1.0
PENGENALAN
Memetik kata-kata Yusof Al Qaradhawi seorang sarjana dan
tokoh pemikir Islam yang tersohor dan disegani masa kini, beliau mengatakan
“Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi
mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari
kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang
adalah sebuah negara yang aman makmur tetapi jika keadaan sebaliknya maka
bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang berlaku”. Oleh itu,
untuk melihat maju atau mundur sesebuah negara bergantung kepada genarasi
mudanya. Dalam konteks ini, pendidikan dilihat sebagai wahana terbaik dalam
melahirkan generasi yang dinamik, progresif, cemerlang, berakhlak dan berhemah
tinggi.
Sememangnya sering diperkatakan bahawa anak muda
merupakan pewaris kepada kepimpinan negara di masa hadapan. Golongan ini
merupakan pelapis berjiwa kental yang menjadi aset dalam memacu kelangsungan
pembangunan negara. Lantaran itu, pendidikan mampu mematangkan golongan muda
dari aspek keintelektualan ilmu, kewarasan akal, kemurnian budi, kecerdasan
minda dan keterampilan sahsiah. Rentetan itu, pembangunan
insan dan negara harus ditekankan dan dijayakan dalam perkembangan pendidikan
di Malaysia.
Jika melihat kepada sorotan sejarah pendidikan di negara
ini, pastinya kita sedar bahawa pendidikan di negara kita telah melalui
pelbagai peringkat. Perkembangan pendidikan di Malaysia jelas menunjukkan
perbandingan yang ketara dalam pembangunan insan dan Negara era sebelum merdeka dan zaman pascamerdeka. Pendidikan
di Malaysia telah melalui saat suka dan duka serta sering berlaku perubahan
demi perubahan untuk memartabatkan pendidikan di negara ini. Bermula dengan era
masyarakat tradisional dan berubah pada era penjajahan. Pihak penjajah telah
memperkenalkan Sekolah Vernakular, Sekolah Inggeris dan bagi memantapkan lagi
sistem pendidikan pada masa itu beberapa laporan di buat antaranya Laporan
Barnes 1950, Laporan Fenn-Wu 1951, Ordinan Pelajaran 1952 dan Laporan Razak
1956. Pendidikan selepas merdeka menunjukkan perkembangan yang ketara bermula
dari tahun 1957 hingga 2010 yang memperlihatkan pelbagai usaha dalam
meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia.
2.0 PEBANGUNAN
INSAN DAN NEGARA ERA SEBELUM MERDEKA
Pendidikan pada Zaman Pramerdeka terbahagi kepada
beberapa peringkat yang menjadi pemangkin kepada pembangunan insa dan negara di
Malaysia. Terdapat dua peringkat iaitu era masyarakat tradisional dan era
penjajahan.
2.1
Era Masyarakat Tradisional
Era ini merupakan salah satu bentuk pendidikan yang
berkisar kepada pembelajaran secara turun-temurun yang diwariskan kepada
genarasi seterusnya. Pembangunan insan berdasarkan proses pembelajaran untuk
melahirkan insan yang berkemahiran, berkebolehan dalam aspek teknik dan
praktikal. Pendidikan era masyarakat tradisional diajar oleh ibu bapa, ahli
keluarga dan masyarakat sekeliling. Ibu bapa khususnya memberi tunjuk ajar
berdasarkan kemahiran yang dimiliki. Jika bapa seorang nelayan sudah tentu
perkara yang diajarkan kepada anaknya adalah berkaitan dengan teknik menangkap
ikan, menghadapi gelora dan sebagainya. Di samping itu, ibu akan mengajar
anaknya kemahiran memasak, mencuci dan segala yang berkaitan dengan pekerjaan
di rumah. Matlamat pendidikan lebih cenderung untuk melahirkan generasi yang
mempunyai adab sopan, hormat antara satu sama lain dan mempunyai kemahiran yang
tinggi dalam bidang yang dipelajari. Hal ini bertepatan dengan pendapat Hasan
Langgulung (1995) yang mengatakan bahawa fungsi pendidikan adalah pengembangan
potensi yang ada pada individu supaya dapat digunakan olehnya dan masyarakat
untuk menghadapi arus perubahan.
Perkembangan pendidikan pada era ini juga telah
menghasilkan Sekolah Pondok dan Madrasah untuk mempelajari bidang ilmu yang
lebih luas. Pembelajaran yang diajar berteraskan kepada agama Islam seperti
Tauhid, Akidah dan Akhlak. Intitusi pendidikan berpaksikan kepada falsafah
pendidikan Islam ini mampu melahirkan masyarakat yang menjiwai agama pada
setiap masa dan mengaplikasinya dalam kehidupan seharian. Hala tuju pengajian
pada peringkat ini berkesan untuk menjadi pendorong kemajuan manusia dalam
aspek kerohanian, pemikiran, moral dan keduniaan berdasarkan falsafah
pendidikan agama melalui keunggulan pendidikan Islam yang diterapkan dalam
pembelajaran.
2.2
Era Penjajahan
Kedatangan Portugis dan Belanda ke Tanah Melayu tidak
banyak mengubah sistem pendidikan tradisional. Perubahan yang amat ketara
berlaku apabila Inggeris mula menguasai negeri-negeri Melayu. Pada zaman
penjajahan Inggeris terdapat lima jenis pendidikan yang berbeza dan
masing-masing berorientasikan keperluan identiti kaum iaitu Sekolah Inggeris,
Sekolah Melayu, Sekolah Pondok, Sekolah Vernakular bagi etnik Cina dan India.
Penubuhan sekolah Melayu bermula pada tahun1821 apabila tertubuhnya Sekolah
Melayu Gelugur, Pulau Pinang.Sekolah aliran Melayu yang ditubuhkan oleh pihak penjajah
menekankan kepada kurikulum asas, iaitu pelajaran membaca, mengarang, ejaan,
menulis, ilmu kira-kira, ilmu alam dan latihan jasmani.
