Rabu, Disember 14, 2011

Siapa Lebih Hebat.

Rasulullah S.A.W telah bersabda maksudnya, "Di waktu Allah menjadikan bumi dan bumi sering bergoncang lalu Allah menjadikan pula gunung-ganang sebagai pasaknya. Dari saat itu, bumi tidak lagi bergoncang." Para malaikat mendengar dengan penuh kagum lalu bertanya satu dari mereka, "Wahai Tuhan kami, adakah makhluk-Mu yang lebih hebat dari gunung-ganang ini?" Allah S.W.T berfirman. "Ya, ada iaitu besi."

Malaikat bertanya lagi, "Wahai Tuhan kami, adakah lagi makhluk-Mu yang lebih hebat dari besi?" Allah S.W.T berfirman, "Ya, ada iaitu api." Malaikat bertanya lagi, "Wahai Tuhan kami, adakah makhluk-Mu yang lebih hebat dari api?" Allah S.W.T berfirman, "Ya, ada iaitu air." Malaikat bertanya lagi, "Wahai Tuhan kami, adakah lagi makhluk-Mu yang lebih hebat dari air?" Allah S.W.T berfirman, "Ya, ada iaitu angin." Malaikat bertanya lagi, "Wahai Tuhan kami, adakah lagi makhluk-Mu yang lebih hebat dari angin?"

Allah S.W.T berfirman, "Ya, ada iaitu anak Adam. Bila mereka memberi satu derma dari tangan kanannya sedangkan sedekah itu tidak diketahui langsung oleh tangan kirinya, maka yang demikian itu lebih hebat dari angin." Dari dialog ini dapat kita ketahui bahawa sedekah yang dilakukan dengan ikhlas semata-mata untuk mengharapkan keredhaan Allah oleh setiap anak Adam yang beriman sebenar-benarnya mereka adalah makhluk Allah yang paling hebat sekali di muka bumi ini.


nota b.tan. -

Semua makhluk ada kelebihan dan kekurangannya tak kira apa jenis sekali pun sama ada manusia mau pun haiwan. Tak usahlah kita sesama manusia mendabik dada untuk bermegah dengan kehebatan yang hanya pinjaman dari Allah Yang Maha Hebat. Walau siapa pun kita, kayakah atau gagah dengan badan yang sasa tetapi jika ditimpa sakit yang paling ringan iaitu sakit gigi tetap akan terasa lemah badan. Malah semua kehebatan adalah milik Allah, Tuhan Robbul Jalil yang menguasai seisi alam ini dan mentadbirnya tanpa bantuan dari sesiapa pun.

Jumaat, Disember 09, 2011

Kesabaran Abu Usman


Abu Usman adalah seorang hamba yang soleh dan taat beribadah. Dia mempunyai tahap kesabaran yang luar biasa. Apa sahaja yang menimpanya diterima dengan ikhlas dan sabar. Tidak pernah sedikit pun Abu Usman mengeluh.

Cerita tentang kesabaran Abu Usman ini terkenal di serata tempat. Sehinggalah pada suatu hari, ada seorang lelaki ingin menguji kesabaran Abu Usman. Lalu lelaki itu mengundang Abu Usman datang ke rumahnya. Maka datanglah Abu Usman ke rumah lelaki tersebut.

”Kenapa kau datang ke mari? Pergi kau dari sini! Kedatangan kau hanya akan menghabiskan hidangan aku sahaja,” bentak lelaki yang mengundang Abu Usman itu.

”Baiklah saya akan pergi,” kata Abu Usman tanpa marah sedikit pun kepada lelaki itu.

Baru sahaja beberapa langkah Abu Usman keluar, tiba-tiba ia dipanggil semula oleh lelaki itu.

”Hei, Abu Usman kenapa kamu pulang? Ke mari kamu,” panggil lelaki itu.

Abu Usman kembali semula berjumpa lelaki itu. Tetapi, sebaliknya dia terus diherdik dan diketawakan. Kemudian dihalau dan dipanggil semula. Begitulah keadaan Abu Usman datang dan pergi sehingga 30 kali. Abu Usman tidak mengeluh sedikit pun, apatah lagi marah.

Orang yang mengundang Abu Usman itu akhirnya percaya bahawa Abu Usman memang orang yang sabar. Lalu, ia merendahkan dirinya dan berlutut di hadapan Abu Usman.

”Maafkan saya Abu Usman. Sekarang saya percaya tuan hamba adalah seorang yang sangat sabar. Tuan hamba adalah hamba Allah yang sangat terpuji,” kata lelaki itu.

”Seekor anjing jika diperlakukan seperti tadi pasti akan marah. Tetapi saya tidak marah kerana saya bukan anjing,” kata Abu Usman.

Sejak dari hari itu, lelaki yang menguji Abu Usman akhirnya bertaubat. Dia mula belajar bagaimana untuk menerima segala sesuatu dengan ikhlas dan sabar.

Sabtu, Disember 03, 2011

Rumah Mahmudah vs Rumah Mazmumah.

Rumahku Syurgaku

“Salam sejahtera kepada penghuni rumah yang Allah berkati. Ya Allah! Aku mengharapkan jalan masuk yang terbaik dan juga jalan keluar yang terbaik. Aku memohon dengan menyebut nama-Mu ketika masuk rumah juga ketika keluar rumah dan hanya kepada-Mu aku bertawakkal serta menyerah diri.”

- Terjemahan Doa Masuk Rumah.


Rumah Mahmudah

Rumah Mazmumah

Penghuninya berada dalam keadaan bersih dan berzikir kepada Allah S.W.T.

Penghuninya sentiasa bersepah dan menghafal sambil memuja artis-artis kegemaran.

Penghuninya sentiasa menjauhkan diri dari melakukan perbuatan tercela.

Penghuninya sentiasa suka mengadakan parti birthday, anniversary di samping mengadakan karaoke bila kenduri kahwin.

Penghuninya saling bermaaf-maafan di antara satu sama lain.

Penghuninya sering bercakaran dan bersikap engkau-engkau, aku-aku.

Penghuninya sentiasa merendah diri kepada Allah S.W.T.

Penghuninya lebih suka menghadap televisyen dan radio dari memikir tentang hati.

Penghuninya tidak melakukan perbuatan haram.

Penghuninya bergotong-royong buat maksiat, lagi ramai kawan lagi bagus!

Penghuninya sentiasa rukuk dan sujud kepada Allah S.W.T.

Penghuninya tidak rukuk malah terus sujud atas tilam dan dalam selimut.

Penghuninya terdiri dari pasangan soleh dan solehah.

Penghuninya terdiri dari pasangan dua kali lima- ilmu agama tidak ambil tahu.

Penghuninya sentiasa menghubungkan silaturrahim.

Penghuninya berhubungan dengan pengumpat.

Penghuninya sentiasa berbakti kepada ibu dan bapa.

Penghuninya tidak duduk di rumah kalau ada ibu bapa – berkawan di luar lebih seronok dari berkawan dengan ibubapa.

Penghuninya sentiasa menjaga hak-hak dan kewajipan terhadap Allah.

Penghuninya mengingati Allah S.W.T setahun sekali waktu raya iaitu cuma di masjid.

nota b.tan-

Di manakah rumah kita? Apakah di lokasi taman mahmudah atau pun di lembah mazmumah? Marilah kita bersama berubah ke arah yang lebih baik dan lebih dipandang mulia oleh Allah S.W.T bersempena tahun baru hijrah 1433 ini. Sekian. Wassalam.