Isnin, November 16, 2009

kata Sheikh as-Subki

Sheikh as-Subki ialah guru kepada ad-Dumairi dan beliau telah berkata:

-ilmu dan amal itu saling bergandingan, kerana huruf kedua-dua perkataan ini
sama, tidak berbeza, cuma satu huruf didahulukan dan yang satu lagi
dikemudiankan.

-tidak seharusnya seseorang itu mengucup tangan orang lain melainkan tangan kedua
ibubapanya kerana kasih, hormat, dan takzim, atau tangan seorang bayi, kerana
kasih sayang dan bermanja.

bahagikan sesama kita secara saksama

Kini ad-Dumairi telah berumur hampir 60 tahun. Suatu malam, cucunya datang menghampirinya lalu berkata,
“Datuk! Ceritakan kepada saya satu hikayat.”
Ad-Dumairi mendudukkan cucunya di atas ribanya dan bercerita seperti berikut:
“Di dalam sebuah hutan, seekor singa, seekor serigala dan seekor musang bersahabat. Suatu hari, mereka terasa lapar lalu keluar memburu bersama-sama. Ketiga-tiganya bekerjasama dan dapat menangkap seekor keldai, seekor rusa dan seekor arnab.”

Singa berkata kepada serigala,“Sahabatku! Bahagikanlah buruan ini sesama kita secara saksama. Siapakah yang akan makan keldai, siapa yang makan rusa dan siapa yang makan arnab.”

Serigala menyalak dengan gembira lantas berkata kepada singa,“Awak paling besar antara kita. Awak juga ketua kita. Keldai ialah buruan kita yang paling besar hari ini. Oleh itu, keldai ini untuk awak makan. Saya pula lebih besar daripada musang, maka rusa ini untuk saya. Musang pula lebih kecil dari saya, oleh itu dia boleh makan arnab ini. Inilah dia keadilan kami di kalangan serigala.”

Singa berasa marah dengan pembahagian yang dibuat oleh serigala kerana daging rusa jauh lebih enak dan lazat dari daripada daging keldai. Kerana itulah serigala memilih rusa untuk dirinya sendiri dalam pembahagian itu. Maka singa menerkam dan menggonggong tengkuk serigala itu hingga putus.

Kemudian singa berkata kepada musang, "Hai musang! Serigala ni bodoh dan tak tahu bagaimana mahu membahagi. Dia tidak berlaku adil kepadaku... dan kepadamu."

Musang yang cerdik itu berkata kepada singa,
"Benar, wahai raja di rimba! Saya akan berlaku adil membahagikan buruan ini."

Maka singa berkata kepada musang,
"Apa? Kita kini tinggal hanya berdua, dan buruan kita ada tiga. Wahai sahabatku, bahagikan secara adil antara kita berdua. Kalau tidak...".

Musang memintas cakap singa,
"Hai raja di rimba! Pembahagiannya jelas. Keldai itu untuk makan tengah harimu, rusa itu untuk makan malammu, manakala arnab itu pula untuk santapan mu antara makan tengah hari dan makan malam."

Singa tertawa lalu berkata kepada musang,
"Sungguh bijak pembahagianmu, wahai sahabatku. Siapakah yang mengajarmu pembahagian yang bijak itu?"

Musang meloncat untuk menjauhkan diri lantas berkata,
"Yang mengajarku pembahagian yang bijak ini ialah kepala serigala itu yang telah kau putuskan daripada badannya."

Maka ad-Dumairi berkata kepada cucunya,
"Ketahuilah hikmah kisah ini. Apabila kamu besar nanti, janganlah menggauli orang yang sifatnya seperti singa, orang yang sifatnya sepeti serigala dan ...".

Ad-Dumairi tidak menyambung nasihatnya kerana cucunya telah terlena di atas ribanya.