Rabu, Februari 27, 2013

M-PEMBELAJARAN – SATU KAJIAN RINGKAS.


PENGENALAN
Kehidupan di masa kini yang dikelilingi oleh peralatan canggih telah memungkinkan satu sistem atau corak pembelajaran yang lain dari yang lain terhasil. Sedikit demi sedikit proses pengajaran dan pembelajaran tradisional berubah ke arah pembelajaran berasaskan teknologi perkomputeran. Khususnya, perkembangan dalam bidang teknologi telah mengubah cara manusia belajar (Naismith, Lonsdale, Vavoula, & Sharples, 2004; Ting, 2007). Proses pembelajaran kini melampaui ruang fizikal bilik darjah (Kukulska-Hulme & Traxler, 2005) bersifat globalisasi dan sepanjang hayat (Sharples, 2000). Pada masa kini ramai penyelidik dalam bidang akademik dan industri mula meneroka potensi teknologi dan peralatan mudah alih untuk menyokong pembelajaran (Sharples, 2000; Sharples, 2002; Liu, Wang, Chan, Ko, & Yang, 2003). Kajian-kajian lalu menunjukkan teknologi mudah alih dapat memberikan kesan yang signifikan dalam menyokong pengajaran dan pembelajaran (Perry, 2003; Zurita & Nussbaum, 2004). Sementara itu Wood (2003) pula berpendapat penggunaan teknologi wireless dalam pendidikan dapat menyumbang ke arah menyelesaikan jurang digital dalam kalangan negara-negara membangun, kerana pada umumnya peralatan teknologi seperti telefon bimbit dan PDA adalah lebih murah berbanding komputer meja.

Hasil kajian lepas menunjukkan penggunaan peralatan mudah alih dalam pengajaran dan pembelajaran meningkatkan prestasi serta merangsang minat pelajar dalam mata pelajaran seperti sains dan matematik (Metcalf, Milrad, & Cheek, 2008). Sesebuah negara yang mahu terus berjaya dalam ekonomi berteraskan ilmu, harus menyediakan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada modal insannya sehingga menjadi satu budaya hidup. Pencarian ilmu yang berterusan adalah penting kerana ilmu dan kemahiran yang diperolehi di sekolah dan universiti akan menjadi lapuk selepas satu tempoh yang tertentu. Terutamanya, kini aktiviti ekonomi telah berubah kepada berasaskan pengetahuan atau di panggil k-economy. K-economy memerlukan k-pekerja kerana pendekatan aktiviti ekonomi yang menggunakan ilmu pengetahuan, modal intelek dan teknologi maklumat. M-pembelajaran merupakan asas kepada ekonomi bermaklumat dan ekonomi berpengetahuan (k-economy). Penggunaan jaringan teknologi terutamanya internet adalah satu evolusi yang menjana kekayaan maklumat dalam pembelajaran dengan kuasa membawa maklumat dan kemahiran tertentu untuk mengupaya pekerja, pelajar dan setiap individu yang benar-benar memerlukannya.

KONSEP DAN DEFINISI M-PEMBELAJARAN

M-pembelajaran merupakan suatu konsep baru dalam proses pembelajaran. Ianya menekankan kepada keupayaan untuk memudah  alih proses pembelajaran tanpa terikat kepada lokasi fizikal di mana proses pembelajara berlaku (Kukulska-Hulme & Traxler, 2005). Menurut (Desmond, 2002), m-pembelajaran merujuk kepada penyediaan pengajaran dan pembelajaran melalui penggunaan peranti tanpa wayar dan mudah alih seperti PDA, telefon mudah alih, permainan konsol dan sebagainya.
Manakala  Siraj & Kumaran (2006) menyatakan bahawa mpembelajaran adalah penggunaan peranti tanpa wayar bagi membolehkan pembelajaran berlaku pada bila-bila masa dan di manamana sahaja.  Parsons (2011) mengaitkan bahawa m-pembelajaran adalah sebahagian daripada e-pembelajaran dan pembelajaran jarak jauh. Sekiranya m-pembelajaran dikaitkan dengan internet dan tanpa wayar, ianya tidak jauh berbeza dengan konsep asal e-pembelajaran. Oleh itu, kebolehan sesuatu pembelajaran itu berlaku walaupun di mana pelajar itu berada ataupun ke mana sahaja arah tujuan mereka tanpa mengira waktu merupakan satu kelebihan yang ada pada m-pembelajaran.

Menurut  Prensky (2001) pula, m-pembelajaran adalah pembelajaran berbantukan ICT yang menggunakan peralatan mudah alih khasnya peralatan mudah alih yang terkini seperti PDA, telefon bimbit, laptop dan tablet PC. Mostakhdemin-Hosseini & Tuimala (2005) pula menyatakan bahawa m-pembelajaran bukanlah suatu pembelajaran menerusi telefon mdah alih atau pembelajaran secara internet tanpa wayar tetapi m-pembelajaran merupakan satu evolusi kepada e-pembelajaran, yang mana ianya melengkapkan kekurangan yang terdapat pada e-pembelajaran sebelum ini.

Quinn (2002) mendefinisikan m-pembelajaran sebagai belajar menerusi peralatan mudah alih seperti Palms, PDA dan juga telefon bimbit. Ini berbeza dengan Nyiri (2002) yang menyatakan m-pembelajaran sebagai pembelajaran yang berlaku apabila komunikasi antara individu dengan individu yang lain berlaku secara wireless. Sementara O’Malley, Vavoula, Glew, Taylor, Sharples, dan Lefrere (2003) mendefinisikan m-pembelajaran sebagai apa saja pembelajaran yang berlaku di tempat dan lokasi yang tidak ditetapkan atau pembelajaran yang berlaku apabila pelajar menggunakan teknologi mudah alih.

Keegan (2005) menyatakan ramai pengkaji memberikan definisi yang kompleks mengenai m-pembelajaran. Bagi beliau m-pembelajaran ialah penyediaan pendidikan dan latihan menggunakan PDA, palmtops, komputer bimbit, telefon pintar dan telefon bimbit.

Kesimpulannya m-pembelajaran ialah apa saja pembelajaran atau latihan yang dijalankan menggunakan peralatan berteknologi mudah alih seperti komputer riba, PDA, telefon bimbit yang membolehkan pembelajaran dapat berlaku di mana sahaja dan pada bila-bila masa.
Brown (2003) menerangkan dengan jelas tentang konsep m-pembelajaran. Menurut beliau m-pembelajaran adalah subset kepada e-pembelajaran. E-pembelajaran ialah konsep makro yang melibatkan persekitaran pembelajaran dalam talian dan m-embelajaran.


PERKEMBANGAN M-PEMBELAJARAN

Perkembangan dalam bidang teknologi mudah alih mendorong pelbagai pihak merangka projek m-pembelajaran. Di seluruh dunia terdapat banyak projek m-pembelajaran sama ada projek besar atau kecil. Misalnya "Projek Leonardo da Vinci" dan "IST FP5" di Eropah (Keegan, 2005), projek UniWap (Sariola, Sampson, Vuorinen & Kynaslahti, 2001). Di samping itu terdapat juga usaha dan kajian untuk merangka kursus dan membina bahan supaya bersesuaian dengan peralatan mudah alih (Bull & Reid, 2004; Colley & Stead, 2004; Ramsden, 2003).

Perkembangan teknologi yang pesat daripada sistem analog kepada sistem digital dan kini mula beralih kepada sistem digital generasi ketiga (3G) ( Kolahi, 2002) perlu dimaanfatkan oleh bidang kurikulum bagi menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dan berkesan. Sesuai dengan perubahan semasa dan kepentingan kurikulum pendidikan di Malaysia pada masa hadapan, maka penghasilan sebuah kurikulum yang sesuai dengan perubahan teknologi semasa adalah penting.

Teknologi mudah alih pada masa kini sedang berkembang pesat. Kejayaan pembangunan dalam Bluetooth, WAP (Wireless Application Protocol), GPRS (General Packet Radio System), EDGE (Enhanced Data Rates for GSM Evolution), WiFi dan UMTS (Universal Mobile Telecomuncational System), perkembangan rangkaian 3G menunjukkan struktur teknologi untuk telefon mudah alih dan komputer berteknologi mudah alih tersedia (Attewell,
2005). Di seluruh dunia pada hari ini teknologi mudah alih menggantikan sistem talian tradisional, misalnya e-commerce bergerak ke arah m-commerce; m-perniagaan menggantikan e-perniagaan; e-perbankan digantikan dengan m-perbankan (Keegan, 2005; Mashkuri, 2003; Shim & Shim, 2003). WiFi menjadi teknologi pilihan untuk rangkaian wireless setempat dalam persekitaran perniagaan ataupun di kediaman (Henry & Luo, 2002). Malah WiFi juga pada masa kini dipasang di kawasan awam bagi membolehkan pengguna mencapai akses internet jalur lebar (Henry & Luo, 2002).

Perkembangan M-Pembelajaran di Malaysia

ICT telah dilaksanakan di negara ini hampir dua dekad dan diikuti dengan pelaksanaan e-pembelajaran (DePAN, 2010).  Seterusnya, lebih sedekad kemudian, teknologi e-pembelajaran menjadi semakin berkembang sehingga boleh dipaparkan di atas skrin kecil yang mampu dibawa ke mana-mana sahaja dan lebih dikenali sebagai teknologi m-pembelajaran. Kajian-kajian lalu telah menunjukkan m-embelajaran sangat efektif dalam pengajaran dan pembelajaran. Kajian oleh  Saran, Cagility dan Seferoglu (2008) mendapati m-pembelajaran menggunakan peralatan telefon mudah alih telah meningkatkan kemahiran pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris melalui penggunaan bahan berbentuk multimedia. Kajian juga mendapati penggunaan MMS dan SMS dapat mempertingkatkan perbendaharaan kata pelajar dengan berkesan.

