Selasa, Disember 28, 2010

Hanya DIA Yang Maha Gagah.

Gagah ertinya kuat, perkasa, berani dan menang. Orang yang gagah ditakuti oleh orang yang lemah. Haiwan yang lemah menjadi mangsa haiwan yang kuat atau gagah. Contohnya ayam menjadi makanan ular sawa yang lebih kuat darinya. Jika kita seorang yang manusia biasa janganlah menunjuk-nunjuk yang kononnya kita ini gagah atau kuat dari orang lain.

Kegagahan atau kekuatan yang dimiliki adalah daripada Allah Yang Maha Gagah. Ia dipinjamkan untuk sementara sahaja kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Gunakan ia untuk membela diri jika diganggu dan untuk memberi pertolongan kepada orang lain jika diminta.

Allah adalah Maha Perkasa. Dia dapat menakluki sesiapa saja.Dia berkuasa menjadikan alam semesta ini dan menghancurkannya menurut kemahuan-Nya. Allah telah menunjukkan sifat gagah perkasa-Nya dengan menimpakan azab ke atas kaum yang derhaka. Kaum Nabi Nuh yang ingkar mati ditenggelami banjir besar. Kaum Nabi Lut hancur binasa dimusnahkan gempa bumi dan pekikan yang kuat. Dan banyak lagi peristiwa dahsyat yang menimpa golongan yang ingkar kepada Allah.

Oleh sebab itu, sebagai hamba Allah yang lemah dan sangat mengharapkan-Nya, kita mestilah sentiasa membesarkan dan memuji Allah Yang Maha Gagah. Tanamkan rasa gerun dan takut kepada kemurkaan-Nya. Mudah-mudahan dapat membantu serta menyelamatkan kita daripada terlibat dengan amalan yang tidak baik dan berdosa.

Gunakan kebolehan, keberanian dan kekuatan yang kita ada untuk kebaikan, bukan berbangga dengannya, atau disalahgunakan. Bila-bila masa saja Allah boleh mengambil semula nikmat yang dipinjamkan-Nya kepada kita kerana semua yang kita miliki adalah milik Allah Yang Maha Gagah.