PENGENALAN
Kehidupan
di masa kini yang dikelilingi oleh peralatan canggih telah memungkinkan satu
sistem atau corak pembelajaran yang lain dari yang lain terhasil. Sedikit demi
sedikit proses pengajaran dan pembelajaran tradisional berubah ke arah
pembelajaran berasaskan teknologi perkomputeran. Khususnya, perkembangan dalam
bidang teknologi telah mengubah cara manusia belajar (Naismith, Lonsdale,
Vavoula, & Sharples, 2004; Ting, 2007). Proses pembelajaran kini melampaui
ruang fizikal bilik darjah (Kukulska-Hulme & Traxler, 2005) bersifat
globalisasi dan sepanjang hayat (Sharples, 2000). Pada masa kini ramai
penyelidik dalam bidang akademik dan industri mula meneroka potensi teknologi
dan peralatan mudah alih untuk menyokong pembelajaran (Sharples, 2000;
Sharples, 2002; Liu, Wang, Chan, Ko, & Yang, 2003). Kajian-kajian lalu
menunjukkan teknologi mudah alih dapat memberikan kesan yang signifikan dalam
menyokong pengajaran dan pembelajaran (Perry, 2003; Zurita & Nussbaum,
2004). Sementara itu Wood (2003) pula berpendapat penggunaan teknologi wireless
dalam pendidikan dapat menyumbang ke arah menyelesaikan jurang digital dalam
kalangan negara-negara membangun, kerana pada umumnya peralatan teknologi
seperti telefon bimbit dan PDA adalah lebih murah berbanding komputer meja.
Hasil
kajian lepas menunjukkan penggunaan peralatan mudah alih dalam pengajaran dan
pembelajaran meningkatkan prestasi serta merangsang minat pelajar dalam mata
pelajaran seperti sains dan matematik (Metcalf, Milrad, & Cheek, 2008).
Sesebuah negara yang mahu terus berjaya dalam ekonomi berteraskan ilmu, harus
menyediakan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada modal insannya sehingga
menjadi satu budaya hidup. Pencarian ilmu yang berterusan adalah penting kerana
ilmu dan kemahiran yang diperolehi di sekolah dan universiti akan menjadi lapuk
selepas satu tempoh yang tertentu. Terutamanya, kini aktiviti ekonomi telah
berubah kepada berasaskan pengetahuan atau di panggil k-economy. K-economy
memerlukan k-pekerja kerana pendekatan aktiviti ekonomi yang
menggunakan ilmu pengetahuan, modal intelek dan teknologi maklumat.
M-pembelajaran merupakan asas kepada ekonomi bermaklumat dan ekonomi
berpengetahuan (k-economy). Penggunaan jaringan teknologi terutamanya
internet adalah satu evolusi yang menjana kekayaan maklumat dalam pembelajaran
dengan kuasa membawa maklumat dan kemahiran tertentu untuk mengupaya pekerja,
pelajar dan setiap individu yang benar-benar memerlukannya.
KONSEP DAN
DEFINISI M-PEMBELAJARAN
M-pembelajaran
merupakan suatu konsep baru dalam proses pembelajaran. Ianya menekankan kepada
keupayaan untuk memudah alih proses
pembelajaran tanpa terikat kepada lokasi fizikal di mana proses pembelajara
berlaku (Kukulska-Hulme & Traxler, 2005). Menurut (Desmond, 2002),
m-pembelajaran merujuk kepada penyediaan pengajaran dan pembelajaran melalui
penggunaan peranti tanpa wayar dan mudah alih seperti PDA, telefon mudah alih,
permainan konsol dan sebagainya.
Manakala Siraj & Kumaran (2006) menyatakan bahawa
mpembelajaran adalah penggunaan peranti tanpa wayar bagi membolehkan
pembelajaran berlaku pada bila-bila masa dan di manamana sahaja. Parsons (2011) mengaitkan bahawa
m-pembelajaran adalah sebahagian daripada e-pembelajaran dan pembelajaran jarak
jauh. Sekiranya m-pembelajaran dikaitkan dengan internet dan tanpa wayar, ianya
tidak jauh berbeza dengan konsep asal e-pembelajaran. Oleh itu, kebolehan
sesuatu pembelajaran itu berlaku walaupun di mana pelajar itu berada ataupun ke
mana sahaja arah tujuan mereka tanpa mengira waktu merupakan satu kelebihan
yang ada pada m-pembelajaran.
Menurut Prensky (2001) pula, m-pembelajaran adalah pembelajaran
berbantukan ICT yang menggunakan peralatan mudah alih khasnya peralatan mudah
alih yang terkini seperti PDA, telefon bimbit, laptop dan tablet PC.
Mostakhdemin-Hosseini & Tuimala (2005) pula menyatakan bahawa
m-pembelajaran bukanlah suatu pembelajaran menerusi telefon mdah alih atau
pembelajaran secara internet tanpa wayar tetapi m-pembelajaran merupakan satu
evolusi kepada e-pembelajaran, yang mana ianya melengkapkan kekurangan yang
terdapat pada e-pembelajaran sebelum ini.
Quinn
(2002) mendefinisikan m-pembelajaran sebagai belajar menerusi peralatan mudah
alih seperti Palms, PDA dan juga telefon bimbit. Ini berbeza dengan Nyiri
(2002) yang menyatakan m-pembelajaran sebagai pembelajaran yang berlaku apabila
komunikasi antara individu dengan individu yang lain berlaku secara wireless.
Sementara O’Malley, Vavoula, Glew, Taylor, Sharples, dan Lefrere (2003)
mendefinisikan m-pembelajaran sebagai apa saja pembelajaran yang berlaku di
tempat dan lokasi yang tidak ditetapkan atau pembelajaran yang berlaku apabila
pelajar menggunakan teknologi mudah alih.
Keegan
(2005) menyatakan ramai pengkaji memberikan definisi yang kompleks mengenai m-pembelajaran.
Bagi beliau m-pembelajaran ialah penyediaan pendidikan dan latihan menggunakan
PDA, palmtops, komputer bimbit, telefon pintar dan telefon bimbit.
Kesimpulannya
m-pembelajaran ialah apa saja pembelajaran atau latihan yang dijalankan
menggunakan peralatan berteknologi mudah alih seperti komputer riba, PDA,
telefon bimbit yang membolehkan pembelajaran dapat berlaku di mana sahaja dan
pada bila-bila masa.
Brown
(2003) menerangkan dengan jelas tentang konsep m-pembelajaran. Menurut beliau m-pembelajaran
adalah subset kepada e-pembelajaran. E-pembelajaran ialah konsep makro yang
melibatkan persekitaran pembelajaran dalam talian dan m-embelajaran.
PERKEMBANGAN M-PEMBELAJARAN
Perkembangan
dalam bidang teknologi mudah alih mendorong pelbagai pihak merangka projek m-pembelajaran.
Di seluruh dunia terdapat banyak projek m-pembelajaran sama ada projek besar
atau kecil. Misalnya "Projek Leonardo da Vinci" dan "IST
FP5" di Eropah (Keegan, 2005), projek UniWap (Sariola, Sampson, Vuorinen &
Kynaslahti, 2001). Di samping itu terdapat juga usaha dan kajian untuk merangka
kursus dan membina bahan supaya bersesuaian dengan peralatan mudah alih (Bull
& Reid, 2004; Colley & Stead, 2004; Ramsden, 2003).
Perkembangan
teknologi yang pesat daripada sistem analog kepada sistem digital dan kini mula
beralih kepada sistem digital generasi ketiga (3G) ( Kolahi, 2002) perlu dimaanfatkan
oleh bidang kurikulum bagi menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang lebih
menarik dan berkesan. Sesuai dengan perubahan semasa dan kepentingan kurikulum
pendidikan di Malaysia pada masa hadapan, maka penghasilan sebuah kurikulum
yang sesuai dengan perubahan teknologi semasa adalah penting.
Teknologi
mudah alih pada masa kini sedang berkembang pesat. Kejayaan pembangunan dalam
Bluetooth, WAP (Wireless Application Protocol), GPRS (General Packet Radio
System), EDGE (Enhanced Data Rates for GSM Evolution), WiFi dan UMTS (Universal
Mobile Telecomuncational System), perkembangan rangkaian 3G menunjukkan
struktur teknologi untuk telefon mudah alih dan komputer berteknologi mudah
alih tersedia (Attewell,
2005).
Di seluruh dunia pada hari ini teknologi mudah alih menggantikan sistem talian
tradisional, misalnya e-commerce bergerak ke arah m-commerce; m-perniagaan
menggantikan e-perniagaan; e-perbankan digantikan dengan m-perbankan (Keegan,
2005; Mashkuri, 2003; Shim & Shim, 2003). WiFi menjadi teknologi pilihan
untuk rangkaian wireless setempat dalam persekitaran perniagaan ataupun di
kediaman (Henry & Luo, 2002). Malah WiFi juga pada masa kini dipasang di kawasan
awam bagi membolehkan pengguna mencapai akses internet jalur lebar (Henry &
Luo, 2002).
Perkembangan
M-Pembelajaran di Malaysia
ICT
telah dilaksanakan di negara ini hampir dua dekad dan diikuti dengan
pelaksanaan e-pembelajaran (DePAN, 2010).
Seterusnya, lebih sedekad kemudian, teknologi e-pembelajaran menjadi
semakin berkembang sehingga boleh dipaparkan di atas skrin kecil yang mampu
dibawa ke mana-mana sahaja dan lebih dikenali sebagai teknologi m-pembelajaran.
Kajian-kajian lalu telah menunjukkan m-embelajaran sangat efektif dalam
pengajaran dan pembelajaran. Kajian oleh
Saran, Cagility dan Seferoglu (2008) mendapati m-pembelajaran
menggunakan peralatan telefon mudah alih telah meningkatkan kemahiran pelajar
dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris melalui penggunaan bahan berbentuk
multimedia. Kajian juga mendapati penggunaan MMS dan SMS dapat mempertingkatkan
perbendaharaan kata pelajar dengan berkesan.
Antara
kajian terawal dalam bidang m-pembelajaran di Malaysia ialah kajian penilaian
pelaksanaan program m-pembelajaran kepada pelajar-pelajar tahun 5 di sebuah
sekolah rendah di Kuala Lumpur (Saedah Siraj dan Norlida Alias, 2005). Tujuan
kajian ialah untuk
menyiasat
sama ada pelaksanaan program m-pembelajaran mencapai hasrat yang ditetapkan ke
atasnya dan juga menilai kekuatan dan kelemahan program. Hasil kajian mendapati
pelaksanaan program m-pembelajaran telah mencapai hasarat yang ditetapkan ke
atasnya.
Kajian
juga mendapati program m-pembelajaran mempunyai banyak kekuatan disamping
terdapat beberapa kelemahan.
Di
Malaysia, perkembangan teknologi tanpa wayar kini menunjukkan perkembangan yang
amat pesat sekali. Penggunaan peralatan mudah alih seperti telefon mudah alih,
PDA, komputer bimbit dan lain-lain peralatan telah meningkat. Permintaan yang
tinggi terhadap
telefon
mudah alih ini menjadikan harganya semakin murah dan mampu dimiliki. Berdasarkan statistik Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia Malaysia (Rajah 1), pelanggan telefon mudah alih telah mencecah
sebanyak 30.144 juta pada tahun 2009 manakala pelanggannya telah meningkat
kepada 31.456 juta pada suku tahun kedua 2010. Senario ini jelas menunjukkan
peningkatan yang amat tinggi terhadap penggunaan telefon mudah alih di Malaysia
(Rajah 1).
Telefon
mudah alih dipercayai sangat berguna
untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Malah
terdapat perdebatan mengenai baik dan buruk peralatan ini sehingga kajian dan
projek mengenai penggunaan telefoon mudah alih dalam m-pembelajaran turut
meningkat. Ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat telah mula menerima
pandangan tentang penggunaan telefon mudah alih dalam kepentingan pendidikan.
Terdapat beberapa sekolah yang telahpun mula menggunakan telefon mudah alih
secara formal dalam pengajaran dan pembelajaran. Malaysia juga telah pun
menjalankan kajian rintis terhadap pelaksanaannya melalui kajian “Belajar
Secara Maya Guna iPhone” (Utusan, 2009).
Ini secara tidak langsung menunjukkan kebanyakan rayat Malaysia mempunyai
telefon mudah alih yang membolehkan maklumat diperolehi secara tanpa wayar yang
memungkinkan m-pembelajaran dilaksanakan.
Perubahan
yang dibawa dalam pendidikan di Malaysia bukanlah mudah tanpa sebarang halangan
dan cabaran memandangkan ia melibatkan banyak bidang termasuklah sosial, politik
dan ekonomi dalam sistem pendidikan Malaysia. Walau bagaimanapun, mengikut
keadaan ekonomi kini, peningkatan yang berlipat ganda telefon mudah alih di
kalangan rakyat Malaysia (Malaysian
Communications and Multimedia Commision, 2010) memberikan petunjuk mengenai
peluang untuk melaksanakan m-pembelajaran di Malaysia.
KELEBIHAN M-PEMBELAJARAN
DAN KESANNYA TERHADAP PELAJAR
Pembelajaran
secara m-pembelajaran telah terbukti keberkesanannya di negara luar dan kini telah
mula perkenalkan di Malaysia di mana terdapat beberapa institusi pengajian
tinggi telah mengintegrasikan teknologi ini dalam kurikulum pengajaran mereka.
Perkongsian nota di antara pelajar telah dimudahkan dengan adanya alatan mudah
alih seperti PDA di kalangan pelajar. Mereka tidak perlu lagi duduk di hadapan
komputer peribadi untuk memuat turun nota. Ianya telah dimudahkan dengan hanya
menggunakan internet yang disediakan oleh pembekal perkhidmatan telefon mudah
alih yang dilanggani. Oleh yang demikian, memuat turun nota boleh dilakukan di
mana sahaja dan pada bila-bila masa. Walaupun pelajar berada di dalam bas
ketika pulang ke kampung atau semasa menghirup kopi di kafe-kafe yang
menyediakan perkhidmatan internet tanpa wayar.
Jika
sebelum ini kuiz hanya dapat dilakukan di dalam kelas sahaja, kini pensyarah boleh
mengadakan kuiz untuk pelajar mereka pada bila-bila masa dengan hanya memasukkan
soalan dan menetapkan masa yang perlu diambil bagi setiap kuiz yang diadakan.
Hal ini dapat dilakukan melalui alatan mudah alih seperti PDA dan beberapa jenis
telefon mudah alih tertentu. Pensyarah boleh tersenyum lebar kerana mereka bukan
sahaja boleh mengadakan kuiz bagi pelajar mereka pada bila-bila masa malah dapat
memperolehi markah secara masa nyata tanpa perlu mengira markah secara manual.
Perisian-perisian untuk mengadakan kuiz ini boleh didapati dengan mudah dan boleh
juga dihasilkan oleh pensyarah tersebut dengan menggunakan teknik pemprograman
yang mudah.
Triantafillou,
Georgiadou dan Economides (2006) melalui kajian mereka terhadap ujian yang
dilakukan melalui alatan mudah alih dalam pendidikan mendapati bahawa penilaian
yang dilakukan melalui ujian m-pembelajaran adalah lebih efektif dan efisyen.
Ini adalah kerana ujian yang dilaksanakan secara m-pembelajaran adalah lebih
menjimatkan masa daripada ujian yang dilaksanakan secara kertas dan pensel.
Item-item yang dijawab oleh pelajar pula menjadikan proses pemarkahan lebih
tepat dan jitu.
Hasil
dapatan daripada kajian Attewell (2005) dalam merumuskan projek m-pembelajaran 2001
mencadangkan bahawa penggunaan m-pembelajaran mungkin dapat memberi kesan yang
positif kepada beberapa bidang:
1. M-pembelajaran
membantu pelajar meningkatkan kemahiran literasi dan numerik untuk
mengenalpasti keupayaan sebenar
mereka.
2. M-pembelajaran
boleh digunakan untuk menggalakkan kedua-dua pengalaman pembelajaran bebas dan pengalaman pembelajaran
perkongsian (collaborative
learning).
3. M-pembelajaran
dapat membantu pelajar mengenalpasti perkara-perkara yang memerlukan bantuan dan sokongan.
4. M-pembelajaran
dapat membantu dalam memperjuangkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi serta dapat membantu mengurangkan
jurang di antara literasi telefon mudah alih dengan literasi teknologi
maklumat.
5. M-pembelajaran
membantu pelajar menolak beberapa formaliti daripada pengalaman
Pembelajaran.
6. M-pembelajaran
membantu pelajar dalam mengekalkan fokus pembelajaran untuk jangka masa yang lebih panjang.
7. M-pembelajaran
membantu meningkatkan self-esteem
8. M-pembelajaran
membantu meningkatkan keyakinan diri (Attewell, 2005)
Kesan-kesan
positif ini jika dapat diterapkan di dalam suasana pembelajaran di institusi
pengajian tinggi di Malaysia semestinya dapat meningkatkan prestasi seseorang pelajar
dalam semua aspek yang ingin dicapai. Selain itu, mereka juga dapat melihat dan
menggunakan teknologi mudah alih ini dengan perspektif yang lebih luas.
Selain
itu, elemen multimedia yang mampu mengintegrasikan audio dan video dapat
menarik minat pelajar dalam penggunaan m-pembelajaran. Melalui pengajaran dan pembelajaran
yang menggunakan audio dan video, pelajar akan menjadi lebih menumpukan
perhatian, aktif, konstruktif, bersemangat dan dapat menyemarakkan peranan
bekerjasama dalam suasana pemikiran kreatif dan kritis. Perkembangan seperti ini
amat diperlukan dalam melahirkan graduan yang kompetitif dan berdaya saing.
Keperluan
dalam persekitaran pembelajaran yang baru perlu dilaksanakan agar proses
pembelajaran tidak terbatas kepada kaedah tradisional semata-mata. Melalui m-pembelajaran,
kebebasan dan kawalan diberikan sepenuhnya kepada pelajar. Pelajar diberi kebebasan
untuk menghantar tugasan, menjawab soalan kuiz, memuat turun nota, berdiskusi dan melakukan aktiviti-aktiviti
pembelajaran mengikut kehendak dan kesesuaian masa mereka. Kebebasan yang
diberikan kepada mereka terhadap kaedah pembelajaran ini dapat menarik minat
mereka dalam mendalami sesuatu pelajaran. Memandangkan setiap pelajar berbeza,
ia merupakan motivasi kepada mereka untuk terus maju dan meningkatkan prestasi
pelajaran mereka.
Kemudahan
khidmat pesanan ringkas yang hadir bersama alatan mudah alih menjadikan sesi
pengajaran dan pembelajaran lebih mudah kerana segala maklumat berkenaan
temujanji bersama ahli kumpulan dan pensyarah dapat dilaksanakan secara masa
nyata. Kemudahan ini dapat menjimatkan masa serta memudahkan seseorang pelajar
dan pensyarah menetapkan jadual harian mereka tanpa terikat pada masa-masa tertentu
sahaja.
Disamping
faktor yang dinyatakan di atas, m-Pembelajaran mepunyai sifat yang unik yang menyebabkan
ia semakin diperkatakan untuk menyampaikan pengajaran dan pembelajaran di
sekolah atau universiti. M-Pembelajaran dapat mebekalkan maklumat terbaru pada
bila-bila masa. M-pembelajaran dapat membenarkan pelajar mengikut pembelajaran
di mana-mana sahaja berdasarkan keupayaan masing-masing serta mengikut
kesesuaian masa sendiri. Ini bermaksud, seseorang dapat belajar secara
fleksibel. Sifat demikian akan membantu masyaakat menjayakan program
pembelajaran sepanjang hayat.
Selain
itu, pelajar dapat menjimatkan masa untuk belajar. Kebanyakan m-pembelajaran mengandungi
latihan yang membenarkan pelajar mencabar subjek tersebut dan memintas bahagian
maklumat yang telah diketahui. Hal ini menunjukkan bahawa pelajar tetap
mencapai objektif pengajaran melalui proses pembelajaran yang berlainan. Dalam
pembelajaran tradisional, pelajar yang mempunyai tahap pengetahuan yang berbeza
terpaksa menerima pengajaran yang sama.
Seseorang
pelajar juga dapat meningkatkan keberkesanan pembelajaran melalui
m-pembelajaran. Pelajar dapat mencapai maklumat yang meluas apabila perlu.
Maklumat dapat dikongsi antara individu dengan pakar dalam bidang tertentu yang
dikenali melalui e-mel, chat-room atau papan bulletin. Masa untuk proses
pembelajaran secara langsung dapat disingkatkan. Di samping itu juga, pembelajaran didapati dapat meningkatkan motivasi pelajar.
Dalam kertas kerja yang dijalankan oleh (Kamal & Tasir, 2008) menunjukkan
pelajar mempunyai motivasi untuk belajar apabila berhadapan dengan
m-pembelajaran.
KELEMAHAN
M-PEMBELAJARAN
Terdapat
beberapa kelemahan dalam m-pembelajaran yang
dapat dikesan antaranya ialah saiz skrin peralatan mobile seperti PDA dan
telefon bimbit yang agak kecil. Talian internet yang tidak stabil juga merupakan
satu lagi kelemahan dalam pelaksanaan m-pembelajaran. Masalah saiz skrin sememangnya menjadi satu
isu dalam m-pembelajaran. Skrin yang kecil seperti di telefon bimbit
menyukarkan sedikit pelajar untuk membaca dan menghadkan bilangan teks yang
dipaparkan (Zhang, Wang, Rao, Yang, Li, & Lu, 2006).
Selain daripada
saiz skrin yang terhad, peralatan mobile juga menghadapi masalah lain seperti
kaedah memasukkan input yang lemah dan hayat bateri yang terhad (Parsons, Ryu, & Cranshaw,
2007). Kelemahan yang ketara adalah berkaitan dengan kesukaran dalam
teknologi dan pengaksesan, maklumat yang melebihi beban, kualiti maklumat yang
berubah, kehendak masa dan kekurangan kemahiran dan kesukaran dalam
mengendalikan masalah-masalah teknikal seperti masalah sambungan internet,
masalah teknikal peralatan mudah alih dan masalah virus.
Terdapat juga
beberapa kelemahan di dalam m-pembelajaran ini kerana sebagai manusia kita
pasti mempunyai kekurangan
yang tidak dapat dielakkan. Antara
kelemahan-kelemahan yang telah dikenalpasti ialah m-pembelajaran ini sukar
dikendalikan kerana pelajar kurang pengetahuan dalam web portal yang menggunakan
sistem MOODLE (singkatan untuk Modular
Object-Oriented Dynamic Learning Environment atau dalam bahasa Malaysia ialah
Modular Berorientasikan Objek Persekitaran Pembelajaran Dinamik). Selain dari
itu talian internet yang sibuk turut menjadi penyumbang kepada proses
m-pembelajaran ini menjadi lambat dan membataskan penggunaannya.
CABARAN DAN HALANGAN DALAM M-PEMBELAJARAN DI
MALAYSIA
Peredaran
masa menyebabkan terdapat lambakan jenis, fungsi dan kecanggihan alatan mudah
alih yang berada di pasaran hari ini. Di Malaysia, komputer riba dilihat
sebagai alatan yang dominan jika dibandingkan dengan palm talk kerana
fungsinya yang lebih besar dalam kehidupan seseorang pelajar. Namun begitu,
penggunaan palm talk di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan
Britain dilihat lebih meluas kerana saiz dan keupayaan yang telah
diintegrasikan secara praktikal telah menarik minat ramai penggunanya.
Sebenarnya
penggunaan palm talk dan telefon mudah alih juga dapat menyamai kebanyakan
fungsi komputer riba. Misalnya, daripada palm talk dan telefon mudah
alih, kita sebenarnya boleh mengambil nota daripada komputer pelayan pensyarah,
membuat diskusi berkumpulan, menghantar tugasan dan sebagainya. Pandangan
pelajar tempatan dilihat dapat berubah jika ada di antara ahli akademik mahu
menjadi pelopor bagi teknologi m-pembelajaran ini.
Melalui
satu kertas kajian yang dilaksanakan oleh Singh dan Zaitun (2006) beberapa
masalah telah dikenalpasti dalam mengintegrasikan alatan mudah alih dengan senario
pendidikan di Malaysia, antaranya:
1.
Terdapat had kapasiti simpanan bagi palm talk dan telefon mudah alih
2.
Jalur lebar mungkin berkurangan apabila jumlah pengguna bertambah
3.
PDA dan telefon mudah alih adalah tidak lasak berbanding dengan komputer peribadi
4.
Bateri perlu dicaj selalu dan jika tidak dilakukan dengan cara yang betul, data
mungkin
akan hilang (Singh dan Zaitun, 2006).
Pendedahan
yang terhad kepada teknologi mudah alih juga dilihat menjadi salah satu faktor
kepada permasalahan dalam perkembangan kaedah m-pembelajaran. Hasil daripada
tinjauan, beberapa kursus yang ditawarkan di institut pengajian tinggi Malaysia
langsung tidak menawarkan mata pelajaran yang berkaitan dengan teknologi ini.
Ini mengurangkan peluang pelajar untuk memahami kuasa teknologi dan kaedah
m-pembelajaran. Pendedahan awal khususnya kepada pelajar tahun pertama di
universiti amat penting bagi memastikan pelajar dapat memahami dan seterusnya
mengadaptasi kaedah pembelajaran m-pembelajaran. Peranan ahli akademik juga
dilihat amat penting dalam perkembangan m-pembelajaran. Ahli akademik seharusnya
diperkenalkan kepada m-pembelajaran terlebih dahulu sebelum kaedah
ini
diperkenalkan kepada pelajar. Penguasaan yang lemah dalam m-pembelajaran mampu
menjadi punca kepada ketidakberkesanan m-pembelajaran secara keseluruhan.
Penerimaan secara meluas oleh semua ahli akademik di institusi pengajian tinggi
amat perlu untuk memastikan keseluruhan proses m-pembelajaran dapat direalisasikan.
Selain
daripada itu, alatan mudah alih seperti PDA dan palm talk merupakan alatan
yang agak sukar diperoleh oleh pelajar kerana faktor harga yang agak tinggi
berbanding telefon mudah alih biasa yang tidak menyokong kemudahan m-pembelajaran.
Di negara-negara Eropah alatan seperti ini adalah jauh lebih murah berbanding
di Malaysia. Faktor ini menyebabkan peratus kejayaan m-pembelajaran di Eropah
adalah lebih tinggi berbanding di Malaysia. Kebanyakkan institusi pengajian
tinggi di Malaysia yang telah menggunakan teknologi m-pembelajaran mampu
melaksanakan kaedah pembelajaran ini kepada pelajar yang mengambil kursus jarak
jauh. Ini adalah kerana mereka yang mengambil kursus jarak jauh lazimnya telah
bekerja dan mampu memiliki alatan mudah alih sekaligus dapat menjayakan
perlaksanaan pembelajaran melalui m-pembelajaran.
Had
skrin yang terhad dan kecil merupakan penyumbang kepada masalah untuk memaparkan
jumlah dan jenis maklumat (Singh & Zaitun, 2006). Tidak semua maklumat berkaitan
dapat diberikan dalam skrin yang sama contohnya jika nota yang ingin disampaikan
adalah dalam saiz yang besar ia mungkin tidak dapat menyokong skrin yang
bersaiz kecil maka pengguna terpaksa melihatnya dalam antaramuka yang lebih banyak
serta skrin yang berbeza.
M-PEMBELAJARAN:
ISU DAN CABARAN
Pendidikan
berteraskan m-pembelajaran sememangnya sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia.
Paradigma kita berkenaan teknologi yang baru ini perlulah diubah supaya ianya
dapat direalisasikan. Kemudahan kaedah pendidikan yang serba moden dan mudah
alih ini perlulah diuji secara kolektif untuk memastikan pelajar kita khususnya
di peringkat pengajian tinggi dapat merasai keseronokan pembelajaran di
mana-mana sahaja tanpa dibatasi had, tempat dan waktu. Pendedahan yang terhad
kepada teknologi mudah alih perlulah ditamatkan dengan mengadakan kelas khusus
berkenaan teknologi ini. Oleh itu peluang pelajar untuk memahami kuasa
teknologi dapat dipertingkatkan. Pendedahan awal khususnya kepada pelajar tahun
pertama di universiti amat penting bagi memastikan pelajar dapat memahami
dan
seterusnya mengadaptasi kaedah pembelajaran m-pembelajaran di sepanjang
pengajian mereka.
Tidak
dinafikan banyak masalah akan timbul khususnya untuk mengintegrasikan
m-pembelajaran dalam persekitaran pembelajaran semasa di institusi pengajian
tinggi. Namun sekiranya dibei perhatian yang serius, masalah yang timbul dapat
diatasi dengan mudah. Peranan semua pihak khususnya pensyarah dan pelajar perlu
diambil kira sepenuhnya agar masalah yang timbul dapat diatasi. Lazimnya, untuk
memulakan penggunaan pembelajaran secara elektronik, terdapat pelbagai masalah
yang perlu ditempuhi dan diatasi sebelum ianya seratus peratus berjaya
dilaksanakan. Begitulah juga halnya dalam merealisasikan penggunaan m-pembelajaran
kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Faedah-faedah
yang dapat diperolehi dengan penggunaan m-pembelajaran boleh dijadikan motivasi dalam menjayakan kaedah
pengajaran terbaru ini. Kesannya kepada masa depan pelajar adalah terbukti di
luar negara dan itulah kunci kejayaan yang perlu diambil kira untuk
merealisasikan kaedah pengajaran dan pembelajaran m-pembelajaran. Di Malaysia,
kita harus merebut peluang yang terdapat dalam m-pembelajaran untuk melahirkan pelajar
yang berdaya saing dan dapat menguasai kemahiran generik yang seharusnya ada dalam diri setiap graduan universiti dan
kolej di Malaysia.
Kajian
yang meluas boleh diadakan khususnya dalam mengatasi masalah yang telah
dikenalpasti serta menambah baik peluang sedia ada bagi memantapkan m-pembelajaran
di Malaysia. Persekitaran pendidikan di Malaysia mungkin berbeza berbanding negara
luar, untuk itu kajian persekitaran dan budaya pembelajaran boleh dilaksanakan untuk
merealisasikan kemantapan m-pembelajaran. Kajian yang meluas dalam bidang ini sudah
pasti dapat membangunkan sektor pendidikan secara keseluruhan khususnya di institusi pengajian tinggi.
Dari sudut yang
lain pula dapatan kajian dapat memberi implikasi kepada beberapa pihak seperti
Kementerian Pelajaran Malaysia, pihak
sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar.
Dapatan kajian akan dapat membantu Kementerian Pelajaran Malaysia dan
Pusat Perkembangan Kurikulum melaksanakan kurikulum M-Pembelajaran seiring
dengan perkembangan era digital pada masa kini. Ianya juga seiring dengan
hasrat Kementerian
Pelajaran
Malaysia menjadikan pendidikan di Malaysia untuk melahirkan insan yang seimbang
dari segi jasmani, emosi dan rohani; meningkatkan kreativiti dan inovasi di
kalangan pelajar; meningkatkan budaya ilmu; membudayakan sains dan teknologi;
membudayakan pembelajaran sepanjang hayat; menyediakan sistem pendidikan yang
lebih cekap dan berkesan, dan bertaraf dunia; menjadikan Malaysia sebagai pusat
kecemerlangan pendidikan serta meningkatkan martabat pendidikan Malaysia pada
peringkat antarabangsa (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2001).
Objektif
Kurikulum M-Pembelajaran yang terhasil dalam kajian adalah relevan dengan
kurikulum yang dibina. Dalam menentukan objektif kurikulum M-Pembelajaran
tercapai, langkah-langkah dalam pelaksanaan kurikulum perlu diberi perhatian
oleh semua pihak bermula dari Kementerian Pelajaran hinggalah kepada guru-guru
sendiri. Kejayaan dan kegagalan pelaksanaan akan menentukan objektif yang
dirancang tercapai atau tidak. Guru-guru sebagai pelaksana perlu diberi
kefahaman yang jelas dan mendalam tentang kurikulum ini. Ia boleh disampaikan
dalam bentuk kursus dan juga bahan bercetak seperti risalah atau buku.
Disamping itu media elektronik dan media cetak juga boleh memainkan peranan
memberi penjelasan dan penerangan kepada masyarakat.
Perlaksanaan
Kurikulum M-Pembelajaran akan melibatkan implikasi kewangan kerajaan. Menurut
Traxler (2004) kos yang perlu dipertimbangkan dalam membangunkan M-Pembelajaran
ialah; 1) Kos pembangunan isi kandungan; 2) Kos pengajaran; 3) Kos pembangunan
perisian; 4) Kos perkakasan; dan 5) kos penggunaan; seperti caj telefon.
Sementara Naismith, Lonsdale, Vavoula,
& Sharples, (2004) mengemukakan beberapa cadangan yang perlu diberikan
perhatian dalam membangunkan M-Pembelajaran iaitu: 1) Mengenalpasti kos untuk
model insfrastruktur, teknologi dan perkhidmatan. Bajet perlu disediakan untuk membeli peralatan mudah alih,
perkakasan rangkaian, kos sokongan teknikal dan beberapa kos tersembunyi; 2)
Mengkaji keperluan semua yang terlibat dalam teknologi (pelajar, guru dan
pereka bentuk isi kandungan) untuk memastikan ia berguna dan dapat diterima;
dan (3) Mengenal pasti kelebihan dan kekurangan sesuatu teknologi supaya ia
bersesuaian dengan tujuan pembelajaran.
Oleh yang
demikian bagi menampung kos yang terbabit dengan pelaksanaan Kurikulum
M-Pembelajaran, pihak kementerian pelajaran perlu menyediakan bajet kewangan
yang mencukupi.
Kementerian pelajaran boleh menggunakan kemudahan dan perkhidmatan sedia ada
bagi mengurangkan kos. Perkakasan dan peralatan seperti komputer riba, makmal
komputer, server, access point (AP) dan perkhidmatan Internet telah sedia ada
hampir diseluruh sekolah di Malaysia. Sehingga berakhir RMK-8, 97 peratus
sekolah telah dirangkaikan dengan akses Internet jalur lebar. Bakinya adalah
sekolah- sekolah yang tidak mempunyai bekalan elektrik 24 jam. Kementerian
pelajaran telah membangunkan 4,500 buah makmal komputer dan membekalkan 99,000
unit komputer ke sekolah-sekolah. Sehingga Disember tahun 2006, sudah ada 5,266
buah makmal. Bagi sekolah kurang murid (SKM), Kementerian Pelajaran Malaysia
akan mengadakan bilik komputer dan di sekolah-sekolah yang tidak mempunyai
ruang atau di pedalaman akan diperkenalkan konsep kabin. Di samping itu
sebanyak 1,584 pusat akses diadakan di sekolah-sekolah dan melalui pusat ini
sebanyak 15,840 unit komputer dibekalkan ke sekolah-sekolah yang terlibat
(Utusan Malaysia, 2007, April 4).
Dengan
perkakasan yang sedia ada di sekolah kos menyediakan perkakasan dalam
melaksanakan Kurikulum M-Pembelajaran di sekolah tidak begitu tinggi kerana
perkakasan yang sedia ada boleh digunakan. Walau bagaimanapun perkakasan yang
sedia ada perlu ditambah. Misalnya menambah bilangan access point, membekalkan
komputer tablet, telefon bimbit, PDA dan menyediakan perkhidmatan khas SMS
untuk tujuan pendidikan.
Pelaksanaan
Kurikulum M-Pembelajaran akan lebih banyak menumpukan kepada penggunaan perkhidmatan elektronik
yang mempunyai perkaitan dengan talian Internet seperti laman Web, blog, e-mel
dan sebagainya. Maka setiap sekolah perlu 290 mempunyai talian Internet yang
lebih stabil dan berkelajuan tinggi. Ini untuk mengelakkan kesesakan talian
apabila ramai pelajar menggunakannya.
Pelaksanaan
Kurikulum M-Pembelajaran bermula dengan pelajar tingkatan 1 kerana merupakan
saat yang sesuai kerana mereka baru memulakan pembelajaran di sekolah menengah.
Pendedahan mulai dari peringkat awal akan memudahkan mereka meneruskan
pembelajaran dengan lebih mudah pada tahun-tahun berikutnya.
Tahun untuk
melaksanakan Kurikulum M-Pembelajaran banyak tertakluk kepada keputusan
kementerian pelajaran sendiri. Dapatan kajian ini menunjukkan pakar telah
mencadangkan
Kurikulum
M-Pembelajaran boleh dilaksanakan mulai tahun 2010. Kementerian boleh
melaksanakan kurikulum ini dalam tiga Fasa. Fasa 1 ialah persediaan awal. Fasa
2 pelaksanaan Kurikulum dan Fasa 3 peringkat penilaian. Fasa 1 dicadangkan
mulai tahun 2010 -2011. Antara persediaan awal yang dicadangkan ialah
mengadakan kajian rintis pelaksanaan Kurikulum M-Pembelajaran ini di beberapa buah sekolah di Malaysia.
Persediaan bajet untuk pembekalan perkakasan ke sekolah seperti komputer riba,
PDA, Access Point juga perlu dibuat. Disamping itu latihan kemahiran kepada
guru-guru untuk melaksanakan kurikulum ini juga boleh dilaksanakan. Hasil
analisis kajian rintis boleh digunakan untuk memperbaiki kelemahan dan masalah
yang timbul dalam pelaksanaan kurikulum ini.
Fasa yang kedua
ialah pelaksanaan Kurikulum M-Pembelajaran ini kepada semua sekolah-sekolah di
Malaysia. Fasa ini boleh dimulakan mulai tahun 2012 hingga 2017. Fasa ketiga
ialah peringkat penilaian semula terhadap kkurikulum M-Pembelajaran bagi
melihat kelemahan, kekuatan dan masalah yang timbul. Sebarang kelemahan perlu
dibaiki dan sebarang masalah yang timbul perlu diselesaikan. Walau bagaimanapun
peringkat menilai ini tidak semestinya hanya dilaksanakan dalam fasa tiga.
Semasa Fasa dua lagi sebarang masalah dan kelemahan yang timbul perlulah diselesaikan.
Pelaksanaan
Kurikulum M-Pembelajaran secara intergrasi dengan KBSM tidak menimbulkan banyak
masalah. Ia tidak merubah sepenuhnya KBSM. Perubahan hanya minimum kepada
aspek-aspek tertentu sahaja. Misalnya seperti penggunaan peralatan seperti Komputer
riba, PDA, telefon bimbit dan komputer tablet. Begitu juga kaedah penyampaian
pengajaran berubah dari kaedah lama kepada kaedah baru yang lebih
berorientasikan teknologi. Peranan guru juga berubah seperti yang di katakan
oleh Marsh & Willis (1995) :
“Under the impact of the new
technologies, therefore, teachers are less likely in the future to be seen as
dispenders of information and more likely to become resources who aid
students in
identifying problems and in locating, analyzing and applying information”
pg 363.
Perlaksanaan
kurikulum M-Pembelajaran tidak melibatkan perubahan mata pelajaran dan isi
kandungan pelajaran. Ianya dijalankan secara intergrasi dengan KBSM.
Matapelajaran Teknologi Maklumat yang diajar kepada pelajar-pelajar tingkatan
empat dan lima pada masa kini patut diperluaskan kepada pelajar-pelajar
tingkatan satu hingga tiga.
Pelbagai
komponen yang diterapkan dalam kurikulum ini akan dapat melahirkan pelajar yang
seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (Kementerian Pelajaran
Malaysia, 2001). Ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal
insan yang berkualiti. Pelajar akan memiliki pelbagai kemahiran seperti
kemahiran mencari maklumat, memperoleh kemahiran yang bersesuaian dengan
kehendak pasaran kerja, kemahiran mengurus pembelajaran, kemahiran
menyelesaikan masalah, kemahiran mengendalikan peralatan teknologi dan
kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis (Saedah Siraj & Faridah
Abdullah, 2005).
Pelaksanaan
kurikulum ini memerlukan kepada peningkatan kemahiran guru. Guru perlu
melakukan perubahan pada diri mereka dengan mempertingkatkan kemahiran dalam
bidang ICT. Guru perlu mengambil inisiatif mengubah paradigma dan mengubah cara berfikir mereka supaya tidak terus berada
pada takuk lama. Pihak kementerian pelajaran juga perlu menjalankan lebih
banyak kursus yang berkaitan mengintergrasikan penggunaan ICT dalam pengajaran
dan pembelajaran. Pihak kementerian juga perlu menyediakan lebih banyak
peruntukan untuk melatih guru-guru kemahiran ICT. Penyediaan perkakasan yang
canggih sahaja tanpa latihan yang diberikan akan menyebabkan pembaziran
berlaku, iaitu perkakasan yang dibekalkan tidak digunakan secara maksimum.
Pihak sekolah
juga boleh mengambil inisiatif dengan melaksanakan kursus ICT di sekolah
masing-masing. Tenaga pengajar boleh diambil dalam kalangan guru-guru sekolah
tersebut yang mempunyai kemahiran ICT. Kaedah ini lebih praktikal kerana kursus
boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian masa
sekolah tersebut. Ia boleh dilaksanakan pada sebelah petang selepas
waktu persekolahan atau pada hari Sabtu.
Bentuk ujian dan
peperiksaan dalam Kurikulum M-Pembelajaran akan mengalami perubahan.
Perubahan-perubahan ini memerlukan persediaan semua pihak, sama ada pihak
kementerian pelajaran hinggalah pihak sekolah.
Penggunaan
teknologi seperti dalam kurikulum M-Pembelajaran akan memberi beberapa
implikasi ke atas pelaksanaan penilaian.
Antara implikasi yang dijangkakan ialah penyemakan dilakukan melalui
sistem komputer, masa peperiksaan akan lebih fleksibel, peperiksaan
boleh dilakukan di mana-mana sahaja, soalan dapat diedarkan kepada setiap
pelajar dengan cepat, penilaian dapat dilakukan dalam talian dan peperiksaan
ditadbir oleh pihak sekolah (Saedah Siraj & Faridah Abdullah, 2005). Ini
akan mengurangkan beban kerja guru, menjimatkan masa dan kos serta mengurangkan
kesilapan kecil.
Begitu juga dari
segi format penilaian akan mengalami
sedikit perubahan. Menurut Saedah Siraj & Faridah Abdullah (2005) format
penilaian akan lebih berbentuk penyelidikan, pentaksiran yang lebih fleksible,
pentaksiran yang lebih adil kepada semua pelajar, penilaian berbentuk rujukan
kriteria, membantu meningkatkan prestasi pelajar, pentaksiran memerlukan
pengelibatan aktif pelajar, pentaksiran aspek afektif diabaikan, pelajar yang
tidak menguasai kemahiran asas akan tercicir dan pentaksiran berbentuk
penguasaan kendiri.
IMPLIKASI
KEPADA DUNIA PENDIDIKAN SECARA
KESELURUHAN
Dalam era mobiliti pada masa kini, peluang
terbuka luas untuk mereka bentuk pembelajaran yang berbeza, mencipta komuniti
pembelajaran yang luas, menghubungkan manusia dalam dunia nyata dan maya,
menyediakan kepakaran atas permintaan dan menyokong pembelajaran sepanjang
hayat (Sharples, 2006). M-Pembelajaran dilihat sebagai alat perantara dalam
proses pembelajaran. M-Pembelajaran tidak boleh terasing dan patut dikaitkan
dengan alat pembelajaran lain yang telah sedia diguna oleh guru dan pelajar
(Winters, 2006).
Kebanyakan
pelajar pada masa kini mempunyai peralatan mudah alih seperti telefon bimbit,
alat pemain media mudah alih, dan alat
mainan bimbit. Mereka juga sering melayari Internet sama ada di sekolah, rumah,
kafe siber atau di mana-mana sahaja tempat yang mempunyai akses Internet.
Mereka melakukan aktiviti pembelajaran menerusi Internet browsing, Web
searching, mesej, forum, chat dan komuniti dalam talian (Sharples, 2006). Ini
adalah sebahagian daripada pendidikan secara tidak formal di luar bilik darjah.
Malangnya pada hari ini sekolah dan kolej tidak mengiktiraf rangkaian interaksi
tidak formal ini sebagai pembelajaran yang sah dan mereka melarang pelajar
membawa telefon bimbit dan komputer riba ke dalam bilik darjah. Keadaan
mewujudkan ketegangan yang boleh membawa konflik dalam kalangan golongan
pelajar. Ini boleh berlaku apabila pelajar mempunyai komputer yang lebih
canggih berbanding yang boleh disediakan oleh sekolah dan apabila mereka melihat pembelajaran
di bilik darjah sebagai gangguan kepada aktiviti tidak formal mereka yang
pelbagai serta sekolah tidak berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan dunia
mobiliti dan rangkaian interaksi (Sharples, 2006).
Ini kerana mobile learning is not just about learning
using portable devices, but learning across context (Walker, 2006).
M-Pembelajaran membolehkan pelajar membina pengetahuan dalam kontek yang
berbeza, membolehkan pelajar membina
kefahaman mereka, mengubah aktiviti dan corak pembelajaran serta belajar tanpa
had ruang dan masa (Sharples, 2006)
KESIMPULAN
M-pembelajaran
telah mula memainkan peranan penting di dalam pembelajaran. Kewujudan teknologi
mudah alih tanpa waya rtelah menjadikan ianya satu realitI. Kebebasan pelajar
belajar dan memperoleh maklumat menjadikan m-pembelajaran sangat digemari.
Dengan kecanggihan teknologi serta kemampuan memiliki peranti mudah alih,
m-pembelajaran bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan di Malaysia.
Justeru itu, ia menunjukkan bahawa m-pembelajaran sememangnya sesuai untuk
dilaksanakan di Malaysia sekaligus merebut peluang yang ada bagi melahirkan pelajar
yang berdaya saing dan dapat menguasai kemahiran enrik yang seharusnya ada
dalam diri setiap pelajar seawal peringkat sekolah lagi
Faedah-faedah
yang dapat diperolehi dengan penggunaan m-pembelajaran boleh dijadikan motivasi
dalam menjayakan kaedah pengajaran terbaru ini. Kesannya kepada masa depan
pelajar adalah terbukti di luar negara dan itulah kunci kejayaan yang perlu
diambil kira untuk merealisasikan kaedah pengajaran dan pembelajaran
m-pembelajaran. Di Malaysia, kita harus merebut peluang yang terdapat dalam
m-pembelajaran untuk melahirkan pelajar yang berdaya saing dan dapat menguasai
kemahiran umum yang seharusnya ada dalam diri setiap pelajar.
RUJUKAN
Ahmad Sobri Shuaib (2009).
Rekabentuk Kurikulum M-Pembelajaran Sekolah Menengah. (Thesis, PHD). Fakulti
Pendidikan, Universiti Malaya. Dimuat turun pada November 13 dan 27, 2012
daripada http://www.dspace.fsktm.um.edu.my/xmlui/handle/1812/419.pdf
Rossyahida binti Abd Rahman, dan Mohamad Hisyam bin Mohd
Hashim(2011),
M-Pembelajaran
dalam Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV) di Malaysia. In: Persidangan Kebangsaan Penyelidikan dan Inovasi Dalam
Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional CIE-TVT 2011, 16-17 November 2011,
Pulau Pinang. Dimuat
turun pada November 25, 2012 daripada http://www.eprints.uithm.edu.my/2566.pdf
Syed Ardi Bin Syed Yahya Kamal,Zaidatun Tasir
(2008). Pembelajaran Masa Depan – Mobile Learning
(M-Learning) Di Malaysia. Unuversiti Teknologi Malaysia. Dimuat turun pada November 10, 2012 daripada http://www.eprints.utm.my/7989/1/EDUPRES_(F3)_9.pdf
Zahiah Binti Kassim & Abdul Razaq Bin Ahmad
E-Pembelajaran: Evolusi Internet Dalam Pembelajaran Sepanjang
Hayat,
Universiti
Kebangsaan Malaysia. Dimuat turun pada November 24, 2012 daripada http://www. library.oum.edu.my/.../file.../epembelajaran.pdf
Zaleha binti Ismail & Raja
Norhapizah Binti Raja Mansor (2010), Pembangunan Bahan E-Pembelajaran
Berasaskan Sistem Pengurusan Kursus: Cell Structure And Cell
Organisation,Chemical Composition Of The Cell Dan Dynamic Ecosystem. Fakulti
Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia. Dimuat turun pada November 24, 2012
daripada http://eprints.utm.my/10975/1/Pembangunan_Bahan_E.pdf