Antara kajian terawal dalam bidang m-pembelajaran di Malaysia ialah kajian penilaian pelaksanaan program m-pembelajaran kepada pelajar-pelajar tahun 5 di sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur (Saedah Siraj dan Norlida Alias, 2005). Tujuan kajian ialah untuk
menyiasat sama ada pelaksanaan program m-pembelajaran mencapai hasrat yang ditetapkan ke atasnya dan juga menilai kekuatan dan kelemahan program. Hasil kajian mendapati pelaksanaan program m-pembelajaran telah mencapai hasarat yang ditetapkan ke atasnya.
Kajian juga mendapati program m-pembelajaran mempunyai banyak kekuatan disamping terdapat beberapa kelemahan.

Di Malaysia, perkembangan teknologi tanpa wayar kini menunjukkan perkembangan yang amat pesat sekali. Penggunaan peralatan mudah alih seperti telefon mudah alih, PDA, komputer bimbit dan lain-lain peralatan telah meningkat. Permintaan yang tinggi terhadap
telefon mudah alih ini menjadikan harganya semakin murah dan mampu dimiliki.  Berdasarkan statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Rajah 1), pelanggan telefon mudah alih telah mencecah sebanyak 30.144 juta pada tahun 2009 manakala pelanggannya telah meningkat kepada 31.456 juta pada suku tahun kedua 2010. Senario ini jelas menunjukkan peningkatan yang amat tinggi terhadap penggunaan telefon mudah alih di Malaysia (Rajah 1).

Telefon mudah  alih dipercayai sangat berguna untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Malah terdapat perdebatan mengenai baik dan buruk peralatan ini sehingga kajian dan projek mengenai penggunaan telefoon mudah alih dalam m-pembelajaran turut meningkat. Ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat telah mula menerima pandangan tentang penggunaan telefon mudah alih dalam kepentingan pendidikan. Terdapat beberapa sekolah yang telahpun mula menggunakan telefon mudah alih secara formal dalam pengajaran dan pembelajaran. Malaysia juga telah pun menjalankan kajian rintis terhadap pelaksanaannya melalui kajian “Belajar Secara Maya Guna iPhone”  (Utusan, 2009). Ini secara tidak langsung menunjukkan kebanyakan rayat Malaysia mempunyai telefon mudah alih yang membolehkan maklumat diperolehi secara tanpa wayar yang memungkinkan m-pembelajaran dilaksanakan.

Perubahan yang dibawa dalam pendidikan di Malaysia bukanlah mudah tanpa sebarang halangan dan cabaran memandangkan ia melibatkan banyak bidang termasuklah sosial, politik dan ekonomi dalam sistem pendidikan Malaysia. Walau bagaimanapun, mengikut keadaan ekonomi kini, peningkatan yang berlipat ganda telefon mudah alih di kalangan rakyat Malaysia  (Malaysian Communications and Multimedia Commision, 2010) memberikan petunjuk mengenai peluang untuk melaksanakan m-pembelajaran di Malaysia.

KELEBIHAN M-PEMBELAJARAN DAN KESANNYA TERHADAP PELAJAR

Pembelajaran secara m-pembelajaran telah terbukti keberkesanannya di negara luar dan kini telah mula perkenalkan di Malaysia di mana terdapat beberapa institusi pengajian tinggi telah mengintegrasikan teknologi ini dalam kurikulum pengajaran mereka. Perkongsian nota di antara pelajar telah dimudahkan dengan adanya alatan mudah alih seperti PDA di kalangan pelajar. Mereka tidak perlu lagi duduk di hadapan komputer peribadi untuk memuat turun nota. Ianya telah dimudahkan dengan hanya menggunakan internet yang disediakan oleh pembekal perkhidmatan telefon mudah alih yang dilanggani. Oleh yang demikian, memuat turun nota boleh dilakukan di mana sahaja dan pada bila-bila masa. Walaupun pelajar berada di dalam bas ketika pulang ke kampung atau semasa menghirup kopi di kafe-kafe yang menyediakan perkhidmatan internet tanpa wayar.

Jika sebelum ini kuiz hanya dapat dilakukan di dalam kelas sahaja, kini pensyarah boleh mengadakan kuiz untuk pelajar mereka pada bila-bila masa dengan hanya memasukkan soalan dan menetapkan masa yang perlu diambil bagi setiap kuiz yang diadakan. Hal ini dapat dilakukan melalui alatan mudah alih seperti PDA dan beberapa jenis telefon mudah alih tertentu. Pensyarah boleh tersenyum lebar kerana mereka bukan sahaja boleh mengadakan kuiz bagi pelajar mereka pada bila-bila masa malah dapat memperolehi markah secara masa nyata tanpa perlu mengira markah secara manual. Perisian-perisian untuk mengadakan kuiz ini boleh didapati dengan mudah dan boleh juga dihasilkan oleh pensyarah tersebut dengan menggunakan teknik pemprograman yang mudah.

Triantafillou, Georgiadou dan Economides (2006) melalui kajian mereka terhadap ujian yang dilakukan melalui alatan mudah alih dalam pendidikan mendapati bahawa penilaian yang dilakukan melalui ujian m-pembelajaran adalah lebih efektif dan efisyen. Ini adalah kerana ujian yang dilaksanakan secara m-pembelajaran adalah lebih menjimatkan masa daripada ujian yang dilaksanakan secara kertas dan pensel. Item-item yang dijawab oleh pelajar pula menjadikan proses pemarkahan lebih tepat dan jitu.

Hasil dapatan daripada kajian Attewell (2005) dalam merumuskan projek m-pembelajaran 2001 mencadangkan bahawa penggunaan m-pembelajaran mungkin dapat memberi kesan yang positif kepada beberapa bidang:          
1.      M-pembelajaran membantu pelajar meningkatkan kemahiran literasi dan numerik untuk 
mengenalpasti keupayaan sebenar mereka.
2.      M-pembelajaran boleh digunakan untuk menggalakkan kedua-dua pengalaman pembelajaran   bebas dan pengalaman pembelajaran perkongsian (collaborative
           learning).
3.    M-pembelajaran dapat membantu pelajar mengenalpasti perkara-perkara yang memerlukan  bantuan dan sokongan.

4.      M-pembelajaran dapat membantu dalam memperjuangkan penggunaan teknologi maklumat dan  komunikasi serta dapat membantu mengurangkan jurang di antara literasi telefon mudah alih dengan literasi teknologi maklumat.
5.      M-pembelajaran membantu pelajar menolak beberapa formaliti daripada pengalaman   
Pembelajaran.
6.      M-pembelajaran membantu pelajar dalam mengekalkan fokus pembelajaran untuk jangka masa  yang lebih panjang.
7.      M-pembelajaran membantu meningkatkan self-esteem
8.      M-pembelajaran membantu meningkatkan keyakinan diri (Attewell, 2005)

Kesan-kesan positif ini jika dapat diterapkan di dalam suasana pembelajaran di institusi pengajian tinggi di Malaysia semestinya dapat meningkatkan prestasi seseorang pelajar dalam semua aspek yang ingin dicapai. Selain itu, mereka juga dapat melihat dan menggunakan teknologi mudah alih ini dengan perspektif yang lebih luas.

Selain itu, elemen multimedia yang mampu mengintegrasikan audio dan video dapat menarik minat pelajar dalam penggunaan m-pembelajaran. Melalui pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan audio dan video, pelajar akan menjadi lebih menumpukan perhatian, aktif, konstruktif, bersemangat dan dapat menyemarakkan peranan bekerjasama dalam suasana pemikiran kreatif dan kritis. Perkembangan seperti ini amat diperlukan dalam melahirkan graduan yang kompetitif dan berdaya saing.

Keperluan dalam persekitaran pembelajaran yang baru perlu dilaksanakan agar proses pembelajaran tidak terbatas kepada kaedah tradisional semata-mata. Melalui m-pembelajaran, kebebasan dan kawalan diberikan sepenuhnya kepada pelajar. Pelajar diberi kebebasan untuk menghantar tugasan, menjawab soalan kuiz, memuat turun nota,  berdiskusi dan melakukan aktiviti-aktiviti pembelajaran mengikut kehendak dan kesesuaian masa mereka. Kebebasan yang diberikan kepada mereka terhadap kaedah pembelajaran ini dapat menarik minat mereka dalam mendalami sesuatu pelajaran. Memandangkan setiap pelajar berbeza, ia merupakan motivasi kepada mereka untuk terus maju dan meningkatkan prestasi pelajaran mereka.

Kemudahan khidmat pesanan ringkas yang hadir bersama alatan mudah alih menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran lebih mudah kerana segala maklumat berkenaan temujanji bersama ahli kumpulan dan pensyarah dapat dilaksanakan secara masa nyata. Kemudahan ini dapat menjimatkan masa serta memudahkan seseorang pelajar dan pensyarah menetapkan jadual harian mereka tanpa terikat pada masa-masa tertentu sahaja.

Disamping faktor yang dinyatakan di atas, m-Pembelajaran mepunyai sifat yang unik yang menyebabkan ia semakin diperkatakan untuk menyampaikan pengajaran dan pembelajaran di sekolah atau universiti. M-Pembelajaran dapat mebekalkan maklumat terbaru pada bila-bila masa. M-pembelajaran dapat membenarkan pelajar mengikut pembelajaran di mana-mana sahaja berdasarkan keupayaan masing-masing serta mengikut kesesuaian masa sendiri. Ini bermaksud, seseorang dapat belajar secara fleksibel. Sifat demikian akan membantu masyaakat menjayakan program pembelajaran sepanjang hayat.

Selain itu, pelajar dapat menjimatkan masa untuk belajar. Kebanyakan m-pembelajaran mengandungi latihan yang membenarkan pelajar mencabar subjek tersebut dan memintas bahagian maklumat yang telah diketahui. Hal ini menunjukkan bahawa pelajar tetap mencapai objektif pengajaran melalui proses pembelajaran yang berlainan. Dalam pembelajaran tradisional, pelajar yang mempunyai tahap pengetahuan yang berbeza terpaksa menerima pengajaran yang sama.

