Khamis, November 24, 2011

Takabbur, riyak dan ujub.

Banyak sebab yang boleh membawa seseorang itu kepada takabbur, riyak dan ujub. Antaranya ialah sebab nasab keturunan, kuasa pemerintahan, kecantikan, kekayaan, kelebihan ilmu, banyak pengikut dan banyak harta.

Cara untuk menghindari ketiga-tiga sifat ini ialah selalu mengamalkan sifat tawadhuk atau rendah diri dan membanyakkan pergaulan dengan semua peringkat ahli masyarakat dan melatih diri mendengar pandangan orang lain dalam segala hal.

Sifat-sifat ini juga boleh diatasi dengan sentiasa memikir bahawa setiap yang sihat boleh ditimpa keuzuran atau penyakit suatu hari nanti, yang tinggi darjat keturunannya tidak akan dinilai di sisi Allah selain taqwa dan yang kaya pula boleh mengalami bencana seperti kecurian, penculikan dan sebagainya. Sentiasalah menghisab atau meneliti kekurangan diri sendiri sebagai hamba Allah. Jika tidak atau gagal melakukannya, inilah balasannya:-

1- Terhapuslah segala amal kebajikan mereka.

2- Mereka tergolong di antara pengamal syirik kecil.

3- Bukan saja dimurkai Allah Taala, malah dibenci juga oleh manusia.

4- Segala amalan kebajikan tidak mendapat keberkatan daripada Allah A.W.T.

5- Memperolehi azab Allah di akhirat kelak.


* nota b.tan-

Ketiga-tiga sifat mazmumah di atas, jelas bisa mengundang murka Allah. Disebabkannya kita akan terpalit dosa yang sentiasa mengintai untuk memerangkap kita. Perlu sentiasa ingat mengingat atau berpesan-pesan ke arah kebaikan dan janganlah bertolong bantu ke arah kemungkaran. Dalam hidup yang sementara ini tiada apa yang boleh dimegahkan atau dibanggakan kerana kita semua hidup dengan izin dan belas ikhsan dari Allah yang menguasai alam semesta ini. Tak usahlah mendabik dada kononnya akulah yang paling pandai, paling warak, paling pemurah atau yang paling banyak amal ibadahnya. Semoga kita dapat menjauhkan diri dari tiga sifat yang tercela itu. Sekian, terimakasih.