Jumaat, April 22, 2011

Pesanan ibu seorang JUSA 'C'.

1- Bersyukurlah kepada Allah kerana dapat kerja kerajaan, ada gaji tetap dan akan dapat pencen jika umur panjang.

2- Jangan sekali-kali lawan GB (hormati ketua), jika lawan ketua kamu akan susah nanti. Berbincang kalau ada masalah, cakap elok-elok, jangan sakiti hati orang.

3- Jangan sesekali ponteng kerja, supaya halal setiap sen gaji yang diterima.

4- Jika kamu sakit atau kurang sihat, kalau masih terdaya ke sekolah, pergi.... sebab murid kamu akan terbiar kalau tidak ada guru ganti. Kerja guru berbeza dengan kerja pegawai di pejabat, mereka menghadap fail, kamu menghadap murid.

5- Buat baik dengan semua orang, walaupun orang itu berbuat jahat kepada kita. Sedikit pun tidak rugi kalau kita buat dengan orang, malah untung.

6- Emak tak ada harta nak beri kamu, dengan kelulusan dan kerja yang kamu sudah dapat sekarang, itulah harta dari emak. Ingatlah, setiap harta yang kita miliki biar berkat.


*nota b.tan:-

catatan di atas aku salin semasa slot bicara tokoh dalam program Integriti dalam Pendidikan yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Bera anjuran bersama PPD Bera dan Institut Integriti Malaysia. Nama penceramah tu aku dah tak ingat, nak cari dalam pamplet atau buku program, tak tahu pulak di mana aku simpan. Cuma, kita boleh ambil iktibar atau pengajaran dari nota tersebut untuk kita menjalankan amanah atau tanggungjawab sebagai seorang kakitangan sektor perkhidmatan awam.

Antara disentuh ialah kepentingan integriri dalam pendidikan seperti ke arah mencapai kualiti perkhidmatan yang lebih tinggi, mengurangkan kesilapan salah urus, mengurangkan masalah pelajar, mencapai kesetiaan yang lebih tinggi, mencapai fokus yang sama, mencapai kepuasan di pihak pelanggan/pekerja, membendung gejala negatif seperti menipu, menjaga imej profesion keguruan, meningkatkan keimanan dan mengawal tingkah laku warga pendidikan.

Juga dinyatakan nikmat dari integriti ialah mengajar kita erti kesyukuran, erti kebahagiaan, erti pengorbanan, erti keikhlasan, erti dosa dan pahala, erti kedamaian, erti kepercayaan, erti ketenangan, erti kenikmatan dan akhir sekali erti kesejahteraan.

Sememangnya fitrah seorang insan itu ia menyukai segala yang bersih dan suci, benci kepada kepura-puraan disamping mengharapkan ketulenan dan jati diri yang kukuh serta tinggi integritinya. Sesungguhnya segala sifat yang baik ada dalam diri manusia, dan ia memungkinkan kita berpotensi untuk melakukan ke arah kebaikan, cuma tinggal kita saja yang lagi yang perlu memotivasikan diri kita ke arah itu, ke arah kebaikan yang hakiki. sekian, wassalam.