Jumaat, Julai 29, 2011

Penentuan.

1- Orang yang pertama dipanggil ke syurga pada hari kiamat ialah mereka yang memuji
(bertahmid) kepada Allah dalam segala keadaan. - Ibnu Abbas.

2- Siapa yang tidak redha dengan qada' Allah, maka tidak adalah ubat bagi kebodohan itu.
- Maimon bin Mahram.

3- Jikalau engkau tidak sabar atas takdir Allah, nescaya engkau tidak sabar atas takdir (penentuan) diri engkau sendiri. - Al-Fudhail.

4- Apabila sama padanya diberi dengan tidak diberi, maka ia telah redha kepada Allah.
- Al-Fudhail.



* nota b.tan:-

pertama-Marilah kita perbanyakkan memuji Allah dengan melafazkan zikrullah sama ada dalam terang atau sembunyi. Terang bermaksud di tengah orang ramai atau memuji Allah secara beramai-ramai seperti dalam majlis tahlil arwah atau kenduri doa selamat. Sembunyi pula bermaksud dalam keadaan kita berseorangan atau bersendirian. Apa yang biasa kita lakukan ketika berseorangan tanpa teman, apakah kita hanya melakukan kerja sahaja tanpa kumat kamit melafazkan zikrullah yang amat mudah untuk diamalkan. Tepuk dada tanyalah iman.

kedua-Perkara ini amat berat sekali kerana apakah tujuan atau matlamat hidup kita di muka bumi ini. Apakah hanya hidup seperti orang lain yang hidup sekadar melakukan perkara yang biasa-biasa sahaja. Ketahuilah antara tujuan dan matlamat hidup adalah untuk mendapat keredhaan dari Allah Taala. Tiada gunanya panjang umur, kaya raya, harta bertimbun, hidup mewah tapi jauh dari rahmat Allah. Lebih malang lagi, jika hidup dalam kemurkaan Allah. Usahlah terpedaya dengan kesenangan dan kesihatan yang dinikmati kerana ia hanyalah ujian dari Allah sama ada kita bersyukur atau sebaliknya.

ketiga-Susah atau senang, menang atau kalah, miskin atau kaya, sakit mahu pun sihat, sedarlah kita ia adalah ujian dalam menentukan tahap keimanan kita. Sabarkah kita, berkeluh kesahkah kita atau mengeluh di atas musibah yang menimpa semuanya menjadi ukuran akan tingkatan iman kita. Di sisi Allah manusia itu sama saja melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh disamping redha dengan apa yang telah ditentukan oleh Yang Maha Esa.

keempat-Ketahuilah setiap apa yang kita miliki adalah hak milik Allah yang diberi pinjam kepada kita sekadar waktu yang telah ditentukan. Berapa lama ia berada dalam simpanan kita bererti selama itulah Allah memberi keizinan kepada kita sebagai pemegang amanahnya. Meski pun kita tidak diberi apa-apa atau tidak dikurniakan apa-apa oleh Allah, bukanlah pula bermakna Allah tidak suka kepada kita. Sebaliknya Ia ingin menguji kita, apakah kita akan bersungut atau akan menyesali diri dengan kekurangan dalam menempuh kehidupan.

Berwaspadalah kita semua dengan perangkap hidup yang sengaja dipasang oleh nafsu serta kuncu-kuncunya terdiri dari kalangan jin dan syaitan, malah manusia juga turut berperanan dalam menyesatkan sesama insan. Sedikit peringatan buat diri aku untuk dikongsi bersama sesiapa yang membaca coretan yang tak seberapa ini, yang baik dijadikan teladan dan yang buruk mari kita hindarkan. Wassalam.

Jumaat, Julai 15, 2011

Siapakah Orang Yang Beruntung?

Orang yang beruntung adalah orang yang mendapat kebahagiaan, ketenangan dan kemenangan. Orang-orang ini adalah golongan yang berada dalam pimpinan Allah. Setiap kali berfikir, berkata dan apa saja perbuatan selalu berdasarkan kepada petunjuk Al-Quran dan Hadis.

Diantara mereka yang termasuk dalam golongan ini ialah:-

1- Orang yang beriman kepada yang ghaib, iaitu beriman kepada Allah dan cabang-cabang iman yang lain dengan penuh keyakinan.

2- Orang yang menegakkan solat dan menginfakkan sebahagian hartanya di jalan Allah.

3- Orang yang khusyuk dalam solatnya.

4- Orang yang menjauhkan dirinya dari perbuatan dan perkataan yang tidak berguna.

5- Orang yang memelihara amanah yang dipikulnya dan janji yang telah dibuatnya.



nota b.tan:-

Di kategori manakah aku berada? dan di kategori manakah pula kalian berada. Jika di salah satu pun sudah memadai dan agak boleh menarik nafas lega, malah boleh dipertingkatkan lagi tahap kepaduan jiwa kita dalam melaksanakan tuntutan dan perintah Allah Taala. Di saat ramadan kan menjelang tiba ini, bersamalah kita bertanya pada diri kita: bagaimanakah iman kita semua? Apakah masih seperti dahulu? Masih kental dan teguh, atau apakah ia seperti buih-buih di lautan, kelihatan banyak dan keras tapi amat mudah pecah hanya dengan sekali sentuhan sahaja. Apa pun keadaan atau alasan yang kita berikan, ramadan kan tetap tiba jua. Setahun kita dalam kekenyangan, hanya sebulan untuk mencuci sisa yang tertinggal dalam tubuh kita. Semoga ramadan kali ini lebih bermakana kepada kita semua dan dapat kita lalui dan tempuhi dengan lebih sempurna juga hendaknya.