Isnin, Mac 17, 2014

NUSYUZ DAN AIB DALAM PERKAHWINAN.


KANDUNGAN

1- Pendahuluan
2-  Nusyuz
3-   Hukum Nusyuz
      4-  Sebab-Sebab Nusyuz
      5.      Cara Mengatasi Nusyuz
      6.      Hukum Memberi Nafkah Kepada Isteri Yang Nusyuz
      7.      Suami Nusyuz
      8.      Aib Yang Dibolehkan Fasakh Perkahwinan
      9.      Fasakh Perkahwinan Kerana Aib
     10.  Jenis Aib Suami Dan Isteri
     11.  Aib Selepas Akad Nikah
     12.  Aib Yang Boleh Dirawat
     13.  Hak Wali Memfasakhkan Perkahwinan
     14.  Fasakh Dilakukan Dengan Segera
     15.  Permohonan Fasakh Perlu Dikemukakan Kepada Hakim
     16.  Memberi Tempoh Dalam Masalah Mati Pucuk
     17.  Cara Membuktikan Mati Pucuk
     18.  Kesan Daripada Perkahwinan Yang Difasakh Kerana Aib
     19.  Mas Kahwin Tidak Boleh Diambil Semula  
     20.  Peruntukan Fasakh Di Malaysia
     21.  Penutup
    22.  Rujukan
    23.  Lampiran

PENDAHULUAN :
Konflik bukanlah satu isu yang asing dalam kehidupan berumah tangga, lebih-lebih lagi dengan suasana masa kini, pasangan banyak terdedah dengan unsur-unsur negatif yang boleh menjurus ke arah tersebut. Sejak akhir-akhir ini isu keruntuhan rumah tangga semakin menjadi-jadi sehingga membawa kepada peningkatan kes perceraian yang semakin serius. Namun setiap konflik rumah tangga tidak semestinya diakhiri dengan perceraian kerana masih terdapat kaedah-kaedah lain yang dianjurkan oleh Islam bagi mengembalikan semula keharmonian rumah tangga. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya konflik dalam rumah tangga, kadangkala ianya berpunca dari pihak isteri (nusyuz isteri) atau suami (nusyuz suami) atau kedua-dua merupakan punca kepada timbulnya konflik.
Perkataan nusyuz telah disebut dalam al-Quran sebanyak lima kali yang memberi pelbagai maksud daripada segi bahasanya. Ia begitu sinonim dengan sikap isteri yang ingkar atau tidak bertanggungjawab terhadap suaminya. Namun hakikatnya nusyuz juga berkemungkinan berlaku pada suami iaitu suami yang tidak melaksanakan tanggungjawab, tidak menunaikan hak-hak isteri dan tidak berlaku adil dalam berpoligami.

NUSYUZ
Nusyuz bermakna derhaka. Isteri yang nusyuz ialah isteri yang menderhakai suaminya dengan mengingkari ketaatan terhadap suami yang diwajibkan oleh Allah SWT dengan tanpa alasan yang diharuskan syara’ seperti tidak mentaati perintah suami atau keluar dari rumah suami tanpa keizinannya atau tidak membenarkan suami memasuki rumahnya atau tidak mahu memasuki rumahnya atau tidak mahu memasuki rumah suaminya atau seumpama dengannya.
Menurut Ibn Faris, perempuan yang nusyuz ialah yang menderhakai suaminya.
Dari segi istilah, nusyuz ialah seseorang isteri keluar daripada mentaati suaminya. Inilah pendapat Mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali.

HUKUM NUSYUZ
Perbuatan nusyuz oleh isteri adalah haram.Ia adalah satu daripada dosa besar. Ibn Hajar al-Haitami mengira nusyuz termasuk dosa besar yang telah diputuskan oleh ramai para ulama. Hal ini berdasarkan hadis, daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ، فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا، لَعَنَتْهَاالْمَلاَئِكَةُ حَتَّىتُصْبِحَ
Maksudnya,“Apabila suami mengajak isteri tidur bersama-sama, isteri tidak mahu datang dan suaminya tidur dengan perasaan marah,malaikat melaknati isteri itu hingga ke pagi” (Hadis. al-Bukhari. 4897).


SEBAB-SEBAB NUSYUZ
Nusyuz terjadi apabila isteri tidak lagi mentaati suami, malah menderhakainya.
Contohnya:
         Isteri keluar rumah dan bermusafir tanpa sebab dan  izin suaminya.
         Bersikap kasar atau bermasam muka terhadap suaminya.
         Isteri tidak membuka pintu untuk suaminya masuk.
         Isteri enggan membenarkan suami menyetubuhinya tanpa sebarang keuzuran, seperti sakit.
         Suami mengajak isterinya bersama, tetapi dia tetap sibuk dengan tugasnya dan seumpamanya.

CARA MENGATASI NUSYUZ
1- Memberi nasihat- suami hendaklah menasihati isteri dengan baik dan berhikmah agar boleh menyedarkan isteri dari dari kesalahannya.
2- Pemulauan di tempat tidur-
Ibn al-Arabi- ada 4 pendapat ulama dalam masalah ini:
   a) Ibnu Abbas - membelakangkan isterinya ketika di tempat tidur.
   b) Ikrimah dan Abu Dhuha -tidak bercakap dengannya tapi masih menyetubuhinya.
   c) Ibrahim, al-Sya’bi, Qatadah, Hasan Basri, Ibn Wahab dan Ibn Qasim meriwayatkan dari  
       Imam Malik dan lain-lain - tidak tidur bersama dan tidak menyetubuhinya sehingga isteri  
       kembali sebagaimana dikehendaki suami.
   d) Sufian – bercakap dan menyetubuhinya, tetapi bercakap dengan percakapan yang ada unsur  
      ketegasan dan kekasaran.
Menurut Imam Nawawi: pemulauan di tempat tidur ada    dua maksud iaitu-
a)      Pemulauan dengan perbuatan.
b)      Pemulauan dengan perkataan.
Tempoh pemulauan:-
a)      Ulama Maliki- sebulan tapi tidak lebih dari 4 bulan.
b)      Ulama Syafie- mengikut jenis pemulauan, jika perkataan tidak boleh melebihi 3 hari.
c)      Ibn Hajar al-Haitami- tidak ada tempoh tertentu.
d)     Ulama Hanbali- mengikut tempoh yang dikehendaki oleh suami.
3- Memukul - dengan pukulan untuk mendidik tanpa mencederakan tubuh badan dan mematahkan tulang, namun bukan di bahagian muka atau tempat-tempat yang boleh mendatangkan bahaya.

Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaili- memukul isteri jika masih lagi berdegil dengan menggunakan 4 elemen:
a)      Sifat pukulan- pukulan yang tidak kuat dan tidak meninggalkan kesan apatah lagi cedera.
b)      Kawasan pukulan- tidak di muka, perut, kawasan yang dikhuatiri boleh membawa kematian dan tempat yang cantik supaya tidak menghodohkan.
c)      Jumlah pukulan- tidak lebih dari sepuluh sebatan/pukulan.
d)     Alat pukulan-tangan dengan memukul tapak tangan, tongkat yang ringan/kecil atau kayu siwak.

Jika perselisihan antara pasangan suami isteri tidak mampu diselesaikan oleh mereka, ia hendaklah dibawa kepada hakim. Hakim hendaklah melantik dua orang tengah daripada orang Islam yang adil dan berkebolehan berunding sebagai pendamai kepada suami isteri tersebut.Kedua-dua pendamai itu sunat seorang daripada keluarga suami yang dipersetujui dan seorang daripada keluarga isteri yang dipersetujuinya.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan jika kamu khuatirkan ada persengketaan antara keduanya, maka kirimlah seorang hakam dari keluarga laki-laki dan seorang hakam dari keluarga perempuan, jika kedua orang hakam itu bermaksud mengadakan perbaikan, nescaya Allah memberi taufik kepada suami-isteri itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi amat dalam pengetahuan-Nya” (Al-Quran. al-Nisa’. 34)

HUKUM MEMBERI NAFKAH KEPADA ISTERI YANG NUSYUZ
Isteri yang telah disabitkan oleh Mahkamah Qadi/Syariah nusyuznya, maka menurut ijmak Ulamak bahawa nafkah kepadanya gugur kerana nafkah diwajibkan kepada isteri disebabkan ianya terkurung (setia/taat) dalam rumahtangga.
Isteri yang nusyuz ialah isteri-isteri yang membebaskan dirinya dari kurungan suami dengan tidak mentaatinya tanpa alasan yang diharuskan syarak, maka gugurlah nafkah ke atasnya.
Ada pun isteri yang belum disabitkan nusyuz oleh Mahkamah Qadi/Syariah, walaupun ada anggapan nusyuz, maka nafkah ke atasnya masih wajib.


SUAMI NUSYUZ
Suami yang menganiaya isteri dan tidak menyukainya, seperti tidak memberikannya giliran bermalam, Nafkah atau mengasarinya dengan perkataan atau perbuatan, isteri hendaklah:-
              1)      menasihati suami dan mengingatkan tanggungjawab dengan menyebut firman Allah SWT:
وَعاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ فَإِنْ كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئاً وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْراً كَثِيراً
Maksudnya, “Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian, bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak” (Al-Quran. al-Nisa’. 19).

              2)      memberi amaran kepada suami tentang balasan perbuatan zalimnya. Jika suami berubah  baik,                      itulah sebaik-baiknya.
      3)   jika tidak, dia hendaklah mengadu kepada hakim untuk mendapat haknya.
      4)   hakim wajib memerintah suami memberikan gilirannya, menunaikan hak-haknya dan tidak  
            menzaliminya.
       5)  jika perangai suami semakin buruk, malah terus menyakitinya dengan memukul dan  
            memaki hamun tanpa sebab, hakim hendaklah melarang suami berbuat demikian.
       6)  jika suami mengulanginya dan isteri meminta hakim mengenakan hukuman terhadap suami,   
           hakim hendaklah mengambil tindakan yang sesuai untuk memperbaikinya.
      7)  Jika perbalahan menjadi semakin buruk, dua orang wakil sebagai orang tengah hendaklah
           dihantar untuk mendamaikan mereka atau memisahkan mereka sekiranya usaha     
           mendamaikan mereka tidak berjaya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِنِ امْرَأَةٌ خَافَتْ مِنْ بَعْلِهَا نُشُوزًا أَوْ إِعْرَاضًا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَنْ يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا وَالصُّلْحُ خَيْرٌ وَأُحْضِرَتِ الْأَنْفُسُ الشُّحَّ وَإِنْ تُحْسِنُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا
Maksudnya, Dan jika seorang wanita khuatir akan nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya, maka tidak mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenar-benarnya, dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka) walaupun manusia itu menurut tabiatnya kikir dan jika kamu bergaul dengan isterimu secara baik dan memelihara dirimu (dari nusyuz dan sikap tak acuh), maka sesungguhnya Allah adalah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan” (Al-Quran. al-Nisa’. 127).

AIB YANG DIBOLEHKAN FASAKH PERKAHWINAN
Imam yang empat telah sepakat bahawa harus dipisahkan antara suami dan isteri dengan sebab aib berdasarkan nas seperti yang dinyatakan dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah 3/111.(1)
Namun, di dalam Perundangan Islam, perkara-perkara yang mengharuskan untuk fasakh  bagi  suami isteri adalah berbeza antara satu mazhab dengan mazhab yang lain.
Dalam Mazhab Hanafi, seorang isteri boleh memohon untuk membubarkan perkahwinan melalui cara fasakh hanya apabila suami yang dikahwininya itu mengalami kecacatan dan keaiban.
Marghinani dalam al-Hidayah menyatakan bahawa hanya tiga penyakit sahaja iaitu mati pucuk, terpotong zakar dan terputus dua biji pelir, sekalipun suami itu terkena penyakit sopak dan kusta.

FASAKH PERKAHWINAN KERANA AIB
Aib yang dibolehkan fasakh terbahagi kepada dua:
1. Aib yang menghalang persetubuhan, seperti zakar terputus(الجب),mati pucuk(العنة), faraj yang tersumbat oleh tulang(القرن) atau daging(الرتق).
2. Aib yang tidak menghalang persetubuhan, yang merupakan penyakit menjijikan atau berbahaya, yang tidak mungkin diterima kecuali sanggup menghadapi mudharatnya, seperti kusta, sopak dan gila.

JENIS AIB SUAMI DAN ISTERI
Aib suami isteri terbahagi kepada tiga bahagian:
1. Aib Yang Dihidapi Oleh Suami Atau Isteri, Seperti Kusta, Sopak Dan Gila.
Seseorang yang mendapati pasangannya gila, kusta atau sopak, boleh memfasakhkan perkahwinan mereka sama ada dia juga menghadapinya ataupun tidak. Ini kerana seseorang biasanya benci akan penyakit orang lain berbanding dirinya sendiri.
Hal ini berdasarkan hadis, daripada Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تَزَوَّجَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ امْرَأَةَ مِنْ بَنِي غَفَّارِ فَلَمَّا أُدْخِلَتْ رَأْىُ بِكَشْحِهَا وَضْحًا فَرَدَّهَا إِلَى أَهْلِهَا وَقَالَ دَلَسْتُمْ عَلَيَّ
Maksudnya, “Nabi SAW mengahwini seorang wanita keturunan Ghifar. Apabila dia dibawa masuk menemui Nabi, Baginda terlihat sopak di rusuknya, lalu Baginda bersabda: “Pakailah baju dan baliklah kepada keluargamu”. Baginda juga bersabda kepada keluarga perempuan itu: “Kamu telah menyembunyikan aibnya” (Hadis al-Baihaqi. 7/214).


Nota Kaki:
1-       (Kumpulan pembahasan fiqih, diterbitkan oleh Kementerian Waqaf dan Urusan Keislaman Kuwait. Kitab ini terdiri dari 45 Juz.)

Hal ini berdasarkan hadis, daripada Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تَزَوَّجَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ امْرَأَةَ مِنْ بَنِي غَفَّارِ فَلَمَّا أُدْخِلَتْ رَأْىُ بِكَشْحِهَا وَضْحًا فَرَدَّهَا إِلَى أَهْلِهَا وَقَالَ دَلَسْتُمْ عَلَيَّ
Maksudnya, “Nabi SAW mengahwini seorang wanita keturunan Ghifar. Apabila dia dibawa masuk menemui Nabi, Baginda terlihat sopak di rusuknya, lalu Baginda bersabda: “Pakailah baju dan baliklah kepada keluargamu”. Baginda juga bersabda kepada keluarga perempuan itu: “Kamu telah menyembunyikan aibnya” (Hadis al-Baihaqi. 7/214).
           
2.  Aib Yang Khusus Kepada Isteri, Seperti Faraj Yang Tersumbat Oleh Tulang Atau Daging.
Suami yang mendapati faraj isterinya yang tertutup oleh tulang atau daging, boleh memfasakhkan perkahwinan. Ini  kerana penyakit tersebut menghalang persetubuhan yang merupakan tujuan perkahwinan.

3.  Aib Yang Khusus Kepada Suami, Seperti Zakar Terputus Atau Mati Pucuk.
Isteri yang mendapati zakar suaminya telah terputus atau mati pucuk, berhak memfasakhkan perkahwinan.
Al-Mawardi menyatakan bahawa perkara tersebut disepakati oleh ulama. Ini kerana aib tersebut menghalang maksud perkahwinan, sebagaimana aib pihak isteri.

AIB SELEPAS AQAD NIKAH
Aib yang dinyatakan sebelum ini jika berlaku selepas aqad nikah kepada suami atau isteri, mereka tetap berhak untuk memfasakhkan perkahwinan, sama seperti aib sebelum perkahwinan sama ada ia berlaku sebelum persetubuhan atau selepasnya, atau sama ada menghalang persetubuhan, seperti mati pucuk atau tidak menghalang persetubuhan seperti gila.
Walau bagaimanapun, mati pucuk yang berlaku selepas persetubuhan, menggugurkan hak isteri memfasakhkan perkahwinan kerana tujuan perkahwinan ialah mas kahwin dan persetubuhan telah disempurnakan sebelum aib tersebut.

AIB YANG BOLEH DIRAWAT
Faraj tersumbat oleh tulang atau daging yang boleh dirawat melalui pembedahan dengan persetujuan isteri, maka suami tidak lagi berhak memilih untuk memfasakhkan perkahwinan tersebut.
Begitu juga penyakit gila, sopak dan kusta, yang boleh dirawat melalui kaedah perubatan. Hal ini adalah kerana sebab yang membolehkan fasakh telah gugur.

HAK WALI MEMFASAKHKAN PERKAHWINAN
Wali bagi perempuan berhak memfasakhkan perkahwinan jika mendapati aib pada suami wujud sebelum aqad nikah sama ada perempuan itu bersetuju ataupun tidak. Hal ini disebabkan wali akan berasa malu dengan aib tersebut.
Walau bagaimanapun, wali tidak berhak memfasakhkan perkahwinan bagi aib yang berlaku selepas persetubuhan. Hal ini adalah kerana pada kebiasaannya, wali tidak berasa malu berbanding aib yang wujud sebelum perkahwinan.
Begitu juga, wali tidak boleh memfasakhkan perkahwinan bagi aib mati pucuk atau zakar yang terpotong semasa aqad nikah. Hal ini adalah kerana kemudharatan itu khusus bagi isteri, sedangkan dia meredhainya. Pada kebiasaannya, wali tidak berasa hina dengan keadaan tersebut.

FASAKH DILAKUKAN DENGAN SEGERA
Pilihan memfasakhkan perkahwinan dengan aib tersebut hendaklah dilakukan dengan segera. Hal ini adalah kerana fasakh disebabkan aib, suami isteri hendaklah segera menyatakan ketidakredhaannya dengan membawa perkara itu ke mahkamah dengan menuntut fasakh.
Jika seorang daripada pasangan itu mengetahui aib pasangannya, tetapi mendiamkannya, maka gugurlah haknya untuk menuntut fasakh. Lainlah jika dia tidak mengetahui haknya itu. Oleh itu, hak menuntut fasakh tersebut tidak gugur.

PERMOHONAN FASAKH PERLU DIKEMUKAKAN KEPADA HAKIM
Suami atau isteri tidak boleh memfasakhkan perkahwinan disebabkan aib tersebut bersendirian. Mereka mestilah membawa perkara itu ke mahkamah untuk menuntut fasakh.
Jika hakim mendapati aib itu benar-benar wujud, dia hendaklah memfasakhkan perkahwinan tersebut.

MEMBERI TEMPOH DALAM MASALAH MATI PUCUK 
Jika suami terbabit mati pucuk, hakim hendaklah memberi tempoh selama setahun qamariyah. Hal ini adalah kerana kemungkinan mati pucuk boleh sembuh dengan perubahan musim. Jika aib itu hilang dalam tempoh tersebut, maka perkahwinan diteruskan. Sekiranya tidak, perkahwinan itu hendaklah difasakh.
Hal ini berdasarkan hadis, daripada Umar bin al-Khattab RA, katanya:
أَنَّهَ قَالَ فِي العَنِيَنَ يُؤَجِّلُ سَنَةً فَإِنَّ قَدَّرَ عَلَيْهَا وَإِلاَّ فَرَّقّ بَيْنَهُمَا وَلَهَا المَهَرَ وَعَلَيْهَا العِدَّةَ
Maksudnya, “Dia diberikan tempoh selama setahun kalau dia mampu mengatasinya. Jika tidak, kedua-dua suami isteri itu dipisahkan. Isteri tersebut berhak mendapat mas kahwin dan hendaklah beriddah” (Hadis al-Baihaqi 7/226).