Bentuk kemahiran asas yang diajar pula ialah perkebunan
dan penternakan. Falsafah pendidikan berbentuk kemahiran sengaja disalurkan
mengikut dasar untuk mengekalkan masyarakat Melayu sebagai kaum tani. Kurikulum
sekolah Melayu tidak berkembang lebih daripada setakat memberikan pendidikan
dasar selama empat tahun, kecuali latihan perguruan sebagai peringkat tertinggi
pendidikan Melayu. Jelas kelihatan program pembangunan insan semasa zaman
penjajahan Inggeris bertujuan menyekat peluang orang Melayu untuk mengembangkan
bakat mereka dan memisahkan mereka daripada perkembangan sosio-ekonomi negara. Keadaan
ini telah membentuk keadaan sosial yang tidak seimbang di Malaysia apabila
negara mencapai kemerdekaan.
Penubuhan sekolah vernakular Cina bermula di Melaka pada
1815. Kebanyakan sekolah Cina yang ditubuhkan secara persendirian menggunakan
premis perniagaan, rumah kediaman, bangunan tokong yang disumbangkan oleh orang
perseorangan atau persatuan yang mewakili suku kaum Cina tertentu seperti
Hakka, Hokkien dan sebagainya. Hampir semua sekolah Cina berkembang dengan
pesat di bandar besar di Pantai Barat Semenanjung Malaysia seperti Kulala
Lumpur, Johor Baharu, Ipoh serta Taiping. Kewujudan sekolah vernakular Cina
disebabkan kesedaran masyarakat Cina tentang kepentingan pendidikan dan kaedah
pendidikan yang digunakan pula bertulang belakangkan falsafah pendidikan moden
yang berasal dari negara China. Dari segi pembangunan insan, matlamat pendidikan
lebih cenderung untuk meningkatkan kemahiran dan penguasaan dalam bidang
matematik, sains, dan sebagainya.
Penubuhan sekolah Tamil bermula di Pulau Pinang dan Perak
oleh pihak Syarikat Perladangan Eropah. Kehadiran pihak Inggeris yang membuka
ladang getah dan kopi secara besar besaran turut merancakkan penubuhan sekolah
vernakular Tamil di kawasan lading-ladang kepunyaan mereka. Pembangunan insan di
sekolah Tamil telah mengalami perubahan kerana dasar pemerintahan Inggeris yang
memberi bantuan dan kemahiran. Buktinya, pada tahun 1925 Kod Buruh
diperkenalkan. Dalam kod tersebut terkandung bahawa setiap ladang diwajibkan
menubuhkan sekolah Tamil apabila terdapat lebih daripada 20 orang kanak-kanak
India dalam lingkungan umur persekolahan 7 hingga 14 tahun. Kesannya, pada
tahun 1930 terdapat empat jenis sekolah vernakular Tamil, iaitu dibiayai oleh
pemerintah, pengurusan ladang, komuniti India tempatan dan Persatuan Mubaligh
Kristian.
Penubuhan sekolah Inggeris adalah berteraskan falsafah
untuk memperkembangkan agama Kristian dan menyebarkan ideologi penjajah
Inggeris. Sekolah yang pertama ialah Penang Free School, Pulau Pinang
(1816).Sekolah Inggeris terbahagi kepada dua jenis, iaitu sekolah Free School
yang mendapat bantuan daripada kerajaan. Jenis kedua ialah sekolah Inggeris
separa bantuan yang ditubuhkan serta dibiayai oleh persatuan mubaligh Kristian
dengan mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan. Pembangunan insan dalam pendidikan
Inggeris pada masa ini adalah untuk melatih tenaga kerja seperti kerani dan
juru teknik bagi jabatan-jabatan kerajaan. Walau bagaimanapun, dalam memenuhi
permintaan golongan bangsawan Melayu, pihak Inggeris telah menubuhkan Maktab
Melayu Kuala Kangsar (1905) yang menggunakan model pendidikan Inggeris yang
bercorak Grammar School di England. Pihak Inggeris memperkenalkan Special Malay
Class pada tahun 1930an bagi memberi lebih peluang kepada kanak-kanak Melayu
yang ingin melanjutkan pelajaran. Hal ini telah memberi implikasi besar dalam pembangunan
insan bagi masyarakat Melayu kerana
menyedarkan orang Melayu dari golongan bawahan untuk turut sama mendapatkan
pendidikan Inggeris.
Pada keseluruhannya, pendidikan di zaman penjajahan
Inggeris ialah bersifat bebas atau laissez-faire kerana terdapat lima jenis
pendidikan yang telah diwujudkan tidak mempunyai keseragaman, iaitu Inggeris,
Melayu, Cina, Tamil dan agama Islam. Setiap jenis sekolah itu mempunyai
falsafah dan hala tuju pengajaran dan kurikulum yang berbeza. Akibat kewujudan
sistem ini yang kurang mempunyai sistem kawalan peringkat pusat telah
menyebabkan konsep intergrasi atau perpaduan kaum sukar dilaksanakan. Sistem
pendidikan pada masa pemerintahan Inggeris telah menimbulkan situasi rumit
dalam sistem pendidikan sekarang dari segi keseragaman dan pencapaian hasrat
integrasi nasional. (Sufean Hussin, 1993)
Akibat daripada ketidakseimbangan ini, pihak Inggeris
telah membuat kajian. Rentetan daripada itu, beberapa laporan telah dirangka
antaranya Laporan Barnes (1950), Laporan Fenn-Wu (1951), Ordinan Pelajaran
(1952), Laporan Razak (1956). Laporan ini telah membawa perubahan yang besar
dalam pembangunan insan dan negara kita khususnya.
Laporan
Barnes 1950
Laporan Barnes merupakan satu percubaan menuju ke arah
perpaduan negara apabila mengusulkan agar matlamat pendidikan hendaklah
membentuk satu rupa bangsa yang berasaskan berbagai kaum. Sistem vernakular
yang berasingan hendaklah dibubarkan dan digantikan dengan satu jenis sekolah
yang sama untuk semua kaum iaitu sekolah nasional (kebangsaan). Laporan ini
bertujuan untuk mempertingkatkan kepentingan bahasa Inggeris di samping
mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan di sekolah. Namun begitu,
laporan ini telah ditentang hebat oleh orang bukan Melayu terutama orang Cina
kerana mereka khuatir sekolah Cina akan hilang.
Laporan
Fenn-Wu 1951
Laporan Fenn-Wu diperkenalkan ekoran ketidakpuasan hati
dalam kalangan masyarakat Cina. Di samping mempertahankan kedudukan bahasa
Cina, laporan ini juga ditugaskan untuk memberi nasihat tentang penyediaan buku
teks sekolah Cina yang berorientasikan kepada Tanah Melayu sebagai satu cara
untuk mendekatkan masyarakat Cina dengan situasi kehidupan Tanah Melayu.
Ordinan
Pelajaran 1952
Pihak Inggeris kemudiannya telah menyatukan kedua-dua
laporan itu dan dijadikan Ordinan Pelajaran 1952. Ordinan ini telah menetapkan
bahawa penubuhan dua jenis aliran persekolahan, iaitu bahasa Melayu dan
Inggeris. Selain itu, Bahasa Cina dan tamil akan diajar sebagai bahasa ketiga
jika terdapat permintaan daripada ibu bapa dengan syarat terdapat 15 orang
dalam sebuah bilik darjah dan Sekolah Cina dan Tamil tidak diterima sebagai
sistem pelajaran kebangsaan. Walau bagaimanapun, Ordinan ini tidak dapat
dijalankan kerana menghadapi pelbagai masalah.
Namun begitu Jawatankuasa Khas telah dilantik untuk
menguruskan dasar yang tercatat dalam Ordinan 1952 melalui tiga objektif,
iaitu:
1. Penggunaan dua bahasa secara beransur-ansur di sekolah
vernakular Melayu dan penggunaan tiga bahasa di sekolah Cina dan Tamil, supaya
sekolah itu akan secara beransur-ansur dapat diserapkan ke dalam sistem sekolah
kebangsaan.
2. Menghadkan kadar kemasukan murid ke sekolah kebangsaan
Inggeris seperti sediakala.
3. Penubuhan pendidikan menengah vokasional.
Namun begitu, sehingga tahun 1956, Ordinan 1952 tidak
menghasilkan perubahan yang besar kepada kepada pembangunan insan dan negara kerana
ia tidak memberikan kepuasan kepada semua pihak. Manakala kaum Cina terus
menguruskan pendidikan mereka sendiri tanpa campur tangan kerajaan dan struktur
persekolahan Melayu tinggal seperti sediakala.
Laporan
Razak 1956
Objektif Laporan Razak ialah untuk melahirkan sekolah
yang berjiwa Tanah Melayu dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan. Laporan Razak melambangkan Tanah Melayu telah melaksanakan dasar
bertolak ansur, dasar perpaduan kaum, dasar demokrasi dan dasar kesejagatan. Laporan
ini juga telah menunjukkan sistem pendidikan telah bertambah maju apabila
bertambahnya bilangan murid, guru dan sekolah. Sebagai asas untuk melaksanakan
usul Laporan Razak, suatu undang-undang diluluskan iaitu Ordinan Pelajaran
1957.Laporan Razak telah menjadi asas perkembangan pendidikan di Malaysia
selanjutnya.
3.0 PEMBANGUNAN
INSAN DAN NEGARA SELEPAS MERDEKA
Pendidikan di Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan
dan perubahan bagi merealisasikan matlamat kerajaan menjadikan pendidikan di
Malaysia bertaraf dunia. Terdapat pelbagai peringkat pada pascamerdeka iaitu
era 1957-1970, era 1971-1990, era 1991-2000 dan era 2001-2010.
3.1
Era 1957-1970
Selepas Malaysia merdeka dari penjajahan Inggeris satu
dasar telah dibentuk bagi memantapkan pembangunan insan dan negara yang sedia
ada. Oleh itu, Ordinan Pelajaran 1957 telah dibentuk yang mencakupi
peraturan-peraturan pelajaran (disiplin sekolah) 1959. Hal ini merupakan
sejarah Malaysia pada waktu itu, kerana perancangan pendidikan dirangka untuk
meliputi semua kaum dalam masyarakat di Malaysia serta meliputi semua aspek
struktur dan perkembangan pendidikan negara.
Di atas kesedaran
yang tinggi terhadap masa depan pendidikan di Malaysia, Laporan Rahman Talib yang
dirangka telah mencadangkan supaya Bahasa Melayu dijadikan mata pelajaran wajib
selain Bahasa Inggeris. Bahasa Melayu mesti diajar dari darjah satu di semua
jenis sekolah rendah dan syarat lulus dalam Bahasa Melayu bagi calon-calon ke
sekolah menengah, dan pusat latihan guru. Cadangannya juga termasuk pemberian
insentif kepada guru-guru supaya mendapat kelulusan yang baik dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu. Lantaran itu, Akta Pelajaran 1961 dibentuk dan
dirangka agar mampu melonjakkan bidang pendidikan di negara ini.
Kesannya, pada tahun 1962 pendidikan percuma kepada semua
pelajar dilaksanakan bertujuan agar semua rakyat tidak kira miskin atau kaya
berhak mendapat pendidikan. Selain itu, berkuatkuasa pada tahun 1964 setiap
pelajar berhak mendapat pendidikan selama 9 tahun iaitu dari darjah 1 hingga
tingkatan 3. Pada masa yang sama Rancangan Malaysia Pertama telah diperkenalkan
dari tahun 1966 hingga 1970 bertujuan untuk menjaga kebajikan seluruh rakyat,
dan meninggikan taraf hidup kawasan luar bandar terutamanya dalam kalangan
mereka yang berpendapatan rendah.
Kesimpulannya, hala tuju pendidikan era ini lebih becorak
kepada penyatuan semua kaum melalui pengenalan Bahasa Melayu sebagai mata
pelajaran wajib bagi memudahkan interaksi antara kaum. Selain itu, falsafah
pendidikan yang bersifat sama rata tanpa menyisihkan kaum, darjat dan agama
memangkinkan lagi perkembangan pembangunan insan di negara Malaysia. Era ini
menunjukkan anjakan paradigma yang proaktif dalam sistem pendidikan negara.
3.2
Era 1971-1990
Selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969, Malaysia telah
memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi mengurangkan jurang sosio-ekonomi
antara kaum di negara ini. DEB dilaksanakan melalui Rancangan Malaysia Kedua
1971-1975 (RMK2), RMK3 1976-1980, RMK4 1981-1985, RMK5 1986-1990. Di samping
itu, bagi mengelakkan kecelaruan antara kaum di Malaysia, Bahasa Melayu
diperkenalkan sebagai bahasa pengantar utama dan kerajaan telah membuat semakan
terhadap Dasar Pelajaran Kebangsaan 1979 dan melaksanakan pembaharuan dalam
meningkatkan kualiti Pendidikan Negara.
Kerajaan telah melaksanakan Skim Pinjaman Buku Teks
(SPBT) untuk golongan pelajar miskin yang tidak mampu untuk membeli buku teks
dan Rancangan Makanan Tambahan(RMT) bertujuan untuk memberi makanan yang
seimbang kepada pelajar terutamanya yang berasal dari keluarga yang kurang
berkemampuan. Usaha ini menunjukkan kerajaan begitu komited dalam membela nasib
pelajar yang kurang berkemampuan.
Pada tahun 1982, Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR)
diperkenalkan di peringkat percubaan atau lebih dikenali sebagai rintis. Agenda
ini diteruskan dengan pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM)
pada tahun 1988 apabila pelajar dalam KBSR telah melangkah masuk ke tingkatan 1
dan menggunakan empat matapelajaran sebagai rintis iaitu Bahasa Melayu, Bahasa
Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.
Dalam era ini juga Falsafah Pendidikan Negara (FPN)
diperkenalkan. Falsafah Pendidikan ini menjurus ke arah pembangunan insan dan
warganegara yang baik dengan mengemukakan ciri-ciri seperti percaya dan patuh
kepada Tuhan, berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berbakti
dan memberi sumbangan kepada diri, masyarakat, agama, bangsa dan negara serta
memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu. Selaras dengan FPN yang disuratkan
pada tahun 1987 berbunyi:
"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan
kearah perkembangan bagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi
dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini
adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berketerampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri
serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan
negara" (Falsafah Pendidikan Negara, 1987)
Apabila FPN diperkenalkan, pembangunan insan melalui pendidikan
nampak jelas dan nyata untuk melahirkan insan yang cemerlang dari segi emosi,
jasmani, intelek dan rohani. Penambahbaikkan yang dijalankan mengakibatkan
sistem pendidikan kita semakin sistematik. Oleh itu, falsafah pendidikan yang
digunapakai akan merealisasikan matlamat kerajaan untuk mencapai masyarakat
majmuk yang bersifat sejagat.
3.3
Era 1991-2000
Era ini memperlihatkan negara telah melangkah maju
kehadapan melalui RMK6 1991-1995 dan RMK7 1996-2000 bagi memastikan kemajuan
negara terus terancang. Dalam pada itu, kerajaan juga telah memperkenalkan
Dasar Pembangunan Negara yang mempunyai cita-cita tentang tujuan, rasional,
konsep, pelaksanaan dan kesan-kesan pembangunan. Antara yang telah dilaksanakan oleh kerajaan seperti
Dasar Pembangunan Nasional, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah serta Pelan
Integriti Nasional.
Dasar Pembangunan Nasional adalah bertujuan menyatupadukan
rakyat untuk memperkukuhkan lagi kestabilan sosial dan politik serta
pembangunan ekonomi yang berterusan. Kerajaan turut memperkenalkan Dasar
Bersih, Cekap dan Amanah yang berobjektifkan mewujudkan etika kerja dan sikap
berkhidmat untuk peningkatan hasil dan mutu kerja. Selain itu, pelancaran Pelan
Integriti Nasional dengan matlamat untuk memantapkan nilai-nilai etika dan
integriti serta membudayakan nilai-nilai tersebut dalam diri setiap anggota
masyarakat.
Pada tahun 1992 kerajaan telah memperkenalkan pendidikan
umum selama 11 tahun iaitu setiap rakyat Malaysia diwajibkan mengikuti sesi
persekolahan bermula dari tahun 1 sehingga tingkatan 5. Sementara itu,
pemurnian dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah kepada Kurikulum Bersepadu
Sekolah Rendah telah berlaku dengan menggunakan akronim yang sama iaitu KBSR.
Usaha ini dilihat mampu meningkatkan mutu pendidikan dalam kalangan rakyat
Malaysia dalam menentukan hala tuju pembangunan insan dan negara di masa
hadapan.
Pada era ini juga telah mempelihatkan perubahan yang
pesat dalam falsafah dan hala tuju pendidikan negara. Asas perundangan bagi
melancarkan lagi pembangunan pendidikan diperkukuhkan melalui penggubalan dan
pindaan akta berikut:
1. Akta Pendidikan 1996- Menggantikan Akta Pelajaran 1961
khususnya peruntukan kuasa-kuasa Menteri Pelajaran da penginstitusian
prasekolah.
2. Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) 1996-
Bermatlamatkan menjadikan Malaysia Pusat Kecemerlangan Pendidikan.
3. Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996- Membolehkan
penubuhan sebuah majlis yang menentukan dasar dan menyelaras pembangunan
pendidikan tinggi.
4. Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara 1996-
Menyediakan peruntukan pinjaman pelajar dan skim tabungan bagi meningkatkan
akses kepada pendidikan tinggi.
5. Akta Universiti dan Kolej Unversiti (AUKU) (pindaan)
1996- memperluas autonomi dalam pengurusan dan kewangan kepada universiti awam
bagi menentukan program ke arah kecemerlangan dalam pendidikan.
6. Akta Lembaga Akreditasi Negara (LAN) 1996- Memastikan
tahap akademik yang tinggi, jaminan kualiti tinggi dan kawalan mutu pendidikan
terpelihara dalam penyediaan pendidikan swasta.
7. Akta Institusi Teknologi MARA (ITM) (Pindaan) 2000-
Membolehkan ITM dinaiktaraf menjadi universiti.
8. Akta PTPTN (Pindaan) 2000- Membenarkan pinjaman kepada
pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta.
Jika diteliti, perubahan demi perubahan dalam sistem
pendidikan negara telah mengadaptasikan satu hala tuju pembangunan insan dan negara
yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.
3.4
Era 2001-2010
Pada abad ke-21, negara telah menghadapi cabaran
globalisasi iaitu dunia tanpa sempadan menyebabkan Malaysia harus bersaing
dalam memperkasakan pembangunan pendidikan dalam aspek politik, ekonomi dan
sosial. Penambahbaikan telah dijalankan bagi meneliti semula projek dan program
yang dirancang. Hal ini bertepatan dengan matlamat pembangunan insan dan negara
untuk melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan celik ICT, berkemahiran
dan berakhlak mulia.
Pelbagai perubahan dan cabaran alaf ke-21 menyebabkan
penambahbaikan dan pemantapan hala tuju dan falsafah pendidikan diperhebatkan
dalam perundangan, dasar dan program utama seperti berikut:
1. Akta Pendidikan 1996 (Pindaan 2002) memperuntukan
pendidikan wajib bagi pendidikan rendah yang dilaksanakan secara berperingkat
mulai tahun 1 pada 1 Januari 2003.
2. Program Bimbingan dan Kaunseling diperkukuhkan dengan
memperuntukan seorang kaunselor bagi setiap 500 orang pelajar bermula dari
tahun 2003 (Keputusan Jemaah Menteri, 2002)
3. Pada tahun 2003, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan
Matematik dalam Bahasa Inggeris diperkenalkan (Keputusan Jemaah Menteri, 2002)
dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) turut diperkenalkan.
4. Pemberian bantuan one-off RM120 kepada murid sekolah
rendah daripada keluarga miskin pada tahun 2002-2003 bagi melaksanakan
pendidikan wajib (Bajet 2002 dan 2003). Pada tahun 2004 bantuan ini digantikan
dengan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).
5. Pada tahun 2004, Skim Baucer Tuisyen (SBT)
diperkenalkan untuk memberi bantuan tuisyen kepada murid sekolah rendah Tahun 4
hingga 6 yang miskin dan pencapaian rendah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu,
Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
6. Mata pelajaran Vokasional (MPV) diperkenalkan di
Sekolah Menengah Harian pada tahun 2004. (Berasaskan Program Sekolah ke Kerjaya
di bawah Pembiayaan Bank Dunia, 1998-2003)
7. Program j-QAF diperkenalkan pada tahun 2005 dan
diperluaskan pada tahun 2006 bagi memastikan murid Islam menguasai Jawi,
Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain apabila tamat sekolah rendah (Keputusan
Jemaah Menteri, 2003)
8. Pada tahun 2006 aktiviti kokurikulum diperbaiki dengan
penambahan peruntukan per kapita pelajar daripada RM2.50 kepada RM10 untuk
sekolah rendah dan RM12 untuk sekolah menengah (Keputusan Jemaah Menteri,
2005). Di samping itu, aktiviti kokurikulum dijadikan syarat kelayakan ke IPTA
mulai 2006 (Keputusan Jemaah Menteri, 2005)
Pada era ini juga, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
2006-2010 (PIPP) diperkenalkan untuk memartabatkan pembangunan insan di Malaysia.
Antara yang termaktub dalam PIPP ialah berdasarkan kepada enam teras iaitu
membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah
kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan dan
melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. Pada peringkat ini hala tuju
pendidikan negara lebih bersifat untuk melahirkan masyarakat yang mampu
bersaing di peringkat global berdasarkan kepada falsafah pendidikan yang
dicanangkan dalam sistem pendidikan di Malaysia.
4.0
PERBANDINGAN PEMBANGUNAN INSAN DAN NEGARA SEBELUM DAN SELEPAS KEMERDEKAAN
Pendidikan di negara kita telah mengalami perubahan dalam
sistem pendidikan.Perubahan ini memperlihatkan perbandingan antara sebelum dan
selepas kemerdekaan dari aspek pembangunan insan dan negara . Oleh itu,
terdapat perbandingan yang jelas hasil dari perkembangan sistem pendidikan di
negara ini.
4.1 Kesan
dari aspek falsafah pendidikan
Falsafah berasal daripada perkataan Yunani Tua iaitu
Philosophia yang bermaksud “cinta kepada ilmu pengetahuan atau hikmah”. Falsafah
pendidikan negara mempunyai perbezaan yang jelas sebelum dan selepas
kemerdekaan. Sebelum kemerdekaan falsafah pendidikan kita lebih bercorak
tradisional. Hal ini disebabkan masyarakat lebih mementingkan kecerdasan dan
kemahiran untuk meneruskan hidup dengan bekerja yang bersesuaian dengan
kemahiran yang dimiliki. Falsafah pendidikan masyarakat tradisional lebih
cenderung kepada aspek-aspek kerohanian, akhlak dan moral. Hal dibuktikan
berdasarkan penubuhan sekolah-sekolah pondok dan madrasah yang memberi
pengajaran dan pembelajaran seperti membaca al-Quran dan tajwid, Tafsir
al-Quran, Hadis, Fiqah dan Tauhid (Awang Had Salleh, 1980).
Pada zaman penjajahan falsafah pendidikan lebih tertumpu
kepada menjaga kepentingan British di Tanah Melayu. Era ini telah memaparkan
pendidikan yang diperkenalkan oleh penjajah telah melebarkan jurang pendidikan,
perpaduan dan integrasi antara kaum. Sistem ini mengakibatkan masyarakat Melayu
terus berada di Kampung, Cina menguasai bandar dan India akan bermastautin di
ladang-ladang. Pendidikan yang diperkenalkan adalah bertujuan untuk mengelakkan
peningkatan taraf hidup masyarakat pribumi. Pihak penjajah memperkenalkan
pendidikan bebas untuk mengelakkan berlakunya penentangan dalam masyarakat
pribumi.
Pada era selepas kemerdekaan, Falsafah Pendidikan Negara
(FPN) diperkenalkan yang menekankan bahawa pendidikan di Malaysia adalah suatu
usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari
segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan
kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu
pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan
mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran masyarakat dan negara.
Di samping itu, FPN merupakan roh, nadi dan
penjana kepada keutuhan sistem dan dasar pendidikan negara. FPN merupakan
perkara penting untuk dijana demi memastikan generasi pelapis yang merupakan
aset terpenting negara di masa hadapan mampu untuk berperanan di tengah-tengah
gelombang kemodenan dan arus globalisasi yang kian mencabar. Pembentukan
masyarakat madani yang diimpikan memerlukan percambahan dan pemupukan
nilai-nilai agama, moral dan etika. Kesemua elemen-elemen tersebut penting agar
segala cita-cita murni yang sering dicanangkan benar-benar dapat direalisasikan
ke arah mencapai wawasan negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020.
Jelaslah disini menunjukkan bahawa terdapat perbandingan yang nyata antara
falsafah pendidikan negara sebelum dan selepas kemerdekaan.
4.2 Kesan
dari aspek dasar pendidikan
Dasar membawa maksud bahagian yang terpenting, asas atau
pokok sesuatu perkara (Kamus Dewan Edisi Ketiga, 2002). Dasar pendidikan di
negara kita mempunyai perbandingan yang ketara antara sebelum dan selepas
merdeka. Pada era penjajahan, pihak kolonial Inggeris telah memperkenalkan
dasar pendidikannya tersendiri. Antaranya ialah dasar penyekatan yang bersifat
menghalang kemajuan orang Melayu. Pihak Inggeris lebih cenderung untuk
memastikan masyarakat Melayu kekal sebagai petani, nelayan dan memuliakan kerja
buruh (Awang Had Salleh, 1974). Menurut Sufean Hussin (1996) dasar sekatan ini
bertujuan untuk mengongkong dan membendung pemikiran tradisional serta primitif
atau kekampungan orang-orang Melayu. Hal ini menyebabkan pembelajaran di
sekolah vernakular Melayu adalah sekadar membasmi buta huruf pada tahap
minimum. Kesan langsung dari dasar ini mewujudkan satu fenomena status dalam
pendidikan yang menyebabkan golongan yang mampu akan mendapatkan pendidikan dan
masyarakat bawahan terus disisihkan kerana dasar yang diperkenalkan tidak
menyedarkan masyarakat tentang kepentingan pendidikan.
Kesedaran yang tinggi terhadap sistem pendidikan kolonial
yang ditinggalkan penjajah mendorong kerajaan merangka dasar pendidikan yang
lebih baik untuk menyelesaikan ketidakseimbangan dalam pendidikan antara kaum
di Malaysia. Langkah utama yang dilakukan oleh kerajaan Perikatan selepas
merdeka ialah membetulkan dan menyusun semula sistem pendidikan yang diwarisi
dari penjajah. Dasar yang dirangka diperkukuhkan oleh perlembagaan dan
undang-undang untuk memastikan setiap dasar yang dilaksanakan berkesan dan berjaya.
Antara dasar yang dirangka ialah Dasar Pendidikan
Kebangsaan yang berfokuskan kepada satu sistem pelajaran yang dapat memenuhi
keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan
politik. Selain itu, dasar kesejagatan dan penyeragaman yang berfungsi untuk
menggunakan satu sukatan pelajaran dan peperiksaan yang sama untuk kepelbagaian
etnik, bahasa, budaya, agama dan latar belakang geografi. Salah satu tindakan
yang diambil untuk memperkasakan dasar ini adalah melalui pelaksanaan Bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar agar memudahkan perhubungan antara masyarakat.
Justeru, bagi memantapkan lagi sistem pendidikan yang
sedia ada dasar demokrasi diperkenalkan. Dasar ini bertujuan untuk
mengembangkan potensi individu itu sendiri dengan memberi keutamaan kepada
pelajar yang mempunyai kemajuan tanpa mengira latar belakang, agama, bangsa dan
bahasa. Jelaslah bahawa terdapat perbezaan dalam usaha pembangunan insan dan negara
dari aspek dasar pendidikan di Malaysia sebelum dan selepas kemerdekaan.
4.3 Kesan
dari aspek pembentukan perpaduan
Perpaduan merupakan elemen penting dalam pembentukan
sebuah masyarakat yang pelbagai kaum di Malaysia. Jika diperhatikan
perbandingan yang jelas wujud dalam sistem pendidikan sebelum dan selepas
kemerdekaan dalam pembentukan perpaduan etnik yang pelbagai iaitu Melayu, Cina
dan India. Masyarakat majmuk di negara ini mampu merencatkan perpaduan jika
tidak ditangani dengan betul dan berhemah. Menurut Sanusi Osman (1985) masalah
sebenar yang kita hadapi bukan berpunca daripada berbagai kumpulan etnik yang
ada di negara ini, tetapi yang lebih penting ialah perasaan perkauman dalam
kalangan rakyat di negara ini terlalu dibesar-besarkan.
Sejarah telah membuktikan sebelum mencapai kemerdekaan
perpaduan sukar dicapai kerana dasar pendidikan penjajah yang berbeza untuk
setiap kaum di Malaysia pada ketika itu. Setiap bangsa dibahagikan kepada
kurikulum pendidikan yang berbeza. Melayu diajarkan teknik penternakan dan
pertanian di samping membaca, mengira dan menulis. Kaum Cina mengambil sistem
kurikulum dan guru dari negara China manakala kaum India, kurikulum mereka
berdasarkan Kod Buruh. Pendidikan bersifat bebas yang diperkenalkan oleh
British menyebabkan perpaduan sukar dicapai. Dasar pecah dan perintah yang
diperkenalkan oleh British juga melebarkan lagi jurang perpaduan antara
masyarakat dan akhirnya membawa kepada tradegi hitam dalam sejarah negara iaitu
rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Apabila Malaysia mencapai kemerdekaan kerajaan telah
merangka beberapa pelan dasar pendidikan untuk mewujudkan perpaduan dalam
kalangan rakyat yang berbilang kaum di Malaysia. Kesedaran terhadap tragedi
rusuhan kaum yang mampu membantutkan perpaduan, maka DEB telah diperkenalkan
untuk merapatkan jurang sosio-ekonomi masyarakat. Selain itu, kerajaan telah menggubal Akta Pelajaran 1961 yang
menggariskan Bahasa Melayu sebagai pengantar utama pada semua peringkat
pendidikan serta penggunaan kurikulum dan peperiksaan yang sama untuk semua
pelajar. Di samping itu, dasar pendemokrasian pendidikan dilaksanakan pada
tahun 1962 dengan memberi pendidikan percuma untuk semua pelajar. Dasar ini
diperluas dengan perubahan dasar untuk melanjutkan pendidikan universal dari 9
tahun kepada 11 tahun pada tahun1992. Kesamarataan dan peluang pendidikan
kepada semua masyarakat yang diperkenalkan oleh kerajaan mampu membentuk
perpaduan yang utuh. Hal ini berdasarkan pendapat Azyumardi Azra (2006) yang
menyatakan bahawa pendidikan yang tidak seimbang dan tidak memberi peluang
kepada semua masyarakat untuk menonjolkan kebolehan harus dilenyapkan kerana
pendidikan seperti ini gagal dalam menjalankan fungsinya untuk menyatupadukan
rakyat. Jelaslah bahawa usaha dan tujuan pendidikan kita dalam membentuk
perpaduan kaum mempunyai perbezaan mengikut zaman dari dahulu hingga kini.
4.4 Kesan
dari aspek pembangunan modal insan
Pembangunaan modal insan merupakan salah satu matlamat
utama dalam pendidikan. Menurut Becker (1987), modal insan ialah yang berkaitan
dengan pengetahuan, maklumat, idea-idea, kemahiran dan tahap kesihatan yang
dimiliki oleh individu dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Persoalannya,
sejauh manakah pendidikan sebelum dan selepas kemerdekaan memberi implikasi
terhadap pembangunan modal insan? Pada peringkat awal, sistem pendidikan di
negara kita hanya berteraskan pendidikan oleh ibu bapa dan ahli keluarga. Sistem
ini berdasarkan konsep warisan. Ibu bapa akan mengajar segala kemahiran yang
dimiliki kepada anak-anak. Oleh itu, modal insan yang dilahirkan hanya
mempunyai kemahiran yang diberikan oleh ibu bapa mereka. Masyarakat tradisional
ini juga menerapkan pendidikan agama dan menghantar anak-anak mereka ke sekolah
pondok dan madrasah. Kesedaran ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud:
“Sebenarnya mereka yang menaruh bimbang dan takut
(melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang
yang berilmu”. (Surah Fatir, 28)
Pendidikan semasa era penjajahan dilihat kurang
signifikan dalam membangunkan modal insan. Hal ini disebabkan hala tuju dan
falsafah pendidikan Inggeris tidak memberi peluang kepada masyarakat Melayu
khususnya untuk mengembangkan bakat dan kebolehan. Selain itu, jenis pendidikan
yang bersifat bebas menyebabkan terdapat perbezaan jurang dalam pendidikan yang
akhirnya membantutkan pembangunan modal insan.
Perbandingan yang jelas dapat dilihat pada zaman
pascamerdeka. Usaha dalam membangunkan insan dan negara pada ketika ini lebih
bercorak untuk membangunkan modal insan. Hal ini selaras dengan ucapan YAB
Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sempena Hari Pekerja (2000) menyeru rakyat
berganding bahu agar pendidikan negara mampu melahirkan modal insan yang kekal
relevan dengan kehendak industri dan pasaran semasa serta mampu bersaing di
peringkat antarabangsa. Antara usaha-usaha yang berjaya melahirkan modal insan
adalah penubuhan universiti.Tujuan penubuhan universiti ini adalah untuk
memberi sumbangan kepada negara mengeluarkan tenaga terlatih dalam beberapa
bidang yang relevan, khususnya bagi pembangunan modal insan yang mampu memberi
sumbangan kepada masyarakat.
Di samping itu, kerajaan juga memperkenalkan j-QAF
untuk memastikan pelajar mempunyai kemahiran dalam tulisan jawi, Al-Quran,
Bahasa Arab dan Fardhu Ain untuk melahirkan insan yang cemelang akademik dan
sahsiah. Komitmen kerajaan untuk melahirkan modal insan terserlah melalui
pelancaran PIPP yang mengariskan pembangunan modal insan sebagai teras kedua
untuk memperkukuhkan hala tuju dan falsafah pendidikan negara.
4.5 Kesan
dari aspek membasmi kemiskinan
Pendidikan merupakan langkah yang proaktif bagi
meningkatkan taraf hidup dan membolehkan individu keluar dari kepompong
kemiskinan. Hal ini dibuktikan melalui Duke (1985), Coombs dan Manzoor (1974)
yang mengatakan bahawa cara yang terbaik bagi menyerang dan membasmi kemiskinan
ialah melalui pendidikan dan latihan. Walau bagaimanapun, pembangunan insan di
negara kita memperlihatkan perbandingan yang jelas dari aspek membasmi
kemiskinan antara sebelum dan selepas kemerdekaan.
Pada era masyarakat tradisional falsafah pendidikan yang
diterapkan tidak mampu untuk membasmi kemiskinan kerana sistem pendidikan pada
masa itu yang bersifat warisan iaitu anak-anak akan mewarisi pekerjaan ibu
bapa. Walau bagaimanapun, kehadiran pengajian agama Islam telah membuka minda
masyarakat Tanah Melayu pada masa itu tentang peri pentingnya pendidikan
seterusnya melonjakkan pembangunan insan maju selangkah ke hadapan. Namun
kekangan yang dihadapi ialah sebelum abad ke-20 masih tiada sistem dan
organisasi pendidikan berbentuk formal dan sistematik di negeri-negeri Tanah Melayu.
Perubahan sistem pendidikan yang diperkenalkan oleh
penjajah semakin memburukkan keadaan kerana falsafah pendidikannya lebih
bersifat bebas. Masyarakat Melayu khususnya masih dihimpit kemiskinan kerana
sistem pendidikan penjajah yang tidak memberi peluang kepada masyarakat Melayu
untuk menonjolkan bakat.
Menurut Sufean Hussin (1996) kegagalan pendidikan untuk
berfungsi bagi membasmi kemiskinan pada era penjajahan disebabkan kurang
kesedaran masyarakat Melayu ketika itu perihal kepentingan celik huruf dan
pendidikan disebabkan oleh dasar pendidikan penjajah. Selain itu, tiada sistem
pengangkutan yang baik dan kesempitan pemikiran orang Melayu ketika itu
menyatakan bahawa hala tuju sekolah-sekolah kerajaan adalah untuk menyebarkan
ideologi sekular yang bertentangan dengan ajaran Islam telah menghambat
perkembangan pendidikan.
Setelah mencapai kemerdekaan, ketidakseimbangan dalam
sosio-ekonomi masyarakat telah memaksa kerajaan memperkenalkan DEB sekaligus
untuk meningkatkan pendapatan Bumiputera dan membasmi kemiskinan tegar. Kebanyakan
dasar kerajaan yang diperkenalkan adalah bertujuan untuk membantu golongan
miskin. Antaranya ialah memberi pinjaman buku teks kepada pelajar berpendapatan
rendah, RMT, Akta PTPTN, pemberian one-off RM 120 kepada murid sekolah rendah
daripada keluarga miskin, pengagihan KWAPM dan Skim Baucer Tuisyen. Langkah ini
membuktikan bahawa hala tuju pendidikan pada era selepas merdeka
menitikberatkan pembasmiaan kemiskinan bagi merealisasikan matlamat kerajaan
untuk mencapai kemiskinan sifar menjelang tahun 2020.
4.6 Kesan
dari aspek pembangunan negara
Dunia telah menyaksikan dan sejarah telah membuktikan
bahawa sejak zaman awal generasi manusia, ilmu memainkan peranan penting di
dalam menentukan jatuh bangunnya sesuatu tamadun. Justeru, pendidikan mempunyai
peranan penting dalam menentukan pembangunan sesebuah negara. Hal ini
bertepatan dengan firman Allah SWT bahawa manusia dan jin tidak akan dapat
menguasai dunia dan seisinya melainkan dengan kekuasaan ilmu (Surah Ar-Rahman,
33).
Persoalannya sejauh manakah dasar dan corak pendidikan
yang diamalkan di Malaysia sama ada sebelum dan selepas kemerdekaan mampu
memainkan peranannya dalam membangunkan negara?
Sorotan sejarah telah memaparkan bahawa dasar dan corak
pendidikan pada peringkat awalnya hanya bersifat tidak formal dan tidak mampu
menjadi penggerak ke arah pembangunan negara. Namun, setelah sistem pendidikan
kolonial diperkenalkan tidak dinafikan bahawa sistem ini telah mempengaruhi
pembangunan negara yang masih dikuasai oleh penjajah pada masa itu. Hal ini
berdasarkan kepada sistem pendidikan kolonial telah mengurangkan kadar buta
huruf di tahap minimum. Pengurangan ini telah membantu membangunkan negara
kerana petani yang menerima pendidikan 4 tahun persekolahan rendah, lebih
proaktif sebanyak 20.4% daripada petani buta huruf. (Jamison dan Lan, 1982).
Dasar dan corak pendidikan pascamerdeka mempunyai
ciri-ciri unggul yang mampu untuk memartabatkan pembangunan negara. Pendidikan
pada era ini mempunyai kapasiti untuk membasmi kemiskinan melalui hala tuju dan
falsafah yang diperkenalkan oleh kerajaan iaitu menyediakan pendidikan kepada
semua anggota masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang. Selain
itu, hasil pembelajaran akan membentuk pengetahuan, kemahiran, inovasi dan nilai
yang menjadi anjakan kepada pembangunan sumber tenaga yang melonjakkan
pembangunan negara. Peningkatan pengetahuan ilmu seperti menguasai maklumat,
fakta, prinsip, konsep, kepercayaan, kebiasaan, sikap dan kemahiran mampu
dijadikan asas kukuh dalam pembangunan negara (Abdul Rahman Md. Aroff dan
Zakaria Kasa, 1994).
Apabila dasar pembangunan insan dan negara telah
diterapkan dalam sistem pendidikan, maka mampu meningkatkan kemahiran dan
mengubah nasib seseorang individu. Perubahan ini akan menjana peningkatan taraf
hidup dan sosial masyarakat. Peningkatan
ini akan memberi impak positif terhadap ekonomi negara khususnya dalam
peningkatan guna tenaga yang akhirnya meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK). Lantaran itu, sememangnya tidak dapat disangkal bahawa falsafah dan
hala tuju pendidikan yang terancang memainkan peranan penting dalam
membangunkan insan dan negara dari segi ekonomi, politik dan sosial.
5.0
Penutup
Kesimpulannya, proses pembangunan insan dan negara telah
mengalami perubahan demi perubahan mengikut zaman dalam usaha untuk
memartabatkan sistem pendidikan sebagai agen ke arah pembangunan masyarakat.
Oleh itu, pendidikan yang berorientasikan falasafah untuk melahirkan insan yang
berjiwa besar dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek akan
menentukan hala tuju pembangunan negara di masa hadapan. Justeru, di dalam
menguruskan pembangunan insan untuk membentuk masyarakat madani bagi
kelangsungan sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang, kita
seharusnya bangkit dari mimpi indah dan sedar bahawa sudah tiada masa untuk
kita terus beretorika, bertegang leher dan berkering tekak memperdebatkan
sesuatu isu tanpa pengaplikasian resolusi untuk menjadi realiti. Ingatlah,
jatuh bangunnya generasi mendatang adalah impak terbesar dari generasi yang
beraksi dimasa ini.
Akhirnya, marilah kita bersama-sama merenung firman Allah
yang bermaksud; “Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang berilmu itu pergi
semuanya (ke medan perang).Mengapa tidak pergi bagi tiap-tiap golongan di
antara mereka beberapa orang untuk mendalami pengetahuan mereka tentang agama
dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepada
mereka, supaya mereka itu mendapat memelihara diri mereka.”( Surah at-Tawbah,
122 ). Sesungguhnya pendidikan berkesan tunjang ke arah pembentukan negara
maju.
Bibliografi
Abdul Rahman Ahmad, 2006. Pembangunan Modal Insan: Apa
dan Kenapa Perlu Dalam Konteks Organisasi di Malaysia. Kuala Lumpur, Penerbit
Human Resources Academy.
Abdul Rahman Aroff dan Zakaria Kasa, 1994.Falsafah dan
Konsep Pendidikan. Selangor, Penerbit Fajar Bakti.
Adnan Haji Awang (Penyunting), 1985.Pendidikan dan
Kewarganegaraan di Malaysia. Kuala Lumpur, Gabungan Pelajar-pelajar Melayu
Semenanjung.
Al-Quran dan Terjemaahan, 2005. Bandung, Penerbit
Diponegoro.
Azyumardi Azra, 2006. Paradigma Baru Pendidikan Nasional.
Jakarta, Penerbit Buku Kompas.
Awang Had Salleh, 1980. Pendidikan ke Arah Perpaduan:
Sebuah Perspektif Sejarah. Kuala Lumpur, Penerbit Fajar Bakti.
Hasan Langgulung, 1995. Manusia dan Pendidikan: Suatu
Analisa Psikologi dan Pendidikan. Jakarta, Penerbit PT. Al Husna Zikra.
http://www.moe.gov.my.
http://www.scribd.com.
Kamarudin Kachar, 1989. Perkembangan Pendidikan di
Malaysia. Kuala Lumpur, Penerbit Teks Publishing sdn.Bhd.
Kamus Dewan Edisi Ketiga, 2002. Kuala Lumpur, Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Mohd.Kamal Hassan, 1988. Pendidikan dan Pembangunan: Satu
Perspektif Bersepadu. Kuala Lumpur, Penerbit Nurin Enterprise.
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, 2006-2010. Kuala
Lumpur, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sufean Hussin, 1996. Pendidikan di Malaysia: Sejarah,
Sistem dan Falsafah. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.