Seseorang pelajar juga dapat meningkatkan keberkesanan pembelajaran melalui m-pembelajaran. Pelajar dapat mencapai maklumat yang meluas apabila perlu. Maklumat dapat dikongsi antara individu dengan pakar dalam bidang tertentu yang dikenali melalui e-mel, chat-room atau papan bulletin. Masa untuk proses pembelajaran secara langsung dapat disingkatkan. Di samping itu juga, pembelajaran didapati dapat meningkatkan motivasi pelajar. Dalam kertas kerja yang dijalankan oleh (Kamal & Tasir, 2008) menunjukkan pelajar mempunyai motivasi untuk belajar apabila berhadapan dengan m-pembelajaran.


                                            KELEMAHAN M-PEMBELAJARAN           

Terdapat beberapa kelemahan dalam  m-pembelajaran yang dapat dikesan antaranya ialah saiz skrin peralatan mobile seperti PDA dan telefon bimbit yang agak kecil. Talian internet yang tidak stabil juga merupakan satu lagi kelemahan dalam pelaksanaan m-pembelajaran.  Masalah saiz skrin sememangnya menjadi satu isu dalam m-pembelajaran. Skrin yang kecil seperti di telefon bimbit menyukarkan sedikit pelajar untuk membaca dan menghadkan bilangan teks yang dipaparkan (Zhang, Wang, Rao, Yang, Li, & Lu, 2006).
Selain daripada saiz skrin yang terhad, peralatan mobile juga menghadapi masalah lain seperti kaedah memasukkan input yang lemah dan hayat bateri  yang terhad (Parsons, Ryu, & Cranshaw, 2007). Kelemahan yang ketara adalah berkaitan dengan kesukaran dalam teknologi dan pengaksesan, maklumat yang melebihi beban, kualiti maklumat yang berubah, kehendak masa dan kekurangan kemahiran dan kesukaran dalam mengendalikan masalah-masalah teknikal seperti masalah sambungan internet, masalah teknikal peralatan mudah alih dan masalah virus.

Terdapat juga beberapa kelemahan di dalam m-pembelajaran ini kerana sebagai manusia kita
pasti mempunyai kekurangan yang tidak dapat  dielakkan. Antara kelemahan-kelemahan yang telah dikenalpasti ialah m-pembelajaran ini sukar dikendalikan kerana pelajar kurang pengetahuan dalam web portal yang menggunakan sistem MOODLE (singkatan untuk  Modular Object-Oriented Dynamic Learning Environment atau dalam bahasa Malaysia ialah Modular Berorientasikan Objek Persekitaran Pembelajaran Dinamik). Selain dari itu talian internet yang sibuk turut menjadi penyumbang kepada proses m-pembelajaran ini menjadi lambat dan membataskan penggunaannya.


CABARAN DAN HALANGAN DALAM M-PEMBELAJARAN DI MALAYSIA

Peredaran masa menyebabkan terdapat lambakan jenis, fungsi dan kecanggihan alatan mudah alih yang berada di pasaran hari ini. Di Malaysia, komputer riba dilihat sebagai alatan yang dominan jika dibandingkan dengan palm talk kerana fungsinya yang lebih besar dalam kehidupan seseorang pelajar. Namun begitu, penggunaan palm talk di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain dilihat lebih meluas kerana saiz dan keupayaan yang telah diintegrasikan secara praktikal telah menarik minat ramai penggunanya.

Sebenarnya penggunaan palm talk dan telefon mudah alih juga dapat menyamai kebanyakan fungsi komputer riba. Misalnya, daripada palm talk dan telefon mudah alih, kita sebenarnya boleh mengambil nota daripada komputer pelayan pensyarah, membuat diskusi berkumpulan, menghantar tugasan dan sebagainya. Pandangan pelajar tempatan dilihat dapat berubah jika ada di antara ahli akademik mahu menjadi pelopor bagi teknologi m-pembelajaran ini.

Melalui satu kertas kajian yang dilaksanakan oleh Singh dan Zaitun (2006) beberapa masalah telah dikenalpasti dalam mengintegrasikan alatan mudah alih dengan senario pendidikan di Malaysia, antaranya:
1. Terdapat had kapasiti simpanan bagi palm talk dan telefon mudah alih
2. Jalur lebar mungkin berkurangan apabila jumlah pengguna bertambah
3. PDA dan telefon mudah alih adalah tidak lasak berbanding dengan komputer peribadi
4. Bateri perlu dicaj selalu dan jika tidak dilakukan dengan cara yang betul, data mungkin  
    akan hilang (Singh dan Zaitun, 2006).

Pendedahan yang terhad kepada teknologi mudah alih juga dilihat menjadi salah satu faktor kepada permasalahan dalam perkembangan kaedah m-pembelajaran. Hasil daripada tinjauan, beberapa kursus yang ditawarkan di institut pengajian tinggi Malaysia langsung tidak menawarkan mata pelajaran yang berkaitan dengan teknologi ini. Ini mengurangkan peluang pelajar untuk memahami kuasa teknologi dan kaedah m-pembelajaran. Pendedahan awal khususnya kepada pelajar tahun pertama di universiti amat penting bagi memastikan pelajar dapat memahami dan seterusnya mengadaptasi kaedah pembelajaran m-pembelajaran. Peranan ahli akademik juga dilihat amat penting dalam perkembangan m-pembelajaran. Ahli akademik seharusnya diperkenalkan kepada m-pembelajaran terlebih dahulu sebelum kaedah
ini diperkenalkan kepada pelajar. Penguasaan yang lemah dalam m-pembelajaran mampu menjadi punca kepada ketidakberkesanan m-pembelajaran secara keseluruhan. Penerimaan secara meluas oleh semua ahli akademik di institusi pengajian tinggi amat perlu untuk memastikan keseluruhan proses m-pembelajaran dapat direalisasikan.

Selain daripada itu, alatan mudah alih seperti PDA dan palm talk merupakan alatan yang agak sukar diperoleh oleh pelajar kerana faktor harga yang agak tinggi berbanding telefon mudah alih biasa yang tidak menyokong kemudahan m-pembelajaran. Di negara-negara Eropah alatan seperti ini adalah jauh lebih murah berbanding di Malaysia. Faktor ini menyebabkan peratus kejayaan m-pembelajaran di Eropah adalah lebih tinggi berbanding di Malaysia. Kebanyakkan institusi pengajian tinggi di Malaysia yang telah menggunakan teknologi m-pembelajaran mampu melaksanakan kaedah pembelajaran ini kepada pelajar yang mengambil kursus jarak jauh. Ini adalah kerana mereka yang mengambil kursus jarak jauh lazimnya telah bekerja dan mampu memiliki alatan mudah alih sekaligus dapat menjayakan perlaksanaan pembelajaran melalui m-pembelajaran.
Had skrin yang terhad dan kecil merupakan penyumbang kepada masalah untuk memaparkan jumlah dan jenis maklumat (Singh & Zaitun, 2006). Tidak semua maklumat berkaitan dapat diberikan dalam skrin yang sama contohnya jika nota yang ingin disampaikan adalah dalam saiz yang besar ia mungkin tidak dapat menyokong skrin yang bersaiz kecil maka pengguna terpaksa melihatnya dalam antaramuka yang lebih banyak serta skrin yang berbeza.


M-PEMBELAJARAN: ISU DAN CABARAN

Pendidikan berteraskan m-pembelajaran sememangnya sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia. Paradigma kita berkenaan teknologi yang baru ini perlulah diubah supaya ianya dapat direalisasikan. Kemudahan kaedah pendidikan yang serba moden dan mudah alih ini perlulah diuji secara kolektif untuk memastikan pelajar kita khususnya di peringkat pengajian tinggi dapat merasai keseronokan pembelajaran di mana-mana sahaja tanpa dibatasi had, tempat dan waktu. Pendedahan yang terhad kepada teknologi mudah alih perlulah ditamatkan dengan mengadakan kelas khusus berkenaan teknologi ini. Oleh itu peluang pelajar untuk memahami kuasa teknologi dapat dipertingkatkan. Pendedahan awal khususnya kepada pelajar tahun pertama di universiti amat penting bagi memastikan pelajar dapat memahami
dan seterusnya mengadaptasi kaedah pembelajaran m-pembelajaran di sepanjang pengajian mereka.

Tidak dinafikan banyak masalah akan timbul khususnya untuk mengintegrasikan m-pembelajaran dalam persekitaran pembelajaran semasa di institusi pengajian tinggi. Namun sekiranya dibei perhatian yang serius, masalah yang timbul dapat diatasi dengan mudah. Peranan semua pihak khususnya pensyarah dan pelajar perlu diambil kira sepenuhnya agar masalah yang timbul dapat diatasi. Lazimnya, untuk memulakan penggunaan pembelajaran secara elektronik, terdapat pelbagai masalah yang perlu ditempuhi dan diatasi sebelum ianya seratus peratus berjaya dilaksanakan. Begitulah juga halnya dalam merealisasikan penggunaan m-pembelajaran kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Faedah-faedah yang dapat diperolehi dengan penggunaan m-pembelajaran boleh  dijadikan motivasi dalam menjayakan kaedah pengajaran terbaru ini. Kesannya kepada masa depan pelajar adalah terbukti di luar negara dan itulah kunci kejayaan yang perlu diambil kira untuk merealisasikan kaedah pengajaran dan pembelajaran m-pembelajaran. Di Malaysia, kita harus merebut peluang yang terdapat dalam m-pembelajaran untuk melahirkan pelajar yang berdaya saing dan dapat menguasai kemahiran generik yang seharusnya  ada dalam diri setiap graduan universiti dan kolej di Malaysia.

Kajian yang meluas boleh diadakan khususnya dalam mengatasi masalah yang telah dikenalpasti serta menambah baik peluang sedia ada bagi memantapkan m-pembelajaran di Malaysia. Persekitaran pendidikan di Malaysia mungkin berbeza berbanding negara luar, untuk itu kajian persekitaran dan budaya pembelajaran boleh dilaksanakan untuk merealisasikan kemantapan m-pembelajaran. Kajian yang meluas dalam bidang ini sudah pasti dapat membangunkan sektor pendidikan secara keseluruhan khususnya di    institusi pengajian tinggi.

Dari sudut yang lain pula dapatan kajian dapat memberi implikasi kepada beberapa pihak seperti Kementerian Pelajaran Malaysia,  pihak sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar.             Dapatan kajian akan dapat membantu Kementerian Pelajaran Malaysia dan Pusat Perkembangan Kurikulum melaksanakan kurikulum M-Pembelajaran seiring dengan perkembangan era digital pada masa kini. Ianya juga seiring dengan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia menjadikan pendidikan di Malaysia untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi dan rohani; meningkatkan kreativiti dan inovasi di kalangan pelajar; meningkatkan budaya ilmu; membudayakan sains dan teknologi; membudayakan pembelajaran sepanjang hayat; menyediakan sistem pendidikan yang lebih cekap dan berkesan, dan bertaraf dunia; menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serta meningkatkan martabat pendidikan Malaysia pada peringkat antarabangsa (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2001).

Objektif Kurikulum M-Pembelajaran yang terhasil dalam kajian adalah relevan dengan kurikulum yang dibina. Dalam menentukan objektif kurikulum M-Pembelajaran tercapai, langkah-langkah dalam pelaksanaan kurikulum perlu diberi perhatian oleh semua pihak bermula dari Kementerian Pelajaran hinggalah kepada guru-guru sendiri. Kejayaan dan kegagalan pelaksanaan akan menentukan objektif yang dirancang tercapai atau tidak. Guru-guru sebagai pelaksana perlu diberi kefahaman yang jelas dan mendalam tentang kurikulum ini. Ia boleh disampaikan dalam bentuk kursus dan juga bahan bercetak seperti risalah atau buku. Disamping itu media elektronik dan media cetak juga boleh memainkan peranan memberi penjelasan dan penerangan kepada masyarakat. 

Perlaksanaan Kurikulum M-Pembelajaran akan melibatkan implikasi kewangan kerajaan. Menurut Traxler (2004) kos yang perlu dipertimbangkan dalam membangunkan M-Pembelajaran ialah; 1) Kos pembangunan isi kandungan; 2) Kos pengajaran; 3) Kos pembangunan perisian; 4) Kos perkakasan; dan 5) kos penggunaan; seperti caj telefon. Sementara Naismith, Lonsdale,  Vavoula, & Sharples, (2004) mengemukakan beberapa cadangan yang perlu diberikan perhatian dalam membangunkan M-Pembelajaran iaitu: 1) Mengenalpasti kos untuk model insfrastruktur, teknologi dan perkhidmatan. Bajet perlu disediakan  untuk membeli peralatan mudah alih, perkakasan rangkaian, kos sokongan teknikal dan beberapa kos tersembunyi; 2) Mengkaji keperluan semua yang terlibat dalam teknologi (pelajar, guru dan pereka bentuk isi kandungan) untuk memastikan ia berguna dan dapat diterima; dan (3) Mengenal pasti kelebihan dan kekurangan sesuatu teknologi supaya ia bersesuaian dengan tujuan pembelajaran.

Oleh yang demikian bagi menampung kos yang terbabit dengan pelaksanaan Kurikulum M-Pembelajaran, pihak kementerian pelajaran perlu menyediakan bajet kewangan yang mencukupi. Kementerian pelajaran boleh menggunakan kemudahan dan perkhidmatan sedia ada bagi mengurangkan kos. Perkakasan dan peralatan seperti komputer riba, makmal komputer, server, access point (AP) dan perkhidmatan Internet telah sedia ada hampir diseluruh sekolah di Malaysia. Sehingga berakhir RMK-8, 97 peratus sekolah telah dirangkaikan dengan akses Internet jalur lebar. Bakinya adalah sekolah- sekolah yang tidak mempunyai bekalan elektrik 24 jam. Kementerian pelajaran telah membangunkan 4,500 buah makmal komputer dan membekalkan 99,000 unit komputer ke sekolah-sekolah. Sehingga Disember tahun 2006, sudah ada 5,266 buah makmal. Bagi sekolah kurang murid (SKM), Kementerian Pelajaran Malaysia akan mengadakan bilik komputer dan di sekolah-sekolah yang tidak mempunyai ruang atau di pedalaman akan diperkenalkan konsep kabin. Di samping itu sebanyak 1,584 pusat akses diadakan di sekolah-sekolah dan melalui pusat ini sebanyak 15,840 unit komputer dibekalkan ke sekolah-sekolah yang terlibat (Utusan Malaysia, 2007, April 4). 

Dengan perkakasan yang sedia ada di sekolah kos menyediakan perkakasan dalam melaksanakan Kurikulum M-Pembelajaran di sekolah tidak begitu tinggi kerana perkakasan yang sedia ada boleh digunakan. Walau bagaimanapun perkakasan yang sedia ada perlu ditambah. Misalnya menambah bilangan access point, membekalkan komputer tablet, telefon bimbit, PDA dan menyediakan perkhidmatan khas SMS untuk tujuan pendidikan.

Pelaksanaan Kurikulum M-Pembelajaran akan lebih banyak menumpukan  kepada penggunaan perkhidmatan elektronik yang mempunyai perkaitan dengan talian Internet seperti laman Web, blog, e-mel dan sebagainya. Maka setiap sekolah perlu 290 mempunyai talian Internet yang lebih stabil dan berkelajuan tinggi. Ini untuk mengelakkan kesesakan talian apabila ramai pelajar menggunakannya.

Pelaksanaan Kurikulum M-Pembelajaran bermula dengan pelajar tingkatan 1 kerana merupakan saat yang sesuai kerana mereka baru memulakan pembelajaran di sekolah menengah. Pendedahan mulai dari peringkat awal akan memudahkan mereka meneruskan pembelajaran dengan lebih mudah pada tahun-tahun berikutnya. 

Tahun untuk melaksanakan Kurikulum M-Pembelajaran banyak tertakluk kepada keputusan kementerian pelajaran sendiri. Dapatan kajian ini menunjukkan pakar telah mencadangkan Kurikulum M-Pembelajaran boleh dilaksanakan mulai tahun 2010. Kementerian boleh melaksanakan kurikulum ini dalam tiga Fasa. Fasa 1 ialah persediaan awal. Fasa 2 pelaksanaan Kurikulum dan Fasa 3 peringkat penilaian. Fasa 1 dicadangkan mulai tahun 2010 -2011. Antara persediaan awal yang dicadangkan ialah mengadakan kajian rintis pelaksanaan Kurikulum M-Pembelajaran  ini di beberapa buah sekolah di Malaysia. Persediaan bajet untuk pembekalan perkakasan ke sekolah seperti komputer riba, PDA, Access Point juga perlu dibuat. Disamping itu latihan kemahiran kepada guru-guru untuk melaksanakan kurikulum ini juga boleh dilaksanakan. Hasil analisis kajian rintis boleh digunakan untuk memperbaiki kelemahan dan masalah yang timbul dalam pelaksanaan kurikulum ini.

Fasa yang kedua ialah pelaksanaan Kurikulum M-Pembelajaran ini kepada semua sekolah-sekolah di Malaysia. Fasa ini boleh dimulakan mulai tahun 2012 hingga 2017. Fasa ketiga ialah peringkat penilaian semula terhadap kkurikulum M-Pembelajaran bagi melihat kelemahan, kekuatan dan masalah yang timbul. Sebarang kelemahan perlu dibaiki dan sebarang masalah yang timbul perlu diselesaikan. Walau bagaimanapun peringkat menilai ini tidak semestinya hanya dilaksanakan dalam fasa tiga. Semasa Fasa dua lagi sebarang masalah dan kelemahan yang timbul perlulah diselesaikan. 
Pelaksanaan Kurikulum M-Pembelajaran secara intergrasi dengan KBSM tidak menimbulkan banyak masalah. Ia tidak merubah sepenuhnya KBSM. Perubahan hanya minimum kepada aspek-aspek tertentu sahaja. Misalnya seperti penggunaan peralatan seperti Komputer riba, PDA, telefon bimbit dan komputer tablet. Begitu juga kaedah penyampaian pengajaran berubah dari kaedah lama kepada kaedah baru yang lebih berorientasikan teknologi. Peranan guru juga berubah seperti yang di katakan oleh Marsh & Willis (1995) : 
           “Under the impact of the new technologies, therefore, teachers are less likely in the future to be seen as dispenders of information and more likely to become resources who aid
students in identifying problems and in locating, analyzing and applying information” 
               pg 363.

Perlaksanaan kurikulum M-Pembelajaran tidak melibatkan perubahan mata pelajaran dan isi kandungan pelajaran. Ianya dijalankan secara intergrasi dengan KBSM. Matapelajaran Teknologi Maklumat yang diajar kepada pelajar-pelajar tingkatan empat dan lima pada masa kini patut diperluaskan kepada pelajar-pelajar tingkatan satu hingga tiga.
Pelbagai komponen yang diterapkan dalam kurikulum ini akan dapat melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2001). Ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang berkualiti. Pelajar akan memiliki pelbagai kemahiran seperti kemahiran mencari maklumat, memperoleh kemahiran yang bersesuaian dengan kehendak pasaran kerja, kemahiran mengurus pembelajaran, kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran mengendalikan peralatan teknologi dan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis (Saedah Siraj & Faridah Abdullah, 2005).

Pelaksanaan kurikulum ini memerlukan kepada peningkatan kemahiran guru. Guru perlu melakukan perubahan pada diri mereka dengan mempertingkatkan kemahiran dalam bidang ICT. Guru perlu mengambil inisiatif mengubah paradigma dan mengubah  cara berfikir mereka supaya tidak terus berada pada takuk lama. Pihak kementerian pelajaran juga perlu menjalankan lebih banyak kursus yang berkaitan mengintergrasikan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. Pihak kementerian juga perlu menyediakan lebih banyak peruntukan untuk melatih guru-guru kemahiran ICT. Penyediaan perkakasan yang canggih sahaja tanpa latihan yang diberikan akan menyebabkan pembaziran berlaku, iaitu perkakasan yang dibekalkan tidak digunakan secara maksimum.
Pihak sekolah juga boleh mengambil inisiatif dengan melaksanakan kursus ICT di sekolah masing-masing. Tenaga pengajar boleh diambil dalam kalangan guru-guru sekolah tersebut yang mempunyai kemahiran ICT. Kaedah ini lebih praktikal kerana kursus boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian masa  sekolah tersebut. Ia boleh dilaksanakan pada sebelah petang selepas waktu persekolahan atau pada hari Sabtu.

Bentuk ujian dan peperiksaan dalam Kurikulum M-Pembelajaran akan mengalami perubahan. Perubahan-perubahan ini memerlukan persediaan semua pihak, sama ada pihak kementerian pelajaran hinggalah pihak sekolah.  

Penggunaan teknologi seperti dalam kurikulum M-Pembelajaran akan memberi beberapa implikasi ke atas pelaksanaan penilaian.  Antara implikasi yang dijangkakan ialah penyemakan dilakukan melalui sistem komputer, masa peperiksaan akan lebih fleksibel, peperiksaan boleh dilakukan di mana-mana sahaja, soalan dapat diedarkan kepada setiap pelajar dengan cepat, penilaian dapat dilakukan dalam talian dan peperiksaan ditadbir oleh pihak sekolah (Saedah Siraj & Faridah Abdullah, 2005). Ini akan mengurangkan beban kerja guru, menjimatkan masa dan kos serta mengurangkan kesilapan kecil.    

Begitu juga dari segi format penilaian  akan mengalami sedikit perubahan. Menurut Saedah Siraj & Faridah Abdullah (2005) format penilaian akan lebih berbentuk penyelidikan, pentaksiran yang lebih fleksible, pentaksiran yang lebih adil kepada semua pelajar, penilaian berbentuk rujukan kriteria, membantu meningkatkan prestasi pelajar, pentaksiran memerlukan pengelibatan aktif pelajar, pentaksiran aspek afektif diabaikan, pelajar yang tidak menguasai kemahiran asas akan tercicir dan pentaksiran berbentuk penguasaan kendiri.


IMPLIKASI  KEPADA DUNIA PENDIDIKAN SECARA KESELURUHAN

 Dalam era mobiliti pada masa kini, peluang terbuka luas untuk mereka bentuk pembelajaran yang berbeza, mencipta komuniti pembelajaran yang luas, menghubungkan manusia dalam dunia nyata dan maya, menyediakan kepakaran atas permintaan dan menyokong pembelajaran sepanjang hayat (Sharples, 2006). M-Pembelajaran dilihat sebagai alat perantara dalam proses pembelajaran. M-Pembelajaran tidak boleh terasing dan patut dikaitkan dengan alat pembelajaran lain yang telah sedia diguna oleh guru dan pelajar (Winters, 2006). 

Kebanyakan pelajar pada masa kini mempunyai peralatan mudah alih seperti telefon bimbit, alat pemain media mudah alih,  dan alat mainan bimbit. Mereka juga sering melayari Internet sama ada di sekolah, rumah, kafe siber atau di mana-mana sahaja tempat yang mempunyai akses Internet. Mereka melakukan aktiviti pembelajaran menerusi Internet browsing, Web searching, mesej, forum, chat dan komuniti dalam talian (Sharples, 2006). Ini adalah sebahagian daripada pendidikan secara tidak formal di luar bilik darjah. Malangnya pada hari ini sekolah dan kolej tidak mengiktiraf rangkaian interaksi tidak formal ini sebagai pembelajaran yang sah dan mereka melarang pelajar membawa telefon bimbit dan komputer riba ke dalam bilik darjah. Keadaan mewujudkan ketegangan yang boleh membawa konflik dalam kalangan golongan pelajar. Ini boleh berlaku apabila pelajar mempunyai komputer yang lebih canggih berbanding yang boleh disediakan oleh sekolah dan apabila mereka melihat pembelajaran di bilik darjah sebagai gangguan kepada aktiviti tidak formal mereka yang pelbagai serta sekolah tidak berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan dunia mobiliti dan rangkaian interaksi (Sharples, 2006).

Ini kerana  mobile learning is not just about learning using portable devices, but learning across context (Walker, 2006). M-Pembelajaran membolehkan pelajar membina pengetahuan dalam kontek yang berbeza, membolehkan  pelajar membina kefahaman mereka, mengubah aktiviti dan corak pembelajaran serta belajar tanpa had ruang dan masa (Sharples, 2006)

  
KESIMPULAN
M-pembelajaran telah mula memainkan peranan penting di dalam pembelajaran. Kewujudan teknologi mudah alih tanpa waya rtelah menjadikan ianya satu realitI. Kebebasan pelajar belajar dan memperoleh maklumat menjadikan m-pembelajaran sangat digemari. Dengan kecanggihan teknologi serta kemampuan memiliki peranti mudah alih, m-pembelajaran bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan di Malaysia. Justeru itu, ia menunjukkan bahawa m-pembelajaran sememangnya sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia sekaligus merebut peluang yang ada bagi melahirkan pelajar yang berdaya saing dan dapat menguasai kemahiran enrik yang seharusnya ada dalam diri setiap pelajar seawal peringkat sekolah lagi

Faedah-faedah yang dapat diperolehi dengan penggunaan m-pembelajaran boleh dijadikan motivasi dalam menjayakan kaedah pengajaran terbaru ini. Kesannya kepada masa depan pelajar adalah terbukti di luar negara dan itulah kunci kejayaan yang perlu diambil kira untuk merealisasikan kaedah pengajaran dan pembelajaran m-pembelajaran. Di Malaysia, kita harus merebut peluang yang terdapat dalam m-pembelajaran untuk melahirkan pelajar yang berdaya saing dan dapat menguasai kemahiran umum yang seharusnya ada dalam diri setiap pelajar.


RUJUKAN

Ahmad Sobri Shuaib (2009). Rekabentuk Kurikulum M-Pembelajaran Sekolah Menengah. (Thesis, PHD). Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Dimuat turun pada November 13 dan 27, 2012 daripada http://www.dspace.fsktm.um.edu.my/xmlui/handle/1812/419.pdf

Rossyahida binti Abd Rahman, dan Mohamad Hisyam bin Mohd Hashim(2011),
M-Pembelajaran dalam Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV) di Malaysia. In: Persidangan Kebangsaan Penyelidikan dan Inovasi Dalam Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional CIE-TVT 2011, 16-17 November 2011, Pulau Pinang. Dimuat turun pada November 25, 2012 daripada http://www.eprints.uithm.edu.my/2566.pdf

Syed Ardi Bin Syed Yahya Kamal,Zaidatun Tasir (2008). Pembelajaran Masa Depan – Mobile Learning (M-Learning) Di Malaysia. Unuversiti Teknologi Malaysia. Dimuat turun pada November 10, 2012 daripada http://www.eprints.utm.my/7989/1/EDUPRES_(F3)_9.pdf 

Zahiah Binti Kassim & Abdul Razaq Bin Ahmad
E-Pembelajaran: Evolusi Internet Dalam Pembelajaran  Sepanjang  Hayat,
Universiti Kebangsaan Malaysia. Dimuat turun pada November 24, 2012 daripada http://www. library.oum.edu.my/.../file.../epembelajaran.pdf 

Zaleha binti Ismail & Raja Norhapizah Binti Raja Mansor (2010), Pembangunan Bahan E-Pembelajaran Berasaskan Sistem Pengurusan Kursus: Cell Structure And Cell Organisation,Chemical Composition Of The Cell Dan Dynamic Ecosystem. Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia. Dimuat turun pada November 24, 2012 daripada  http://eprints.utm.my/10975/1/Pembangunan_Bahan_E.pdf

Khamis, Februari 14, 2013

PENGURUSAN BILIK DARJAH: SATU KAJIAN LITERATUR RINGKAS.



2.1 Pengenalan

Tinjauan literatur dijalankan bertujuan untuk mengkaji proses dan prosedur dalam aspek pengurusan bilik darjah yang diamalkan di sekolah-sekolah di Malaysia.  Telah banyak kajian yang dijalankan oleh pelbagai pihak antaranya oleh para guru yang menyambung pelajaran di bawah Program Pensiswazahan Guru(PPG) sama ada secara jarak jauh atau sepenuh masa.

2.3 Konsep Bilik Darjah

Semasa di sekolah, para guru menghabiskan sebahagian besar masa mereka di dalam bilik darjah. Pernahkah kita terfikir apa itu sebenarnya bilik darjah? Besar kemungkinan ada yang akan mengatakan bahawa bilik darjah ialah bilik buru mengajar dan murid belajar. Ya, itulah gambaran paling mudah tentang bilik darjah. Ia merupakan tempat proses pengajaran dan pembelajaran berlaku.

Secara rasmi, bilik darjah boleh ditakrifkan sebagai sebuah bilik di mana sekumpulan murid diajar oleh seorang guru. Menurut Akta Pendidikan, murid atau pelajar merupakan seseorang yang menerima pendidikan atau latihan. Sebaliknya, guru bermakna seseorang yang:

(a)    Mengajar murid-murid di sekolah atau di institusi pendidikan,
atau
(b)   Menyediakan bahan pelajaran atau menanda skrip jawapan di sesebuah sekolah gaya pos.

Suasana fizikal bilik darjah adalah penting bagi pembelajaran sebab ia boleh menggalakkan atau menghalang pembelajaran. Suasana bilik darjah yang teratur merupakan sebahagian daripada pengajaran yang berkesan. Menurut Marland (1975), suasana fizikal dalam bilik darjah mungkin merupakan ‘kawan’ atau ‘musuh’ dalam pengajaran. Susunan fizikal biluk darjah boleh memberi sumbangan dari segi kawalan, pembelajaran, perhubungan guru dan murid, juga antara murid dengan murid dan keseronokan bekerja bersama-sama.


2.4 Konsep Pengurusan Bilik Darjah            
Pengurusan bilik darjah adalah satu proses untuk memastikan pelajaran dalam bilik darjah dapat berjalan dengan lancar walaupun pada masa yang sama berlaku gangguan daripada timgkah laku murid.  Ramai yang mengatakan pengurusan bilik darjah merupakan aspek yang paling sukar. 36% guru di Amerika menyatakan bahawa mereka tidak akan menjadi guru sekiranya mereka tahu akan menghadapi masalah dalam pengurusan bilik darjah. (laporan Pertubuhan Pendidikan Kebangsaan Amerika Syarikat, 1981).

Malah Maskowitz dan Hayman (1976) pernah menyatakan sekali guru kehilangan kawalan ke atas bilik darjah, akan menjadi lebih sukar untuk dapat dikawal semula. Secara umumnya pengurusan bilik darjah bolehlah diumpamakan seperti “pengorkestraan kehidupan dalam bilik darjah: merancang kurikulum, mengorganisasi prosedur dan sumber, menyusun atur persekitaran untuk memaksimumkan kecekapan, memantau kemajuan pelajar, dan menjangka kemungkinan masalah.” (Lemlech, 1988).

Namun begitu pengurusan bilik darjah yang berkesan dan berjaya menurut Anderson (1989) ialah tingkah laku yang menghasilkan  penglibatan pelajar yang maksimum dalam aktiviti pembelajaran dan meminimumkan tingkah laku pelajar yang mengganggu tugas guru dan pelajar lain serta penggunaan masa pembelajaran yang efisen.  

2.4.1 Peranan Guru Dalam Pengurusan Bilik Darjah
Di dalam mengurus bilik darjah seseorang guru berperanan besar bagi memastikan suasana bilik darjahnya bersifat kondusif dan selesa sesuai untuk dijalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Menurut Ee Ah Meng (1995), peranan guru adalah begitu rumit. Dia perlu mewujudkan suasana yang penuh kemesraan dan dan kasih sayang di dalam bilik darjah. Seorang murid memerlukan kasih sayang. Seseorang guru yang cekap pengajarannya tetapi tidak berupaya menunjukkan kemesraan dan kasih sayang masih tidak dapat memenangi hati murid-muridnya.

a)      Seseorang guru perlu mempelajari atau mengenali tentang murid yang ada di dalam bilik darjahnya. Ia bukan sekadar mengetahui nama muridnya sahaja tetapi lebih dari itu ia perlu mengetahui latar belakang muridnya, tahu siapa ibubapa mereka serta mengenali mereka. Dengan memiliki maklumat ini, akan memudahkan bagi guru untuk merancang dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.

b)      Guru juga merancang persekitaran bilik darjah dan rutin harian bagi tempoh satu-satu sesi pengajaran dan pembelajaran. Persekitaran fizikal bilik darjah mestilah menarik dan kondusif. Usah dipandang remeh soal lampu atau kipas yang tidak berfungsi, kerana ia sedikit sebanyak akan mengganggu tumpuan murid untuk menerima pelajaran. Begitu juga dengan hiasan bilik darjah dan soal kebersihan perlu diberi perhatian. Dan lebih penting ialah susunan atau susun atur bilik darjah mestilah sesuai kerana ia akan mempengaruhi keberkesanan pengajaran guru.
Kecekapan guru dalam mengurus penggunaan rutin di dalam bilik darjah akan menjamin kelancaran aktiviti-aktiviti seperti menanda jadual kedatangan, menyemak keadaan fizikal bilik darjah, mengeluar dan menyimpan bahan bantu mengajar, mengutip dan memulangkan buku latihan, mengutip yuran, menyediakan berbagai rekod, menguruskan Skim Pinjaman Buku Teks, Rancangan Makan Tambahan dan sebagainya. Dengan adanya rutin ini, segala aktiviti di dalam bilik darjah akan dijalankan dengan lebih teratur. Proses pembelajaran tidak akan terganggu dan proses pengajaran akan dapat disampaikan dengan lebih berkesan.

c)      Bagi menjamin pengajaran dan pembelajaran yang berkesan di dalam bilik darjahnya, seseorang guru hendaklah merancang objektif serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Guru, sebagai perancang hendaklah memikirkan objektif satu-satu pelajaran serta kaedah pengajaran yang akan digunakan. Guru hendaklah mengambil kira kebolehan dan minat murid-murid ketika membuat perancangan pengajaran. Di peringkat ini, guru juga merancang tentang cara menilai muridnya sama ada menggunakan ujian, lembaran kerja atau pun projek.

d)     Malah guru juga berperanan sebagai pegawai perhubungan awam semasa di dalam kelas apabila berkomunikasi dengan ibu bapa atau penjaga murid yang datang untuk bertanya tentang pencapaian anak-anak mereka. Guru perlu melayan ibu bapa atau penjaga murid sebagai pelanggan yang inginkan maklumat tentang pencapaian anak-anak mereka selepas sesuatu ujian atau peperiksaan diadakan.

     e)      Terkini, guru perlu merefleksi akan amalan pengajaran dan pembelajaran yang telah  mereka   
           jalankan bagi mencari kelemahan untuk diperbaiki dan dipertingkatkan lagi supaya hasilnya benar-  
           benar menepati objektif yang telah ditetapkan.

2.5 Amalan Pengurusan Bilik Darjah
2.5.1 Merancang
Seseorang guru perlu merancang perjalanan sesi pengajaran dan pembelajaran atau sesuatu aktiviti yang dijalankan di dalam bilik darjah. Dalam membuat perancangan pengajaran guru akan menentukan tajuk pelajaran, objektif yang hendak dicapai, serta jenis bahan pengajaran dan alat bantu mengajar yang akan digunakan bagi menghidupkan suasana pengajaran dan pembelajaran.
Selain perancangan pengajaran, guru juga merancang disiplin dan pengurusan bilik darjah yang baik agar pengajaran dan pembelajaran dapat berlangsung dalam keadaan yang tenteram. Guru perlu memikirkan cara-cara untuk mengurangkan masalah disiplin seperti menggalakkan aktiviti yang bermakna serta menyeronokkan. Aktiviti-aktiviti baru boleh menimbulkan unsur suspens dan mengagumkan.
Sebagai kesimpulan, bolehlah dikatakan bahawa kejayaan atau kegagalan satu-satu pelajaran atau kegiatan di dalam bilik darjah amat bergantung kepada perancangan teliti yang dibuat oleh seseorang guru.

2.5.2 Mengurus
Guru juga boleh bertindak sebagai seorang pegurus yang cekap.Ini penting bagi mewujudkan keadaan yang tenteram, kerana keadaan yang tenteram adalah selesa untuk pembelajaran. Sebagai pengurus guru akan memastikan segala kegiatan harian seperti menanda kedatangan dan mengedar serta mengumpul buku-buku latihan dijalankan dengan teratur.

Sebagai pengurus, guru juga menentukan bahawa susunan meja dan kerusi adalah sesuai bagi murid-muridnya. Masalah seperti halangan kepada penglihatan murid-murid yang lain hendaklah dielakkan. Penyusunan tempat duduk murid-murid mengikut kumpulan akan memudahkan interaksi antara guru dengan murid serta antara murid dengan murid.

Selaku pengurus yang baik, guru hendaklah mendengar masalah murid dan sentiasa memotivasikan orang yang dijaganya. Dia hendaklah berusaha untuk menggerakkan  muridnya supaya mereka terdorong untuk belajar dengan lebih tekun lagi. Pengurus yang cekap lazimnya berjaya membentuk disiplin kendiri individu-individu di bawah jagaannya. Oleh itu, sebagai pengurus guru juga berusaha untuk menimbulkan disiplin kendri di kalangan murid-muridnya. Situasi ini akan meningkatkan lagi mutu pengajaran-pembelajaran.

2.5.3 Mengelola
Selain mengajar, peranan guru sebagai pengelola tidak kurang juga pentingnya. Sebagai pengelola, guru menjalankan tugas-tugas berikut di dalam bilik darjah:

1-      Memastikan penyusunan kerusi meja adalah sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran.
2-      Menyediakan keadaan bilik darjah yang menggalakkan penyertaan murid-murid.
3-      Memastikan segala bahan, peralatan serta kelengkapan mencukupi.
4-      Menyediakan kumpulan-kumpulan yang senang mengambil bahagian dalam perbincangan seperti sesi buzz dan sumbangsaran.
5-      Memastikan masalah disiplin tidak timbul agar pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar.
6-      Menyediakan jenis penilaian dan melaksanakannya untuk mendapatkan hasil yang sah serta boleh dipercayai.

Sebagai pengelola yang cekap, guru akan berjaya menyediakan suasana bagi menjamin pengajaran-pembelajaran berlaku dengan berkesan.

2.5.4 Mengarah
Dalam pengurusan bilik darjah, para guru tidak dapat lari dari memimpin dan memberi arahan. Guru perlu menonjolkan dirinya sebagai seorang pengarah yang berjaya dan berkesan bagi memastikan bilik darjah yang dijalankan proses pengajaran dan pembelajaran benar-benar memberi erti kepada muridmurid yang diajarnya.
Field (2004) menyamakan peranan guru dengan peranan kapten sebuah kapal. Menurut beliau, bilik darjah boleh disamakan dengan sebuah kapal di mana guru adalah juru kemudi yang memimpin sekumpulan murid-murid yang mempunyai pelbagai personaliti. Kejayaan kepimpinan guru akan menentukan kejayaan sesebuah organisasi kecil yang dipimpinnya.

2.5.5 Mengawal
Kebolehan atau kemahiran mengawal yang dimiliki oleh guru turut memberi peranan yang besar dalam menjayakan misi mencapai target atau objektif pembelajaran. Keupayaan seorang guru untuk mengawal bilik darjahnya dari sebarang salah laku disiplin adalah satu kejayaan yang tidak kurang hebatnya. Tidak sedikit usaha yang dijalankan bagi mengawal bilik darjah benar-benar kondusif dan selesa bagi sesi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan bermakna.
Pembelajaran yang bermakna selalu dikaitkan dengan kualiti kepimpinan guru sarna ada berjaya mengawal dan mendorong, bertindak sebagai perujuk dan berkebolehan mempengaruhi pelajar untuk berusaha mencapai sesuatu objektif umpamanya objektif pembelajaran.

Guru juga dikaitkan dengan orang yang berkebolehan merancang, memberi arahan, mengawal perjalanan proses dan membentuk strategi bagi mencapai tujuan. Oleh itu, guru harus berkebolehan dan berupaya menukar tindakan atau sikap agar sesuatu matlamat tercapai.

2.6 Model Pengurusan Bilik Darjah
Pengurusan bilik darjah ialah suatu aspek yang penting dalam melaksanakan sesuatu pengajaran. Seseorang guru itu perlu tahu cara menyusun tempat duduk pelajar dan peralatan bilik darjah, mengurus pergerakan pelajar didalam kelas, dan mengawal disiplin pelajar di dalam kelas supaya pengajaran dapat berjalan dengan lancar. Ada guru yang menekankan  penyediaan bilik darjah yang selesa untuk belajar serta mewujudkan hubungan dua hala yang mesra.

Terdapat beberapa model yang dapat diaplikasikan dalam pengurusan bilik darjah. Antaranya yang akan dibincangkan ialah:

2.6.1 Modifikasi Tingkah Laku
Mengikut kamus Dewan  Edisi ke-4  modifikasi ertinya  proses (perbuatan atau tindakan) mengubah sedikit sesuatu (keadaan atau sifat) supaya sesuai dengan keperluan. Guru mengubah tingkah laku pelajar dari tingkah laku negatif kepada tingkah laku positif.

Pengurusan bilik darjah adalah satu set aktiviti yang menggalakkan lahirnya tingkah laku  positif.
*      Cth: jadual tugas harian yang disediakan  dapat memupuk sikap tanggungjawab dan mendisiplinkan murid. Secara tak langsung murid akan melibatkan diri secara aktif mengikut jadual yang telah ditetapkan.

2.6.2 Model Disiplin Asertif Canter
Model ini menekankan hubungan yang positif antara guru dan pelajar. Di mana guru menerangkan kehendak dan peraturan yang diingini kepada pelajar. Penerangan ini penting kerana setiap tingkah laku pelajar ada memberi kesan sama ada positif atau negatif. Dengan kata lain model ini mengutamakan kepentingan disiplin di dalam bilik darjah.

Matlamat utama model ini adalah berlandaskan kepentingan pematuhan pelajar di dalam bilik darjah supaya dapat membentuk satu suasana belajar yang kondusif serta berkesan untuk pembelajaran. Aspek pengurusan bilik darjah perlu dilakukan secara asertif  (berkeyakinan dan tegas) oleh itu guru perlu bertindak menjadi guru asertif.

Terdapat beberapa prinsip model yang dilaksanakan dalam model Canter:
      Guru perlu memberi peneguhan terhadap tindakan pelajar dengan wajar.
       guru harus merangka sistem dendaan dan ganjaran yang boleh dijadikan rujukan murid mengenai tingkah laku yang baik dan buruk.

Pandangan Canter adalah untuk mengawal dan mengajar dengan berkesan, seseorang guru perlulah bersifat tegas. Mengikut disiplin Canter guru ada kuasa untuk menetapkan peraturan di dalam bilik darjah dan mengorganisasikan satu perjumpaan dengan pelajar untuk jelaskan peraturan yang perlu dipatuhi. Jika terdapat peraturan bilik darjah yang dilanggar, guru perlu mengambil tindakan bilik darjah dengan serta merta.

2.6.3 Model Akibat Logikal oleh Rudolf Dreikurs
Model ini menekankan kepentingan guru memberikan kepercayaan dan tanggungjawab kepada murid-murid untuk bersama-sama menjaga disiplin di dalam bilik darjah. Guru perlu mengenalpasti punca salah laku murid, disamping itu murid perlu dibimbing untuk memahami peraturan di dalam bilik darjah. Murid juga perlu dilatih untuk mendapatkan kawalan kendiri terhadap pengurusan disiplin bilik darjah. Secara keseluruhannya, murid dan guru bersama-sama memikul tanggungjawab dalam pengurusan disiplin bilik darjah agar amalan demokrasi dapat diaplikasikan.

Tingkah laku bermasalah berpunca daripada motif-motif berikut:
• mendapatkan perhatian
• mencabar kuasa
• membalas dendam
• mempamerkan kekurangan

Cara komunikasi guru yang berkesan untuk menangani salah laku
• berkomunikasi perkara yang positif
• galak peningkatan murid
• kenal pasti kelemahan murid
• belajar daripada kesilapan
• percaya kebolehan murid
• bekerjasama
• rasa bangga pencapaian murid
• optimis
• beri galakan dan motivasi

2.6.4 Terapi Realiti Glasser
Model Terapi Realiti ini diasaskan oleh William Glasser(ahli psikologi) pada tahun 1950-an. Beliau telah banyak menulis serta mengemukakan pendapat mengenai isu-isu pendidikan dan disiplin. Buku pertama beliau bertajuk ‘Reality Theraphy: A New Approach to Psychiatry” yang memperkatakan tentang terapi realiti.

Asas utama kepada model ini ialah setiap tingkah laku yang ditunjukkan oleh individu berasaskan pilihan yang dibuat. Pilihan yang dibuat oleh individu pula berdasarkan keperluan-keperluan asas mereka. Menurut Glasser, masalah tingkah laku yang berlaku di dalam bilik darjah adalah akibat dari rasa bosan atau tidak puas hati dengan jangkaan guru di dalam bilik darjah, keadaan persekitaran yang menyebabkan murid gagal memenuhi keperluan asas mereka di sekolah. Antara keperluan asas murid ialah :

a)      kasih sayang –
b)      mempunyai kuasa dan kawalan
c)      kebebasan
d)     keseronokan

Model terapi realiti yang merupakan satu teknik kauseling untuk membantu individu meneroka kemahuan diri, membuat refleksi tentang apa yang sedang dilakukan dan membuat perancangan tentang kehendak sebenar mereka pada masa akan datang. Melalui terapi realiti, guru dapat:

- membantu murid kenal pasti akibat tingkah laku yang ditunjukkan.
- pastikan akibat realiti atau dipilih oleh murid.
- kemukakan pelan perancangan untuk membantu murid mengurus tingkah laku.
- bertindak sebagai pembimbing murid.

Terapi realiti membantu murid mengenal realiti kehidupan dalam memenuhi keperluan mereka mengikut peraturan yang telah ditetapkan.


Kurikulum yang berkualiti
• akan meningkatkan mutu pendidikan
• kurikulum ini bermula dengan perancangan yang berkesan, permulaan pengajaran yang memotivasikan murid, perbincangan yang berpusatkan murid dan beri peluang kepada murid untuk memahami dan meneroka apa yang diajar.

Kualiti pengajaran
• persekitaran bilik darjah yang tenang dan kondusif
• guru perlu lebih sifat sebagai pembimbing bukan pengarah
• tugasan-tugasan pengajaran dan pembelajaran perlu yang berkaitan dengan kehidupan   
   seharian murid
• berikan galakan kepada murid untuk memberikan yang terbaik
• beri peluang kepada murid untuk menilai kerja masing-masing dan memperbaikinya

Guru yang membimbing akan:
• memahami murid 
• menyediakan aktiviti p&p yang menyeronokkan
• berbincang dengan murid
• menggalakkan murid meneroka p&p
• menyediakan bahan bantu belajar yang berkesan
• menunjukkan kaedah yang terbaik untuk mendapat hasil pembelajaran

Membina bilik darjah yang berkualiti
• tabiat - elakkan mengamal tabiat buruk ganti dengan tabiat yang boleh kekalkan hubungan baik
• mesej- sampaikan mesej kepada murid tentang hasrat dan pendirian 
• bina hubungan dengan guru murid
• peraturan kelas
• elakkan daripada menggunakan kawalan luaran seperti mendenda, mengarah atau mengancam murid apabila timbul masalah
• pengetahuan
• kompentensi
• kualiti
• penilaian
• kefahaman dan penggunaan
                       
2.6.5 Model Pengurusan Kelompok Kounin (1970)
Model pengurusan  kelompok kounin bergantung kepada pengawasan dan penyeliaan guru yang teliti terhadap aktivit-aktiviti dalam bilik darjah. Ia mencadangkan teknik dan strategi yang proaktif bagi menggalakkan dan mengekalkan tingkah laku sosial dan akademik yang baik. Diperkenalkan supaya pelajar melibatkan diri dan mengurangkan ganguan dalam kelas dan membuktikan bahawa teknik atau pendekatan yang digunakan oleh guru lebih penting berbanding personaliti guru dalam aspek pengurusan bilik darjah.

Model ini memberi fokus kepada pencegahan disiplin dengan menggunakan strategi dan teknik untuk mengelakan kesalahan tingkah laku pelajar. Ia direka untuk mencegah masalah di peringkat permulaan. Kounin menyatakan pengurusan kelas  yang baik bergantung pada pengurusan kelas yang berkesan. Kajian ini telah menemukan istilah ‘ripple effect’.  Ripple effect ialah teguran dan tindakan guru terhadap pelajar yang melakukan kesalahan akan mempengaruhi  pelajar lain. Beliau menjelaskan guru yang efektif adalah guru yang menghalang dari berlakunya masalah pengurusan bilik darjah.

Teori Kounin :
2.6.5.1 Kesedaran dan kepekaan (Withitness)
q  Kesedaran dan kepekaan guru dalam mengawasi pergerakan dalam bilik darjah.
q   guru bertanggunjawab memerhatikan sikap pelajar dalam kelas.
q   guru mesti mengetahui perkara asas berkenaan murid.
            ( contoh: nama, hobi, kekuatan dan kelemahan)
q  Guru perlu menggunakan teknik non-verbal (bahasa badan).

2.6.5.2 Pertindanan (Overlapping)  
q  Menangani lebih daripada satu situasi dengan serentak  (pertindihan).
q  Guru boleh mengawal kelas dalam 2 situasi berbeza dalam satu masa.
            Contoh: Mariam, teruskan dengan pembacaan awak, Azizah sila beri perhatian dan   
                          jangan bercakap.



2.6.5.3 Kelicinan (Smoothness)
q  Guru memberi peluang kepada pelajar untuk bertanya soalan atau member pendapat berkenaan dengan pengajaran.
q   Guru dapat menilai tahap pengajaran berdasarkan soalan dan komen yang diberikan.
q   Guru sebagai fasilitator semasa kerja berkumpulan dan memberi cadangan kepada pelajar jika diperlukan.

2.6.5.4 Momentum 
q  Guru memulakan pengajaran yang menarik, lancar serta membuat rumusan di akhir pengajaran dengan berkesan.
q   Mengambil kira aspek minat, kebolehan dan perkembangan pelajar.
q   Menerangkan konsep terlebih dahulu supaya pelajar faham.

2.6.5.5 Kepekaan Kelompok/Kumpulan
         Perhatian kumpulan(Group alerting) :
         Pelajar lain memberi perhatian semasa rakan memberi penerangan.
         Menggalakkan akauntabiliti(Encouraging accountability) :
         Memberitahu pelajar bahawa mereka diperhatikan dan akan dinilai.
         Format penyertaan tinggi(High participation format)
         Mentakrifkan tingkah laku pelajar apabila mereka tidak menjawab soalan guru secara langsung.

2.7 Masalah dan Halangan Pengurusan Bilik Darjah  

Bilik darjah merupakan tempat yang paling penting proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana murid banyak menghabiskan masa di dalam bilik darjah untuk menimba ilmu. Secara rasmi, bilik darjah boleh ditakrifkan sebagai sebuah bilik di mana sekumpulan murid diajar oleh seorang guru. Kemahiran guru dalam memanipulasi saiz dan ruang bilik darjah akan menjadikan ruang yang sedia ada relevan dan menarik untuk keperluan pelajar. Pengurusan bilik darjah merupakan salah satu elemen yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran kerana ianya dapat meningkatkan motivasi pelajar untuk terus berjaya dalam pelajaran.

Namun terdapat beberapa masalah dan halangan yang sering mengganggu dalam pengurusan bilik darjah. Masalah dan halangan ini dapat dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu masalah disiplin, tingkah laku, komunikasi dan interaksi. Disamping itu terdapat beberapa faktor yang menjadi halangan kepada pengurusan disiplin bilik darjah iaitu hubungan ibu bapa, pengaruh rakan sebaya, keadaan persekitaran bilik darjah, masalah perkembangan murid dan salah laku yang tidak dijangka.

Berikut pecahan atau huraian tentang masalah disiplin yang bersifat disruptif seperti tidak memberikan perhatian, menganggu rakan, bercakap, makan dan tidur didalam kelas, keluar dari bilik darjah tanpa kebenaran, lewat masuk kelas, tidak membawa buku latihan/teks, menunjukkan sikap biadap terhadap guru, membuli, melepak, berlari, menjerit di koridor. Termasuk juga dalam kategori kesalahan disiplin ialah masalah masalah kekemasan diri contohnya tidak memakai lencana, tanda nama, stoking, kuku panjang, warna rambut dan pelajar lelaki berambut panjang.

Selain dari disiplin, soal tingkah laku di dalam bilik darjah juga merupakan masalah dan halangan dalam pengurusan bilik darjah. Menurut Shrigley (Levin & Nolan, 2004) apa jua tingkah laku yang mengganggu pengajaran guru atau bersifat tidak selamat dari segi psikologi mahupun fizikal ditakrifkan sebagai tingkah laku distruptif. Justeru perbuatan seperti kurang memberikan perhatian, hiperaktif, pendiam, sensitif, apati (tidak kisah kepada arahan guru), sikap melengahkan dan sambil lewa, gemar bercakap, menganggu rakan, membuli, berbohong, menipu, menimbulkan kekecohan dalam bilik darjah, kurang sopan, mencuri, merosakkan harta benda dan mudah marah dan agrasif. Manakala tingkah laku distruktif pula ialah permusuhan nyata, vandalisme, kumpulan liar, klik atau geng.

Masalah gangguan atau halangan dalam komunikasi antara pelajar dengan guru juga berlaku mungkin disebabkan suasana kelas yang bising menyebabkan pelajar sukar mendengar pelajaran yang disampaikan. Terdapat juga pelajar yang kurang berminat terhadap sesuatu subjek telah menyebabkan pelajar itu mempunyai pemikiran tertutup terhadap subjek tersebut. Pelajar enggan mendengar pengajaran guru dan mengehadkan aktiviti pembelajaran terhadap subjek tersebut. Contohnya pelajar itu tidak suka kepasa subjek Sains. Guru sains mempunyai masalah kerana terpaksa menanamkan minat kepada setiap pelajar untuk mendapatkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Selain itu masalah bahasa juga menyumbang masalah komunikasi. Contohnya seorang guru Melayu mengajar di sekolah kebanyakan pelajarnya majoriti Cina atau India. Pelajar tersebut tidak dapat memahami bahasa Melayu yang digunakan oleh guru dengan sepenuhnya.

Pembelajaran dan pengajaran juga tidak dapat berlangsung dengan efektif sekiranya terdapat masalah dalam cara mewujudkan interaksi yang berkesan dalam bilik darjah. Interaksi boleh berlaku antara objek atau organisma yang tidak bertindak balas. Sebagai contoh, bila guru berkomunikasi secara lisan atau melalui media, interaksi berlaku. Seorang pelajar berkomunikasi bersama guru manakala dia hanya berinteraksi dengan sebuah komputer. Pelajar mengalami masalah takut untuk berbincang dalam bilik darjah atau pun mereka tidak berminat dengan topik perbincangan guru. Selain itu guru tidak dapat memadankan bahan – bahan pelajaran yang sesuai dengan umur kognitif para pelajar. Guru terlalu mengikut sukatan pelajaran dan mengabaikan tahap pembelajaran Masteri. Ini ialah kerana bahan pembelajaran terlalu sukar, pelajar tidak dapat menyertai dalam proses interaksi yang efektif dalam proses pembelajaran dan pengajaran

Masalah lain yang dihadapi di dalam bilik darjah ialah suasana bilik darjah yang kurang selesa. Keadaan bilik darjah yang tidak terurus, kerusi meja yang banyak dan nampak berselerak, cahaya yang tidak mencukupi, panas, bekalan elektrik tidak ada atau sudah tidak berfungsi menimbulkan ketidakselesaan kepada pelajar menyebabkan mereka gelisah. Oleh sebab itu, mereka tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran sepenuhnya dan ini memungkinkan berlaku gangguan kepada pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, bilangan pelajar yang terlalu ramai juga merupakan faktor yang mendorong kepada masalah di dalam bilik darjah. Guru tidak akan dapat mengawal kelasnya dengan baik apabila bilangan pelajar terlalu ramai lebih-lebih lagi terdapat berbagai-bagai tahap kebolehan pelajar. Ada pelajar yang lemah, sederhana dan tinggi tahap kebolehan menerima apa yang diajar oleh guru. Guru tidak mampu melayan semua karenah pelajar di dalam kelas tersebut. Jadi, pelajar yang tertinggal atau tidak berminat mengikuti pengajaran guru akan melakukan aktiviti-aktiviti yang mengganggu pengajaran dan pembelajaran. Contohnya membuat bising, mengganggu rakan dan bergerak ke sana sini.

sumber: pengurusan bilik darjah dan tingkah laku oleh Haliza Hamzah, Joy Nesamalar Samuel)

2.8 Kesimpulan
Pengurusan bilik darjah yang baik tidak akan berlaku tanpa perancangan. Setiap aktiviti pengajaran akan berlaku dengan lancar  sekiranya bilik darjah mempunyai aktiviti pembelajaran yang tidak ada gangguan tingkah laku yang tidak menyenangkan. Jelaslah bahawa pengurusan bilik darjah merupakan tugas penting yang memerlukan pengetahuan, kemahiran, kesabaran dan komitmen yang optimum bagi memperoleh kesan yang maksimum. Harus diingat bahawa guru perlu mendapat maklumat secukupnya tentang bilik darjah dan pelajar-pelajarnya terlebih dahulu sebelum menjejakkan buat pertama kali ke dalam bilik darjah berkenaan. Persediaan JERISAH (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek, Sosialisasi, Alam, Hamba-Allah) guru yang lengkap akan membolehkan pengajaran dan pembelajaran dijalankan dengan jaya, ceria dan cemerlang.

Kepimpinan bilik darjah yang diamalkan oleh guru bukan sahaja boleh menentukan pencapaian matlamat sebuah bilik darjah malah memberi kesan ke atas semua individu yang ada dalam bilik darjah tersebut. Guru harus bertindak termasuk merefleksi diri; cuba melaksanakan pembelajaran secara kolaboratif dan penyelesaian masalah dalam menuju ke arah kepimpinan bilik darjah yang berkesan.

Timbul satu persoalan di sini: Patutkah kepimpinan bilik darjah ini diperluas dan dikembangkan di kalangan guru untuk menjayakan program pendidikan kita? Ini adalah persoalan yang belum dijawab lagi, yang membuka ruang yang luas kepada setiap individu guru untuk membuat kajian lanjut. 

RUJUKAN
Banathy, B. H. (1991). Systems design of education: Ajourney to create the future.Englewood.  

Ahmad Zabidi Abdul Razak, Jurnal Pendidikan 31 (2006) 3 - 19 3, Ciri Iklim Sekolah Berkesan: Implikasinya Terhadap Motivasi Pembelajaran, 128- Masalah Pendidikan 2005, Universiti Malaya.

Chew Fong Peng & Abdul Jalil Othman, 2008, Pengabaian Kemahiran Mendengar dan Bertutur dalam Bilik Darjah di Sekolah Menengah: Punca, Masalah dan Kesannya di Malaysia.

Dr. Ragbir Kaur Joginder Singh (Phd), 2012 Panduan Ilmu Pendidikan Untuk DPLI Pedagogi, Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

Mohd Hasani Dali & Mohamad Johdi Salleh (2009). ‘Pengurusan Bilik Darjah’. Dalam Noraini Idis dan Shuki Osman, Pengajaran dan Pembalajaran: Teori dan Praktis. Kuala Lumpur: McGraw Hill. Pps 161 – 188. ISBN 978-983-3850-54-9.