Selasa, Ogos 23, 2011

Hari Raya Para Malaikat.



Allah telah mengkhususkan dua malam sebagai malam hari raya buat para malaikat. Sekiranya hari raya bagi orang-orang Islam ialah hari raya Idil Fitri dan Idil Adha, hari raya bagi para malaikat pula adalah pada malam Nisfu Syaaban dan malam Lailatul Qadar. Malam hari raya para malaikat ini dipanggil malam Bara'ah.

Malam Nisfu Syaaban adalah malam hari keempat belas bulan Syaaban. Manakala Lailatul Qadar adalah satu malam yang terpilih dalam bulan Ramadhan, tetapi tidak ditentukan pada haribulan yang ke berapa.

Pada malam Nisfu Syaaban, ada malaikat yang ditugaskan membawa buku catatan amalan setiap hamba Allah ke hadapan-Nya. Kemudian buku catatan yang baru akan diturunkan untuk mencatat amalan-amalan setiap manusia bagi tempoh setahun yang berikutnya.

Pada malam Lailatul Qadar pula, Allah menyuruh Malaikat Jibril bersama rombongan para malaikat turun ke bumi dengan membawa panji-panji yang diletakkan di atas Kaabah. Rombongan malaikat ini pergi kepada umat Nabi Muhammad s.a.w, untuk memberi salam kepada mereka yang sedang mengerjakan ibadah pada malam itu, dan mengaminkan doa orang yang berdoa.

Amalan yang kita lakukan pada malam Lailatul Qadar itu menyamai pahala amalan yang dilakukan selama seribu bulan iaitu bersamaan 83 tahun. Doa yang kita pinta pada malam itu pula akan dimakbulkan oleh Allah.

Para malaikat adalah makhluk yang Allah jadikan dalam keadaan sentiasa beribadah kepada-Nya. Oleh itu pada malam hariraya yang dikhususkan untuk mereka sudah tentulah para malaikat itu meningkatkan lagi ibadah mereka. Mereka tidak berhenti-henti bertasbih memuji-muji Allah. Di dalam al-Quran, Allah berfirman yang maksudnya: "Mereka (para malaikat) sentiasa bertasbih malam dan siang tidak henti-hentinya." (Al-Anbiya' : 20)

Selain bertasbih, malaikat juga mendirikan sembahyang. Menurut satu hadis riwayat Muslim: Tidak ada satu tempat walau sejengkal pun di langit melainkan di situ ada malaikat yang sedang sujud atau berdiri menyembah Allah.

Andainya kita bersembahyang menghadap ke arah Kaabah di Makkah sebagai kiblat, para malaikat juga mempunyai 'Kaabah' yang terletak di langit ketujuh. Kiblat para malaikat ini dinamakan Baitul Makmur dan letaknya adalah bersetentangan dengan Kaabah di bumi. Menurut hadis, setiap hari 70,000 malaikat akan masuk ke Baitul Makmur untuk beribadah.

Malaikat adalah makhluk yang suci. Mereka tidak akan sekali-kali mencemarkan hari raya yang Allah kurniakan buat mereka untuk melakukan perkara yang Allah murkai. Sebaliknya, hari raya bagi mereka adalah hari untuk menambah kesyukuran dan memperbanyakkan lagi tasbih memuji-muji Allah. Kita pun sepatutnya menambah kesyukuran kepada Allah dan menghindari perkara yang sia-sia serta dosa setiap kali menyambut hari raya.