Jumaat, Ogos 19, 2011

Hikmah Bersedekah.



Dari Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "Segeralah kamu bersedekah kerana bala bencana itu tidak dapat melangkahi sedekah."

Huraian:

Fadhilat atau kelebihan bersedekah adalah meliputi dunia dan akhirat. Faedahnya di dunia ialah memurahkan rezeki, menolak bala bencana, memanjangkan umur, mencegah dari kematian yang buruk dan menghapuskan dosa. Manakala faedahnya di akhirat pula ialah menjadi naungan dari panas terik di padang Mahsyar dan menjadi pendinding dari api neraka.

Jelasnya, orang-orang yang bermurah hati membelanjakan hartanya pada jalan Allah, meliputi segala jenis kebajikan umum akan dibalas oleh Allah S.W.T dengan pahala tujuh ratus kali ganda, asalkan sedekah atau derma itu diberikan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah S.W.T.

Dalam satu hadis yang lain, Rasulullah s.a.w bersabda: "Sebaik-baik sedekah ialah sedekah di bulan Ramadhan." Justeru, itu ayuhlah kita melakukannya dengan kadar kemampuan kita. Tidak perlu dengan jumlah yang besar, apa yang penting ialah keikhlasan kita dalam memberi dan menyumbang kepada mereka yang memerlukan. Seperti biasa catatan ini berupa peringatan untuk diri sendiri dan mereka yang membacanya. Wassalamualaikum.