagainya.

Imam Al-Ghazali memberi makna nikmat itu sebagai: setiap kebaikan, kelazatan dan kebahagiaan, serta setiap dari kebahagiaan hidup itu untuk hari akhirat yang kekal abadi.

Secara umumnya, nikmat kurniaan Allah kepada setiap manusia dapat dibahagikan kepada dua iaitu:
- Nikmat bersifat 'fitrah' iaitu nikmat dibawa oleh manusia sejak ia dilahirkan lagi.
- Nikmat mendatang iaitu nikmat yang diterima dan diperolehi dari masa ke semasa.

Nikmat yang bersifat fitrah itu digambarkan oleh Allah dalam Al-Quran yang bermaksud:
"Dan Tuhan (Alah) melahirkan kamu dari perut ibumu tanpa mengetahui apa pun. Dan kemudian diberinya kamu pendengaran, penglihatan dan hati supaya kamu bersyukur(berterima kasih)." (Surah an-Nahl ayat 78)

Segala sesuatu yang ada di alam ini, sama ada tumbuh-tumbuhan hinggalah kepada haiwan ternakan dan bahan galian yang semuanya diciptakan supaya dapat dimanfaatkan oleh manusia.

Kebiasaannya, seseorang manusia itu hanya akan menyedari nikmat yang dikurniakan Allah kepadanya setelah nikmat itu hilang atau terlepas daripadanya (ditarik oleh Allah).
Seseorang yang berkuasa atau berpangkat akan berasa nikmat memegang kuasa dan pangkat selepas jatuh atau dipecat dari kekuasaan atau jawatan yang disandangnya hilang. Seseorang hartawan apabila jatuh miskin dan melarat, maka akan rasa betapa besarnya nikmat kekayaan yang dikecapinya itu.

Oleh itu peliharalah setiap nikmat yang diperolehi. Bersyukur dan berterima kasihlah kepada Allah Yang Maha Kuasa supaya nikmat itu akan dikekalkannya.
Tanda seseorang itu bersyukur ialah apabila gembira wujudnya nikmat pada dirinya, yang melorongkan jalan untuk beramal ibadah dan mendekatkan diri kepada-Nya. Orang yang bersyukur kepada Allah akan memperbanyakkan syukur dan terima kasih kepadaNya. Mereka mengerjakan segala ketaatan kepada Allah dan akan membesarkan nikmat sekalipun nikmat itu kecil dan tahu membalas budi kepada yang memberikan kepadanya.

Sesungguhnya bagi orang yang bersyukur, maka nikmat itu semakin bertambah. Ini jelas dinyatakan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud:-
"Jika kamu bersyukur maka Aku (Allah) akan menambah (nikmat) kepada kamu. Dan jika kamu engkar maka sesungguhnya azab Ku amat pedih." (Surah Ibrahim ayat 7)