Khamis, April 22, 2010

TAZKIRAH 2.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihani.

Assalamualaikum.

Wanita yang ideal untuk dijadikan isteri ialah wanita yang mempunyai akhlak yang mulia dan budi pekerti yang terpuji. Cara untuk mengenal pasti wanita seperti ini tidak lain dari melihat tingkah laku dan pembawaannya setiap hari. Kemuliaan akhlak seseorang akan dapat dikesan melalui caranya bermuamalah serta membawa diri.

Akhlak yang mulia jauh penting bagi seorang wanita berbanding kecantikan rupa paras, kerana akhlak akan kekal walaupun usianya sudah lanjut, sedangkan kecantikan akan lenyap apabila tubuhnya sudah dimamah usia.

Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud:

"Harta yang paling baik ialah lidah yang bersyukur, hati yang bersyukur , dan isteri yang solehah, kerana ia dapat membantu seseorang untuk (menguatkan) keimanannya."

-Riwayat Tirmizi.

Wanita yang kuat agamanya sudah tentu mempunyai akhlak yang baik tetapi bukanlah wanita yang menjadikan agama sekadar simbol dan keyakinan sahaja, malah maksudnya adalah wanita yang iltizamnya mengikuti ajaran-ajaran Islam sebagaimana yang diwajibkan kepada setiap wanita muslimah dalam kehidupan hariannya.

Dengan kata lain, wanita tersebut hendaklah mempunyai akhlak Islami, memelihara kesucian dirinya lahir dan batin. Sesungguhnya, ada kewajipan-kewajipan tertentu buat kaum wanita dalam hal ini,yang mesti mereka tunaikan dengan cara yang baik, mengikut syariat dan aturan yang ditetapkan oleh Islam.

Wassalam.