Sabtu, Jun 30, 2012

Penyanyi Yang Menghafaz Hadis.


Abdullah bin Mas'ud adalah sahabat kepada Rasulullah s.a.w. Suatu hari ketika Abdullah sedang berjalan di sebuah lorong di bandar Kufah, dia melihat sekumpulan lelaki yang mabuk. Seorang daripada lelaki yang mabuk itu ialah penyanyi. Lelaki itu bermain alat muzik dan menyanyi dengan bahasa yang ungkapannya tidak enak untuk didengar. Nama lelaki itu ialah Zadzan bin al-Kindi. Walaupun ia mabuk, semua orang yang mendengar mengatakan ia memiliki suara yang merdu.

Abdullah berhenti dan mendengar nyanyian Zadzan. "Oh, betapa indah dan merdunya suara lelaki ini. Sayang sekali ia menyanyikan perkataan-perkataan yang dahsyat dan keji," katanya. "Alangkah bagusnya jika suara itu digunakan untuk membaca al-Quran, kalamullah," kata Abdullah lagi. Selepas membetulkan serban, dia meneruskan perjalanannya.

Kata-kata Abdullah tadi sampai ke telinga Zadzan. "Siapakah lelaki itu?" tanya Zadzan.


"Dia adalah Abdullah bin Mas'ud, sahabat Rasulullah," jawab salah seorang dari kawan-kawannya. 


"Adakah kamu mendengar apa yang dia katakan sebentar tadi?" tanya Zadzan lagi.


"Ya, dia berkata, alangkah bagusnya jika suara itu digunakan untuk membaca al-Quran, kalamullah," jawab kawan-kawan Zadzan.


Yakin bahawa dia telah mendengar kata-kata Abdullah yang benar, Zadzan berdiri dan datang suatu rasa dalam dirinya. Dia mengikat sapu tangan di lehernya dan berjalan meninggalkan kumpulan itu. Matanya liar mencari Abdullah bin Mas'ud. Dia berjalan ke sana dan kemari beberapa ketika sebelum akhirnya ia menemui Abdullah. Betapa gembiranya Zadzan. Dia berlari ke arah Abdullah dan memeluknya sambil menangis.

Abdullah terkejut namun berasa sangat gembira. Dia membalas pelukan Zadzan dan turut sama menangis. Dia berasa sungguh terharu. "Bagaimana aku tidak menangis untuk seorang lelaki yang disayangi oleh Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Besar?"

Apabila mendengar kata-kata itu, Zadzan menangis dengan lebih kuat lagi. Sejak hari itu dia tidak pernah berhenti memohon keampunan dari Allah atas dosa-dosanya yang telah lalu. Zadzan telah jauh berubah. Dia telah menjadi seorang muslim yang taat. Dia telah tinggal dengan Abdullah bin Mas'ud untuk mempelajari al-Quran dan selok belok ilmu Islam sehingga ia menjadi seorang imam yang disegani.

Zadzan belajar bersungguh-sungguh hingga akhirnya ia berjaya menghafaz banyak hadis dari Abdullah bin Mas'ud, Salman bin al-Farisi dan sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain.