Selasa, Ogos 25, 2009

ujian dan cobaaaaaaaaaan.........

pagi jumaat ketika baru sampai di sekolah, aku dapat panggilan dari emak aku. semalam awok pergi mana? pergi bandar tun razak isi minyak van. petang semalam masa maghrib, awok pergi mana? petang semalam.... saya pergi surau sekolah ada solat hajat dan baca yaasin untuk budak ambik periksa upsr, ngapenya mok? tak de ape, awok tak dengar ke afiq anak ngoh masuk hospital. tak, bila? dah dua tiga hari dah tak sedar lagi. di mana? johor bahru. kepala aku pun membayangkan yang kemalangan itu berlaku di johor bahru.

petang itu selepas solat jumaat dan berehat sekejap kerana kenyang makan tengahari di sebelah petang, aku dan ahmad kamal abdullah balik ke kerayong. mak aku minta aku menghantarnya dan ayah aku ke johor bahru pada esok hari. malam tu aku berterawih di masjid darul fikri daerah bera, tak jauh dari rumah mak aku. sebelum dan selepas solat isyak sempatlah bertegur sapa dengan beberapa kenalan lama, bertanya khabar dan bertukar-tukar cerita. terawih sebanyak dua puluh rokaat, tapi aku buat lapan saja sebab nak ajak sabri pergi ngeteh dan ahmad kamal abdullah pun dah lapar. terserempak pula dengan cikgu sahrunizam 'bahasa senjata' yang sedang mencari anaknya. kami bersalaman dan bertegur sapa. memang aku mengenali cikgu ini kerana beliau mengajar di sekolah anak aku belajar dan kalau ada orang yang minat sajak atau puisi, tak kenal cikgu sahrunizam ni, payahlah aku nak cakap.

setelah menghantar ahmad kamal abdullah balik dan memberitahu mak aku, yang aku nak keluar dulu dan baik dalam pukul dua belas, aku pun ke rumah sabri dan berpusing dua tiga kali di sekitar kerayong untuk mencari port yang paling sesuai untuk berlabuh. akhirnya kami terpaksa jugak memilih 'gerai abang' bersebelahan stesen bas kerayong. maka bermulalah sessi borak kami yang kadang kala di selang seli dengan gelak ketawa. aku bukan tak ingat nak ajak sorang lagi partner mengeteh iaitu fadzeli, tapi aku fikir mungkin dia balik kemaman'g', nyambut puasa di rumah mertuanya atau balik ke mayam rumah maknya.

aku balik pukul dua belas setengah dan tak sedar masa bila aku terlelap, sedar-sedar mak aku panggil untuk bersahur. aku tengok sebelah aku, laptop masih terbuka dan tak di 'switch off' pun. pukul tujuh setengah lebih kurang, aku, mak, ayah dan ahmad kamal abdullah berangkat ke johor bahru melalui jalan bera selatan dan keluar ke jalan kuantan-segamat. malang tak berbau, dua ratus meter sebelum simpang felda selancar, tayar depan sebelah kiri van aku pecah. aku pun berhenti di depan kedai makan sebelah simpang ke selancar. belek-belek, tak ada pulak tayar yang pancit atau pecah. mana nak nampak, ia pecah sebelah dalam bawah van. baru aku teringat itu tayar 'second' yang aku tukar semasa pancit di rumah kakak aku di masa kenduri menyambut menantu bulan lima dulu. made in korea, tapi kalau dah second tu, second jugak. getahnya terkopak menampakkan dawai-dawai besi. melihat rupanya, mungkin dah lama tayar tu 'haus', tapi aku saja yang tak perasan. cuma yang aku terasa, stereng van bergegar semasa bergerak. aku fikir tayar dah lama tak di allingment. jadi aku tak kisahlah sangat.

hampir setengah jam jugak aku mencari idea untuk menyelesaikan masalah ini, yang bertambah masalah kerana peralatan membuka tayar tertinggal di keratong sembilan. maklumlah ramai anak lelaki, itulah jadinya. masing-masing sibuk nak merepair basikal, akhirnya barang-barang tu tertinggal. aku talipon lan (par sekolah aku), dia kata ada kawan kat selancar tapi nombor taliponnya dah hilang. nak masuk ke selancar jauh lagi, sepuluh kilometer lebih. kepala aku ligat berfikir. ayah aku dah mula resah, dia talipon kakak aku, rupanya dia orang pergi jb ikut mersing. aku pun membayangkan siapa lagi yang aku boleh mintak tolong, suami ustazah sarifah mengajar di selancar, mungkin dia ada kawan di sini. dail dua tiga kali tak berjawab, mungkin tidur kot sebab hari pertama puasa. aku tengok jam, dah sepuluh lebih. pukul berapa nak sampai ni. sambil berfikir aku melihat senarai nama dan nombor talipon cikgu-cikgu di sekoah aku. mat noor! ya, mat noor. aku pun mendail nombor kaki pancing ni yang memang dah ada dalam handset aku. alhamdulillah, berjawab dan dia akan cuba contact kawannya di selancar, kot-kot ada dan kalau dia tak balik kampung.

lima belas minit lebih kurang, sebuah citra hitam keluar dari simpang dan berhenti di sebelah van aku. rupanya dia kawan mat noor yang telah di'contact'nya. bermulalah operasi membuka dan memasang tayar, hampir dua puluh minit jugak, selesailah ia ditukar. ayah aku menghulurkan saguhati, tapi ia menolak. terimakasih sajalah kepada cikgu itu dan mat noor atas bantuan yang diberikan. aku tengok jam pukul sebelas empat puluh dua. agak-agak pukul dua nanti sampailah jb.

sebelum sampai bandar segamat, di jabi aku berhenti menukar tayar. terbang 110.00. apa boleh buat, taik kambing bulat-bulat. di yong peng, aku membelok masuk ke lebuhraya utara-selatan. baru lega rasa memandu, tak payah ikut belakang lori. dan hilanglah rasa mengantuk aku. perjalanan berjalan lancar dan tak membosankan, ketika waktu zohor bagi wilayah persekutuan kolumpor masuk, aku telah selamat sampai di persimpangan menuju ke taman setia indah. satu kawasan perumahan yang agak luas dan berbagai ragam jiran tetangganya.

pukul empat petang, aku, ayah, emak dan lit serta atikah ke hospital sultanah aminah. waktu melawat empat setengah hingga enam setengah. aku nampak abang zainal, ngah dan hakimah telah sedia ada menunggu untuk masuk ke wad. tertarik aku kepada seorang lelaki melayu yang aku pasti memang ada wayarnya yang telah terputus duduk bersila sambil mendeklamasikan sajak spontannya di tepi dinding di ruang menunggu, walaupun orangnya 'kurang', tapi dari pendengaran aku, tersirat maksud dan makna yang mendalam yang menyentuh tentang kehidupan manusia.

ketika tiba di katil nombor 30, tingkat 4, aku terasa pilu melihat sekujur tubuh anak saudara aku yang terdapat 3 kesan jahitan di perut, dada sebelah kiri dan lengan sebelah kiri. pembedahan itu terpaksa dilakukan bagi membetulkan paru-paru dan jantung serta memasukkan besi di tangannya yang patah. kesan jahitannya saja dah membuatkan aku rasa ngeri dan macam manalah nak tahan dia punya sakit. menurut abg zainal, doktor dah mula kurangkan ubat bius, tu yang afiq tengah tahan rasa sakit tu, kesihan aku melihatnya. tapi itu sajalah yang dapat aku katakan selain dari berdoa agar ia cepat sembuh, sekurang-kurangnya boleh dipindahkan ke hospital segamat pulak. terlihatlah kasih sayang seorang ayah dan ibu, walau anak telah besar remaja, tapi perasaan kasih dan sayang itu tidak dapat disembunyikan oleh sesiapa pun. masing-masing yang hadir ketika itu hanya berdiam diri dan rasa terharu menyelubungi suasana, hanya bicara-bicara yang ala kadar saja dan perlahan nadanya.

untuk menghilangkan rasa sayu, aku berlegar-legar di sekitar wad itu dan menuju ke tingkap yang menghadap ke selat tebrau. pandangan aku terus menjauh melangkaui selat menuju ke tanah singa yang megah dengan pembangunan dan kepesatan ekonominya. aku berbisik dalam hati: dulu kau adalah sebahagian dari kami, tapi kerana kebangangan orang dulu-dulu kau terlepas dengan percuma. kini ada kala dan ketikanya kau menyakitkan hati kami. semua itu adalah sejarah yang telah terpahat dalam ruang lingkup hidup orang yang tahu sejarah dan tahu harga sebuah perjuangan. aku teringat kepada wilayah pembangunan iskandar, siapalah nanti yang akan mengaut untung dan siapalah pula nanti yang terus melopong, melihat segala perubahan atau terus menjadi tukang tengok yang hanya mengeluh kosong tanpa sebarang erti. aku tak tahulah nasib bangsa aku di bumi sendiri. teringat kepada lirik lagu: bumi dipijak milik orang. memang sekarang berapa sangatlah keluasan tanah milik orang melayu. ahh! malas aku nak bercerita tentang tanah orang melayu dan kerenah birokrasi orang-orang di pejabat tanah, khususnya di bera.amat menyakitkan hati!!!.

waktu berbuka puasa petang itu turut disertai oleh kakak aku dari pekan dan kuantan, dah lama tak merasa makan ramai-ramai macam ni. mungkin sebelum raya nanti agaknya penuhlah rumah mak aku di kerayong apabila anak cucu ada balik. aku tidur awal, nak buka laptop pun badan rasa letih, besok nak balik pulak, cadangnya nak ikut mersing. sampai di rompin nanti membelok ke muadzam shah di simpang leban condong. begitulah peristiwa di hari pertama puasa pada tahun ini. aku bukanlah seorang yang teliti dalam membuat catatan, tapi bagi aku sama ada dicatat atau tidak, ia tetap tersimpan di ingatan untuk dikenang sebagai panduan dan pengajaran. apa yang penting kini ialah meneruskan kehidupan dengan seadanya tanpa menimbulkan sebarang kekecohan. SELAMAT HARI RAYA IDIL FITRI. MAAF ZAHIR DAN BATIN. (eh! dah raya ke?) sorry, sorry!

Jumaat, Ogos 21, 2009

5 racun dan 5 penawar.

1- dunia itu racun, zuhud itu ubatnya.

2- harta itu racun, zakat itu ubatnya.

3- perkataan yang sia-sia itu racun, zikir itu ubatnya.

4- seluruh umur itu racun, taat itu ubatnya.

5- seluruh tahun itu racun, RAMADHAN itu ubatnya.


AHLAN WA SAHLAN YA MARHABAN, AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN...!!!

5 masalah dijawab dengan satu jawapan

Syaqid bin Ibrahim berkata saya telah bertanya kepada 700 orang alim tentang 5 masalah, maka mereka semua menjawab dengan satu jawapan:

1- Siapakah orang yang sempurna akal?
Jawab mereka:- orang yang tidak cinta pada dunia.

2- Siapakah orang yang cerdik?
Jawab mereka:- orang yang tidak tertipu dengan dunia.

3- Siapakah orang yang kaya?
Jawab mereka:- orang yang redha menerima hukum takdir Allah.

4- Siapakah orang yang mengerti agama?
Jawab mereka:- orang yang tidak meminta berlebih-lebihan.

5- Siapakah orang yang bakhil?
Jawab mereka:- orang yang tidak mengeluarkan hak Allah di dalam hartanya.

5 masalah dijawab dengan satu jawapan.

Wallahu a'lam.

Selasa, Ogos 11, 2009

bala' selsema dari Allah.

terlalu banyak benda dan perkara yang ada dalam kepala ini. aku pun tak tahu nak tulis apa, cuma merayau dari satu blog ke blog yang lain. macam-macam yang aku jumpa, tapi sama saja. ppsmi, isa, h1n1, anwar pengkhianat, teoh beng hock, rendra, ada cakap macam tu, ada yang cakap macam ni, begitu begini dan macam-macam lagi. tiada sesuatu yang betul-betul menarik perhatian aku. aku ni bukan apa, bila dah jemu melanda mulalah aku rasa boring tak tahu nak buat apa. baca macam-macam yang diorang tulis tu pun, kadang-kadang benda tu dah ada dalam kepala aku cuma tak diluahkan saja lagi. sekali fikir, aku rasa aku nak renovate saja blog aku ni, tanpa menulis untuk beberapa hari, tapi terlalu banyak pulak peristiwa yang berlaku di dalam dan luar negara yang menyebabkan rasa teringin jugak menumpang sekaki untuk memberi ulasan atau komen. walaupun kadang-kadang komen tu, bukannya memberi apa-apa kesan pun, sekadar untuk melepaskan dan meluahkan perasaan dalaman yang orang lain tak boleh lihat dan tak boleh baca.

hari ahad baru ini(9/8), aku ke segamat untuk membeli basikal ahmad abdullah abbas dan ahmad ali abdullah, isteri aku pulak nakkan kereta sorong untuk siti nur aisyah, aku taklah kisah sangat sebab anak aku yang berdua tu selalu berebut basikal dengan ahmad abdullah azzam dan ahmad bilal abdullah. tapi bila dah ada yang besar pulak naik basikal yang kecik. panas jugak hati dibuatnya. petang tu, aku hantar anak aku siti nur amni balik ke asramanya di smu al-hasanah, keratong satu. selepas isi minyak di petronas keratong empat, aku pun pecut ke kerayong, ke smk seri bera bersama ahmad kamal abdullah yang sekejap tidur sekejap jaga. pukul 6 lebih kurang aku sampai, telah ramai ibubapa dan penjaga yang datang menjemput anak masing-masing, aku tengok semuanya muka cemas semacam jek, almaklumlah h1n1 bukannya ada vaksin lagi yang dapat membunuh virus selsema ini. kat kantin sekolah, kakitangan pusat kesihatan padang luas sibuk memeriksa pelajar, tapi dah berkurangan sebab ramai yang dah balik, aku jek yang lambat sebab jauh, aku tengok anak aku siti nur akmal pun turut bertopeng, setelah selesai urusan aku bergegas ke perubatan new medic, kerayong untuk membeli topeng, tapi stok dah habis. aku ke triang pulak pusing-pusing, semua klinik dan farmasi tutup, kecuali klinik tee & cheong, ada yang bertali dengan harga seringgit satu saja, aku beli sepuluh.

balik singgah rumah mak aku, sebab aku belum solat asar lagi walau jam sudah 6.45 petang. lepas solat maghrib, aku balik ke keratong sembilan dan sampai hampir pukul sembilan malam. kematian atau korban h1n1 ini makin meningkat dari sehari ke sehari. semua wajib berhati-hati kata tukartiub di dalam blognya. pertama kali aku rasa dia menggunakan perkataan wajib, mungkin sebelun ini pernah cuma aku saja yang tertinggal agaknya. ya, semua orang mesti peka dan turut sama sedaya mungkin untuk memahami bagaimana ia merebak dan bagaimana ia boleh dikawal. cara-cara dan panduan telah selalu dan acap kali di radio atau di tivi dihebahkan. terpulanglah kepada kita bagaimana untuk bertindak menghadapinya.

sekolah aku telah ada satu termometer yang baru dan telah pun dibuat satu pemeriksaan atau menguji suhu badan para pelajarnya, terdapat dua orang yang suhu badannya melebihi 37.5. tetapi kedua-duanya memang demam, demam biasa saja dan telah direhatkan dalam bilik rehat. memang mencegah lebih baik dari merawat, sebelum apa-apa berlaku kita perlu bersiap sedia untuk menghadapinya. sepatutnya tidak timbul soal takut atau berani, apa yang penting ialah sikap kita dan tindakan kita haruslah positif. seperti yang pernah aku katakan dalam entry aku yang pertama dulu-dulu 'selsema yang menjelma', ini semua adalah bala' atau lebih tepat lagi ujian dari Allah terhadap umat manusia. jangan keliru pula, bala' tak semestinya dapat kita lihat. virus h1n1 dapat dilihat dengan mata kasar? tentu tidak.

kesimpulannya wabak yang sedang merebak, menular dan menyerang seluruh negara sekarang ini adalah bala' dari Allah. tapi kenapa kita, para mufti kita tak mahu menyatakannya dan mengesyorkan supaya diadakan solat hajat agar bala' ini ditarik balik oleh Allah. atau setidak-tidaknya negara kita yang kita cintai ini terhindar dan terselamat dari malapetaka ini. kenapa aku katakan malapetaka dan bencana, kerana jumlah yang menjadi korban setakat 11/8 ialah seramai 38 orang, dan tidak mustahil ia akan mencecah seratus orang jika yang dikenalpasti positif juga bertambah dan tiada jalan untuk mengawalnya dari berjangkit.

Selasa, Ogos 04, 2009

bazar baca!

as-salam.....
28 julai 2009 yang lalu aku ke muadzam shah, pelbagai urusan, bila dah beres aku ke smk muadzam shah sebab ada bazar baca! diskaun hebat sehingga 70%. sebenarnya pameran dan jualan buku anjuran smk muadzam shah dengan pustaka cahaya bintang, segamat, tak lah banyak sangat bukunya. tak penuh pun dewan sekolah tu. buku-buku yang ada pun tak banyak, lebih kepada buku yang berbentuk peperiksaan seperti upsr, pmr, spm dan stpm. buku akademik pun lebih menjuruskan kepada pendidikan dan perguruan, tiada buku-buku yang hebat, yang dapat menarik perhatian aku. pusing-pusing aku dan isteri aku serta 4 orang anak, aku pun belilah beberapa buah buku dan majalah. novel sejarah islam khalifah abu bakar, uthman, ali, salahuddin al-ayubi dan thariq berjaya menarik minat aku. bukannya apa, anak dara aku yang nombor dua tu minat sangat membaca, terutama novel kisah cinta. jadi aku bercadang nak ubah perhatian dia kepada novel atau cerita yang lebih berfaedah sedikit. yang ada manfaat dan lebih memberi kesan dalam hidup kita. al-hamdulillah, nampaknya berjaya sebab komen pertamanya ialah: bestlah ayah cerita yang kita baca ni. buku yang mula dibacanya ialah uthman bin affan, pengumpul a-quran. aku pun belum baca lagi buku-buku tu, malah buku 'kisah-kisah daripada Rasulullah' hasil tulisan Allahyarham dato' ishak baharom yang aku beli dari ust. suhaimi said pada malam rabu kuliah kat masjid pun belum sempat aku baca, walau kisahnya menarik untuk kita hayati dan teladani.

tajuk memang hebat 'bazar baca!' tapi pengunjung tak ramai walau pamplet dah di hantar ke sekolah-sekolah. mungkin ibubapa belum balik kerja. lagi pun bazar baca tu dua hari dari pukul 9 pagi hingga 9 malam. aku tak tahu pulak sambutan selepas itu. samada bazar tu berjaya ke tidak. kalau di pesta buku di bandar-bandar besar, sambutannya hebat dan meriah, aku saja yang tak berpeluang lagi nak merasa kehangatan pesta buku walau di mana sekali pun diadakan. tapi tak kisahlah kalau aku pergi pun bukan ada bajet nak beli.

teringat aku pada satu kajian yang pernah dibuat sedikit masa dulu, rakyat malaysia membaca buku cuma satu mukasurat sahaja dalam setahun. membaca suratkhabar, majalah dan jurnal tidak dianggap membaca buku walau setiap hari menatap dan membaca akhbar
harian. itu kajian dulu, kajian yang terbaru aku tak tahu lah pulak mungkin dah ada perubahan kot. tak pun budaya membaca dah tumbuh dan melekat dalam minda setiap rakyat malaysia, tak perlu nak kempen macam yang terjadi pada kempen tak nak merokok. kempen tinggal kempen, yang merokok terus merokok dan tak ada gaya nak berhenti pun walau harga telah dimahalkan, konon-kononnya.

bukan tak ada yang minat membaca, ramai dan memang ramai tapi budaya membaca dikalangan remaja agak mendukacitakan. mereka lebih gemar dan suka membaca majalah-majalah hiburan dari buku-buku yang bersifat akademik dan ilmiah. sebab itu muncul bermacam-macam majalah hiburan di pasaran, semuanya membawa ke arah hiburan yang memdorong golongan remaja terkinja-kinja untuk turut serta atau sekadar menjadi peminat fanatik kepada seseorang artis. tidak hairanlah juga stesen tivi begitu aktif menerbitkan rancangan realiti yang berbentuk hiburan dan membuat remaja khususnya remaja melayu yang mengaku beragama Islam untuk terus hanyut dibuai khayalan, berangan-angan untuk memjadi terkenal seantero dunia. tapi lupa bahawa dada kosong tanpa ilmu dan jiwa pula kalau tidak mati pun, telah hilang jati diri seorang yang beriman.

kesedaran tentang pentingnya amalan membaca telah diketahui ramai, tetapi ia harus sentiasa dipupuk dan disemai seperti kita menanam sebatang pokok, apakah setelah ditanam kita hanya membaja dan menyiram sekali sahaja? kemudian dibiarkan ia membesar tanpa pengawasan dan penjagaan yang rapi. begitulah juga dengan tabiat suka membaca, ia perlu dididik, dibimbing dan digalakkan dari kecil untuk meminati buku, apatah lagi yang dapat membina minda bersih dan jati diri seorang insan yang berfikiran positif dan bergerak ke arah yang positif. hasil dari pembacaannya, ia dapat mendorong dirinya dan orang lain untuk sama-sama melakukan kebaikan dan memghindar diri dari melakukan atau menghampiri perkara-perkara yang negatif, yang bukan sahaja dirinya akan rosak tetapi orang yang mencontohi perangainya juga turut akan rosak.

sama-samalah kita berdoa semoga budaya dan amalan suka membaca ini menjadi kegilaan semua, apatah lagi Ibnu Khaldun pernah berkata: 'tiada pembelajaran tanpa berfikir'. kalau kita tidak membaca, bagaimana kita hendak dan mahu berfikir tentang sesuatu perkara. oleh itu BACALAH!!!