Jumaat, Mac 05, 2010

Islam, Iman dan Ihsan.

Assalamualaikum...

Kita masih lagi berada di bulan di mana umat Islam meraikan kelahiran junjungan mulia Muhammad S.A.W. dengan berbagai acara dan program. Walau ada pendapat yang mengatakan ia adalah bidaah yang tak dibuat oleh Rasulullah, tapi sebagai penghargaan kita terhadap seorang penyelamat umat seluruh alam adalah wajar kita mengingati hari kelahirannya. Juga sebagai tanda rasa kecintaan kita terhadapnya, bukan sekadar kata-kata yang berapi-api tetapi segala bentuk amalan dan bawaannya hendaklah kita ikuti dan hayati disamping tidak memperlekehkan corak dan gaya hidup rasul akhir zaman ini. Meski baginda telah lama meninggalkan kita sejak 1400 tahun yang lalu, ajaran dan panduan yang disampaikannya kepada para sahabat sehingga ke hari ini masih lagi releven dan tetap sesuai sepanjang zaman. Sebagai sedikit tazkirah marilah kita baca dan hayati kembali isi kandungan sebuah hadis yang panjang ini:

Khalifah Umar al-Khatab berkata, suatu hari semasa dia dan para sahabat sedang duduk dengan Rasulullah, tiba-tiba muncul seorang lelaki yang memakai pakaian yag sangat putih bersih dan rambutnya hitam berkilat. Tiada tanda-tanda beliau datang dari jauh. Tiada seorang pun antara mereka yang mengenali lelaki itu.

Lelaki itu lalu duduk betul-betul di hadapan Rasulullah sehingga kedua-dua lutut lelaki itu bersentuhan dengan lutut Rasulullah. Kemudian lelaki itu meletakkan kedua-dua belah tapak tangannya di atas pahanya, lalu bertanya, "Wahai Muhammad, terangkan pada saya, apakah maksud Islam?"

Jawab Rasulullah, "Islam itu adalah kamu mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, kamu bersolat, kamu membayar zakat, kamu berpuasa sepanjang bulan Ramadhan dan kamu melakukan haji apabila mampu."

"Betul," kata lelaki itu. Kata Umar, semua mereka berasa hairan, mengapa pula lelaki itu bertanya dan kemudian menjawab betul.

Kemudian lelaki itu bertanya lagi, "Terangkan padaku, apakah iman?"

Rasulullah menjawab, "Kamu percaya pada Allah, percaya pada malaikat, percaya kepada kitab suci, percaya pada utusan Allah, percaya pada hari akhirat dan percaya pada ketentuan Allah sama ada yang baik atau yang buruk."

"Betul," kata lelaki itu. Kemudian beliau bertanya lagi, "Terangkan pada saya, apakah itu ihsan?"

Jawab Rasulullah, "Kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu nampak Allah dan apabila kamu tidak nampak Dia, kamu yakin Dia nampak kamu."

Kemudian lelaki itu bertanya lagi, "Terangkan pada saya, bilakah hari kiamat akan berlaku?"
Rasulullah menjawab, "Yang ditanya dan orang yang bertanya sama-sama tidak tahu."

Kemudian lelaki itu bertanya lagi, "Terangkan pada saya tanda-tanda akan berlaku kiamat?"
Jawab Rasulullah, "Apabila hamba perempuan melahirkan majikan mereka sendiri, apabila orang-orang tidak berkasut, tidak berpakaian dengan sempurna, orang-orang miskin dan penternak kambing berlumba-lumba mendirikan bangunan tinggi."

Selepas mendengar jawapan Rasulullah, lelaki itu pun pergi. Umar terdiam sehingga Rasulullah berkata, "Tahukah kamu Umar, siapa lelaki itu tadi? Lelaki itu adalah malaikat Jibril. Beliau datang untuk menerangkan kepada kamu semua mengenai agama kamu."


-Hadis riwayat Imam Nawawi.