Rabu, Julai 03, 2013

AMALAN YANG MEROSAKKAN IMAN.



Pengenalan

Dalam ajaran agama Islam terdapat banyak anasir yang boleh menyebabkan iman atau akidah menjadi rosak. Para ulamak telah lama membicarakannya dan telah banyak buku mengenainya ditulis dan diterbitkan antaranya buku Batas-batas Iman dan Kufur hasil tulisan Said Hawa yang menggariskan dua puluh perkara yang boleh membatalkan atau merosakkan iman seseorang muslim. Namun perbincangan ini hanya membicarakan tiga aspek sahaja iaitu kufur, syirik dan nifaq.


1: Kufur (Ingkar rukun iman) 

Kufur pada bahasa bererti “menutupi” atau “mengingkari”.Manakala menurut „Ulama Usuluddin kufur boleh diertikan menurut istilah sebagai “tutup” ini kerana hati orang kafir tertutup atau terkunci mati daripada mendapat hidayah Allah SWT. Menurut Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah, kufur  ialah pendustaan kepada Rasulullah SAW dan ajaran yang dibawanya.

Abdul Majid Aziz Az-Zindani (2004), mengatakan kufur menurut syara‟ ialah tidak mempercayai Allah SWT, malaikat, kitab-kitabnya, para rasulnya, hari akhirat, hukum-hukum Allah SWT atau sebarang ketetapan agama yang secara daruri diketahui oleh orang Islam.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa‟ ayat 136:           
Maksudnya: “Wahai orang-orang Yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah SWT dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran Yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), dan juga kepada Kitab-kitab suci Yang telah diturunkan dahulu daripada itu. dan sesiapa Yang kufur ingkar kepada Allah SWT, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab- kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga hari akhirat, maka Sesungguhnya ia telah sesat Dengan kesesatan Yang amat jauh”  (Surah an-Nisa‟ : 136)  

 Jenis Kufur

i-             Kufur Hakikat- Menolak Rukun Iman

Kesan Kufur Hakikat : Apabila amalan kekufuran ini dengan i‟tiqad, perkataan dan perbuatan, di mana sesiapa yang melakukannya batallah Imannya dan keluar daripada agama Islam dan syahadahnya tidak sah sehinggalah dia bertaubat dan kembali ke jalan kebenaran. 

ii-            Kufur Ni‟mat- Menyalahgunakan Ni‟mat yang dianugerahkan Allah swt ke jalan maksiat.

Kesan Kufur Ni’mat : Mengurangkan Iman dan menyebabkan pelakunya berdosa sehingga kembali kepada Allah SWT membanyakkan amal soleh dan kesyukuran. 

Tambahan:
Kafir ialah seseorang yang mengengkari keesaan Allah.Kufur itu mengengkari keesaan Allah, kenabian Rasulullah atau mengengkari syariat-Nya.Seseorang yang mengengkari ketiga-tiga bahagian atau salah satu daripadanya disebut sebagai kafir.

Kekafiran seseorang itu dibahagikan kepada tiga bahagian:
i-             Kufur Jahli-
Kekufuran atau keingkarannya disebabkan kebodohannya.
ii-            Kufur Juhdi (Kufur ‘Inadi)-
Kekufurannya itu disebabkan terasa terhina kalau beriman kepada Allah seperti Firaun, atau takut kehilangan pangkat atau pengaruh sekiranya beriman.
iii-           Kufur Hukmi-
Kekufuran disebabkan sesuatu perbuatan atau perlakuan yang diperlakukan bertentangan dengan keimanan seperti menghina kitab al-Quran atau hukum-hukum yang terkandung di dalamnya atau menghina Sunnah Nabi.
(Sumber:Asas-asas Fardu Ain- muka surat 57 oleh Ustaz Sulaiman Endut)

2- Syirik

Syirik ialah menyekutukan Allah dengan sesuatu makhluk atau mempercayai bahawa adanya kuasa lain yang lebih berkuasa dari Allah. Orang yang melakukan syirik disebut Musyrik.
Syirik terbahagi kepada dua bahagian:

i-             Syirik Akbar-
a)    Syirik Akbar Jali (yang terang)
Syirik besar yang terang ialah mengambil selain Allah SWT sebagai tuhan dan menyembahnya  di samping menyembah Allah SWT dengan menjadikan sembahan itu sebagai  sekutu atau saingan yang disamakan dan disamakan taraf dengan Allah SWT, Tuhan bagi semesta alam seperti  menyembah objek tertentu dalam masa yang sama beribadah kepada Allah SWT, atau menyamakan makhluk lain dengan Allah SWT sebagai tuhan seperti mempercayai Nabi Isa a.s sebagai tuhan, atau menyifatkan makhluk sebagai tuhan bersama Allah SWT seperti menjadikan nabi Isa a.s. atau manusia sebagai tuhan di samping Allah SWT.

                  b) Syirik Akbar Khafi (yang tersembunyi)
                  Syirik besar yang tersembunyi pula menurut Sheikh Yusuf al-Qardawi (1999) ialah:   
    
1.    Meminta pertolongan dari makhluk ghaib seperti jin dengan meyakini makhluk itu dapat memberi manfaat dan mudharat.
  
2.   Berdoa atau memanggil ruh si mati atau meminta             sesuatu          di maqamnya  atau kuburnya. Syirik ini tersembunyi kerana orang yang melakukan amalan ini menyangka ia sebagai ibadah dalam bentuk bertawassul (sebagai perantaraan) antara mereka dengan Allah SWT.

