Rabu, November 09, 2011

Perang Seribu Bulan.

Dari Ibnu Abbas, Rasulullah s.a.w menceritakan bahawa Jibril telah datang kepadanya dan memberitahu ada seorang wali dari Bani Israel bernama Syam'un Al-Ghazi telah memerangi orang-orang kafir selama 1000 bulan dengan hanya bersenjatakan janggut unta. Sekali pukul maka akan gugurlah orang kafir dalam jumlah yang banyak dan mereka tidak mampu untuk berlawan dengannya. Orang kafir lalu memujuk isterinya dengan menawarkan hadiah yang tinggi. Pada masa Syam'un sedang tidur, isterinya lalu mengikatkan kedua kaki dan tangannya. Bila tersedar, Syam'un terus merentap tali itu hingga putus.

Kali kedua ketika Syam'un sedang tidur, isterinya mengikat kedua kaki dan tangannya dengan rantai besi pula. Namun bila tersedar, Syam'un terus merentapnya hingga putus lalu berkata, "Tiada siapa yang dapat menewaskan aku kecuali rambutku ini." Syam'un memiliki rambut yang panjang sampai ke kakinya. Pada kali ketiga ketika Syam'un sedang tidur juga, isterinya lalu memotong rambut itu dan mengikat kedua kaki dan tangannya. Bila tersedar, Syam'un tidak mampu untuk merentapnya lagi kerana kekuatannya terletak pada rambut itu. Isterinya lalu melaporkan kepada orang-orang kafir. Maka datanglah mereka dan membawanya ke tempat penyiksaan dengan diikatnya pada sebatang tiang besar. Lidah, bibir, cuping telinga dan jari-jarinya dipotong serta matanya dicungkil. Pada saat penyiksaan itu, Allah S.W.T telah memperkenankan segala permintaannya.

Syam'un memohon diberi kekuatan untuk menumbangkan tiang itu dan menimpa mereka semua termasuklah isterinya yang turut menjadi korban. Allah kemudiannya memulihkan kembali semua anggota badannya yang hilang dan Syam'un pun terus mengabdikan dirinya kepada Allah S.W.T selama seribu bulan atau 83 tahun 4 bulan. Siang ia berpuasa, malam beribadah dan terus melancarkan perang fisabillah. Para sahabat yang mendengar cerita Rasulullah s.a.w terharu dan menangis lalu bertanya, "Tahukah Rasulullah berapa besar pahalanya?" Jawab Rasulullah s.a.w, "Tak tahu." Lalu turunlah Jibril menyampaikan wahyu dari Surah al-Qadar kepada Rasulullah s.a.w. "Ku berikan kepadamu dan juga umatmu 'Lailatul Qadar', beribadah pada malam itu lebih baik dari 1000 bulan."


*nota b.tan:-

Berapa lamakah kita akan hidup di atas muka bumi ini? Banyak manakah amalan kebaikan yang mampu kita lakukan disepanjang kehidupan kita itu? Mampukah kita untuk mengelak dari melakukan perkara-perkara yang berunsur kemaksiatan? Sebenarnya masih banyak persoalan yang perlu kita jawab dalam meneruskan kesinambungan hidup kita ini. Sama ada sedar atau tidak kita sering berhadapan dengan suatu dilema, banyak manakah pahala yang telah kita kumpul sejak kita tahu membezakan antara yang hak dan yang batil. Setelah kita dipertanggungjawabkan dengan persoalan dosa dan pahala, apakah kita lebih banyak melakukan kebaikan dari kemungkaran? Tepuk dada tanyalah iman masing-masing. Sekian, sedikit cetusan buat membuka minda ke arah hidup yang lebih positif sebelum pergi menemui Tuhan Robbul Jalil.