Abu Usman adalah seorang hamba yang soleh dan taat beribadah. Dia mempunyai tahap kesabaran yang luar biasa. Apa sahaja yang menimpanya diterima dengan ikhlas dan sabar. Tidak pernah sedikit pun Abu Usman mengeluh.
Cerita tentang kesabaran Abu Usman ini terkenal di serata tempat. Sehinggalah pada suatu hari, ada seorang lelaki ingin menguji kesabaran Abu Usman. Lalu lelaki itu mengundang Abu Usman datang ke rumahnya. Maka datanglah Abu Usman ke rumah lelaki tersebut.
”Kenapa kau datang ke mari? Pergi kau dari sini! Kedatangan kau hanya akan menghabiskan hidangan aku sahaja,” bentak lelaki yang mengundang Abu Usman itu.
”Baiklah saya akan pergi,” kata Abu Usman tanpa marah sedikit pun kepada lelaki itu.
Baru sahaja beberapa langkah Abu Usman keluar, tiba-tiba ia dipanggil semula oleh lelaki itu.
”Hei, Abu Usman kenapa kamu pulang? Ke mari kamu,” panggil lelaki itu.
Abu Usman kembali semula berjumpa lelaki itu. Tetapi, sebaliknya dia terus diherdik dan diketawakan. Kemudian dihalau dan dipanggil semula. Begitulah keadaan Abu Usman datang dan pergi sehingga 30 kali. Abu Usman tidak mengeluh sedikit pun, apatah lagi marah.
Orang yang mengundang Abu Usman itu akhirnya percaya bahawa Abu Usman memang orang yang sabar. Lalu, ia merendahkan dirinya dan berlutut di hadapan Abu Usman.
”Maafkan saya Abu Usman. Sekarang saya percaya tuan hamba adalah seorang yang sangat sabar. Tuan hamba adalah hamba Allah yang sangat terpuji,” kata lelaki itu.
”Seekor anjing jika diperlakukan seperti tadi pasti akan marah. Tetapi saya tidak marah kerana saya bukan anjing,” kata Abu Usman.
Sejak dari hari itu, lelaki yang menguji Abu Usman akhirnya bertaubat. Dia mula belajar bagaimana untuk menerima segala sesuatu dengan ikhlas dan sabar.