CARA MEMBUKTIKAN MATI PUCUK
Semua aib boleh dibuktikan dengan pengakuan dan laporan doktor.Tetapi, mati pucuk perlu dibuktikan dengan pengakuan suami di hadapan hakim atau dengan sumpah isteri apabila suami enggan bersumpah, atau menafikan dirinya mati pucuk ketika diminta oleh hakim berbuat demikian.

KESAN DARIPADA PERKAHWINAN YANG DIFASAKH KERANA AIB
Fasakh yang dituntut oleh suami atau isteri kerana aib tersebut, mungkin berlaku sebelum atau selepas persetubuhan, atau mungkin aib itu wujud sebelum persetubuhan atau selepasnya.
1) Jika fasakh berlaku sebelum persetubuhan, isteri tidak berhak mendapat mas kahwin dan mut’ah. Dalam hal ini, walaupun aib itu berlaku pada suami, tetapi isteri yang telah memohon fasakh. Oleh itu, suami tidak wajib memberikan apa-apa pun kepadanya.
Jika aib itu berlaku pada isteri, dia juga tidak mendapat apa-apa hak kerana fasakh itu berpunca daripadanya. Dalam hal ini, dia seolah-olah orang yang menuntut fasakh.
2) Jika fasakh berlaku selepas persetubuhan disebabkan aib yang berlaku seiring dengan aqad nikah atau yang berlaku di antara waktu aqad nikah dan persetubuhan, yang tidak diketahui oleh suami, maka isteri berhak mendapat mas kahwin mithil.
3) Jika fasakh berlaku selepas persetubuhan disebabkan aib juga berlaku selepasnya, isteri wajib diberi semua mas kahwin yang dinyatakan dalam aqad. Hal ini adalah kerana mas kahwin telah wajib disebabkan persetubuhan sebelum wujudnya sebab untuk memfasakhkan perkahwinan. Oleh itu, fasakh yang berlaku tidak mengubah kewajipan memberi mas kahwin.

MAS KAHWIN TIDAK BOLEH DIAMBIL SEMULA
Suami tidak boleh mengambil mas kahwin semula daripada wali atau isteri yang menipunya kerana dia telah melakukan persetubuhan yang dinilaikan dengan aqad nikah.
Contohnya, isteri atau walinya berdiam diri tanpa memberitahu suami tentang aib isteri yang wujud sebelum persetubuhan.

PERUNTUKAN  FASAKH DI MALAYSIA
Peruntukan tentang fasakh, bukanlah perkara baru. Ini adalah kerana dalam Fasal 27, Hukum Kanun Melaka alasan untuk membubarkan perkahwinan melalui fasakh telah diperuntukkan iaitu:

"Fasal yang kedua puluh tujuh pada menyatakan hukum khiyar itu mau pada perempuan, mau pada laki-laki itu atas lima perkara 'aibnya itu, pertama-tama 'aib gila (dan) judham, kedua baras, ya'ni sopak atau kedal, ketiga 'aib ratak, keempat 'aib karan, ya'ni tumbuh tulang pada perjinya, 'aib kebiri (dan) orang yang lemah zakarnya iaitu seperti orang ratak hukumnya, dan judham pun demikian juga, tiada sah nikahnya kahwin dengan orang yang demikian itu.

Adapun jikalau dikahwinkan orang suatu laki-laki maka tiada diberinya akan hal ada perempuan itu berpenyakit yang demikian itu.Telah kemudian, maka baharu diketahuinya, nescaya-terurailah kahwinnya itu yakni “fasakh”, tiadalah laki-laki itu menanggung isi kahwin perempuan. Dan demikian lagi, jikalau ada 'aib laki-laki yang berpenyakit seperti yang tersebut itu, maka itupun “fasakh” jua, jikalau tiada kabul perempuan itu, diberitahunya kepada Hakim, niscaya cerai jua.

Jika lemah zakarnya laki-laki itu, maka disuruh oleh Hakim berubat kepada tabib yang tahu, maka dinantikan setahun lamanya. Jikalau tiada sembuh didalam setahun, maka “fasakh” nikahnya itu. Adapun akan orang yang baras dan judham dan gila itu jikalau reda perempuan itu akan laki-laki itu, atau reda laki-laki itu akan perempuan itu, tiadalah ia “difasakhkan” oleh Hakim akan mereka itu, kerana sama reda keduanya, ya'ni ia suka keduanya, tiada lagi khiyar daripada yang demikian, itu kaul yang sah.

Adapun jikalau diperoleh 'aib tatkala di dalam laki-laki, difasakhkannya dirinyaperempuan itu atas isi kahwinnya akan laki-laki itu. Demikian lagi jikalau ada “aib laki-laki itu di dalam perempuan itu, itupun difasakhkan dirinya daripadaperempuan itu. Demikian lagi atas barang yang diperoleh 'aib di dalam sudah kahwin, itu pun fasakh jua. Itulah hukum khiyar atas tiap-tiap kahwin.
Demikianlah hukumnya itu.”

Semua Undang-undang Keluarga yang digubal sejak tahun 1983 mengiktiraf bahawa seorang isteri dibenarkan memohon fasakh di Mahkamah atas satu atau beberapa alasan yang telah disenaraikan dan diperuntukan dalam Undang-undang Keluarga Islam di tiap-tiap negeri. Di Negeri Perak, alasan yang disenaraikan sebagaimana yang diperuntukkan,dalam Seksyen 49, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perak, Bil 13, Tahun 1984,
a)      Bahawa suami telah mati pucuk dan masih lagi sedemikian keadaannya dalam masa setahun setelah dibuat pengaduan,

b)      Bahawa suami telah gila atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit selama tidak ada kenyataan yang terang menunjukkan relanya dengan penyakit tersebut.

c)      Bahawa izin isteri terhadap perkahwinan itu telah diberi secara tidak sah samada oleh sebab paksaan, kesilapan ketidak sempurnaan akal atau pun lain-lain sebab mengikut Hukum Syarak,

d)     Bahawa pada masa perkahwinan itu, suami adalah seorang yang sakit otak (samada berterusan atau berselangan) dalam erti Ordinan sakit 0tak 1952 dari jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin;
          e)       Atas apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau                 bagi fasakh menurut Hukum Syarak”.

Manakala dalam enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan No. 1, tahun 1983, Seksyen 38 selain dari memperuntukkan sebagaimana Undang-undang Bil.13/1984 (Perak), ia juga ada memperuntukkan alasan bahawa isteri yang telah dikahwinkan oleh bapanya atau datuknya sebelum ia cukup umur mengikut Hukum Syarak yang mana ia boleh menolak perkahwinan tersebut setelah mencapai umur 18 tahun. Penambahan kepada 3 alasan yang lain sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 44 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah, Bil. 1/1984 iaitu :
 a) Bahawa suaminya, kerana kepapaan tidak mampu menyarainya
 b) Bahawa isterinya mempunyai kecacatan yang menghalang persetubuhan dilakukan,
 c) Bahawa suaminya mempunyai kemaluan yang luar biasa.

Bagaimanapun bagi negeri-negeri Terengganu, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Selangor telah memperuntukkan alasan-alasannya dengan agak luas sebagaimana:
a)      Tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu  
tahun.

b)      Bahawa suami telah cuai atau tidak mengadakan peruntukan nafkahnya selama tempoh tiga   
tahun.

 c) Bahawa suami telah dihukum penjara selama tiga tahun atau lebih

 d) Bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinan   
     (nafkah batin) selama tempoh satu tahun

 e) Bahawa suami menganiayainya, iaitu antara lain:
       i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniya,   
        atau
      ii) berkawan dengan perempuan-perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut  
        pandangan Hukum Syarak, atau
      iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah, atau
      iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu dari menggunakan hak-haknya di sisi-
           undang-undang terhadap harta itu, atau
       v) menghalang isteri dari menunai atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya, atau
      vi) jika ia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan  
           secara adil mengikut kehendak- kehendak Hukum Syarak

f) Bahawa walaupun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami   
bersengaja enggan menyetubuhinya.

g) Apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau fasakh di bawah Hukum Syarak.

Di Malaysia, terdapat kes-kes serius yang telah dilaporkan berlaku seperti ditikam sehingga terkeluar tali perut, ditendang hingga keguguran, ditumbuk, disiram air panas, ditetak dengan senjata tajam dan sebagainya. Dalam keadaan sebegini, isteri mempunyai hak untuk membubarkan perkahwinannya melalui fasakh seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 52, Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984.
Malah banyak lagi alasan atau perkara aib di dalam perkahwinan yang membolehkan seseorang isteri memohon untuk memfasakhkan perkahwinan pada masa kini termasuklah dari  sudut sosial dan ekonomi khususnya suami telah cuai atau tidak mengadakan peruntukan nafkahnya selama tempoh tiga tahun.

RUMUSAN
Sebagai kesimpulannya nusyuz adalah suatu perkara yang mesti dielakkan bagi mengekalkan kerukunan rumahtangga. Namun sering terdengar cerita tentang kekejaman suami terhadap isteri-isteri mereka atau kecurangan isteri di belakang suami mereka. Semua tindakan itu bukanlah tindakan orang yang soleh dan solehah. Islam menyuruh umatnya supaya berlemah lembut terhadap pasangan masing-masing, melayaninya dengan baik, dan menghormati kedudukannya terutama di hadapan anak-anak. Untuk menghindari nusyuz, pasangan suami isteri hendaklah menjaga perhubungan mereka supaya berkekalan. Akibat daripada berlakunya nusyuz akan memberikan implikasi terhadap perhubungan mereka disamping itu anak – anak juga akan kehilangan untuk mendapatkan kasih sayang. Hal ini juga akan menyebabkan anak – anak terjerumus ke arah budaya yang tidak sihat yang dapat merosakkan akhlak, agama dan negara.
Oleh sebab yang demikian, pasangan suami isteri perlulah berusaha dalam mengekalkan perhubungan mereka supaya isteri, suami dan anak – anak dapat hidup dalam keluarga yang bahagia.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Orang mukmin yang sempurna imannya ialah yang terbaik budi pekertinya dan terlebih lemah lembut terhadap isterinya.
Kata pujangga “usahlah anda mencari yang paling sempurna di dunia ini, tetapi carilah yang terbaik yang ada.”  Sebenarnya kita semua mempunyai kelemahan. Justeru itu tidak wajar kita berasa malu untuk mencari kesempurnaan pada orang lain sedang kita sendiri penuh dengan keburukan (aib). Janganlah kita mengambil kesempatan dari kelemahan orang lain, kiranya kita rasa kita berkuasa ke atasnya. Ingatlah Allah lebih berkuasa ke atas kita.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah, kalau ia tidak suka suatu perangainya, hargailah yang lain yang ada padanya.

SEKIAN, TERIMA KASIH.


RUJUKAN

Abu Hassan Din, Haron Din & Ishak Din (1992). Soal Jawab Fiqh Harian. Shah Alam,   
        Penerbitan HIZBI.

http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/nafkah-kepada-isteri-yang-nusyuz

Mahmud Mahdi Istanbuli (1988).Ke Arah Pembentukan Keluarga Muslim. Kuala Lumpur, Dewan   
        Pustaka Fajar.

Mohd Noor Daud, Zanariah Noor (2013).Al-Fiqh Al-Islami II. Ipoh, Universiti Pendidikan
       Sultan Idris.

Norzulaili Mohd Ghazali, Wan Abdul Fattah Wan Ismail (2006).Nusyuz, Syiqaq dan Hakam  
       menurut Al-Quran, Sunnah dan Undang-Undang Keluarga Islam. Nilai, Kolej Universiti  
       Islam Malaysia.

Raihanah Hj. Abdullah (   ).Alasan Membubarkan Perkahwinan Melalui Fasakh. Jurnal Syariah 5,   
       Bilangan 1- www.islam.gov.my/sites/default/files/8.alasan.pdf

Zulkifli Muhammad Al-Bakri, Azman Ab Rahman & Irwan Mohd Subri (2013). Fiqh Ibadat dan
       Munakahat Modul 2 – Fiqh Munakahat Pasca Perkahwinan. Nilai, Universiti Sains Islam  
       Malaysia.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan