Selasa, Jun 11, 2019

AMALAN YANG MEROSAKKAN IMAN


Pendahuluan.

Pengertian  Kufur (Ingkar rukun iman) 

Kufur pada bahasa bererti “menutupi” atau “mengingkari”.

Manakala menurut ‘Ulama Usuluddin kufur boleh diertikan menurut istilah sebagai “tutup”, ini kerana hati orang kafir tertutup atau terkunci mati daripada mendapat hidayah Allah SWT.

Menurut Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah, kufur  ialah pendustaan kepada Rasulullah SAW dan ajaran yang dibawanya.

Abdul Majid Aziz Az-Zindani (2004), mengatakan kufur menurut syara‟ ialah tidak mempercayai Allah SWT, malaikat, kitab-kitabnya, para rasulnya, hari akhirat, hukum-hukum Allah SWT atau sebarang ketetapan agama yang secara daruri diketahui oleh orang Islam.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa‟ ayat 136:           
Maksudnya: “Wahai orang-orang Yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah SWT dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran Yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), dan juga kepada Kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa Yang kufur ingkar kepada Allah SWT, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab- kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga hari akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat Dengan kesesatan yang amat jauh”  (Surah an-Nisa‟ : 136)  

Jenis-Jenis Kufur-

1-      Kufur Hakikat- Menolak Rukun Iman

Kesan Kufur Hakikat : Apabila amalan kekufuran ini dengan i‟tiqad, perkataan dan perbuatan, di mana sesiapa yang melakukannya batallah Imannya dan keluar daripada agama Islam dan syahadahnya tidak sah sehinggalah dia bertaubat dan kembali ke jalan kebenaran. 

2-      Kufur Ni‟mat- Menyalahgunakan Ni‟mat yang dianugerahkan Allah swt ke jalan maksiat.

Kesan Kufur Ni’mat : Mengurangkan Iman dan menyebabkan pelakunya berdosa sehingga kembali kepada Allah SWT dengan membanyakkan amal soleh dan kesyukuran. 

TAMBAHAN:-
Kafir ialah seseorang yang mengingkari keesaan Allah. Kufur itu mengingkari keesaan Allah, kenabian Rasulullah atau mengingkari syariat-Nya. Seseorang yang mengingkari ketiga-tiga bahagian atau salah satu daripadanya disebut sebagai kafir.        


Kekafiran seseorang itu dibahagikan kepada tiga bahagian:

1- Kufur Jahli-
    Kekufuran atau keingkaran disebabkan  kebodohannya.

2- Kufur Juhdi (Kufur ‘Inadi)-
    Kekufurannya itu disebabkan terasa terhina  kalau beriman kepada Allah seperti Firaun, atau takut 
    kehilangan pangkat atau pengaruh sekiranya beriman.

3- Kufur Hukmi-
   Kekufuran disebabkan sesuatu perbuatan atau perlakuan yang diperlakukan bertentangan dengan
   keimanan seperti menghina kitab al-Quran atau hukum-hukum yang terkandung di dalamnya atau   
   menghina  Sunnah Nabi.
 (Sumber:Asas-asas Fardu Ain- muka surat 57 oleh Ustaz Sulaiman  Endut)

Syirik-
Syirik ialah menyekutukan Allah dengan sesuatu makhluk atau mempercayai bahawa adanya kuasa lain yang lebih berkuasa dari Allah. Orang yang melakukan syirik disebut Musyrik.

Syirik terbahagi kepada dua bahagian:
1- Syirik Akbar-

a) Syirik Akbar Jali (yang terang)
Syirik besar yang terang ialah mengambil selain Allah SWT sebagai tuhan dan menyembahnya  di samping menyembah Allah SWT dengan menjadikan sembahan itu sebagai  sekutu atau saingan yang disamakan dan disamakan taraf dengan Allah SWT.

b) Syirik Akbar Khafi (yang tersembunyi)
 Syirik besar yang tersembunyi pula menurut  Sheikh Yusuf   al-Qardawi (1999) ialah:       
i)                    Meminta pertolongan dari makhluk ghaib seperti jin dengan meyakini makhluk itu dapat memberi manfaat dan mudharat.
ii)                  Berdoa atau memanggil ruh si mati atau meminta   sesuatu di maqamnya atau kuburnya.
iii)                Mengambil selain Allah SWT sebagai penggubal undang-undang.
iv)                Begitu juga dengan fahaman-fahaman manusia hari ini yang meletakkan pemikiran manusia lebih baik dari panduan al-Quran.


2-Syirik Asghar-
  Syirik  Asghar Jali (yang terang) –
  Bersumpah dengan yang lain dari Allah SWT seperti bersumpah  dengan nama ibubapa, bulan bintang dan sebagainya. 
  Memakai tangkal, azimat, jampi serapah yang tiada sumber yang  syar‟i.
Sihir-  
  Bertenung nasib, ramalan masa depan dan seumpamanya 
  Bernazar dan menyembelih bukan kerana Allah SWT.
  Syirik Asghar Khafi (yang tersembunyi)
   Sifat-sifat keji dalam hati yang terpedaya dengan hawa nafsu   sehingga membesarkan diri menyamakan sifat kebesaran Allah SWT seperti riya‟, ujub, takabbur, sum‟ah dan seumpamanya.          
Nifaq-
  Para ulama‟ bersepakat mengatakan bahawa sesiapa yang mengakui dengan lidahnya pada zahirnya  tetapi mendustai di dalam hatinya tidak termasuk di dalam lingkungan iman. Mereka ini termasuk dalam golongan orang-orang yang munafik, yang telah dijanjikan oleh Allah SWT azab yang lebih pedih dari para jahidin (orang-orang yang ingkarkan Allah SWT), kerana mereka akan berada di dasar neraka.

Sifat atau tanda-tanda orang yang munafiq ialah:
  Imannya tidak teguh dan hakiki.
  Perbuatannya juga berubah-ubah.
  Perkataannya selalu berubah-ubah.
  Orang munafiq juga berada dalam keadaan resah gelisah dan tidak tenang berada bersama-sama orang mukmin.
  Orang munafiq mengharapkan segala amal baktinya mendapat balasan yang segera di dunia.
  Orang munafiq hati dan perasaan serta kelakuannya hanya ditumpukan kepada soal keduniaan semata-mata.

Kaedah Mengatasi Anasir Perosak Iman 
       1- Mengikhlaskan Ubudiyyah kepada Allah.
  ›  Jangan menjadikan yang lain sebagai tuhan dengan mengagungkannya. Lihat firman Allah dalam Surah ali Imran ayat 64.
  ›  Jangan mengambil selain Allah sebagai penolong (wali) dan mencintainya seperti mencintai Allah.
  ›  Jangan mencari hakikat selain Allah dan memberi ketaatan kepadanya seperti ketaatan kepada Allah
  2- Mengkufurkan segala thoghut
 3- Memelihara diri dari syirik dan menjauhinya
  4- Menuntut ilmu.
  5- Mentaati perintah Allah 
       6- Menjauhi maksiat

Kesimpulan
1- Umat Islam hendaklah yakin bahawa iman dan Islam sahaja yang dapat menjamin akidah dan kehidupan mereka.
2- Umat Islam mesti menolak mana-mana penjajahan yang dilakukan oleh kuffar, khususnya penjajahan pemikiran.
3- Iman dan akidah seseorang muslim boleh menjadi rosak dengan beberapa cara sama ada secara perbuatan, perkataan atau iktikad.

Rujukan
  Ahmad bin Mohd Salleh, 1995. Pendidikan Islam- Siri Pendidikan Perguruan(Dinamika Guru). Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
  Sulaiman Endut,1993. Asas-asas Fardu Ain. Malaysia: Pustaka Haji Abdul Majid.
  Wahibah Twahir@H.Tahir, Husna Husain dan Dr Ibrahim Hashim, 2012. Iman dan Kehidupan- Modul Program Pendidikan Jarak Jauh. Perak: Universiti Perguruan Sultan Idris.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan