Khamis, Ogos 04, 2011

Allah Menutup Aib Hamba-Nya.

Sebagai makhluk yang bersifat lemah dan serba kekurangan, setiap orang ada perkara rahsia yang tidak ingin diketahui oleh orang lain. Mungkin yang berbentuk aib atau seumpamanya. Dia tidak akan menceritakan kepada orang lain, walaupun kepada kawan rapatnya.
Kita perlu ingat, diriwayatkan pada hari kiamat kelak, apabila Allah mendedahkan aib seseorang, orang itu akan berasa malu yang amat sangat hingga luruh daging-daging di muka.

Pada waktu itu, tidak ada lagi tempat hendak bersembunyi. Malah, lidah menjadi kelu. Tidak boleh lagi menafikan kesalahan dan aib yang kita lakukan itu. Sebaliknya seluruh anggota akan menjadi saksi, mengaku dan mendedahkan segala-galanya.

Jadi, sementara masih hidup ini, kita masih boleh menyelamatkan diri daripada keadaan yang amat dahsyat itu. Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Dengan bertaubat, mudah-mudahan segala kesalahan kita dihapuskan oleh Allah.

Kita juga hendaklah menutup aib atau keburukan orang lain, kerana orang yang menutup aib orang lain Allah akan tutup pula aibnya di akhirat kelak. Jangan menceritakan keburukan kawan kita kepada orang lain. Kalau kita tidak suka keburukan kita dihebahkan kepada orang lain, begitu jugalah kawan atau saudara mara kita. Mereka juga tidak suka aib atau keburukan mereka dicerikan merata-rata.

Begitulah Islam mengajar kita menjaga akhlak dalam bergaul dan berkawan. Tutup keburukan mereka, tapi dedahkan kebaikan dan amal kebajikannya. Bukan sahaja tidak boleh mendedahkan kejahatan orang lain, kita juga tidak boleh mendedahkan kejahatan yang kita lakukan dengan tujuan berbangga-bangga. Perbuatan sebegitu juga dikira berdosa. Allah tutup kejahatan yang kita lakukan daripada diketahui umum agar kita segera bertaubat. Tetapi, kenapa pula kita menceritakannya sambil berbangga-bangga?

Selain daripada kita mesti merahsiakan aib kawan-kawan atau orang lain, kita juga mesti menjaga rahsia yang diamanahkan kepada kita. Tidak kiralah sama ada perkara itu kecil atau remeh sahaja, tetapi kalau sudah diamanahkan supaya merahsiakannya, kita tidak boleh menceritakan kepada orang lain.

Jika kita ingkar, ertinya kita sudah berbuat khianat. Khianat merupakan satu daripada tiga sifat
munafik iaitu berbohong, mungkir janji dan khianat. Semoga kita sentiasa dipeliharakan oleh Allah daripada melakukan sifat-sifat keji dan tercela itu, lebih-lebih di bulan ramadhan yang mulia ini.

Satu Peristiwa Di Malam Yang Kelam.

Suatu malam, ketika Rasulullah s.aw. sedang membaca al-Quran, datang tiga orang tetamu ke rumah baginda. Mereka datang secara senyap-senyap dan bersendirian supaya tidak diketahui oleh Rasulullah.

Tiga orang tetamu misteri itu ialah Abu Jahal, Sufyan bin Harb dan Akhnas bin Syarik. Ketiga-tiga mereka orang yang sangat kuat menentang dakwah dan perjuangan Rasulullah s.a.w. Mereka ingin tahu apakah yang dilakukan oleh Rasulullah pada waktu malam.

Sebenarnya masing-masing tidak mengetahui bahawa merteka bertiga berada di satu tempat yang sama. Keadaan malam yang gelap pekat memisahkan mereka.
Abu Jahal tidak tahu Sufyan datang. Sufyan tidak tahu Akhnas pun ada. Akhnas juga tidak tahu Abu Jahal dan Sufyan ada sama pada malam itu.

Setelah puas menikmati keindahan alunan ayat-ayat suci al-Quran yang dibacakan oleh Rasulullah, tiga orang pengintip itu pun beredar untuk pulang. Ditakdirkan Allah, mereka bertemu di lorong yang menghala pulang. Timbullah rasa syak wasangka di dalam hati masing-masing.

"Engkau mendengar apa yang dibacakan oleh Muhammad?" salah seorang bertanya.
"Benar, aku kira engkau pun demikian," jawab Sufyan bin Harb.
"Kita membohongi diri sendiri. Sesungguhnya ayat-ayat yang kita dengar dari Muhammad memang indah sekali. Aku benar-benar terpesona," kata Akhnas dengan jujur.

Sebelum berpisah, mereka berjanji akan merahsiakan peristiwa pada malam itu. Mereka juga berjanji tidak akan pergi lagi ke rumah Rasulullah. Kononnya akan mendapat malu jika diketahui oleh orang ramai.

Malam esoknya, ketiga-tiga tokoh kafir Quraisy Mekah itu seperti terdengar-dengar ayat al-Quran yang dibacakan oleh Rasulullah semalam. Akhirnya kerana ingin mendengar lagi, secara senyap-senyap mereka pergi lagi ke rumah Rasulullah.

Seperti malam sebelumnya, masing-masing menyangka hanya berseorangan diri pergi ke rumah Rasulullah. Tetapi ketika pulang mereka bertemu lagi di tengah perjalanan. Masing-masing terperanjat. Akhirnya berjanji tidak akan datang lagi.

Namun disebabkan desakan hati yang ingin mendengar Rasulullah membaca al-Quran, mereka mungkiri janji yang sama-sama dibuat. Untuk malam ketiga, mereka datang lagi ke rumah Rasulullah s.a.w.

Kemudian bertemu lagi dalam perjalanan pulang. Dan kali ini mereka bersungguh-sungguh berjanji tidak akan datang lagi mendengar Rasulullah membaca al-Quran. Mereka tidak mahu terpengaruh dengan keindahan ayat-ayat suci yang dibacakan oleh Rasulullah s.a.w.

Begitulah keadaan musuh-musuh Islam pada zaman nabi. Sebenarnya mereka mengakui kebenaran ajaran yang dibawa oleh Muhammad, tetapi kerana sombong dan dengki, mereka tetap tidak mahu menerimanya.



*nota b.tan:-

Secebis kisah untuk diambil iktibar, kalau musuh-musuh Islam di zaman Rasulullah pun ketagih untuk mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran, apa tah lagi kita yang mengaku beragama Islam dan beriman dengan al-Quran perlulah membacanya bukan sekadar minat mendengar sahaja. Lebih-lebih lagi di bulan yang mulia ini yang dikatakan bulan al-Quran. Aku sekadar mengingatkan diri aku sendiri dan juga sesiapa yang ingin mengambil pengajaran dari secebis kisah di atas tadi. Sekian, selamat menempuhi madrasah ramadhan, semoga dengannya keimanan dan kecintaan kita kepada kehidupan beragama akan bertambah. Wassalam.

Jumaat, Julai 29, 2011

Penentuan.

1- Orang yang pertama dipanggil ke syurga pada hari kiamat ialah mereka yang memuji
(bertahmid) kepada Allah dalam segala keadaan. - Ibnu Abbas.

2- Siapa yang tidak redha dengan qada' Allah, maka tidak adalah ubat bagi kebodohan itu.
- Maimon bin Mahram.

3- Jikalau engkau tidak sabar atas takdir Allah, nescaya engkau tidak sabar atas takdir (penentuan) diri engkau sendiri. - Al-Fudhail.

4- Apabila sama padanya diberi dengan tidak diberi, maka ia telah redha kepada Allah.
- Al-Fudhail.



* nota b.tan:-

pertama-Marilah kita perbanyakkan memuji Allah dengan melafazkan zikrullah sama ada dalam terang atau sembunyi. Terang bermaksud di tengah orang ramai atau memuji Allah secara beramai-ramai seperti dalam majlis tahlil arwah atau kenduri doa selamat. Sembunyi pula bermaksud dalam keadaan kita berseorangan atau bersendirian. Apa yang biasa kita lakukan ketika berseorangan tanpa teman, apakah kita hanya melakukan kerja sahaja tanpa kumat kamit melafazkan zikrullah yang amat mudah untuk diamalkan. Tepuk dada tanyalah iman.

kedua-Perkara ini amat berat sekali kerana apakah tujuan atau matlamat hidup kita di muka bumi ini. Apakah hanya hidup seperti orang lain yang hidup sekadar melakukan perkara yang biasa-biasa sahaja. Ketahuilah antara tujuan dan matlamat hidup adalah untuk mendapat keredhaan dari Allah Taala. Tiada gunanya panjang umur, kaya raya, harta bertimbun, hidup mewah tapi jauh dari rahmat Allah. Lebih malang lagi, jika hidup dalam kemurkaan Allah. Usahlah terpedaya dengan kesenangan dan kesihatan yang dinikmati kerana ia hanyalah ujian dari Allah sama ada kita bersyukur atau sebaliknya.

ketiga-Susah atau senang, menang atau kalah, miskin atau kaya, sakit mahu pun sihat, sedarlah kita ia adalah ujian dalam menentukan tahap keimanan kita. Sabarkah kita, berkeluh kesahkah kita atau mengeluh di atas musibah yang menimpa semuanya menjadi ukuran akan tingkatan iman kita. Di sisi Allah manusia itu sama saja melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh disamping redha dengan apa yang telah ditentukan oleh Yang Maha Esa.

keempat-Ketahuilah setiap apa yang kita miliki adalah hak milik Allah yang diberi pinjam kepada kita sekadar waktu yang telah ditentukan. Berapa lama ia berada dalam simpanan kita bererti selama itulah Allah memberi keizinan kepada kita sebagai pemegang amanahnya. Meski pun kita tidak diberi apa-apa atau tidak dikurniakan apa-apa oleh Allah, bukanlah pula bermakna Allah tidak suka kepada kita. Sebaliknya Ia ingin menguji kita, apakah kita akan bersungut atau akan menyesali diri dengan kekurangan dalam menempuh kehidupan.

Berwaspadalah kita semua dengan perangkap hidup yang sengaja dipasang oleh nafsu serta kuncu-kuncunya terdiri dari kalangan jin dan syaitan, malah manusia juga turut berperanan dalam menyesatkan sesama insan. Sedikit peringatan buat diri aku untuk dikongsi bersama sesiapa yang membaca coretan yang tak seberapa ini, yang baik dijadikan teladan dan yang buruk mari kita hindarkan. Wassalam.

Jumaat, Julai 15, 2011

Siapakah Orang Yang Beruntung?

Orang yang beruntung adalah orang yang mendapat kebahagiaan, ketenangan dan kemenangan. Orang-orang ini adalah golongan yang berada dalam pimpinan Allah. Setiap kali berfikir, berkata dan apa saja perbuatan selalu berdasarkan kepada petunjuk Al-Quran dan Hadis.

Diantara mereka yang termasuk dalam golongan ini ialah:-

1- Orang yang beriman kepada yang ghaib, iaitu beriman kepada Allah dan cabang-cabang iman yang lain dengan penuh keyakinan.

2- Orang yang menegakkan solat dan menginfakkan sebahagian hartanya di jalan Allah.

3- Orang yang khusyuk dalam solatnya.

4- Orang yang menjauhkan dirinya dari perbuatan dan perkataan yang tidak berguna.

5- Orang yang memelihara amanah yang dipikulnya dan janji yang telah dibuatnya.



nota b.tan:-

Di kategori manakah aku berada? dan di kategori manakah pula kalian berada. Jika di salah satu pun sudah memadai dan agak boleh menarik nafas lega, malah boleh dipertingkatkan lagi tahap kepaduan jiwa kita dalam melaksanakan tuntutan dan perintah Allah Taala. Di saat ramadan kan menjelang tiba ini, bersamalah kita bertanya pada diri kita: bagaimanakah iman kita semua? Apakah masih seperti dahulu? Masih kental dan teguh, atau apakah ia seperti buih-buih di lautan, kelihatan banyak dan keras tapi amat mudah pecah hanya dengan sekali sentuhan sahaja. Apa pun keadaan atau alasan yang kita berikan, ramadan kan tetap tiba jua. Setahun kita dalam kekenyangan, hanya sebulan untuk mencuci sisa yang tertinggal dalam tubuh kita. Semoga ramadan kali ini lebih bermakana kepada kita semua dan dapat kita lalui dan tempuhi dengan lebih sempurna juga hendaknya.

Isnin, Mei 09, 2011

Terlupa Membaca Bismillah.

Pada suatu hari, seorang sahabat Rasulullah SAW terlupa memulakan suapan pertama makanannya dengan Bismillah. Rasulullah SAW menyedari tingkah laku sahabat itu tetapi baginda tidak berkata apa-apa.
Apbila tinggal suapan yang terakhir, barulah sahabat itu teringat yang dia tidak menyebut Bismillah, sebelum mula makan. Maka dia bersegera menyebut Bismilahi Awwaluhu Wal Akhiruhu (Dengan nama Allah pada awalnya hingga ke akhirnya).
Sebaik sahaja sahabat itu mengakhiri sebutan itu, maka Rasulullah SAW pun tersenyum. Baginda pun menjelaskan kepada sahabat baginda, "Apabila dia terlupa menyebut dengan nama Allah pada awalnya, maka syaitan-syaitan itu pun makan bersama-samanya, tetapi apabila dia teringat lalu menyebut nama Allah, syaitan-syaitan itu memuntahkan segala apa yang dimakannya dan segera melarikan diri".


* nota b.tan:-

Mulakanlah setiap amalan atau pekerjaan dengan membaca Bismillah, tetapi ingat amalan atau pekerjaan itu adalah berbentuk kebaikan, bukannya ke arah kejahatan. Seperti contoh ketika memakai dan membuka pakaian, membuat kerja-kerja seharian, atau pun ketika menaiki kenderaan adakah kita membaca Bismillah. Memang nampak remeh sahaja, tetapi yang remeh lah itu nanti akan membuahkan natijah yang besar dalam kehidupan kita. Berkat dari bacaan Bismillah, insyaAllah fadilatnya berkali ganda akan kita perolehi. Janganlah hendaknya kita membaca Bismillah sebelum melakukan qada hajat atau ketika berada di dalam tandas. Kerana suasana atau kondisinya yang tidak sesuai. Bacalah sebelum kita melangkah masuk ke dalam tandas atau bilik air. Wassalam.

Sabtu, Mei 07, 2011

Petua: Isteri(ibu) Sentiasa 'Dara'.


Subject:
Untuk Menjadikan Isteri-isteri(ibu) Sentiasa ' Dara '.

Petua Dari Dr. Fatimah Az-Zahra.

Ustazah menurunkan petua untuk kaum ibu menjaga diri agar sentiasa jadi macam 'abqaro' menurut ayat di dalam Surah al-Waqiah.( ' Abqaro ' ini bermaksud perawan yang sentiasa menjadi perawan) Ayat ini elok untuk diamalkan setiap hari oleh kaum ibu untuk menjaga kesihatan luar dan dalam.

Caranya:
Lepas solat Isya ' , ambil air segelas, baca Al-Fatihah sekali, Ayatul Qursi sekali dan Surah Al-Waqiah ayat 35-38 sebanyak 7 kali. Tiup dalam air dan minum. Niat dlm hati utk menjaga kecantikan diri & utk kebahagiaan rumahtangga.
Makna surah Al-Waqiah ayat 35-38:


(56.35) Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa,

56.36) Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh),

(56.37) Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya,

(56.38) (Semuanya itu disediakan) bagi puak kanan.

mr edz

nota b.tan:-

Petua ini aku nak kongsi dengan semua isteri-isteri, sama ada yang telah bergelar ibu atau bakal menjawat jawatan ibu. Aku salin dari satu blog dengan izin tuan punya blog. Blognya? Carilah sendiri, aku dah bagi dia punya klu. Lalu amalkanlah untuk kerukunan rumahtangga kalian semua. Wassalam.

Ciri-Ciri Peribadi Mulia.

1-Sentiasa bersifat baik dan berbaik sangka terhadap sesama manusia. Yang mana ianya akan menghasilkan amalan yang baik juga.

2-Ikhlas kepada Allah di atas setiap amalan yang dikerjakan. Tidak ada sikap takbur, riyak(dalam hati) atau pun menunjuk-nunjuk.

3-Saling bantu membantu dalam kerja-kerja kebajikan. Menghapuskan kemungkaran walau dengan apa cara sekali pun demi kebahagiaan dan keamanan manusia sejagat.

4-Kasih sayang sesama insan. Membantu mereka yang susah dan yang memerlukan bantuan.

5-Ikhlas dalam memberi setiap pertolongan yang bersendikan keimanan.


* nota b.tan:-

Ciri-ciri yang tersenarai di atas adalah sebahagian dari sikap atau amalan insan yang berperibadi mulia. Peribadi mulia bolehlah diibaratkan sebagai sepohon buah yang rendang, subur batangnya, segar dan hijau daunnya, berbunga lebat yang akhirnya nanti akan menghasilkan buah yang lebat serta ranum. Ia akan menjadi idaman setiap orang untuk memilikinya, atau bercita-cita untuk menjadi seperti pohon yang disayangi tuannya. Begitulah juga dengan peribadi mulia, ia idaman mereka yang berakal, yang tahu letak duduk nilai seorang insan yang mementingkan nilai-nilai keinsanan dalam kehidupan. Apatah lagi dalam perlumbaan hidup hari ini, sering kali kedapatan nilai kemanusian dipinggirkan atas alasan kononnya tidak sesuai lagi dengan arus semasa. Fikir-fikirkanlah bersama arah mana hala tuju kita dalam meneruskan kehidupan ini. Sekian. Wassalam.