Jumaat, Ogos 05, 2011

Tiga Ayat: Tunaikan... Jauhilah... Terimalah...

- Tunaikanlah apa yang telah diwajibkan Allah ke atas mu, maka engkau akan menjadi orang yang paling hebat ibadahnya.

- Jauhilah larangan-larangan Allah, maka engkau akan menjadi orang yang paling zuhud.

- Terimalah dengan senang apa yang telah dikurniakan Allah untuk mu, maka engkau akan menjadi orang yang paling kaya.



* nota b.tan:-

Kehidupan yang kita lalui sebenarnya amat mudah dan simple. Ianya telah diatur oleh Allah Yang Maha Esa, kita sebagai hamba perlu patuhi dan ikuti saja panduan yang telah ditetapkan. Ini bukan bermakna kita tiada pilihan. Pilihannya ada dua: syurga atau neraka? Jika syurga, dan sememangnya semua manusia berharapan untuk menikmati kehidupan yang dijanjikan penuh dengan kelazatan itu. Maka kita perlulah melakukan perkara-perkara yang melayakkan kita terpilih sebagai calon ahli syurga. Tetapi jika sebaliknya, maka bersedialah kita untuk mengharungi satu kehidupan yang peritnya tiada tolok banding.

Sukarkah kita untuk menunaikan perintah Allah. Apa yang sukarnya? Cuma rasa yang sering dibisik-bisik oleh syaitan itulah yang menyukar dan menyulitkan untuk kita menjadi seorang yang patuh dan taat pada suruhan. Sering kita mencari dan membina alasan untuk tidak melakukan ketaatan pada Yang Maha Esa.

Sedangkan kita pada masa yang sama sangat enak melakukan larangan serta tegahannya, tanpa peduli sama ada kita bersedia atau tidak untuk menerima balasan buruknya nanti. Hebatkah kita untuk mendabik dada dan berkata : kubur masing-masing, apa orang lain nak sibuk-sibuk menasihatkan aku?

Begitu juga, kita sering diperingatkan dengan sifat qanaah-berpada dengan apa yang ada. Tapi sering juga kita lupa, lalu berlumba-lumba kita mengejar apa yang terlintas dan terniat di hati kita. Tanpa peduli halal atau haram, pahala dan dosa malah syurga atau neraka pilihan kita nanti.

Sekian, bersama menginsafi diri. Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan