Pengenalan
Setiap
tamadun yang muncul mempunyai sifat-sifat, pencapaian serta keunikan yang
tersendiri. Namun demikian ada juga tamadun yang tertutup dan tidak menerima
pengaruh luar, namum masih juga berkembang dan berjaya membentuk serta menemui
kemajuan tamadun itu. Interaksi antara tamadun akan memberi beberapa kesan
dalam tamadun berkenaan samada kesan negatif atau kesan positif. Kewujudan
interaksi ini kerana semua tamadun mengamalkan sikap tolaransi yang tinggi
serta saling hormat menghormati sesama tamadun. Sifat-sifat yang baik itu akan
membuka ruang percambahan fikiran dan budaya serta memperkayakan lagi tamadun
berkenaan dalam pelbagai aspek kemajuan.
Kesan
Positif
Semasa kemunculan Islam di tanah
Arab, berlaku interaksi antara Yahudi dengan Kristian. Interaksi ini telah
mewujudkan kesan positif, sebagai contoh dalam Perlembagaan Madinah ( Shahifah Madinah ) yang digubal oleh Nabi
Muhamad saw telah memberi hak-hak dan perlindungan kepada penganut agama Yahudi
dan Kristian. Mereka telah diberi hak dan kebebasan untuk mengamalkan amalan
tuntutan agama masing-masing tanpa sebarang gangguan daripada masyarakat
sekitarnya, baik dari Rasulullah saw atau umat Islam lainnya. Hal yang sama
telah diikuti oleh pemerintah-pemerintah Islam zaman Khulafa al-Rasyidin, Bani
Umayyah, Abbasiyah, Uthmaniyah dan kerajaan-kerajaan Islam di India.
Malah dalam beberapa buah kerajaan Islam,
individu-individu Yahudi dan Kristian telah mendapat kedudukan tinggi dalam
pentadbiran, contohnya dalam kerajaan Abbasiyah, tokoh-tokoh intelektual Yahudi
dan Kristian telah memberikan sumbangan mereka dalam penterjemahan buku-buku
Greek ke dalam bahasa Arab. Begitu juga di Andalusia (Sepanyol), muncul ramai
penulis dan ahli intelektual dari kalangan individu-individu Yahudi dan
Kristian.
Interaksi
antara Tamadun India dengan Tamadun China juga telah memberi kesan positif
kepada kedua-dua tamadun. Agama Buddha disebarkan ke negeri China melalui
interaksi ini. Di samping itu terdapat kemahiran-kemahiran lain yang
diperkembangkan, contohnya teknologi membuat gula daripada tebu dari India
telah diperkembangkan kepada orang-orang China. Bidang astronomi India turut
diperkembangkan di China oleh ahli-ahli astronomi India. Beberapa perbendaharaan
kata bahasa Pali dan Sanskrit turut mempengaruhi kesusasteraan China. Kesan
positif kepada Tamadun India ialah berkembangnya teknologi membuat kertas,
bahan letupan dan pengunaan kompas dari Tamadun China ke dalam Tamadun India.
Interaksi antara Tamadun India dan China berlaku secara aman melalui hubungan
perdagangan dan keagamaan.
Antara
interaksi Tamadun Islam dan China yang turut memperlihatkan kesan positif ialah
proses interaksi secara aman iaitu melalui perdagangan. Pedagang-pedagang Arab
dan Parsi memainkan peranan penting dalam interaksi ini. Hasil daripada
interaksi ini terdapat komuniti Arab-Islam yang menetap di China. Berlaku
perkahwinan campur antara pedagang-pedagang ini dengan wanita-wanita tempatan.
Semasa zaman pemerintahan dinasti-dinasti Tang, Sung, Yuan dan Ming, telah
muncul beberapa orang tokoh Islam yang memainkan peranan penting dalam
pentadbiran. Kesan penting yang terhasil daripada interaksi ini ialah
penyebaran agama Islam di negeri China yang akhirnya mewujudkan komuniti Islam
tempatan China.
Perkembangan
seterusnya menyebabkan munculnya cendiakawan-cendiakawan Islam tempatan yang
mahsyur seperti Liu Zhi dan Mha Zhu. Cendiakawan-cendiakawan tempatan ini telah
mencari keselarian ajaran-ajaran etika dan nilai Islam dengan Konfusianisme.
Konsep-konsep hubungan keluarga, ketaatan kepada kedua ibu bapa dan raja dan
nilai-nilai moral yang terdapat dalam ajaran Konfusianisme telah dijadikan
landasan untuk memperkenalkan agama Islam kepada masyarakat China. Kesejajaran
inilah yang menyebabkan ajaran Islam tidak mendapat tentangan daripada
ahli-ahli falsafah Konfusianisme seperti yang dihadapi oleh ajaran agama
Buddha. Disamping itu interaksi ini turut menemukan seni bina Arab-Islam dengan
seni bina China contohnya dalam bentuk masjid-masjid di China hari ini.
Hubungan
antara Tamadun Islam dengan Tamadun Melayu pula telah meninggalkan kesan yang
amat ketara. Interaksi antara kedua-dua tamadun ini berlaku secara aman iaitu
melalui perdagangan. Namun demikian kedatangan pengaruh Islam di Asia Tenggara
ataupun khususnya ke Kepulauan Melayu dikatakan dari tiga kawasan yang berbeza
iaitu dari Arab dan Parsi, dari India dan China. Teori-teori ini telah
diperbincangkan dengan hangat dan beberapa bukti yang berkaitan telah
dikemukakan oleh pendokong-pendokongnya bagi meyokong pendapat mereka. Namun
apa yang lebih penting bagi kita ialah kesan yang didapati daripada hubungan
ini. Interaksi antara Tamadun Islam dengan Tamadun Melayu telah melahirkan
beberapa kesan positif yang penting.
Kesan
yang paling menonjol ialah tersebarnya agama Islam di Kepulauan Melayu serta
munculnya kerajaan-kerajaan Islam tempatan di Pasai, Melaka, Aceh, Johor-Riau,
Brunei, Patani, Sulu, Banten, Demak, Tuban, Mataram dan lain-lain lagi. Tamadun
Islam telah mengubah pandangan hidup orang-orang Melayu. la juga turut membawa
tulisan Jawi yang berperanan penting dalam perkembangan ilmu pengetahuan di
Kepulauan Melayu. Kesan positif boleh juga dilihat pengaruhnya dari segi
perundangan, kesusasteraan, kesenian, kebendaan seperti pakaian, makanan serta
istilah-istilah Arab yang digunakan dalam bahasa Melayu.
Interaksi
antara Tamadun China dengan Tamadun Melayu turut melahirkan kesan positif
tetapi ia tidak melibatkan pemikiran dan falsafah sebaliknya melibatkan
kemahiran dan teknologi serta kebendaan.
Tamadun China membawa teknologi membuat gula dari tebu ke Kepulauan Melayu,
contohnya di Jawa. Begitu juga kemahiran dalam perusahaan sutera, membuat
tembikar serta pertukangan logam. Di samping itu terdapat juga beberapa jenis makanan
masyarakat China yang diperkenalkan kepada masyarakat Melayu seperti tauhu,
kicap, taugeh dan sebagainya.
Interaksi
antara Tamadun China dengan Tamadun Melayu berlaku melalui dua cara iaitu
secara aman dan secara konflik peperangan. Interaksi secara aman berlaku
melalui aktiviti perdagangan, emigrasi dan hubungan diplomatik, contohnya
kemuncak hubungan diplomatik negeri China dengan Kepulauan Melayu ialah zaman
Kesultanan Melaka. Manakala hubungan yang bercorak konflik peperangan berlaku
semasa pemerintahan Dinasti Yuan / Monggol ( 1279 – 1368 Masihi ) yang pernah
menyerang Myanmar ( Komboja ) dan Jawa pada abad abad ke-13 Masihi.
Kesan
positif daripada interaksi antara tamadun ini juga boleh dilihat pada hubungan
antara Tamadun China-Jepun. Jepun telah mendapat faedah yang banyak hasil
daripada hubungan ini. Tamadun China telah menyumbangkan beberapa perkara
penting ke dalam Tamadun Jepun. Sumbangan yang penting ialah dari segi agama
dan tulisan. Agama Buddha dari China telah dikembangkan dalam Tamadun Jepun.
Ajaran-ajaran Buddha ini telah diasimilasikan dengan agama asal orang-orang
Jepun iaitu agama Shinto. Walaupun asimilasi ini berlaku tetapi ia tidak
mengubah identiti ajaran Buddha.
Kuil-kuil
Buddha telah didirikan di Jepun. Agama Buddha telah mencapai zaman kemuncak
semasa zaman Nara dan Heian. Di samping agama, tulisan adalah satu lagi kesan
penting yang dibawa oleh Tamadun China ke Jepun. Tulisan China telah menjadi
asas kepada pembentukan tulisan Jepun iaitu Hiragana dan Katakana. Pengaruh
tulisan China telah memainkan peranan kepada perkembangan intelektual dan
kesusasteraan dalam Tamadun Jepun. Di samping dua kesan positif yang penting
ini, Tamadun China turut meninggalkan pengaruhnya ke atas upacara-upacara
tertentu di Jepun, contohnya upacara minum teh, seni taman, serta struktur
pembinaan bandar.
Ajaran
falsafah Konfusianisme dari China turut diasimilasikan dalam Tamadun Jepun.
Ajaran Kofusianisme yang memberi penekanan kepada institusi keluarga telah
memantapkan lagi institusi keluarga Jepun. Manakala konsep mandat dari syurga
telah memperkukuhkan lagi kedudukan Maharaja Jepun yang dipercayai berasal dari
keturunan Dewi Amaterasu. Interaksi antara Tamadun China dengan Jepun telah
berlaku secara aman dan asimilasi Tamadun China dalam Tamadun Jepun telah
memperkukuhkan identiti Tamadun Jepun.
Kesan
Negatif
Adalah
tidak tepat jika dikatakan bahawa interaksi antara tamadun hanya menghasilkan
kesan positif sahaja. Sebaliknya interaksi antara tamadun turut menghasilkan
kesan negatif. Di Eropah, misalnya, hubungan antara orang-orang Kristian dan
Yahudi telah mengalami kemerosotan sejak awal lagi. Kesan daripada hubungan
yang tidak baik ini menyebabkan berlakunya pembunuhan orang Yahudi secara
beramai-ramai pada abad ke-9 dan-18 Masihi. Perkara ini berlaku akibat daripada
faktor-faktor perbezaan agama, ketidak seimbangan ekonomi dan sosial.
Begitu
juga halnya dengan hubungan orang-orang Islam dan Kristian dalam Zaman
Pertengahan di Eropah. Pemerintah-pemerintah Kristian di Eropah telah bertindak
melancarkan beberapa siri perang ke atas
orang-orang Islam yang dikenali sebagai Perang Salib. Peperangan tersebut telah
mengorbankan ramai penganut Islam danYahudi. Peperangan ini turut dicetuskan
oleh faktor-faktor perbezaan agama, ekonomi dan politik.
Di
India juga, hubungan antara penganut Islam dan Hindu sentiasa berada dalam
keadaan tegang. Terdapat peristiwa-peristiwa di mana orang-orang Islam dibunuh
dan masjid-masjid dimusnahkan oleh raja-raja India yang beragama Hindu. Keadaan
yang sama juga berlaku kepada penganut-penganut agama Hindu serta kuil-kuil
Hindu yang dimusnahkan oleh pemerintah-pemerintah Islam.
Contohnya
raja-raja Islam dalam Kesultanan Delhi telah mengharamkan pembinaan kuil-kuil
dan mengharamkan beberapa upacara-upacara keagamaan Hindu. Semasa zaman
pemerintahan Moghul, Aurangzeb adalah raja Moghul yang bertindak keras terhadap
penganut-penganut Hindu. Baginda telah mengharamkan pembinaan kuil-kuil yang
baru, mengharamkan upacara mandi suci di Sungai Jamuna, mengharamkan upacara
sati dan lain-lain lagi.
Dalam
hubungan antara Tamadun India dengan Tamadun China juga kita dapat lihat
wujudnya konflik terutama semasa agama Buddha mula diperkenalkan ke dalam
masyarakat China semasa zaman pemerintahan Dinasti Han Timur. Kemasukan agama
tersebut telah mendapat tentangan cendiakawan Konfusianisme yang amat
berpengaruh dalam pentadbiran Dinasti Han. Sami-sami Buddha telah dikurung dan
kuil-kuil Buddha dimusnahkan untuk menghalang perkembangan agama tersebut.
Kesan
negatif turut berlaku dalam hubungan antara Tamadun Islam dengan Tamadun China.
Contohnya pada tahun 751 Masihi, tentera Islam di bawah pimpinan Ziyad bin
Salih telah mengalahkan angkatan perang China yang dipimpin oleh Kao Hsien-chih
sedangkan pada masa tersebut kerajaan Islam Abbasiyah mempunyai hubungan
diplomatik dengan kerajaan Tang di China. Permusuhan antara orang-orang Islam
dengan orang-orang China juga dicetuskan oleh rasa tidak puas hati terhadap
pencapaian ekonomi pihak yang bertentangan.
Contohnya
pada abad ke-8 Masihi, penduduk Han di tenggara China telah mewujudkan
permusuhan dengan orang-orang Islam kerana iri hati terhadap kemewahan yang
dinikmati oleh orang-orang Islam yang kebanyakannya terlibat dalam aktiviti
perdagangan. Pada tahun-tahun 758 Masihi dan 876 Masihi telah berlaku
pemberontakan-pemberontakan yang menyebabkan ramai orang-orang Islam dibunuh
dan melarikan diri dari Canton. Pemberontakan pada tahun 876 Masihi bukan
sahaja bersifat anti-Islam tetapi juga anti orang asing.
Pemberontakan
ini menyebabkan lebih kurang 120 000 hingga 200 000 orang asing telah dibunuh
termasuk orang-orang Islam. Kesan daripada peristiwa tersebut menyebabkan ramai
orang-orang Islam telah lari dari China dan berhijrah ke Asia Tenggara
terutamanya di Palembang dan Kedah. Hubungan orang-orang Islam dengan penduduk
tempatan China turut terjejas semasa pemerintahan Dinasti Ching yang memberi
keutamaan kepada pengukuhan ajaran Konfusianiame. Orang-orang Islam mendapat
layanan yang tidak adil daripada pemerintah Ching.
Rasa tidak puas hati
penganut-penganut Islam disokong pula oleh perkembangan pengaruh gerakan Kaum
Muda ataupun Wahabi di kalangan orang-orang China Islam. Rasa tidak puas
hati orang-orang Islam telah menyebabkan berlakunya beberapa siri pemberontakan
semasa pemerintahan Dinasti Ching iaitu Pemberontakan Sinkiang 1 (1756 Masihi),
Pemberontakan Kansu (1781 Masihi), Pemberontakan Jehangir (1820-27 Masihi),
Kebangkitan Yussof Syamsuddin (1828-31M), pemberontakan Yunan (1850-68 Masihi),
Pemberontakan Shensi dan Kansu (1862 Masihi), Kebangkitan Sinkiang (1864-77
Masihi).
Interaksi
Tamadun China dan India
Tamadun
China dan India telah berinteraksi kira-kira pada abad ke-2 S.M. Penyebaran
agama Budhha ke China pada masa pemerintahan Dinasti Han ( zaman Han Timur )
merupakan kemuncak kepada interaksi antara tamadun China dan India. Oleh kerana
Buddhisme lahir dalam suasana budaya India, maka China juga telah berkongsi
banyak persamaan dengan kerangka budaya masyarakat India. Persamaan dalam aspek
kesusateraan, kesenian, muzik dan sebagainya.
Pada
peringkat awal penyebaran Buddha di China, ia sukar diterima kerana berlaku
penentangan antara budaya dalam ajaran Buddha dari sudut kekeluargaan,
politik,etika serta moral orang-orang China yang telah pun diresapi oleh
falsafah-falsafah tempatan China terutama falsafah Konfucianisme. Agama Buddha
secara beransur-ansur telah mengalami proses penyesuaian dengan tradisi budaya
China namum demikian prinsip-prinsip asas ajaran Buddha tidak terjejas.
Selain
dari penerimaan agama Buddha, kesan interaksi positif antara tamadun China
dengan India ialah beberapa alat muzik dan struktur muzik India diasimilasikan
dalam tamadun China. Muzik dan tarian India telah menjadi tarian yang popular
di istana dan di kalangan bangsawan China. Semasa Dinasti Tang ( 618-907 )
teknologi membuat gula dari tebu di Tamadun India diperkembangkan di Tamadun
China.
Manakala
kesan positif interaksi tamadun yang diterima oleh India pula terdapat
ciptaan-ciptaan sains dan teknologi orang China yang telah berkembang di dalam
masyarakat India. Antaranya ialah teknologi pembuatan kertas, bahan letupan,
percetakan, penggunaan kompas dan lain-lain. Selain dari itu, usaha-usaha
penterjemahan buku-buku koleksi astronomi India telah diterjemahkan ke dalam bahasa
China. China juga mendapatkan khidmat ahli-ahli cendiakawan India dalam bidang
astronomi seperti Gautama yang telah diambil berkhidmat dalam kerajaan Dinasti
Tang. Beliau dipertanggungjawabkan memperkenalkan system calendar China yang
lebih tepat daripada tahun 727 M.
Perkembangan dalam bidang
kesusasteraan juga turut menerima kesan interkasi antara tamadun China dan
India. Kitab-kitab ajaran Buddha merupakan contoh hasil sastera yang penting.
Kewujudan pelbagai jenis puisi, cerita dongeng, kisah-kisah tauladan, kias
ibarat yang berkaitan dengan Buddha telah mempengaruhi tulisan sastera China.
Selain dari itu percampuran dan penyerapan bahasa Sanskrit dan Pali ke dalam
bahasa China turut berlaku. Contoh yang paling ketara ialah kemunculan
pengajian fonetik di zaman Dinasti Sui adalah kesan perhubungan tamadun China
dan India. Seterusnya selapas abad ke-10 M, perkembangan ini agak merosot dan
lebih bersifat hubungan diplomatik dan perdagangan.
Interaksi
Tamadun Islam dan China
Hubungan
antara orang Arab dengan negeri China telah berlaku seawal abad ke-3 Masihi
apabila dilaporkan bahawa telah ada utusan dari Parsi dihantar ke istana
kerajaan Wei. Orang-orang Arab menggunakan dua laluan penting untuk ke China
iaitu :
Laluan
Sutera – iaitu
jalan darat yang merentasi Khurasan, Samarqand, Xinjiang hingga ke Peking.
Jalan
laut yang
digunakan pada abad ke-5 Masihi merentasi laut Arab ke Benua Kecil India,
Kepulauan Melayu hingga ke Canton di tenggara China.
Terdapat
catatan yang menyatakan bahawa pada abad ke-5 Masihi kapal-kapal China telah
sampai ke Teluk Parsi, dan pada pertengahan abad ke-7 Masihi ramai pedagang
Arab telah menetap di daerah-daerah tenggara China seperti Kwang Cho ( Canton
), Chang Chow dan Chuan Cow.
Hubungan
perdagangan antara Arab dan China menjadi semakin rancak pada abad ke-8, dimana
mereka telah mendirikan masjid-masjid di kawasan Guangzhou dan Guanzhou.
Walaupun terdapat usaha-usaha mengembang ajaran Islam di China berlaku pada
abad ke-8, tetapi hanya berjaya selepas beberapa abad kemudian dengan
kemunculan beberapa tokoh Muslim tempatan seperti Wang Daiyu ( 1550-1658 ), Ma
Zhu ( 1640-1711) Liu Zhi ( 1660-1730) dan Ma Dexin ( 1794-1874). Penglibatan
tokoh–tokoh ini turut mempengaruhi hasil penulisan dan usaha penterjemahan selepas
mereka.
Buku
pertama yang dihasilkan oleh penulis China Muslim ialah Zhengjiao Zhengquan yang
telah diterbitkan pada tahun 1642. Penulis China banyak menggunakan
konsep-konsep yang sedia ada dalam ajaran Konfusianisme bagi memperkenalkan
Islam kepada masyarakat tempatan. Elemen ajaran Konfusianisme yang bersamaan
dengan ajaran Islam seperti xiao ( penghormatan kepada ibu bapa ), zhong
( kesetiaan ), shu ( altruism ) telah banyak membantu
penulis-penulis China Muslim memperkenalkan ajaran Islam kepada mayarakat
China.
Kesan
positif interaksi antara tamadun Islam dengan China dilihat dengan jelas dimana
Asia Barat telah mempelajari mengenai kompas, teknologi percetakan, teknologi
bahan letupan dan pembuatan kertas. Hal yang sama berlaku dalam teknologi logam
dan pembuatan tembikar. Sementara tamaddun China pula mendapat pelbagai ilmu
pengetahuan baru seperti perubatan, astronomi dan farmasi. Pada masa Dinasti
Tang ( 618-907 ) seorang sarjana China Muslim yang berasal dari Parsi iaitu Li
Xun telah menyusun sebuah buku bertajuk Materia Medica: Seberang Laut sebanyak
6 jilid. Buku ini telah membincangkan mengenai 124 jenis ubat di Arab.
Sementara
itu seorang ahli astronomi Parsi – Jamaluddin telah memberi sumbangan penting
penciptaan calendar baru untuk Kublai Khan pada tahun 1267 Masihi, sementara
itu abjad Arab telah mula digunakan dalam Tamadun China ketika pemerintahan
Dinasti Yuan. Kesan interaksi tamadun China-Tamadun Islam turut juga menyumbang
dalam aspek senibina. Masjid-masjid yang bersenibina Arab banyak dibina di
Xinjiang ( Sinkiang ).
Interaksi
Antara Tamaddun China dan Jepun
Interaksi
antara tamadun China-Jepun berlaku melalui perantaraan semenanjung Korea semasa
zaman Raja Packhe yang memerintah Korea. Korea telah menerima pengaruh China
sejak abad ke-2 Masihi lagi. Raja Packhe telah meminta bantuan Jepun bagi
mengatasi tentangan puak utara pada kurun ke-2 Masihi. Penglibatan ramai
tentera Jepun di Korea pada ketika itu telah menyebabkan unsur-unsur Tamadun
China yang terdapat dalam budaya Korea telah meresapi budaya Jepun.
Kesan
langsung tamadun China dapat dikesan dalam penggunaan tulisan. Aspek penulisan
telah menerima kesan terus interaksi Tamaddun China di Jepun. Sistem tulisan
China telah memperkembangkan tradisi tulisan di Jepun. Tulisan China telah
digunakan sebagai perantaraan komunikasi sosial dan penciptaan kesenian dalam
masyarakat Jepun yang telah membawa kepada perkembangan intelektual.
Tulisan
ini digunakan untuk menyimpan rekod-rekod mengenai mitos-mitos agama Shinto dan
rekod-rekod pentadbiran Jepun. Percantuman antara tulisan China dan Jepun
berlaku secara beransur-ansur. Kompilasi Kojiki ( rekod purba Jepun )
telah menampakkan gabungan antara tulisan China dan tulisan Jepun. Kompilasi
puisi yang terkenal iaitu Man’yoshu pada tahun 760 Masihi turut memerlihatkan
penggunaan gabungan perbendaharaan kata pinjaman China ke dalam perbendaharaan
kata Jepun. Kesan interaksi tamaddun China ke atas Jepun dapat juga dilihat
dalam aspek binaan. Sebagai contoh dalam Bandar Nara telah dibina mengikut
corak dan plan pembinaan Bandar Chang’an iaitu bandar pemerintahan dalam
Dinasti Sui.
Ajaran-ajaran
Konfusianisme yang dibawa masuk ke Jepun turut mengalami dan menerima kesan
serta perubahan. Konsep “ mandat dari syurga “ yang telah digunakan
dalam memperkukuhkan institusi raja. Agama Buddha juga telah melalui satu
proses asimilasi dengan agama asal orang-orang Jepun iaitu Shinto. Pada tahap
ini Shinto telah mengiktiraf kewujudan dua dewa iaitu dewa-dewa luar dan dewa
tempatan. Walaupun sintesis antara agama Buddha dan Shinto kurang berjaya,
namun ajarang Buddha tentang kehidupan dunia yang penuh dengan penderitaan
dapat diterima oleh orang –orang Jepun.
Ajaran
Buddha yang mementingkan ajaran dan konsep kasih-sayang, kesian belas, moral
dan lain-lainnya yang berkaitan dengan kerohanian telah memberi satu sumbangan
penting kepada orang-orang Jepun. Pada bada ke-10 Masihi ajaran Buddha yang
berkembang ialah yang mementingkan Amida atau Amitabha sebagai lambing
penyembahan penting.
Interaksi
Antara Tamadun India dengan Asia Tenggara
Interaksi
tamaddun Asia Tenggara dengan Tamaddun India telah berlaku secara aman dan
bermula sejak awal abad Masihi lagi. Hubungan secara perdagangan telah berlaku
dan telah meninggalkan kesan yang banyak dalam pembinaan tamaddun dan budaya
masyarakat Asia Tenggara.
Secara
teologi, interaksi ini telah member peluang kepada perkembangan agama Hindu dan
Buddha kepada masyarakat Asia Tenggara. Agama Hindu telah diterima sebagai
agama yang penting dalam kerajaan-kerajaan awal di AsiaTenggara seperti di
Funan, Chenla, Angkor, Majapahit, Kedah dan lain-lain. Mazhab agama Hindu yang
banyak tersebar di Asia Tenggara ialah mazhab Saivism, Vishnuism dan
Brahmanisme. Agama Hindu turut mempengaruhi system pentadbiran dan politik
Asia Tenggara dengan kewujudan konsep “
devaraja “.
Konsep
ini meletakkan kesucian seseorang raja setaraf dengan dewa. Konsep ini juga
menjadi asas konsep daulat dalam pemerintahan raja-raja Melayu.
Mazhab
agama Buddha pula yang berkembang di AsiaTenggara ialah mazhab Mahayana dan
Hinayana ( juga dikenali sebagai agama Buddha Theravada ). Agama Buddha
Mahayana adalah ajaran Buddha yang dipengaruhi oleh kepercayaan-kepercayaan
tantric India. Ajaran-ajaran ini juga terut mengalami unsur asimilasi dengan
kepercayaan tempatan. Srivijaya pernah menjadi pusat pengajaran dan
perkembangan ajaran Buddha Mahayana seperti yang dilaporlkan oleh I-Tsing
seorang mubaligh agama Buddha dari China yang pernah singgah di Srivijaya pada
abad ke-7 Masihi. Sementara agama dari Mazhab Buddha Hinayana pula diterima
oleh sebahagian besar penduduk tanah besar Asia Tenggara iaitu di Thailand,
Myanmar, Burma dan Laos.
Kemunculan
tulisan Sanskrit dan Pali yang berkembang di Asia Tenggara adalah kesan
interaksi Tamaddun India dan Tamaddun Asia Tenggara. Bahasa Sanskrit telah
diterima menjadi bahasa penting di istana. Kitab-kitab agama Hindu iaitu Mahabarata
dan Ramayana menjadi sumber pengajaran awal di Asia Tenggara. Aktiviti
penterjemahan dan penyalinan kitab-kitab ini telah dilakukan selapas wujudnya
interkasi antara Asia Tenggara dengan Tamaddun Islam. Ini kerana kita-kita ini
diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan ditulis dengan menggunakan tulisan
Jawi iaitu tulisan yang datang dari Tamaddun Islam. Istilah-istilah Sanskrit
turut memperkayakan perbendaharaan kata masyarakat Asia Tenggara.
Kemunculan
banyak alat-alat muzik dan pengaruh dalam kesenian dan tarian juga adalah kesan
daripada interkasi ini. Kedatangan dan hubungan masyarakat India dan penduduk
Asia Tenggara secara ama telah menyebabkan berlakunya perkahwinan campur secara
meluas semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka. Kemunculan makanan berasaskan
roti dan kari juga dilihat sebagai kesan interaksi tamaddun Asia Tenggara
dengan tamadun India. Selain dari itu tamadun India juga turut mempengaruhi sistem
perundangan Asia Tenggara, contohnya kaedah-kaedah dalam undang-undang Hindu
yang digunakan dalam Undang-undang Melaka dan Perundangan Majapahit.
Intraksi
Antara Tamadun Islam dengan Asia Tenggara
Tamadun
Islam berkembang di Asia Tenggara selaras dengan perkembangan dan penyebaran
agama Islam di Asia Tenggara. Perkembangan Agama Islam yang berlaku secara aman
telah memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan dan penerimaan tamadun
Islam di kawasan Asia Tenggara. Asia Tenggara telah lama dikenali oleh
pedagang-pedagang Islam sejak abad pertama Hijrah. Sebahagian besar
pedagang-pedagang Islam datangnya daripada Yaman, iaitu sebuah kerajaan Arab
yang bergiat penting dalam perdagangan.
Snouck
Hurgronje merupakan
cendiakawan yang melaporkan bahawa Islam di Asia Tenggara datangnya dari India,
pendapat beliau telah mendapat sokongan dari beberapa tokoh seperti D.G.E
Hall, R.O Winstedt, Vlekke, Mouqutte, B.Harrison dan Bousquet. Bagi
menyokong teori mereka, mereka mengaitkan penglibatan pedagang-pedagang Islam
dari Gujerat.
Interaksi
Antara Tamadun Islam dengan Eropah
Interaksi
tamadun Islam dengan tamadun Eropah telah bermula sejak terbentuknya
pemerintahan Islam di Afrika Utara, Sepanyol dan Sicily. Malah ada pendapat dan
tokoh tamaddun menyatakan bahawa, Sepanyol dan Sicily adalah merupakan pintu
masuk Islam ke benua Eropah. Negara-negara berkenaan dikatakan sebagai jambatan
kemasukan Tamaddun Islam ke dalam Tamaddun Eropah. Proses interaksi ini berlaku
dalam dua cara iaitu cara aman dan peperangan. Proses cara aman berlaku melalui
perdangan. Perang Salib yang berlaku dalam tempoh yang panjang antara orang
Eropah dengan Islam merupakan interaksi yang berlaku secara konflik.
Perkembangan
dan usaha penterjemahan buku-buku adalah kesan interkasi positif yang berlaku
antara tamadun Islam dan Eropah. Penterjemahan buku falsafah Greek telah
menghubungkan orang-orang Eropah dengan tamadun Greek ( Yunani ) Ini kerana
penterjemahan buku telah dilakukan dengan pesat semasa pemerintahan Bani
Abbasiyah. Hasil-hasil tulisan orang-orang Greek meliputi bidang-bidang sains,
sejarah, matematik, falsafah telah dikembangkan oleh cendiakawan Islam.
Proses
interaksi antara Islam dan Eropah berlaku secara aman pada awalnya, dan diikuti
dengan konflik apabila tercetusnya perang salib yang berlaku selama 200 tahun (
antara abad ke-12 Masihi hingga 14 masihi ) Sebelum perang saling, Eropah yang
berada dalam zaman gelap ( abad ke-4 hingga ke-14 Masihi ), sedangkan pada ketika
ini, orang Islam telah mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang ilmu pada
pertangahan kurun ke-7.
Kemuncak
kepada perkembangan Tamaddun Islam berlaku pada adab ke-10 hingga ke-12 Masihi.
Peranan Sepanyol dalam menyumbang kepada perkembagan Tamaddun Islam di Eropah
tidak boleh dipandang sepi. Sepanyol menjadi pusat perkembangan ilmu
pengetahuan Islam di Eropah. Universiti-universiti Sepanyol di Cordova,
Seville, Malaga dan Granada telah menjadi pusat pengajian terpenting kepada
pelajar Kristian. Bidang-bidang ilmu pengetahuan seperti falsafah, matematik,
astronomi dan seni muzik yang berkembang pesat di Sepanyol telah mempengaruhi
pemilkiran orang-orang Eropah. Orang-orang Islam Sepanyol telah menyumbang
karya-karya penting dalam bidang seni muzik dan pada adad ke-12. Karya-karya
mereka telah diterjemahkan dalam bahasa latin dan memberi peluang kepada
masyarakat Eropah mengetahui dan mempelajari seni ini.
Interaksi
antara Tamadun Islam dan Tamadun Eropah bukan hanya melahirkan kesan positif,
tetapi juga melahirkan kesan negatif iaitu Perang Salib. Perang Salib yang
berlaku selama 200 tahun telah memberi satu kesan negatif yang mendalam kepada
Tamadun Islam dan Eropah. Terdapat beberapa faktor berlakunya perang Salib ini,
antaranya ialah
-
penindasan yang dilakukan oleh pemerintah Islam kepada penganut Kristian,
-
ketidakseimbangan ekonomi
-
peranan paderi Kristian yang menyeru orang-orang Kristian untuk berperang
dengan
orang-orang Islam .
Kesimpulan
Secara
keseluruhannya, situasi di benua Asia sebelum zaman penjajahan Barat tanpa
mengambil kira hubungan Kristian dan Yahudi, penganut-penganut Islam, Hindu,
Budha, Konfusiannisme, Taoisme dan termasuklah penganut Kristian sendiri
berjaya hidup harmoni dan damai. Faktor-faktor yang di lihat dapat membawa
kesan yang positif hasil pertembungan antara tamadun ialah :
a. Sifat
pemerintah dan pemimpin yang bertoleransi dan memerintah negara dengan penuh
keadilan dan kesaksamaan
b. Sikap
golongan beragama seperti sami dan paderi yang sentiasa cuba mewujudkan suasana
harmoni, memberi tafsiran yang sejagat dan cenderung kepada semangat keinsanan.
Tamadun
sesebuah masyarakat itu bukanlah bersifat tertutup, sebaliknya bersifat
terbuka. Sifat inilah yang memberi peluang berlakunya interaksi antara tamadun
dan menghasilkan dua kesan utama iaitu kesan positif dan kesan negatif. Kesan
positif akan memberi nilai tambah dan pengukuhan kepada sesuatu tamadun.
Elemen-elemen atau ciri-ciri tamadun luar yang diterima oleh sesuatu tamadun
akan mengalami proses asimilasi dan penyesuaian.
Sementara
kesan negatif pulak seringkali mewujudkan konflik antara masyarakat yang
memilki tamadun yang berbeza. Konflik ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor
seperti teologi, ekonomi, sosial dan politik. Faktor yang lebih penting menjadi
penyebab kepada konflik ialah faktir teologi. Sungguhpun interaski ini
menghasilkan kesan positif dan negatif, namun kadangkala kesan yang dialami
oleh sesuatu tamadun itu tidak sama dengan yang lain.
Bagi
tamadun yang lebih lama dan tinggi, akan mempengaruhi tamadun yang rendah, dan
tamadun yang rendah akan lebih bersifat receptif ( penerima ) Kedua-dua kesan
inilah yang menjadikan sesebuah tamadun itu berjaya dan tidak jumud, beku dan
statik. Hasilnya sesuatu tamadun yang terbuka dan dapat mengasimiliasikan
pengaruh luar akan semakin berkembang dan melahirkan pelbagai
perubahan-perubahan penting.
Bibliografi :
Alias
Othman (1986), Apakah Ciri-ciri Khusus Islam, Kuala Lumpur: Pustaka
Salam
Sulaiman
Nordin ( 1995 ), Islam,Al-Quran dan Ideologi Masa Kini. Kuala
Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.
Haji Ahmad
Fauzi ( 1997 ) Tamaddun Islam.Sedang:Penerbitan Universiti Putra
Malaysia.
Wan Abdul
Rahman Latif, ( 1996 ) Sejarah Perkembangan Tamaddun Dunia, Kuala
Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka
Azhar
Hj.Mad Aros, Azharudin Mohd. Dali. (2000). Titas Kertas 1. Shah Alam.
Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Chandra
Muzaffar, Che Wan Jasimah Wan Mohd Radzi. (2001). Tamadun Islam dan Tamadun
Asia. Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya.
Dr Abdul
Rahman Haji Abdullah. (2002). Sejarah dan Tamadun Islam. Kuala Lumpur:
Pustaka Ilmi Sdn. Bhd.
Ghazali
Darussalam. (2000). Kursus Tamadun Islam & Pendidikan Moral. Kuala
Lumpur. Utusan Publication & Distributor Sdn. Bhd.
Mustafa
Hj. Daud. (1999). Tamadun Islam. Edisi Maktab Perguruan. Kuala Lumpur.
Utusan Publication & Distributor Sdn. Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan