Selasa, Ogos 04, 2009

bazar baca!

as-salam.....
28 julai 2009 yang lalu aku ke muadzam shah, pelbagai urusan, bila dah beres aku ke smk muadzam shah sebab ada bazar baca! diskaun hebat sehingga 70%. sebenarnya pameran dan jualan buku anjuran smk muadzam shah dengan pustaka cahaya bintang, segamat, tak lah banyak sangat bukunya. tak penuh pun dewan sekolah tu. buku-buku yang ada pun tak banyak, lebih kepada buku yang berbentuk peperiksaan seperti upsr, pmr, spm dan stpm. buku akademik pun lebih menjuruskan kepada pendidikan dan perguruan, tiada buku-buku yang hebat, yang dapat menarik perhatian aku. pusing-pusing aku dan isteri aku serta 4 orang anak, aku pun belilah beberapa buah buku dan majalah. novel sejarah islam khalifah abu bakar, uthman, ali, salahuddin al-ayubi dan thariq berjaya menarik minat aku. bukannya apa, anak dara aku yang nombor dua tu minat sangat membaca, terutama novel kisah cinta. jadi aku bercadang nak ubah perhatian dia kepada novel atau cerita yang lebih berfaedah sedikit. yang ada manfaat dan lebih memberi kesan dalam hidup kita. al-hamdulillah, nampaknya berjaya sebab komen pertamanya ialah: bestlah ayah cerita yang kita baca ni. buku yang mula dibacanya ialah uthman bin affan, pengumpul a-quran. aku pun belum baca lagi buku-buku tu, malah buku 'kisah-kisah daripada Rasulullah' hasil tulisan Allahyarham dato' ishak baharom yang aku beli dari ust. suhaimi said pada malam rabu kuliah kat masjid pun belum sempat aku baca, walau kisahnya menarik untuk kita hayati dan teladani.

tajuk memang hebat 'bazar baca!' tapi pengunjung tak ramai walau pamplet dah di hantar ke sekolah-sekolah. mungkin ibubapa belum balik kerja. lagi pun bazar baca tu dua hari dari pukul 9 pagi hingga 9 malam. aku tak tahu pulak sambutan selepas itu. samada bazar tu berjaya ke tidak. kalau di pesta buku di bandar-bandar besar, sambutannya hebat dan meriah, aku saja yang tak berpeluang lagi nak merasa kehangatan pesta buku walau di mana sekali pun diadakan. tapi tak kisahlah kalau aku pergi pun bukan ada bajet nak beli.

teringat aku pada satu kajian yang pernah dibuat sedikit masa dulu, rakyat malaysia membaca buku cuma satu mukasurat sahaja dalam setahun. membaca suratkhabar, majalah dan jurnal tidak dianggap membaca buku walau setiap hari menatap dan membaca akhbar
harian. itu kajian dulu, kajian yang terbaru aku tak tahu lah pulak mungkin dah ada perubahan kot. tak pun budaya membaca dah tumbuh dan melekat dalam minda setiap rakyat malaysia, tak perlu nak kempen macam yang terjadi pada kempen tak nak merokok. kempen tinggal kempen, yang merokok terus merokok dan tak ada gaya nak berhenti pun walau harga telah dimahalkan, konon-kononnya.

bukan tak ada yang minat membaca, ramai dan memang ramai tapi budaya membaca dikalangan remaja agak mendukacitakan. mereka lebih gemar dan suka membaca majalah-majalah hiburan dari buku-buku yang bersifat akademik dan ilmiah. sebab itu muncul bermacam-macam majalah hiburan di pasaran, semuanya membawa ke arah hiburan yang memdorong golongan remaja terkinja-kinja untuk turut serta atau sekadar menjadi peminat fanatik kepada seseorang artis. tidak hairanlah juga stesen tivi begitu aktif menerbitkan rancangan realiti yang berbentuk hiburan dan membuat remaja khususnya remaja melayu yang mengaku beragama Islam untuk terus hanyut dibuai khayalan, berangan-angan untuk memjadi terkenal seantero dunia. tapi lupa bahawa dada kosong tanpa ilmu dan jiwa pula kalau tidak mati pun, telah hilang jati diri seorang yang beriman.

kesedaran tentang pentingnya amalan membaca telah diketahui ramai, tetapi ia harus sentiasa dipupuk dan disemai seperti kita menanam sebatang pokok, apakah setelah ditanam kita hanya membaja dan menyiram sekali sahaja? kemudian dibiarkan ia membesar tanpa pengawasan dan penjagaan yang rapi. begitulah juga dengan tabiat suka membaca, ia perlu dididik, dibimbing dan digalakkan dari kecil untuk meminati buku, apatah lagi yang dapat membina minda bersih dan jati diri seorang insan yang berfikiran positif dan bergerak ke arah yang positif. hasil dari pembacaannya, ia dapat mendorong dirinya dan orang lain untuk sama-sama melakukan kebaikan dan memghindar diri dari melakukan atau menghampiri perkara-perkara yang negatif, yang bukan sahaja dirinya akan rosak tetapi orang yang mencontohi perangainya juga turut akan rosak.

sama-samalah kita berdoa semoga budaya dan amalan suka membaca ini menjadi kegilaan semua, apatah lagi Ibnu Khaldun pernah berkata: 'tiada pembelajaran tanpa berfikir'. kalau kita tidak membaca, bagaimana kita hendak dan mahu berfikir tentang sesuatu perkara. oleh itu BACALAH!!!