Ahad, Oktober 07, 2012

KERTAS KERJA KURSUS HUBUNGAN ETNIK : MEMAHAMI MASYARAKAT CINA.



Pendahuluan:

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah S.W.T., selawat serta salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W., utusan Allah, para rasul, para sahabat serta pengikut-pengikut baginda sehingga ke hari ini.

Alhamdulillah, bagi menyiapkan tugasan individu yang diamanahkan, saya telah memilih sebuah buku yang dipinjam dari Perpustakaan Awam Daerah Bera yang berjudul Siri Kajian Hubungan Etnik: Memahami Masyarakat Cina. Buku ini telah disusun oleh Dani Ahmad Ali dan diterbitkan oleh Pustaka Kelisa pada tahun 2010.

Buku ini juga menggunakan laras bahasa yang mudah difahami dan sesuai untuk bacaan umum, terdapat sisipan informasi, gambar berkaitan, glosari dan latihan kefahaman. Buku ini sesuai dijadikan sebagai bahan  rujukan tambahan kepada pelajar yang yang mengambil kursus Hubungan Etnik dan juga berguna kepada mahasiswa dan mahasiswi bidang pengajian Malaysia lainnya.

Semoga dengan pembacaan buku ini akan dapat memberi pemahaman yang lebih luas dan jelas lagi ke arah  menyalurkan maklumat dan pengetahuan tentang hubungan etnik serta latar belakang sejarah hubungan kaum di Malaysia. Bersesuaian dengan firman Allah S.W.T. dalam al-Quran, surah al-Hujrat ayat 13 yang bermaksud:

“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali antara satu sama lain. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Akhir kata, selamat membaca kerana dengan membaca, selangkah kita untuk menambah ilmu pengetahuan.

Membaca Jambatan Ilmu, Tak Membaca Jambatan Dungu.


  
ISI KANDUNGAN BUKU:


KAUM CINA DI MALAYSIA                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                              

KAUM CINA PERANAKAN

DIALEK KAUM CINA

AGAMA ANUTAN KAUM CINA

PERKAHWINAN KAUM CINA

ADAT SEBELUM BERKAHWIN

PERAYAAN TAHUN BARU CHINA                                                            

SENI TARIAN KAUM CINA

PAKAIAN TRADISIONAL

CINA DALAM PERNIAGAAN

GLOSARI

LATIHAN KEFAHAMAN

  
Isi-isi Penting:   

 Ulasan:
Setelah membaca buku yang ditulis oleh Dani Ahmad Ali ini, sedikit sebanyak telah
memberi kefahaman kepada pembaca tentang pola kehidupan masyarakat Cina di
Malaysia. Didapati mereka berasal dari Tanah Besar China yang menjadi warganegara
atau penduduk tetap di Malaysia.

Kebanyakan mereka ialah keturunan pendatang dari China yang tiba di Malaysia sekitar
abad ke 15 hingga pertengahan abad ke 20. Di Malaysia kebiasaannya, kaum ini dirujuk
atau digelar sebagai “orang Cina” dalam semua bahasa. Istilah orang Cina Malaysia agak
jarang digunakan di negara ini.

Pendatang Cina awal (sejak abad ke 15 di Melaka, abad ke 18 di Pulau Pinang)
membentuk suku kaum Cina Peranakan atau Cina Selat yang mengamalkan kebanyakan
adat Melayu secara berperingkat-peringkat yang berbeza, (terhad di Pulau Pinang,
menyeluruh di Melaka), berbahasa Melayu tetapi mengekalkan kepercayaan asal mereka.
Sebaliknya pula, pendatang-pendatang dari Tanah Besar China pada awal abad ke 19
yang mengekalkan adat Cina dikenali sebagai Sinkheh –“tetamu baru”.

Kaum Cina di Malaysia didapati juga mengekalkan identiti yang amat ketara bezanya
dengan kaum lain serta jarang berkahwin campur dengan orang Melayu atas sebab agama
dan budaya. Ini adalah kerana kebanyakan orang Melayu beragama Islam. Di bawah
undang-undang Malaysia, perkahwinan sedemikian memerlukan pihak bukan beragama
Islam untuk memeluk agama yang dianuti pasangannya terlebih dahulu. Apatah lagi,
orang Cina Malaysia menganggap “kecinaan” mereka sebagai satu identiti, budaya dan
politik.

Orang Cina Malaysia sejak sekian lama menguasai ekonomi Malaysia, tetapi sejak
adanya Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia untuk member
kesamaratan dalam kek ekonomi Negara, dominasi mereka dalam ekonomi agak
menyusut. Walau bagaimana pun, masyarakat Cina masih membentuk majoroti golongan
yang berpendapatan sederhana dan tinggi di Malaysia. Pada tahun 2006, terdapat 7
hingga 7.5 juta orang Cina di Malaysia. Hingga 2004 sahaja, mereka menjadi bangsa
terkaya di Malaysia dengan penguasaan 40.9 peratus jumlah ekuiti hak milik ekonomi
negara. 

Kebanyakan pendatang Cina di Tanah Melayu berasal dari China selatan, terutamanya di
wilayah Fujian dan Guandong. Pada abad ke 19, mereka datang untuk bekerja sebagai
“buruh terikat” melalui perjanjian bertulis “indentured labour”, dikenali sebagai kuli-
“kuasa susah payah”. Yang selainnya dating secara bebas untuk bekerja dan didukung
oleh Persatuan Suku Kaum. Populasi orang Cina di Tanah Melayu mencecah 269854
pada tahun 1911 dan kira-kira sejuta orang sekitar tahun 1949.

Menurut buku Hubungan Etnik: Konsep dan Amalannya di Malaysia, yang diterbitkan
oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (2008), Hubungan tanah besar China dengan
Semenanjung Tanah Melayu telah wujud sejak sekian lama iaitu sejak kelahiran kerajaan
maritim di rantau ini seperti kerajaan Langkasuka di Kedah, yang diasaskan pada tahun
100M. Orang Cina mula bertumpu ke Negara ini sejak akhir abad ke-18 dan awal abad
ke19 lagi. Pulau Pinang dan Singapura menjadi destinasi utama mereka apabila kedua-
dua pulau itu mula di buka oleh British pada tahu 1786 dan 1819. Walau bagaimana pun,
ini tidaklah bermakna bahawa orang Cina belum ada di negara ini sebelum tempoh itu.
Ini kerana mereka sudah pun ada di Riau yang ketika itu masih dalam kekuasaan Johor
sebagai peladang gambir dan lada hitam tetapi kemudian berpindah ke Singapura selepas
ia dibuka. Hanya pada awal abad ke 19 baru mereka mula memasuki negeri-negeri
Melayu di pantai barat terutama di Lukut dan Sungai Ujong apabila dibawa masuk oleh
para pembesar Melayu untuk bekerja di lombong-lombong bijih timah.

Mulai pertengahan abad ke-19, saudagar-saudagar Cina dan Eropah pula membawa
masuk orang Cina setelah saudagar-saudagar berkenaan mendapat konsesi untuk
mengerjakan lombong daripada pemerintah tempatan. Bagaimanapun, bilangan mereka
tidaklah besar. Pada pertengahan abad ke-19 ini juga, peladang-peladang gambir dan lada
hitam yang tertumpu di Singapura mula memasuki Johor. Mereka diberi kawasan di
sepanjang sungai oleh pemerintah Johor untuk membuka ladang.

Menurut Dani Ahmad Ali dalam sebuah lagi bukunya yang berjudul Sejarah Hubungan Kaum pula,
pada 9 Oktober 1844, Temenggung Daeng Ibrahim, Pemerintah Kerajaan Johor telah
mengeluarkan Surat Sungai yang pertama kepada seorang pekebun Cina bernama Lau
Lib Keng. Dengan ini maka bermulalah penghijrahan orang-orang Cina dari Singapura ke
Johor dan bermulalah penanaman gambir dan lada hitam secra komersial di Tanah
Melayu. Corak pentadbiran kerajaan Johor ke atas pekebun-pekebun Cina ini
kemudiannya dikenali sebagai Sistem Kangcu dan kawasan lading gambir serta lada
hitam pula disebut Kangkar.

Kangcu adalah perkataan Teochiew yang bererti Ketua Petempatan Cina, manakala
Kerajaan Johor menggunakan istilah Tuan Sungai. Surat Sungai yang pertama ini
menyatakan bahawa “Ungku Temenggung Seri Maharaja memberi surat tanda keterangan
kepada orang Cina yang hendak berkebun dalam tanah Johor’. Di dalam surat itu juga
dijelaskan bahawa Tuan Sungai mestilah membayar cukai kepada Ungku Temenggung.
Jika tidak dijelaskan bagi tempoh tiga tahun, Tuan Sungai tersebut akan menerima
hukuman yang berat. Di samping itu juga seorang Tuan Sungai mesti mematuhi beberapa
peraturan lain. Peraturan-peraturan ini terkandung dalam beberapa dokumen seperti Surat
Jual beli, Surat Pajak dan Surat Tauliah. Dokumen yang penting ialah Surat Tauliah yang
menggariskan 17 undang-undang mengenai kuasa dan tanggungjawab tiap-tiap Tuan
Sungai. Dalam tahun1862 sebanyak 37 Surat Sungai telah dikeluarkan oleh Kerajaan
Johor. Dengan itu Johor telah menjadi pengeluar gambir dan lada hitam yang terkemuka
di Nusantara mendahului Singapura dan Kepulauan Riau. Di Perak pula, Long Jaafar
yang menjadi pembesar Larut telah membawa masuk buruh-buruh Cina dari negeri-
negeri Selat pada pertengahan abad ke-19 untuk mengerjakan lombong bijih timah di
Larut.

Gelombang kedatangan buruh Cina semakin hebat pada akhir abad ke-19 dan awal abad
ke-20 sejajar dengan perkembangan dalam perusahaan perlombongan timah. Antara
sebab kedatangan orang Cina di Tanah Melayu adalah seperti berikut:

(a)    Faktor penolak

(i)                 Sebab sosial dan ekonomi-
Pertambahan penduduk yang tidak seimbang dengan pembukaan tanah
pertanian turut menyebabkan hasil pertanian tidak mencukupi. Sebagai
contoh, penduduk Cina berjumlah 181 juta pada tahun 1751 telah bertambah
menjadi 432 juta pada tahun 1851. Serentak dengan itu Kerajaan Manchu
mengenakan cukai yang tinggi untuk menanggung perbelanjaan
pentadbirannya. Ramai petani tidak dapat membayar cukai dan terpaksa
menjual tanahnya. Akibatnya 60 – 90 peratus daripada petani kehilangan
tanah.

(ii)               Kekacauan dan korupsi politik di Negara China.
Keadaan politik di China yang tidak stabil telah menggalakkan kedatangan
orang-orang Cina di Tnah Melayu. Dinasti Manchu yang menguasai China
pada tahun 1644 mengamalkan dasar diskriminasi terhadap penduduk Cina
tempatan. Orang-orang Cina yang tidak puas hati sering melancarkan
pemberontakan untuk menggulingkan Kerajaan Manchu. Salah satu
pemberontakan yang terkenal ialah Pemberontakan Taiping(1850-1864).
Pemberontakan ini diketuai oleh Hung Hsiu-Chuan tetapi gagal
menggulingkan Kerajaan Mancu. Oleh itu, kerajaan bertindak lebh tegas dan
kejam untuk memadamkan perasaan tidak puas hati rakyat dan
pemberontakan. Oleh itu, ramai orang Cina terpaksa melarikan diri daripada
menjadi mangsa kekejaman Kerajaan Manchu.

 (b)   Faktor penarik

(i)                 Perkembangan ekonomi yang pesat di Tanah Melayu-
Peluang ekonomi yang banyak di Tanah Melayu telah mendorong kedatangan
orang Cina ke Tanah Melayu. Keperluan tenaga buruh bagi menjayakan
perusahaaan bijih timah adalah satu faktor di samping peluang-peluang
perniagaan yang banyak di kawasan bandar terutamanya. Peluang untuk
mengerjakan pertanian di bawah Sisem Kangchu(Johor) menggalakkan lagi
kedatangan orang-orang Cina. Di bawah system ini, mereka diberi tanah untuk
mengerjakan pertanian terutamanya menjalankan pertanian lada hitam.
         
(ii)               Kestabilan politik-
Kestabilan politik hasil pemerintahan British yang liberal menjadi salah satu
faktor penarik. British juga menggalakkan kedatangan orang-orang Cina
dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti subsidi tambang dan
sebagainya memandangkan keperluan tenaga buruh yang murah dan banyak.
Pembentukan Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896 telah
menjamin lagi kestabilan politik. Hal ini telah menjadi tarikan bagi
kemasukan modal Eropah dalam sektor perlombongan bijih timah dan
pertanian ladang. Keadaan ini mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan
menarik minat orang Cina untuk datang ke Tanah Melayu.

Pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, kebanyakan orang Cina tidak bercadang
untuk menetap di Tanah Melayu. Oleh itu kedatangan mereka pada tempoh ini dianggap
tidak mempengaruhi komposisi sebenar penduduk negara ini kerana mereka masih
merupakan pendatang. Walau bagaimanapun, pada tahun 1930-an, timbul kecenderungan
di kalangan buruh Cina untuk menetap di negara ini disebabkan suasana politik dan
ekonomi di China. Kecenderungan ini ditambah pula dengan kedatangan imigran wanita
Cina ke Tanah Melayu. Dengan itu, bermula tanda-tanda komposisi sebenar penduduk
negara ini yang kemudian mendapat perakuan British melalui gagasan Malayan Union.
Kini terdapat lebih tujuh juta etnik Cina di negara ini yang merupakan kaum kedua
terbesar selepas orang Melayu.

Namun bilangan oeang Cina di Sabah adalah tidak begitu ramai. Ketiadaan
perlombongan di sana menyebabkan tidak ada daya tarikan untuk mereka berhijrah ke
sana. Hanya sebilangan kecil daripada mereka dibawa masuk ke Sabah apabila ladang
tembakau dibuka. Kemasukan mereka diurus sendiri oleh pihak British menerusi ejen-
ejen di Singapura. Di Sarawak pula, bilangan orang Cina agak ramai berbanding di
Sabah. Orang Cina memasuki Sarawak melalui Sambas, Pontianak, Indonesia. Pada awal
abad ke-19 mereka melombong emas di Bau. Pada awal abad ke-20 ramai buruh masuk
ke Kuching dan terlibat dalam pertanian pasar.
Kesimpulan:

Daripada perbincangan di atas, jelas menunjukkan bahawa kemasukan orang Cina dan
juga kaum lain (India) ke Tanah Melayu yang kemudiannya dikenali sebagai Malaysia
telah melahirkan satu masyarakat majmuk. Setiap kaum mengamalkan dan mengekalkan
identiti, kebudayaan dan adat resam masing-masing. Suasana kewujudan masyarakat
majmuk ini boleh dilihat dari sudut ekonomi, politik dan sosial.

Pada zaman penjajahan British, melalui dasarnya “pecah dan perintah” (devide and rule),
telah menetapkan orang Melayu tinggal di kampung-kampung atau luar bandar bagi
mewarisi kegiatan nenek moyang mereka iaitu dalam bidang pertanian. Manakala orang
Cina pula ramai yang tinggal di kawasan bandar. Sementara itu, orang India pula bekerja
di stet-estet dan juga menetap di situ. Perbezaan tempat tinggal ini menyebabkan ketiga-
tiga kaum utama ini terpisah dan mempunyai hubungan yang agak longgar.

Akhirnya dengan tindakan British yang sedemikian rupa dalam masyarakat majmuk
memudahkan terjadinya konflik antara kaum disebabkan oleh beberapa perkara seperti
timbulnya jarak sosial yang berbeza kerana kurang berinteraksi yang melahirkan
prasangka dan prejudis yang tebal. Ditambah lagi dengan adanya penguasaan dalam
bidang-bidang tertentu seperti politik atau perniagaan yang hanya didominasi oleh
sesuatu kaum sahaja.

Rumusannya, kemungkinan pada ketika ini berlaku keretakan hubungan antara kaum jika
tidak diambil tindakan akibat daripada beberapa tindak tanduk British yang hanya
mementingkan keuntungan sahaja. Oleh kerana wujudnya kepelbagaian ini maka satu
keperluan untuk membentuk suatu jati diri tersendiri supaya kefahaman dan kesepaduan
antara etnik dapat dihayati sepenuhnya.

Untuk itu, dalam perkembangan terkini beberapa dasar baru telah diperkenalkan dan
diperkasakan lagi dalam usaha memperkukuhkan hubungan antara kaum seperti gagasan
atau konsep 1Malaysia. Melalui pendidikan pula telah dijadikan platform untuk menjana
perpaduan. Antaranya ialah Rancangan Integrasi Mutid Untuk Perpaduan (RIMUP) yang
telah diperkenalkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika beliau menjadi Menteri
Pelajaran pada tahun 1986.

Semoga apa yang dicita-citakan ini akan menjadi kenyataan dan memastikan kelansungan
kemakmuran serta keamanan hidup di negara yang merdeka ini berkekalan dan mendapat
rahmat dari Allah Yang Maha Berkuasa.


 Rujukan:

-          Dani Ahmad Ali. 2010. Siri Kajian Hubungan Etnik: Sejarah Hubungan Kaum. Selangor: Pustaka Kelisa.

-        YADIM. 2008. Hubungan Etnik: Konsep dan Amalannya di Malaysia. Kuala 
           Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.























Tiada ulasan:

Catat Ulasan