Khamis, Ogos 04, 2011

Allah Menutup Aib Hamba-Nya.

Sebagai makhluk yang bersifat lemah dan serba kekurangan, setiap orang ada perkara rahsia yang tidak ingin diketahui oleh orang lain. Mungkin yang berbentuk aib atau seumpamanya. Dia tidak akan menceritakan kepada orang lain, walaupun kepada kawan rapatnya.
Kita perlu ingat, diriwayatkan pada hari kiamat kelak, apabila Allah mendedahkan aib seseorang, orang itu akan berasa malu yang amat sangat hingga luruh daging-daging di muka.

Pada waktu itu, tidak ada lagi tempat hendak bersembunyi. Malah, lidah menjadi kelu. Tidak boleh lagi menafikan kesalahan dan aib yang kita lakukan itu. Sebaliknya seluruh anggota akan menjadi saksi, mengaku dan mendedahkan segala-galanya.

Jadi, sementara masih hidup ini, kita masih boleh menyelamatkan diri daripada keadaan yang amat dahsyat itu. Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Dengan bertaubat, mudah-mudahan segala kesalahan kita dihapuskan oleh Allah.

Kita juga hendaklah menutup aib atau keburukan orang lain, kerana orang yang menutup aib orang lain Allah akan tutup pula aibnya di akhirat kelak. Jangan menceritakan keburukan kawan kita kepada orang lain. Kalau kita tidak suka keburukan kita dihebahkan kepada orang lain, begitu jugalah kawan atau saudara mara kita. Mereka juga tidak suka aib atau keburukan mereka dicerikan merata-rata.

Begitulah Islam mengajar kita menjaga akhlak dalam bergaul dan berkawan. Tutup keburukan mereka, tapi dedahkan kebaikan dan amal kebajikannya. Bukan sahaja tidak boleh mendedahkan kejahatan orang lain, kita juga tidak boleh mendedahkan kejahatan yang kita lakukan dengan tujuan berbangga-bangga. Perbuatan sebegitu juga dikira berdosa. Allah tutup kejahatan yang kita lakukan daripada diketahui umum agar kita segera bertaubat. Tetapi, kenapa pula kita menceritakannya sambil berbangga-bangga?

Selain daripada kita mesti merahsiakan aib kawan-kawan atau orang lain, kita juga mesti menjaga rahsia yang diamanahkan kepada kita. Tidak kiralah sama ada perkara itu kecil atau remeh sahaja, tetapi kalau sudah diamanahkan supaya merahsiakannya, kita tidak boleh menceritakan kepada orang lain.

Jika kita ingkar, ertinya kita sudah berbuat khianat. Khianat merupakan satu daripada tiga sifat
munafik iaitu berbohong, mungkir janji dan khianat. Semoga kita sentiasa dipeliharakan oleh Allah daripada melakukan sifat-sifat keji dan tercela itu, lebih-lebih di bulan ramadhan yang mulia ini.

Satu Peristiwa Di Malam Yang Kelam.

Suatu malam, ketika Rasulullah s.aw. sedang membaca al-Quran, datang tiga orang tetamu ke rumah baginda. Mereka datang secara senyap-senyap dan bersendirian supaya tidak diketahui oleh Rasulullah.

Tiga orang tetamu misteri itu ialah Abu Jahal, Sufyan bin Harb dan Akhnas bin Syarik. Ketiga-tiga mereka orang yang sangat kuat menentang dakwah dan perjuangan Rasulullah s.a.w. Mereka ingin tahu apakah yang dilakukan oleh Rasulullah pada waktu malam.

Sebenarnya masing-masing tidak mengetahui bahawa merteka bertiga berada di satu tempat yang sama. Keadaan malam yang gelap pekat memisahkan mereka.
Abu Jahal tidak tahu Sufyan datang. Sufyan tidak tahu Akhnas pun ada. Akhnas juga tidak tahu Abu Jahal dan Sufyan ada sama pada malam itu.

Setelah puas menikmati keindahan alunan ayat-ayat suci al-Quran yang dibacakan oleh Rasulullah, tiga orang pengintip itu pun beredar untuk pulang. Ditakdirkan Allah, mereka bertemu di lorong yang menghala pulang. Timbullah rasa syak wasangka di dalam hati masing-masing.

"Engkau mendengar apa yang dibacakan oleh Muhammad?" salah seorang bertanya.
"Benar, aku kira engkau pun demikian," jawab Sufyan bin Harb.
"Kita membohongi diri sendiri. Sesungguhnya ayat-ayat yang kita dengar dari Muhammad memang indah sekali. Aku benar-benar terpesona," kata Akhnas dengan jujur.

Sebelum berpisah, mereka berjanji akan merahsiakan peristiwa pada malam itu. Mereka juga berjanji tidak akan pergi lagi ke rumah Rasulullah. Kononnya akan mendapat malu jika diketahui oleh orang ramai.

Malam esoknya, ketiga-tiga tokoh kafir Quraisy Mekah itu seperti terdengar-dengar ayat al-Quran yang dibacakan oleh Rasulullah semalam. Akhirnya kerana ingin mendengar lagi, secara senyap-senyap mereka pergi lagi ke rumah Rasulullah.

Seperti malam sebelumnya, masing-masing menyangka hanya berseorangan diri pergi ke rumah Rasulullah. Tetapi ketika pulang mereka bertemu lagi di tengah perjalanan. Masing-masing terperanjat. Akhirnya berjanji tidak akan datang lagi.

Namun disebabkan desakan hati yang ingin mendengar Rasulullah membaca al-Quran, mereka mungkiri janji yang sama-sama dibuat. Untuk malam ketiga, mereka datang lagi ke rumah Rasulullah s.a.w.

Kemudian bertemu lagi dalam perjalanan pulang. Dan kali ini mereka bersungguh-sungguh berjanji tidak akan datang lagi mendengar Rasulullah membaca al-Quran. Mereka tidak mahu terpengaruh dengan keindahan ayat-ayat suci yang dibacakan oleh Rasulullah s.a.w.

Begitulah keadaan musuh-musuh Islam pada zaman nabi. Sebenarnya mereka mengakui kebenaran ajaran yang dibawa oleh Muhammad, tetapi kerana sombong dan dengki, mereka tetap tidak mahu menerimanya.



*nota b.tan:-

Secebis kisah untuk diambil iktibar, kalau musuh-musuh Islam di zaman Rasulullah pun ketagih untuk mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran, apa tah lagi kita yang mengaku beragama Islam dan beriman dengan al-Quran perlulah membacanya bukan sekadar minat mendengar sahaja. Lebih-lebih lagi di bulan yang mulia ini yang dikatakan bulan al-Quran. Aku sekadar mengingatkan diri aku sendiri dan juga sesiapa yang ingin mengambil pengajaran dari secebis kisah di atas tadi. Sekian, selamat menempuhi madrasah ramadhan, semoga dengannya keimanan dan kecintaan kita kepada kehidupan beragama akan bertambah. Wassalam.