Jumaat, Ogos 26, 2011

Jiran Kita Tetangga Kita.



Rasulullah S.A.W bersabda, yang bermaksud:

"Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari Kemudian,hendaklah ia memuliakan jiran tetangganya."


Huraiannya:

Menghormati jiran tetangga, khususnya tetangga Islam adalah dititik beratkan oleh Islam. Antara hak berjiran ialah memberi salam apabila bertemu, memenuhi undangannya jika dijemput, menziarahinya ketika sakit, menolongnya ketika kesempitan, tidak menyakiti hatinya, menyembahyangkannya apabila meninggal dunia dan mengiringi jenazahnya.

Biasanya, seseorang ahli masyarakat mestilah mengambil kira beberapa perkara dalam menjalinkan hubungan kejiranan yang harmoni dengan tetangganya. Antara lainnya: tidak melakukan penganiayaan terhadap mereka, melindungi mereka dengan bersikap mengambil berat terhadap kesusahan mereka dan menyelamatkan mereka dari bahaya, mengucapkan tahniah atas kejayaan, takziah atas kemalangan, menasihati ke jalan yang benar, membantu sedaya mampu dan juga bersikap lapang dada dengan memaafkannya serta sentiasa meminta maaf jika kita terkasar.