3.    Mengambil selain Allah SWT sebagai penggubal undang-undang. Dengan kata lain memberi hak wewenang mencipta peraturan kepada hak perseorangan atau kumpulan sehingga menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal menurut kehendak sendiri walaupun bertentangan dengan syariat seperti menghalalkan perkahwinan sesama jantina atau menjatuhkan hukuman pesalah zina dengan undang-undang Barat.  Rasulullah SAW menjelaskan hal keadaan golongan Nasrani mengikut pendeta Yahudi dan Nasrani yang mencipta dan mereka-reka undang-undang mengikut kehendak dan kepentingan mereka.

4.    Begitu juga dengan fahaman-fahaman manusia hari ini yang meletakkan pemikiran manusia lebih baik dari panduan al-Quran. Ini bermakna golongan ini tidak meyakini ajaran Islam yang jelas sumbernya dari Allah swt Yang Maha Bijaksana menyediakan panduan untuk manusia yang dijadikan oleh Allah ini seperti berpegang dengan ideology Komunis, sosialis dan isme dalam masa yangsama menyembah Allah swt.    

ii-            Syirik Asghar-
a)    Syirik  AsgharJali (yang terang)
1.  Bersumpah dengan yang lain dari Allah SWT seperti bersumpah dengan nama ibubapa, bulan bintang dan sebagainya. 

2.    Memakai tangkal, azimat, jampi serapah yang tiada sumber yang syar‟i.

3. Sihir  

4. Bertenung nasib, ramalan masa depan dan seumpamanya.
  
5. Bernazar dan menyembelih bukan kerana Allah SWT.

                 b)   Syirik Asghar Khafi (yang tersembunyi)
                       Sifat-sifat keji dalam hati yang terpedaya dengan hawa nafsu sehingga            
                       membesarkan diri menyamakan sifat kebesaran Allah SWT seperti riya‟, ujub,   
                       takabbur, sum‟ah dan seumpamanya.

3- Nifaq-

Para ulama‟ bersepakat mengatakan bahawa sesiapa yang mengakui dengan lidahnya pada zahirnya tetapi mendustai di dalam hatinya tidak termasuk di dalam lingkungan iman. Mereka ini termasuk dalam golongan orang-orang yang munafik, yang telah dijanjikan oleh Allah SWT azab yang lebih pedih dari para jahidin (orang-orang yang ingkarkan Allah SWT, kerana mereka akan berada di dasar neraka. Malah mengakui dan mempercayai dalam hati juga belum mencukupi untuk mencapai Iman, kerana ianya mestilah disertai dengan pengakuan dengan lidah.

Sifat atau tanda-tanda orang yang munafiq ialah:
aa)  Imannya tidak teguh dan hakiki. Sikap dan pendiriannya sentiasa berubah-ubah mengikut  
k     keadaan dan suasana. Bagai lalang ditiup angin.

bb) Perbuatannya juga berubah-ubah. Jika bersama-sama orang yang kuat beribadat, dia akan ikut sama beribadat. Tetapi jika tidak bersama orang yang rajin beribadat, maka dengan mudah sahaja ia meninggalkan ibadat seperti solat tanpa merasa sedikit pun malu atau rasa berdosa.

cc)    Perkataannya selalu berubah-ubah. Apabila bersama orang mukmin, ia sama-sama mengaku beriman tetapi apabila di belakang orang mukmin berbagai keji dan umpat akan dikatakannya.

dd)    Orang munafiq juga berada dalam keadaan resah gelisah dan tidak tenang berada bersama-sama orang mukmin.

ee)    Orang munafiq mengharapkan segala amal baktinya mendapat balasan yang segera di dunia ini, seperti menderma beratus ribu ringgit dan mengharapkan pangkat dan namanya disebut-sebut.
f)     Orang munafiq hati dan perasaan serta kelakuannya hanya ditumpukan kepada soal keduniaan semata-mata, bagi mereka soal akhirat adalah khayalan dan dongeng sahaja.

Kaedah Mengatasi Anasir Perosak Iman 
Akidah tauhid yang dibawa oleh para rasul dan yang ditekankan oleh Islam supaya memantapkan pegangan, mengukuhkannya serta memeliharanya tidak akan tercapai kecuali melalui beberapa langkah utama yang mesti dijaga oleh setiap mukmin yang mahu menjaga kesejahteraan imannya seperti berikut:
1-    Mengikhlaskan Ubudiyyah kepada Allah.
Keikhlasan Ubudiyyah (pengabdian) kerana Allah dengan erti memberi hak Uluhiyyah yang sempurna dari sudut keagungan, kecintaan, dan ketundukan mutlak kepada Allah. Ini akan tercapai dengan tiga cara-
a)    Jangan menjadikan yang lain sebagai tuhan dengan mengagungkannya. Lihat firman Allah dalam Surah ali Imran ayat 64.
b)    Jangan mengambil selain Allah sebagai penolong (wali) dan mencintainya seperti mencintai Allah.
c)    Jangan mencari hakikat selain Allah dan memberi ketaatan kepadanya seperti ketaatan kepada Allah

2-    Mengkufurkan segala thoghut.
a)    Untuk mencapai tauhid ini hendaklah dengan membersihkan Ubudiyyah kepada Allah serta memberikan hak ke-Uluhiyyahan (ketuhanan) kepada-Nya baik dari sudut kebesaran-Nya, kecintaan-Nya dan ketaatan yang hanya layak bagi Allah dan tidak kepada yang lain.
b)    Mengkufurkan thoghut dengan membersihkan diri dari apa yang disembah dan ditaati selain daripada Allah, sehingga terdapat ayat-ayat al-Quran kadang-kadang didahulukan dengan mengkufurkan thoghut kemudian mengimani Allah. Firman Allah:
Barang siapa yang ingkar kepada thoghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada tali yang amat kuat yang tidak akan putus. (Surah al-Baqarah ayat 256)
3-    Memelihara diri dari syirik dan menjauhinya
Untuk mencapai tauhid ialah mengetahui semua jenis syirik baik kecil atau besar, terang atau tidak dan membebaskan diri daripada setiap unsur syirik, serta berjaga-jaga terhadap pintu dan ruang yang boleh menjerumuskan diri kedalamnya.

4-    Menuntut ilmu.
Orang yang mencari ilmu untuk dijadikan bekalan dalam perjalanan hidup untuk hari kemudian dan berniat untuk mencari keredaan Allah semata-mata termasuk dalam golongan orang-orang yang bakal memperolehi keselamatan dan kejayaan.

5-    Mentaati perintah Allah.
Taat itu maksudnya ialah menurut atau patuh kepada peraturan-peraturan dan ketentuan-ketentuan yang ditetapkan oleh Allah.Perintah-perintah Allah itu terdiri daripada amal-amal yang wajib dan sunat.

6-    Menjauhi maksiat.
Seseorang mukmin itu juga mestilah menjauhkan dirinya daripada maksiat, memandang berat terhadap dosa-dosa besar, berwaspada terhadap dosa-dosa kecil dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhinya.

Kesimpulan
Sesungguhnya telah jelas dan menjadi keyakinan kepada umat ini bahawa iman dan Islam sahajalah yang dapat menjamin akidah dan kehidupan mereka. Oleh itu ia mesti dipertahankan supaya dapat menjaminkeselamatan akidah. Akidah sahih yang dipandukan oleh al-Quran dan al-Hadis Rasulullah SAW menjadi panduan, ikutan dan keyakinan kepada kita. Kita menolak mana-mana akidah yang batil dan kufur sama ada ia dibawa oleh orang perseorangan, kumpulan, jamaah dan sebagainya.
Kita juga mesti menolak mana-mana penjajahan yang dilakukan oleh kuffar, khususnya penjajahan pemikiran kepada umat Islam ini. Sekali gus mereka bertujuan mahu menyahudikan, menasranikan serta merosakkan akidah umat Muhammad SAW. Kita hendaklah berpegang teguh kepada ajaran Allah dan Rasulullah SAW.
Dalam al-Quran terdapat beberapa ayat yang mengingatkan kita beberapa perkara yang boleh menyebabkan akidah dan iman menjadi rosak, serta yang boleh menyebabkan syirik dan kufur. Iman dan akidah seseorang muslim boleh menjadi rosak dengan beberapa cara sama ada secara perbuatan, perkataan atau iktikad. Dengan itu terkeluarlah dia daripada agama Islam. Allah SWT telah memperingatkan umat ini dengan firman-Nya dalam Surah al-Maidah ayat 54 yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa diantara kamu berpaling tadah dari agamanya (menjadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Ia, mereka pula bersifat lemah lembut terhadap orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut pada celaan orang yang mencela, yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya lagi meliputi pengetahuan-Nya.


Rujukan

Ahmad bin Mohd Salleh, 1995. Pendidikan Islam- Siri Pendidikan Perguruan(Dinamika Guru). Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Sulaiman Endut, 1993. Asas-asas Fardu Ain. Malaysia: Pustaka Haji Abdul Majid.

Wahibah Twahir@H.Tahir, Husna Husain dan Dr Ibrahim Hashim, 2012. Iman dan Kehidupan- Modul Program Pendidikan Jarak Jauh. Perak: Universiti Perguruan Sultan Idris.

Tiada ulasan:

Catat Komen