Isnin, Mac 25, 2013

Kawalan Harga Barang.


“Kawalan harga dilakukan bertujuan mengawal harga pasaran terus meningkat mendadak disebabkan permintaan produk atau barangan yang tinggi dipasaran terutama dimusim perayaan.  Bincangkan sama ada keperluan kawalan harga adalah terhad kepada sebilangan produk atau barangan sahaja dan cadangkan kaedah penguatkuasaan kawalan tersebut oleh pihak yang berkaitan”

 
PENDAHULUAN

Isu barangan terkawal sering menjadi paparan dalam media massa terutamanya di musim perayaan. Terdapat perbezaan antara barangan terkawal semasa musim perayaan dan pada waktu-waktu biasa. Kebiasaannya, barang-barang yang dijadikan barang kawalan semasa musim perayaan adalah melibatkan barang basah dan bahan masakan. Hal ini berlaku kerana pada musim perayaan, permintaan terhadap barang-barang seperti ayam, tepung, telor dan bawang adalah lebih tinggi berbanding hari-hari biasa.  Dengan kata lain  barangan tertentu melebihi pengeluaran.   Justeru, ini menyebabkan terdapat segelintir peniaga yang cuba mengambil kesempatan mengenakan harga yang tinggi dengan sewenang-wenangnya. Faktor inilah yang memaksa pihak kerajaan mengenakan kawalan harga bagi sesetengah barangan bagi menjaga kebajikan pengguna. Namun begitu, ada juga sesetengah peniaga yang tidak mengikut harga yang telah ditetapkan, malah berani mengenakan harga melepasi harga siling. Harga siling ini adalah untuk memastikan pengguna dapat menikmati harga barangan pada kadar yang munasabah. 

 DEFINISI KAWALAN HARGA
Kawalan bermaksud usaha atau tindakan mengenakan (menjaga, mengawasi), manakala harga pula didefinisikan sebagai nilai sesuatu barang dengan (kiraan) wang. Maka, dapat dirumuskan maksud kawalan harga adalah tindakan mengenakan sekatan terhadap nilai barangan daripada dinaikkan sesuka hati yang biasa dilakukan oleh peniaga dan juga peruncit.

Menteri berkuasa menetapkan apa-apa barang yang hendak dikawal harganya secara undang-undang.  Ini mengikut  kepada permintaan terhadap sesuatu barangan keperluan.  Seperti musim perayaan diadakan  Skim Kawalan Harga Musim Perayaan yang mana ia mengikut tempoh tertentu.

DEFINISI BARANGAN KAWALAN

Barangan terkawal pula boleh didefinisikan sebagai benda atau perkhidmatan yang dijualbelikan tetapi barangan tersebut dikawal daripada segi harganya agar para peniaga tidak dapat menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya. Kebanyakan harga bagi barang terkawal adalah dijual di bawah atau mengikut paras harga maksimum seperti yang telah ditetapkan diperingkat borong dan runcit.
Penguatkuasaan yang dilakukan ialah bermula dari pembekal barangan berkenaan sehinggalah kepada pemborong.  Pembekal dan pemborong perlulah mendaftarkan pergerakan mereka dan perlulah mendapat lesen terlebih dahulu.


AKTA KAWALAN HARGA  1946

Akta ini dan perundangan-perundangan subsidiari di bawahnya adalah bertujuan untuk menentukan harga barang- barang adalah berpatutan dalam sebarang keadaan dan dalam masa yang sama memberi peluang kepada pengguna untuk membuat perbandingan harga sebelum membeli barang-barang. Terdapat beberapa jenis kesalahan yang boleh dikenakan hukuman di bawah akta ini. Salah satunya adalah seperti kesalahan gagal melabelkan barang-barang yang tersedia bungkus dengan maklumat, nama dan alamat pengeluar atau pengimport, berat dan kuantiti, bahan kandungan di dalamnya serta nama sebutan sebenar barang itu. Kegagalan meletakkan tanda harga pada barang jualan juga menjadi kesalahan di bawah akta ini. Peniaga juga boleh dikenakan denda sekiranya gagal meletakkan harga runcit pada barang-barang terkawal.

Kini Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 adalah akta terbaru yang menggantikan Akta Kawalan Harga 1946. Ia digubal bagi mewujudkan sebuah mekanisme menghalang dan melarang peniaga menaikkan harga barang tanpa sebab dan peniaga tidak boleh menaikkan harga barang serta mengaut untung berlebihan sesuka hati sehingga menyusah dan menekan pengguna yang sedikit sebanyak sama-sama membantu memajukan perniagaan mereka.  Sekiranya   melanggar peraturan tersebut,   mereka akan berdepan   hukuman berat bagi menyekat sikap tamak dan tidak amanah berkenaan.  Selaras dengan kewujudan akta itu juga ditubuhkan Majlis Penasihat Harga Barang dianggotai golongan peniaga, pengguna dan pegawai kementerian yang akan menjalankan pemantauan ke atas semua peniaga. Jika didapati peniaga menaikkan harga barang tanpa sebab, jawatankuasa terbabit akan membuat laporan dan tindakan tegas akan diambil ke atas mereka. 

Melalui akta baru ini pihak berkuasa boleh bertindak segera terhadap peniaga yang mengaut keuntungan secara berlebihan dan akan menjadi satu lagi platform penting yang menjaga hak dan kepentingan pengguna. Dengan pelaksanaan undang-undang itu, ia akan dapat menghalang peniaga daripada menaikkan harga sesuatu barangan tanpa sebab di negara kita.  Walaupun tidak dinafikan masih terdapat ramai peniaga yang jujur dan amanah, namun segelintir peniaga yang hanya mementingkan diri sendiri sehingga mengambil pendekatan menjejaskan pengguna demi mengaut keuntungan secara berlebihan sehingga sanggup mengenepikan larangan agama dan undang-undang pengguna. Oleh itu,  cara terbaik bagi mengatasi sikap tamak ini ialah melalui penguatkuasaan undang-undang yang mantap dan komprehensif. 

Oleh itu, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 diwujudkan bagi menyekat peniaga membuat keuntungan tanpa had dan akta ini juga membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap peniaga tanpa menunggu aduan daripada pengguna. Sebelum ini pengawalan harga barang tidak dapat dilakukan kerana tidak ada akta khusus untuk berbuat demikian. Melalui Akta Kawalan Harga 1946 sedia ada, kerajaan hanya boleh mengawal harga terhadap barangan yang diwartakan saja, tetapi melalui akta baru itu, kerajaan berupaya mengawal peniaga daripada menaikkan harga sesuka hati.

Semua peniaga diwajibkan menjual harga barang terkawal mengikut harga maksimum yang ditetapkan oleh kerajaan dan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pada barangan tersebut. Tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim berkenaan. Peniaga yang menjual barang harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM 100,00 atau penjara maksimim tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun sehingga RM 50,000. Syarikat yang melakukan kesalahan tersebut boleh didenda sehingga RM 500,00 atau dikenakan kompaun sehingga RM 250,00.

Peniaga yang gagal meletak tanda harga merah jambu pula akan didenda sehingga RM 10, 000 atau dikompaun sehingga RM 5,000 dan syarikat yang gagal melakukannya boleh didenda RM 20,000 atau dikompaun sehingga RM 10,000.

SENARAI HARGA BARANGAN TERKAWAL

Harga maksimum bagi barang terkawal itu ialah :

  1. Ayam hidup (RM5.70)
  2. Ayam standard yang disembelih dan dibersihkan beserta kaki, kepala, hati dan hempedal (RM6.80)
  3. Ayam super yang disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal (RM7.60).
  4. Daging lembu tempatan (RM22.00)
  5. Daging lembu import-harga maksimum di Sarawak sahaja (RM24.00)
  6. Daging kerbau tempatan (RM21.00)
  7. Daging kerbau import India (RM13.50)
  8. Telur ayam gred A (RM0.35 sen)
  9. Telur ayam gred B (RM0.34 sen)
  10. Telur ayam gred C (RM0.33 sen)
  11. Kubis bulat import-Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing (RM3.20)
  12. Cili merah (RM10.00)
  13. Tomato (RM4.50)
  14. Kelapa parut-harga maksimum di peringkat runcit saja (RM6.00)
  15. Kacang tanah import (RM6.50)
  16. Bawang merah kecil India (RM5.00)
  17. Bawang besar import (RM2.50)
  18. Bawang putih China (RM7.50)
  19. Ubi kentang import China (RM3.00)
  20. Ikan kembung (RM12.00)

*sumber dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)


Senarai harga berkenaan adalah berdasarkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana untuk beberapa negeri tertentu termasuk di Sabah dan Sarawak terdapat sedikit perbezaan harga.

