Khamis, Oktober 20, 2011

Tak Cukup Duit.

Suatu hari, Khalifah Umar bin Al-Khatab menerima pengaduan dari anaknya mengenai pakaian yang dipakai olehnya. Katanya, "Wahai ayahanda, saya sering disindir oleh rakan-rakan kerana memakai pakaian yang compang camping lagi buruk. Nama saja kamu ini anak seorang pembesar negara tetapi pakaian mengalahkan seorang fakir miskin, kata mereka kepada saya."

Umar mendengar penjelasan anaknya itu dengan perasaan penuh belas kasihan tetapi apa kan daya dia sendiri di waktu itu tidak memiliki wang. Jumlah gaji yang diterimanya dari Baitul Mal adalah terlalu kecil, hanya mencukupi untuk belanja makan seharian sahaja.

Kerana terpaksa, beliau berusaha meminjamnya dari Baitul Mal dan berjanji akan membayar kembali setelah menerima gaji pada hujung bulan. Kata pegawai Baitul Mal, "Bukan saya tidak mahu memberikan pinjaman kepada Amirul Mukminin, tetapi yakinkah kalifah akan hidup sampai hujung bulan ini, dan jika ditakdirkan khalifah meninggal lebih awal, siapakah yang akan membayar hutang ini? Mendengar jawapan ini, maka menangislah Umar dan dibatalkan niatnya untuk membuat pinjaman itu lalu berjalan pulang dengan perasaan hiba.


* nota b.tan-

maaf...aku tak da mood nak membuat catatan buat masa kini, walau ada idea apa yang aku nak tulis dan catatkan. harap maklum... buat masa kini kepala aku masih lagi menerawang mencari-cari...

Ahad, Oktober 16, 2011

secebis kisah-1.

Setiap ujian yang datang adalah nikmat baginya, begitulah apa yang terjadi kepada seorang sufi Allah, Ibrahim bin Adham. Ada yang bertanya kepadanya, "Apakah yang paling mengembirakan engkau setelah memasuki dunia sufi?" Jawab Ibrahim, "Ya, ada dua kegembiraan selama aku hidup sebagai seorang sufi. Pertama, semasa aku menumpang sebuah perahu dengan memakai pakaian yang compang camping, rambut yang kusut masai serta keadaan tubuh badan yang tidak terurus. Tiba-tiba datang seorang lelaki lalu memaki hamun dan memukul aku. Aku sungguh gembira dengan peristiwa ini kerana merasakan diri ini terlalu hina.

Keduanya, pada suatu malam aku tertidur dalam sebuah masjid kerana terlalu letih. Tiba-tiba datang pengawal masjid lalu menarik kaki ku dengan marahnya. Ia terus mencampakkan aku keluar dari masjid melalui tangga. Maka bergoleklah badanku dari tangga atas hingga ke bawah. Kepala aku berdarah dan kaki ku patah. Pada setiap anak tangga tempat aku jatuh, masuklah ilmu kerohanian ke dalam hatiku, dan ianya amat mengembirakan. Setelah jatuh pada anak tangga yang terakhir, aku berasa terlalu sedih kerana aku tidak akan merasakan nikmat sepertinya lagi pada masa-masa akan datang.


* nota b.tan:

secebis kisah dari pengalaman seorang ahli sufi Allah yang dapat kita ambil pengajaran, bahawa setiap ujian dari Allah itu ada kenikmatannya yang tersembunyi yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar oleh insan biasa seperti kita. Hanya mereka yang hampir dan dekat dengan Allah sahaja yang dapat merasainya, betapa kepedihan dan kesakitan sebenarnya adalah satu nikmat dari Allah kepada hambaNya yang terpilih sahaja. Teringat aku kepada kisah semasa Rasulullah s.a.w pergi berdakwah ke Thoif, di sana beliau telah dibaling dengan batu oleh kanak-kanak dan dimaki hamun oleh penduduk Thoif. Tetapi Baginda tetap bersabar kerana terdapat nikmat yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata dan tidak dapat digambarkan oleh mata yang melihatnya. Malah malaikat Jibril berasa amat sedih hingga menawarkan bantuan untuk membalas perilaku penduduk Thoif yang bersikap kasar terhadap Rasulullah s.a.w dengan menghempapkan mereka dengan bukit yang ada di Thoif. Tetapi telah dilarang oleh Rasulullah s.a.w dengan menyatakan bahawa penduduk Thoif tidak mengetahui apa-apa dan mereka hanyalah golongan yang jahil dari mengenal ilmu Allah, iaitu tidak tahu tentang hakikat keujudan Allah s.w.t.

Bagaimana pula kita dan bagaimana pula aku dalam menghadapi sesuatu situasi yang genting dan mencabar. Apakah kita juga bertindak seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan Ibrahim bin Adham? Semuanya bergantung kepada amalan kita dan tahap keimanan kita terhadap Allah, jika kuat dan padu imannya, insyaAllah, sabar dan tabahlah ia menghadapinya. Tetapi jika ia mengeluh dan bersunggut akan ujian dari Allah, dapatlah kita buat kesimpulan bahawa seseorang itu kurang sabar dengan dugaan yang menimpanya. Bukan kita hendak menghukum sesiapa dengan berkata sipolan itu beriman dan sipolan ini kurang beriman, tetapi itulah gambaran darjat keimanan seseorang kepada Allah. Makin hampir seseorang dengan Allah makin tinggi darjat keimanannya kepada Allah dan berusahalah kita semua supaya kita juga tergolong dalam mereka yang sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri dengan Allah. Sekian, wa Allahu a'lam.

Selasa, Oktober 11, 2011

Amalan berselawat.

Kasihkan Nabi s.a.w. bermakna kasihkan Allah S.W.T. Cintakan Nabi s.a.w. bermakna cintakan Allah S.W.T. maka berselawatlah untuk memperolehi syafaat Nabi s.a.w. di hari kiamat. Antara fadhilat berselawat ialah:

1- Ia adalah salah satu amalan yang paling utama.

2- Jaminan untuk mendapat rahmat Allah di dunia dan akhirat serta syafaat Nabi s.a.w.

3- Menjadi benteng sifat munafik dan kafir.

4- Menggantikan sedekah bagi mereka yang tidak mampu bersedekah.

5- Menjadi penyebab hajat, doa dan amalan baik diterima oleh Allah.


* nota b.tan-

Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas Nabi, wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya(Nabi Muhammad) dan ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.
(Surah Al-Ahzab:56)

Malanglah jika kita yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w tetapi amat berat lidah kita untuk meyebut dan melafazkan kalimah selawat yang bisa menjamin kita terselamat dari azab neraka. Sedangkan sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam:

من صلى علي صلاة واحدة صلى الله عليه عشر صلوات ، وحطت عنه عشر خطيئات ، ورفعت له عشر درجات
(رواه النسائي)

Maksudnya: Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat, dan akan dihapuskan daripadanya sepuluh dosa, dan diangkat baginya sepuluh darjat.
(Hadits riwayat an-Nasa’i)

Antara kelebihan yang boleh kita perolehi juga, sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi menyebutkan:

صلاة أمتي تعرض علي في كل يوم الجمعة ، فمن كان أكثرهم علي صلاة كان أقربهم مني منزلة
(رواه البيهاقي)

Maksudnya: Selawat umatku dihadapkan kepadaku pada setiap hari Jumaat, maka sesiapa yang paling banyak berselawat kepadaku, dialah yang akan mempunyai kedudukan yang paling dekat kepadaku.
(Hadis riwayat al-Baihaqi)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:
إذا دخل أحدكم المسجد فليسلم على النبي ، ثم ليقل : اللهم افتح لي أبواب رحمتك ، وإذا خرج فليقل : اللهم إني أسألك من فضلك.
(رواه أبو داود)

Maksudnya: Apabila seseorang kamu masuk ke dalam masjid maka hendaklah dia mengucapkan salam kepada Nabi (selawat dan salam), kemudian hendaklah dia membaca: اللهم افتح لي أبواب رحمتك(wahai Tuhanku, bukakanlah untukku segala pintu rahmatMu), dan apabila dia hendak keluar, hendaklah dia membaca (selepas berselawat): اللهم إني أسألك من فضلك(wahai Tuhan memohon kepadaMu limpahan rahmatMu) .

Ketiga: Ketika membaca tahiyyat akhir di dalam sembahyang.

Menurut mazhab Syafi'e, selawat adalah wajib dibaca pada akhir di dalam sembahyang. Bermakna, sembahyang tidak sah jika tidak dibaca selawat dalam tahiyyat akhir.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:
إذا تشهد أحدكم في الصلاة فليقل : اللهم صل على محمد وعلى آل محمد كما صليت وباركت وترحمت على إبراهيم وآل إبراهيم إنك حميد مجيد.
(رواه البيهاقي)


Maksudnya: Apabila salah seorang kamu bertasyahhud di dalam sembahyang, maka hendaklah dia mengucapkan اللهم صل على محمد وعلى آل محمد كما صليت وباركت وترحمت على إبراهيم وآل إبراهيم إنك حميد مجيد.
(Hadits riwayat al-Baihaqi)

Keempat : Di dalam sembahyang jenazah.

Kelima: Di antara takbir-takbir sembahyang Hari Raya.

Keenam: Pada permulaan doa dan akhirnya.

Ketujuh: Ketika hendak memulai sesuatu urusan penting.

Kelapan: Pada akhir qunut.

Kesembilan: Pada malam hari Jumaat dan siangnya.

Kesepuluh: di dalam khutbah.
Menurut mazhab Syafi 'e, para khatib wajib membaca selawat untuk Nabi Shallallahu 'a/aihi wasallam pada permulaan khutbah, sesudah membaca tahmid.


Kesebelas: Ketika berziarah ke makam Nabi Shallallahu 'a/aihi wasallam.

Kedua belas: Setelah selesai membaca talbiyah.

Ketiga belas: Ketika telinga berdengung.

Keempat belas: Pada setiap kali mengadakan majlis.

Kelima belas: Tatkala ditimpa kesusahan dan kerisauan.

Keenam belas: Pada setiap pagi dan petang.

Ketujuh belas: Ketika berjumpa dengan sanak saudara dan kawan¬kawan.

Kelapan belas: Ketika mendengar orang lain menyebut nama Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam.


Semoga lidah kita semua tidak lagi berat untuk melafazkannya dan sama-samalah beramal dengan makna yang terkandung dalam lafaz selawat ini. Akhirnya kita akan mendapat syafaat Rasulullah Shalallahu 'alaihi di padang Mahsyar yang tiada perlindungan melainkan dengan perlindungan dari Allah serta syafaat dari Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam.