Isnin, Januari 24, 2011

Solat di atas air.

Sebuah kapal yang sarat dengan muatan dan 200 orang penumpang berlepas dari sebuah pelabuhan di Mesir. Malangnya semasa berada di tengah lautan, ribut petir tiba-tiba melanda.

Ketika semua orang ketakutan, terdapat seorang lelaki yang sedikit pun tidak berasa cemas. Dia berzikir kepada Allah, kemudian turun dari kapal, seterusnya berjalan di atas air dan bersolat Asar di atas gulungan ombak yang sedang menggila.

Beberapa orang peniaga yang sedang ketakutan berulang kali menjerit ke arah lelaki itu. "Wahai wali Allah tolonglah kami. Jangan lah tinggalkan kami!"

Lelaki itu menoleh ke arah orang yang memanggilnya dan berkata: "Dekatkan dirimu kepada Allah, kemudian tinggalkan semua hartamu, nescaya dirimu pasti akan selamat." Semua peniaga itu bersetuju mengikut nasihat lelaki tersebut.

Wali Allah itu berkata lagi, "Kalau begitu, sekarang turunlah kamu semua ke atas air dengan membaca bismillah." Dengan membaca kalimah suci bismillah,maka turunlah seorang demi seorang ke atas air dan tidak berapa lama kemudian, kapal mereka pun tenggelam ke dasar laut.

Salah seorang daripada peniaga bertanya, "Siapakah kamu wahai wali Allah?" Jawab lelaki itu, "Namaku Uwais al-Qarni."

Peniaga tersebut memberitahu, dalam kapal yang tenggelam itu terdapat harta fakir miskin Madinah yang dihantar oleh seorang jutawan Mesir. Uwais menyoal para peniaga yang berdiri di sekelilingnya, "Sekiranya Allah kembalikan semua harta kamu, adakah kamu akan membahagikannya kepada orang-orang miskin di Madinah?"

Para peniaga itu mengganguk, "Demi Allah kami takkan mungkir." Uwais pun mengerjakan solat dua rakaat di atas air dan tidak berapa lama kemudian, kapal yang karam tadi timbul sedikit demi sedikit hingga terapung di permukaan laut. Semua muatan dan barang perniagaan tetap seperti asal, langsung tidak basah.

Para peniaga dan penumpang naik ke atas kapal, pelayaran diteruskan ke tempat yang dituju dan harta fakir miskin dibahagi-bahagikan kepada yang berhak.

Sumber: Mastika Disember 2005.