Jumaat, Ogos 05, 2011

Timbang Amal.



Dari Jabir r.a. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:

Diletakkan neraca pada Hari Kiamat, lalu ditimbang amal-amal yang baik dan amal-amal yang jahat, maka sesiapa yang berat timbangan amalan baiknya daripada amalan jahatnya, masuklah dia ke syurga dan sesiapa yang berat amalan jahatnya daripada amalan baiknya, masuklah dia ke neraka.
-Riwayat Abu Syaikh.

Huraiannya:

Semua amalan manusia semasa hidup ini dicatatkan oleh malaikat Raqib dan Atid. Segala jenis perbuatan sama ada baik atau buruk tidak terlepas daripada catatan malaikat tersebut. Semuanya akan direkod dan kemudian akan diadili oleh Allah, Hakim Yang Maha Adil. Setiap perbuatan yang dilakukan semasa hidup di dunia akan dihisab dan akan menerima hukuman yang seadil-adilnya.

Sesiapa yang amalan baiknya lebih berat akan menerima buku amalannya dari sebelah kanan (Ashabul Yamin) dan mereka akan masuk ke syurga. Maka yang jahat pula akan menerima buku amalannya dari sebelah kiri (Ashabul Syimal) dan sudah pasti mereka ini akan masuk ke neraka.

Kelebihan Beberapa Amalan Tambahan.



Pertama:-
Surah Al-Ikhlas- menyamai satu pertiga al-Quran, jika dibaca sepuluh kali insyaAllah akan dibina sebuah istana di Syurga.

Kedua:-
Surah Al-Falaq dan surah An-Naas - dibaca tiga kali sebagai pelindung dari bencana dan perkara yang tidak diingini.

Ketiga:-
Ayatul Kursi (Al-Baqarah : 255) - pahalanya menyamai satu perempat al-Quran, dibaca setiap lepas solat insyaAllah akan dimasukkan ke Syurga, setiap hurufnya seribu keberkatan dan seribu kerahmatan dari Allah.

Keempat:-
Membaca Bismillah - dibaca dua puluh satu kali sebelum tidur amatlah digalakkan sebagai usaha untuk mengelakkan mati terkejut, kecurian, kebakaran dan segala bencana yang tidak diingini.

InsyaAllah.


* nota b.tan-

Sebenarnya terlalu banyak amalan tambahan yang boleh kita amal atau praktikkan dalam kehidupan kita ini. Ianya sebagai tambahan kepada bekal-bekal yang kita bawa disepanjang hayat selagi dikandung badan. Tergamakkah kita untuk mempersia-siakan perkara yang baik dengan meninggalkan seringan-ringan amalan seperti yang dinyatakan diatas. Cuma kita sahaja yang kadang-kadang terlupa atau tidak tahu atau sengaja tidak ambil berat tentang kelebihan atau fadilat yang telah disediakan oleh Allah kepada kita sebagai hamba-Nya.

Sifat Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang sentiasa berharap agar hamba-Nya memohon dan meminta dari-Nya. Ini bukanlah bermakna Allah itu perlu kepada makhluk, tidak sama sekali, bahkan mustahil Allah itu berhajat kepada makhluk. Sebaliknya kita yang bersifat lemah dan kerdil ini sentiasa mengharapkan petunjuk dan hidayah dari Allah. Usah kita lupa segala yang kita miliki adalah berupa pinjaman dari Allah. Pernah Allah meminta kita membayarnya atau memulangkannya semula? Tidak pernah bukan? Itulah contoh yang mudah tandanya Allah tidak berhajat kepada manusia atau pun makhluk yang lain.

Jadi, marilah kita bersama-sama mengamalkan sedikit tambahan dalam amalan kita semoga kita lebih dekat dan hampir kepada Allah dalam melayari bahtera kehidupan yang sementara ini. Wassalam.

Salah Guna Masjid.


Di bawah ini adalah antara beberapa perkara salah guna masjid yang tidak sepatutnya berlaku:-

1- Tempat berborak mengalahkan kedai kopi.

2- Tempat tidur macam kat hotel.

3- Tempat mengumpat dan hina menghina.

4- Tempat bercerita perkara-perkara yang lagho.

5- Tempat mencuri kasut dan duit tabung masjid.

6- Tempat kosong yang tak ada orang bersolat di dalamnya.


Mungkin ada lagi fungsi masjid yang disalahgunakan seperti tempat berebut jawatan, berebut nak jadi pengerusi, setiausaha dan juga bendahari. Jawatan ajk masing-masing tak mahu sebab peranannya kecil saja. Tapi kalau dapat jadi bendahari masjidlah yang paling bertuah badan. Apa tidaknya, boleh kontrol keluar masuk duit, sedangkan jawatan itu adalah amanah dari Allah bukan sekadar dilantik dengan undi mengangkat tangan.

Tapi oleh kerana ajk yang tidak aktif jugalah yang menyebabkan perkara yang disebutkan di atas tadi berlaku dan terus berlaku. Tiada usaha untuk mengimarahkan atau memakmurkan masjid mau pun surau dengan program yang boleh memberi faedah kepada penduduk setempat. Masing-masing asyik mengharapkan orang lain yang memulakan dulu, tapi bila nak dilaksanakan lagilah teruk. Mulalah masing-masing tak sanggup, akhirnya jadilah tolak menolak untuk ke hadapan bagi menjayakan sesuatu program.

Bila agaknya perkara sebegini dapat diatasi dan masjid meriah pada setiap masa dengan program kemasyarakatan berbentuk keagamaan, malah suasana persekitaran masjid juga ceria dan berseri dengan prasarana dan lanskap yang menarik. Ini sedikit sebanyak akan membawa ke arah kebaikan kerana akan menjadi satu daya tarikan untuk orang ramai hadir solat berjamaah. Jangan hanya pada hari Jumaat sahaja atau pun pada hari raya idilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi. Sekian, bersamalah kita berazam untuk mengimarahkan masjid atau pun surau bukan hanya di bulan ramadan sahaja, tetapi di sepanjang kehidupan yang masih berbaki ini. Wassalam.

Tiga Ayat: Tunaikan... Jauhilah... Terimalah...

- Tunaikanlah apa yang telah diwajibkan Allah ke atas mu, maka engkau akan menjadi orang yang paling hebat ibadahnya.

- Jauhilah larangan-larangan Allah, maka engkau akan menjadi orang yang paling zuhud.

- Terimalah dengan senang apa yang telah dikurniakan Allah untuk mu, maka engkau akan menjadi orang yang paling kaya.



* nota b.tan:-

Kehidupan yang kita lalui sebenarnya amat mudah dan simple. Ianya telah diatur oleh Allah Yang Maha Esa, kita sebagai hamba perlu patuhi dan ikuti saja panduan yang telah ditetapkan. Ini bukan bermakna kita tiada pilihan. Pilihannya ada dua: syurga atau neraka? Jika syurga, dan sememangnya semua manusia berharapan untuk menikmati kehidupan yang dijanjikan penuh dengan kelazatan itu. Maka kita perlulah melakukan perkara-perkara yang melayakkan kita terpilih sebagai calon ahli syurga. Tetapi jika sebaliknya, maka bersedialah kita untuk mengharungi satu kehidupan yang peritnya tiada tolok banding.

Sukarkah kita untuk menunaikan perintah Allah. Apa yang sukarnya? Cuma rasa yang sering dibisik-bisik oleh syaitan itulah yang menyukar dan menyulitkan untuk kita menjadi seorang yang patuh dan taat pada suruhan. Sering kita mencari dan membina alasan untuk tidak melakukan ketaatan pada Yang Maha Esa.

Sedangkan kita pada masa yang sama sangat enak melakukan larangan serta tegahannya, tanpa peduli sama ada kita bersedia atau tidak untuk menerima balasan buruknya nanti. Hebatkah kita untuk mendabik dada dan berkata : kubur masing-masing, apa orang lain nak sibuk-sibuk menasihatkan aku?

Begitu juga, kita sering diperingatkan dengan sifat qanaah-berpada dengan apa yang ada. Tapi sering juga kita lupa, lalu berlumba-lumba kita mengejar apa yang terlintas dan terniat di hati kita. Tanpa peduli halal atau haram, pahala dan dosa malah syurga atau neraka pilihan kita nanti.

Sekian, bersama menginsafi diri. Wassalam.