 

KEPERLUAN KEPADA KAWALAN HARGA BARANG

Satu persoalan timbul, mengapa harga barang perlu kawal? Dan apakah ia melibatkan semua jenis barangan? Atau sekadar hanya barangan makanan sahaja yang perlu dikawal harganya. Bagi menjelaskan isu ini perlu diketahui bahawa setiap barang atau produk mempunyai nilai atau harganya berdasarkan kualiti atau mutu serta bahan yang digunakan untuk menghasilkannya. Jika ia diperbuat dari bahan yang berkualiti dan mempunyai piawaian atau standard yang tertentu sudah semestinya ia mempunyai nilai yang berharga.

Perlu diketahui juga bahawa semua barangan sama ada keperluan harian seperti makanan dan minuman, pakaian, kenderaan, rumah kediaman, malah apa saja yang melibatkan pengguna, termasuklah tambang pengangkutan awam turut sama dalam kategori perlu kepada kawalan harga.

Kita ambil contoh barang keperluan dapur seperti yang disenaraikan di atas tadi, apakah kita hanya membeli satu atau dua jenis bahan sahaja untuk sehari. Tentulah tidak. Apatah lagi jika mempunyai ahli keluarga yang ramai. Pasti bahannya akan bertambah yang akan membawa kepada bertambahnya wang yang digunakan untuk membayar keperluan seharian. Bagaimana pula dengan gas atau bahan api yang digunakan untuk memasaknya. Semuanya itu melibatkan harga yang jika tidak dikawal akan mengakibatkan inflasi yang lebih parah. Pengguna tidak lagi mampu untuk berbelanja dan akan timbul perasaan serba salah, apakah yang perlu diutamakan sama ada membeli barangan dapur keperluan seharian atau membayar dan menyara persekolahan anak yang tidak kurang juga pentingnya. Sedangkan pendapatan mereka tidak selari dengan harga barang yang berada dipasaran dan lebih memberi kesan lagi kepada mereka yang berpendapatan rendah.

Umum mengetahui harga barangan makanan yang dimasak sukar dikawal, namun pihak berkuasa perlu menjalankan pemantauan terhadap barangan itu dari semasa ke semasa agar pengguna di negara ini tidak menjadi mangsa rakus peniaga.  Begitu juga masalah kenaikan harga barang pada musim perayaan, kerajaan hanya boleh melaksanakan pewartaan jangka pendek selama dua minggu dan tidak boleh melaksanakan pewartaan jangka panjang kerana ia bertentangan dengan dasar pasaran terbuka yang diamalkan   negara kita.

 Selain dari itu, jika harga barangan tidak dikawal ia akan mengakibatkan kuasa pembeli makin mengecil dan kurang berlaku proses jualbeli. Kesannya ialah ekonomi negara tidak dapat berkembang kerana para pengguna tidak mahu berbelanja sebaliknya hanya memilih barangan tertentu sahaja untuk dibeli seperti barang makanan harian. Tapi untuk aktiviti pergi melancong atau membeli belah, mereka akan berfikir dua kali untuk melakukannya. Aliran tunai dalam negara menjadi terhad serta menyebabkan kerajaan terpaksa mengadakan kempen untuk menggalakkan orang ramai keluar membeli belah.

 Dalam konteks lain, kerajaan juga perlu menimbangkan barangan yang perlu dikawal harganya. Untuk seterusnya perbincangan ini akan menyentuh beberapa produk atau keperluan yang sewajarnya diberi perhatian agar harga yang ditawarkan mampu dibeli oeh para pengguna. Contoh yang pertama ialah pakaian, semakin hari harga pakaian semakin mahal. Mungkin kita tidak terasa kerana kita tidak membelinya setiap hari seperti keperluan yang lain. Tetapi sedarkah kita setiap kali menjelang musim perayaan berbagai tawaran jualan hebat diadakan. Disebalik tawaran tersebut harga pakaian telah dinaikkan dan diberi nama promosi menjelang musim perayaan. Lihat sahaja kepada pakaian baju melayu bagi kaum lelaki dewasa. Berapa harga yang ditawarkan? Terkadang harganya mencecah ratusan ringgit jika dijual di kedai yang berjenama seperti The Store, Parkson, dan di pusat belibelah terkemuka dan diletak pula namanya John Master, Orlando, Crocodile, Levi’s dan sebagainya.  Sedangkan jika di jual di kedai pakaian biasa harganya tidak melebihi RM 100.

Sekarang telah hampir ke penghujung tahun, bermakna tidak lama lagi sesi persekolahan tahun 2013 akan bermula. Para ibubapa dan penjaga akan sibuk untuk menyediakan kelengkapan persekolahan untuk anak masing-masing tidak terkecuali pakaian sekolah mereka. Terfikirkah oleh kita berapa harganya sekarang dan berapa pula harganya pada tahun lalu. Adakah sama atau telah semakin meningkat. Begitu juga kasut sekolah, jika berjenama sudah pasti harganya melebihi RM 20, belum lagi pakaian sekolah untuk pelajar perempuan dengan tudungnya sekali. Purata wang yang perlu diperuntukan bagi pakaian sekolah yang lengkap bagi seorang anak ialah RM 100 – RM 150 untuk sepasang! Bagaimana jika anak yang bersekolah dua, tiga atau empat orang? Berapa yang perlu disediakan oleh seorang bapa yang berpendapatan gaji minima RM 900 sebulan untuk anaknya ke sekolah seperti anak mereka yang berpendapatan RM 9,000 sebulan. Wajar difikirkan apakah harga pakaian di negara ini juga perlu dimasukkan dalam senarai harga barang kawalan.

Seterusnya kita tumpukan pula perhatian kita kepada satu lagi keperluan asas manusia iaitu rumah kediaman sebagai tempat berlindung dari hujan dan panas. Seperti juga pakaian, harga rumah kini makin melambung naik. Rumah teres dengan 3 bilik tidur dan dua bilik air kini harganya antara RM 170,000 – RM 200,000 seunit. Sungguh sesuatu yang di luar jangkaan fikiran rakyat Malaysia kenapa masalah ini boleh timbul. Alasan yang diberikan ialah bahan binaan seperti simen, besi dan sebagainya telah naik mendadak yang mengakibatkan tempiasnya harga rumah telah turut meningkat. Didapati sejak enam tahun kebelakangan ini hatga rumah telah meningkat hampir 70  - 80 peratus tetapi berkualiti rendah. Tahun pertama diduduki sahaja telah mengalami keretakan di sana sini.

Justeru saranan supaya kerajaan mengawal harga rumah yang terlalu tinggi adalah antara cadangan utama dikemukakan rakyat kepada Perdana Menteri untuk dipertimbangkan  dalam Bajet 2013.  Satu lagi cadangan yang banyak dikemukakan ialah memberi pelepasan cukai tambahan bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat. Dua cadangan itu merangkumi 50 peratus daripada 2,990 cadangan yang dihantar oleh 2,693 orang dalam laman web Datuk Seri Najib Razak, www.1malaysia.com.my sejak 16 hingga 29 Julai lalu.

Malah, dua cadangan berkenaan meraih 30,000 sokongan daripada keseluruhan 41,879 undi orang ramai sepanjang tempoh perbincangan mengenai bajet itu dibuka.
Sebahagian besar mereka mengeluh kenaikan harga rumah yang disifatkan amat drastik dan tidak munasabah sehingga menyukarkan rakyat memiliki kediaman sendiri dan terpaksa menanggung sewa yang mahal. Keluhan sama turut diluahkan oleh rakyat berpendapatan sederhana yang menyifatkan mereka sebagai golongan ‘tersepit dan miskin di bandar raya’ kerana tidak mampu membeli rumah tetapi pada masa sama tidak layak menikmati insentif skim perumahan yang ditawarkan kerajaan.

Dalam konteks ini, ramai meminta kerajaan mengekang aktiviti spekulator mengaut keuntungan besar, terutama pihak yang membeli semata-mata untuk menjualnya semula pada harga lebih tinggi serta memperketatkan dasar pemilikan rumah dan hartanah oleh warga asing. Ini jelas menunjukkan harga rumah telah menjadi masalah kepada penduduk negara ini untuk memiliki rumah kediaman mereka sendiri.

Disebalik harga rumah yang kini menjadi beban kepada mereka yang belum memilikinya, bagaimana pula dengan harga kereta yang juga merupakan keperluan yang tidak boleh dikesampingkan pentingnya. Mungkin ada yang akan berkata jika tidak mampu, naiklah saja motorsikal atau pengangkutan awam yang sedia ada. Itu kata mereka yang berkemampuan dan tidak ada halangan untuk memiliki dua atau tiga buah kereta. Tetapi terfikirkah oleh mereka sampai bila mereka hendak menggunakan pengangkutan awam dengan bilangan anak yang ramai. Bukankah itu juga merupakan satu beban bagi mereka untuk berkenderaan sendiri dan menikmati hidup selesa dengan ahli keluarga mereka tanpa bergantung kepada perkhidmatan pengangkutan awam yang kadang kala menimbulkan kerenah juga kepada orang ramai yang menggunakan perkhidmatannya.

Adalah amat sukar dimengerti kenapa harga kereta di negara ini lebih mahal dari harga kereta yang dijual di negara jiran. Sebagai contoh harga sebuah Toyota Vios di Thailand  dijual dengan harga di antara RM 50,000 hingga RM 70,000. Di negeri China, ia dijual dengan harga di antara RM 45,000 hingga RM 60,000. Tetapi  di Malaysia ia dipasarkan dengan harga di antara RM 70,000 hingga RM 90,000. Begitu juga dengan kereta Honda City, di Malaysia, dijual dengan harga kira-kira RM 90,000 tapi di China dijual dengan harga RM 50,000. 

Malah kereta buatan tempatan dijual dengan harga yang lebih mahal di pasaran tempatan. Sedangkan di China, kereta berkuasa kuda 1,000 cc seperti Cherry (buatan tempatan) dijual dengan hanya RM 19,000 hingga RM30,000. Tetapi di Malaysia, Perodua Viva dijual dengan harga RM 38,000. Amat malang bagi rakyat negara ini terpaksa terus menambah hutang bagi menikmati hidup yang selesa.

Jika dibuat penelitian yang lebih terperinci, banyak lagi barangan yang menjadi keperluan penduduk negara ini mahal harganya dan sepatutnya dikawal. Tindakan mengawal harga barang akan dapat menimbulkan minat pengguna untuk membeli dan tidak teragak-agak untuk mengeluarkan belanja bagi membawa keluarga pergi melancong ke tempat-tempat percutian dalam negara kita ini. Jika ini berlaku, nescaya yang akan mendapat faedahnya adalah peniaga yang tidak tamak untuk mengaut keuntungan dengan jalan yang singkat. Fikir-fikirkanlah pandangan ini dari sudut positif dan realiti yang berlaku di negara ini agar kemakmuran dan kesejahteraan dapat dinikmati bersama dengan adil dan saksama.

 

KAEDAH UNTUK MENGAWAL HARGA BARANG.

Kempen jimat cermat
Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan dan anggota masyarakat di negara kita untuk menangani masalah ini. Langkah tersebut ialah pihak kerajaan perlu menjalankan kempen jimat cermat dalam kalangan pengguna. Hal ini kerana dengan melalui kempen atau mesej kerajaan, ia boleh menggalakkan masyarakat supaya berjimat cermat bagi mendatangkan hasil. Kempen tersebut boleh dijalankan melalui media massa arus perdana seperti televisyen, radio dan juga media cetak. Di samping itu, kempen tersebut juga sekurang-kurangnya diharapkan dapat memberikan kesedaran kepada para pengguna. Dengan cara itu, kesan kenaikan harga barang akan dapat ditangani dengan lebih berkesan dalam kalangan pengguna.

Jika para pengguna telah mempunyai kesedaran, mereka akan mempraktikkan amalan berjimat cermat. Amalan ini dapat dilaksanakan dengan mengurangkan perbelajaan atau ikat perut. Sebagai contohnya, jika pada suatu ketika dahulu kita berbelanja sebanyak 100 peratus, perbelanjaan tersebut hendaklah dikurangkan kepada 50 atau 60 perataus sahaja. Wang selebihnya hendaklah kita simpan. Melalui cara ini, kita dapat mengurangkan pengaliran wang di pasaran dan seterusnya dapat mengurangkan permintaan terhadap sesuatau barangan sekali gus dapat mengurangkan kenaikan harga barang.

Menjimatkan perbelanjaan harian

Masyarakat yang juga merupakan pengguna digalakkan untuk menanam sayur-sayuran bagi menjimatkan perbelanjaan harian. Sebenarnya, cadangan ini pernah dipraktikkan pada 1970an dengan rancangan Buku Hijau. Dengan cara ini, para pengguna tidak perlu membeli sayur-sayuran di pasar setiap hari. Contohnya, masyarakat boleh menanam sayur-sayuran yang mudah ditanam di belakang rumah ataupun di dalam pasu seperti cili, kangkung, sawi, kunyit, serai, tomato dan sebagainya. Selain untuk kegunaan sendiri, sayur-sayuran itu juga boleh diberikan kepada jiran-jiran yang berhampiran. Sudah tentu tindakan ini akan menjimatkan perbelanjaan dan secara tidak langsung, cara ini juga boleh merapatkan hubungan sesama jiran dan seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang harmoni. Selain itu, cara ini juga boleh menjimatkan masa untuk membeli sayur-sayuran di pasar.

Selain itu, ketua sesebuah keluarga pula hendaklah merancang perbelanjaan harian keluarga dengan teliti. Semua perbelanjaan hendaklah dibuat berdasarkan keperluan yang sebenarnya. Hal ini bermaksud barang-barang yang tidak diperlukan hendaklah diketepikan. Sebagai contohnya, setiap ahli keluarga hendaklah menangguhkan pembelian pakaian yang berjenama mahal, peralatan perabot, dan sebagainya. Mereka hendaklah menumpukan pembelian barangan keperluan utama seperti  gula, tepung, dan sebagainya.

Membuat pemantauan dan mengambil tindakan yang tegas

Pihak kerajaan hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan dengan sesuka hati tanpa mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. Pegawai yang bertanggungjawab hendaklah mengadakan lawatan secara mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual mematuhi peraturan yang telah ditetapkan atau tidak bersikap seperti lintah darat. Contohnya, mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan dengan sesuka hati atau cuba mengambil kesempatan hendaklah didakwa di mahkamah. Tindakan ini akan menyebabkan mereka tidak berani untuk mengambil kesempatan dalam suasana negara menghadapi kenaikan harga barang.

Kawalan secara kuatkuasa undang-undang.

Kawalan harga melalui undang-undang di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (menggantikan Akta Kawalan Harga 1946). Harga kawalan yang dikuatkuasakan melalui Akta ini adalah gula putih bertapis kasar dan halus serta topeng muka (pembedahan/perubatan). Selain dari terdapat dua barang telah ditambah ke dalam senarai harga kawalan iaitu bawang merah kecil (India) dan bawang putih (China).

Dalam akta ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan melantik seorang pengawal harga, timbalan pengawal harga dan pegawai-pegawai lain dilantik untuk melaksanakan peraturan yang terdapat di bawah akta ini.

Pengawal harga, dengan kelulusan Menteri KPDNKK, diberi kuasa untuk menentukan harga dan caj maksimum, minimum atau tetap harga dan perkhidmatan bagi setiap rangkaian pembekalan daripada peringkat pengeluar sehingga peruncit. Akta ini juga meneruskan peraturan dalam Akta sebelum ini, iaitu penjual barang dan perkhidmatan hendaklah mempamerkan senarai harga barang dan perkhidmatan di tempat yang mudah untuk dilihat oleh pelanggan.



Kepentingan utama akta ini adalah untuk menetapkan peraturan bagi memastikan tidak ada peniaga menjual barang atau perkhidmatan dengan harga yang tidak munasabah. Akta ini memberi kuasa kepada Menteri PDNKK untuk menetapkan satu mekanisme penetapan harga yang munasabah berdasarkan elemen-elemen dalam penetapan harga, seperti cukai, kos pembekal, keadaan penawaran dan permintaan, keadaan geografi dan pasaran serta faktor-faktor lain yang boleh mempengaruhi kedudukan harga.

 
Bagi membantu dalam pelaksanaan akta ini, sebuah Majlis Penasihat Harga ditubuhkan, Majlis ini berperanan untuk menasihatkan Menteri PDNKK berkaitan dengan perbuatan mengaut keuntungan yang berlebih-lebihan dan hal-hal lain yang berkenaan dengan harga serta caj barang dan perkhidmatan. Majlis Penasihat Harga ini dianggotai oleh Ketua Setiausaha KPDNKK atau wakilnya dan 10 orang ahli lain, yang terdiri daripada empat orang wakil daripada kerajaan dan enam orang daripada orang awam, industri dan pertubuhan bukan kerajaan.

 
Peniaga atau syarikat yang melakukan kesalahan di bawah akta ini boleh dikenakan hukuman denda sekiranya disabitkan kesalahan. Bagi individu yang melakukan kesalahan pertama, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan berikutnya, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, manakala untuk kesalahan seterusnya, dikenakan denda sehingga RM1 juta.


Bagi memastikan undang-undang atau akta ini dipatuhi terdapat kira-kita 2,000 pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bersama 1,000 pegawai pemantauan harga akan memantau penjualan barang terkawal tersebut. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga telah menggerakkan 60,000 anggota Skuad Rakan Pengguna (SRP) di seluruh negara tahun ini bagi memantau aktiviti perniagaan yang tidak beretika pada musim perayaan Aidilfitri ini. Selain dari itu kerjasama dari orang ramai juga diperlukan untuk melapurkan salahlaku para peniaga dengan membuat aduan kepada KPDNKK. Aduan mengenai peniaga tidak mematuhi skim itu boleh dibuat menerusi emel ke e-aduan@kpdnkk.gov.my, atau talian bebas tol 1-800-886-800SMS ke 15888dengan menaip “KPDNKK ADUAN” atau lapor terus di pejabat KPDNKK di seluruh negara.

 
Usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan.

 

1.      Dasar kawal harga barang sepanjang sebelum dan selepas musim perayaan oleh kerajaan.


2.      Perbincangan dengan pihak industri – denda jika terdapat pihak industri tidak ikut arahan.


3.      Menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Bekalan dan Harga – kenal pasti mekanisme bagi mengatasi ganguan bekalan dan isu kenaikan harga barang keperluan.

 
      4.      Mewujudkan kedai Rakyat 1 Malaysia yang merupakan inisiatif oleh kerajaan yang diharap   
              dapat mengawal kenaikan harga barang runcit supaya tidak naik sewenangnya dan
              pengguna berpendapatan rendah masih mampu membeli barang runcit keperluan mereka.

 
5.      Menambah projek pengedaran barang-barang perlu seperti gula, tepung gandum, minyak masak dan bahanapi di kawasan pendalaman Sabah dan Sarawak supaya penduduk kawasan pendalaman dapat menikmat harga barang kawalan pada harga yang rendah.


6.      Boikot barangan yang mahal. Tunggu harga barang tersebut turun baru beli. Para pengguna boleh melayari www.1pengguna.com untuk mencari harga yang terbaik.


7.      Memberi kupon makanan (food coupon)  pada golongan berpendapatan  rendah (miskin).


8.      Memberi subsidi pada barangan untuk menstabilkan harga barangan .

 Cadangan lain.

1-      Membuka duti import.

Kerajaan perlu membuka duti import daripada negara lain supaya lebih banyak barang yang dibekalkan dan harga tidak melambung tinggi. Contohnya gula, ia adalah barangan terkawal dan kita hanya mendapatkan bekalan dari negara Brazil, jika kerajaan membuka import dari negara lain maka gula akan dapat dibekalkan dengan lebih banyak dan harga dapat dikawal. Begitu juga lesen-lesen import lain seperti kereta, daging lembu, susu dan lain-lain. Kalau kita lihat di zaman Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, waktu harga simen naik, beliau bukakan lesen import simen seluas-luasnya, hingga harga simen dapat dikawal sampai sekarang.

2-      Kad Rebat Diskaun / Mata Ganjaran 1Malaysia.

Konsepnya sama seperti kad Tesco atau Bonuslink. Cuma penggunaannya diperluaskan kepada lebih banyak kedai runcit dan juga pasaraya. Pengguna boleh mengumpul mata ganjaran daripada pembelian barang keperluan. Dengan mata ganjaran yang diterima boleh digunakan untuk menukarnya kepada pakej pelancongan di dalam Negara. Kerajaan tidak perlu menyediakan hadiah, sebaliknya ia adalah tanggungjawab social pihak hotel yang terlibat. Mereka tidak akan rugi kerana pelanggan tetap akan berbelanja di tempat penginapan mereka seperti makanan, cenderamata dan sebagainya. Kerajaan boleh memaksimakan penggunaan kad pengenalan MyKad sebagai kad rebat subsidi.

Kad rebat/ganjaran juga boleh digunakan untuk membayar balik subsidi kepada golongan sasaran. Contohnya gula dijual pada harga RM2.60, setiap pengguna layak menerima rebat 30 sen daripada setiap kg gula yang  dibeli. Rakyat boleh menerima duit rebat untuk membeli barangan lain.


3-      Buka Peluang Perniagaan Untuk Rkyat.

Untuk mencapai negara berpendapatan tinggi, sector perniagaan perlu ditingkatkan. Kerajaan boleh menyedakan lebih banyak kawasan perniagaan seperti downtown dan uptown yang memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk berniaga kecil kecilan. Untuk mencapai matlamat ini, kerajaan perlu mempermudahkan urusan perlesenan bagi peniaga kecil dan penjaja tanpa mengira bangsa.

4-    Tiada Projek Kroni dan Kepentingan Peribadi.

Pemberian tender kerajaan dan projek pembangunan secara adil di antara bumiputera dan bukan bumiputera. Penerima mestilah satu syarikat yang berkemampuan dan mampu untuk melaksanakan projek tersebut dalam masa yang telah ditetapkan. Ia adalah untuk memastikan projek tersebut tidak terbengkalai atau dialibabakan oleh pihak yang berkenaan.

5-    Kerajaan Yang Berhemah dan berjimat cermat.

Di negara yang maju, bila ekonomi negara bermasalah, kerajaan akan potong perbelanjaan yang tak diperlukan, bukannya menjadikan rakyat sebagai mangsa. Kita yang belum maju tetapi bercita-cita untuk menjadi maju telah bertindak sebaliknya pula, bila negara kekurangan wang duit, rakyat yang ditekan dengan pelbagai alasan lapuk sedangkan pemimpin bermewahan. Rakyat pula dikelirukan dengan tiada lagi istilah kenaikan harga barangan itu dan ini, yang ada hanyalah pelarasan subsidi. Sedangkan ia adalah perkara yang sama.

6-      Memantapkan Pemberian Subsidi.

Pemberian subsidi perlu diperhalusi agar ia sampai kepada golongan sasaran iaitu mereka yang benar benar memerlukannya. Subsidi pada hari ini dilihat lebih menguntungkan peniaga.a. Pengguna hanya menerima sebahagian kecil sahaja faedah dari subsidi kerajaan ini. Contohnya gula, setiap keluarga sebenarnya mengunakan kurang dari 1kg setiap bulan. Sikit sahaja kan? Manakala peniaga kedai makan atau restoran mengunakan berpuluh kilogram setiap hari. Jika berlaku kenaikan 20 sen, harga minuman pun meningkat sama. Adalah tidak logik menggunakan gula sehingga 1kg gula untuk segelas air sedangkan ratio keuntungan jualan air minuman sangat tinggi.

Antara contoh lain tentang subsidi yang perlu diberikan penekanan ialah subsidi diesel. Aktiviti penyeludupan diesel sedikit sebanyak telah merugikan kita. Ada nelayan negara kita menjual diesel subsidi untuk mendapat duit secara mudah. Hasil jualan diesel digunakan untuk membeli ikan dari Thailand untuk dijadikan bukti mereka keluar menangkap ikan. Perkara ini perlu dibendung agar ia tidak berlarutan dan menjadi semakin parah.

 
Kesimpulan.

Kesimpulannya, kenaikan harga barang telah melanda negara kita. Kenaikan harga   barang
yang tidak terkawal akan menyebabkan kekacauan dan ketidaktentuan  ekonomi, sosial dan  
politik yang mengancam keharmonian negara. Oleh itu, semua  pihak harus memainkan
peranan membendung masalah kenaikan harga barangan  keperluan dan mengambil 
tindakan untuk mengatasi masalah ini supaya masalah  kenaikan harga barang dapat
dikurangkan.

Di samping itu, semua ahli masyarakat hendaklah memboikot barang-barang di pasaran yang harganya naik secara mendadak. Dalam hal ini, masyarakat hendaklah bersatu hati seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu, iaitu bersatu teguh bercerai roboh. Sebagai contohnya, masyarakat janganlah membeli ayam daging di pasar yang mengalami kenaikan harga yang tidak munasabah. Apabila pembeli memboikot pembelian terhadap ayam daging tersebut dalam tempoh tertentu, harga ayam tersebut akan turun kembali.


 Rujukan.

1-    BERNAMA.

2-    Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia ( FOMCA).

3-    Portal Rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Malaysia.

4-    www.parlimen .gov.my/files/hindex/pdf/DR-06102011.pdf


6-    www.utusan.com.my/utusan/Dalam Negeri/20120926/dn 14/Bajet-2013-cAssa-gesa-kawal-harga-makanan#ixzz2F5Zn5Wmc @Utusan Melayu (M) Bhd

 

            

 

         

         

 

 

 

 

 
 
 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 



 

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan