Rabu, Disember 14, 2011

Siapa Lebih Hebat.

Rasulullah S.A.W telah bersabda maksudnya, "Di waktu Allah menjadikan bumi dan bumi sering bergoncang lalu Allah menjadikan pula gunung-ganang sebagai pasaknya. Dari saat itu, bumi tidak lagi bergoncang." Para malaikat mendengar dengan penuh kagum lalu bertanya satu dari mereka, "Wahai Tuhan kami, adakah makhluk-Mu yang lebih hebat dari gunung-ganang ini?" Allah S.W.T berfirman. "Ya, ada iaitu besi."

Malaikat bertanya lagi, "Wahai Tuhan kami, adakah lagi makhluk-Mu yang lebih hebat dari besi?" Allah S.W.T berfirman, "Ya, ada iaitu api." Malaikat bertanya lagi, "Wahai Tuhan kami, adakah makhluk-Mu yang lebih hebat dari api?" Allah S.W.T berfirman, "Ya, ada iaitu air." Malaikat bertanya lagi, "Wahai Tuhan kami, adakah lagi makhluk-Mu yang lebih hebat dari air?" Allah S.W.T berfirman, "Ya, ada iaitu angin." Malaikat bertanya lagi, "Wahai Tuhan kami, adakah lagi makhluk-Mu yang lebih hebat dari angin?"

Allah S.W.T berfirman, "Ya, ada iaitu anak Adam. Bila mereka memberi satu derma dari tangan kanannya sedangkan sedekah itu tidak diketahui langsung oleh tangan kirinya, maka yang demikian itu lebih hebat dari angin." Dari dialog ini dapat kita ketahui bahawa sedekah yang dilakukan dengan ikhlas semata-mata untuk mengharapkan keredhaan Allah oleh setiap anak Adam yang beriman sebenar-benarnya mereka adalah makhluk Allah yang paling hebat sekali di muka bumi ini.


nota b.tan. -

Semua makhluk ada kelebihan dan kekurangannya tak kira apa jenis sekali pun sama ada manusia mau pun haiwan. Tak usahlah kita sesama manusia mendabik dada untuk bermegah dengan kehebatan yang hanya pinjaman dari Allah Yang Maha Hebat. Walau siapa pun kita, kayakah atau gagah dengan badan yang sasa tetapi jika ditimpa sakit yang paling ringan iaitu sakit gigi tetap akan terasa lemah badan. Malah semua kehebatan adalah milik Allah, Tuhan Robbul Jalil yang menguasai seisi alam ini dan mentadbirnya tanpa bantuan dari sesiapa pun.