Isnin, Julai 22, 2013

Islam Liberal.

ISLAM LIBERAL

PENGENALAN
                                                                                                                                                                    Manusia di akhir zaman ini, khususnya umat Islam  sedang    dilanda dengan berbagai fenomena dan ujian dari Allah SWT.  Sama ada dari aspek politik, ekonomi, sosial mau pun akhlak dan akidah. Permasalahan ini makin parah apabila umat Islam sendiri membiarkan diri mereka dipermain dan diperkotak-katikkan oleh bangsa atau penganut agama lain.  Meraka amat mudah terpengaruh dengan ideologi atau fahaman yang dibawa golongan orientalis yang berniat jahat untuk memesong dan merosakkan akidah mereka. Antaranya  yang begitu menonjol ialah fahaman pluralisme, sekularisme dan juga liberalisme. Namun, penulisan ini hanya akan membincangkan gangguan atau krisis yang sedang melanda umat Islam di Malaysia khususnya dan nusantara amnya dari sudut aliran pemikiran Islam Liberal.                                                                                      
 PENGERTIAN


Sebelum kita membahaskan dengan lebih terperinci masalah Islam Liberal ini, eloklah terlebih dahulu kita memahami dan mengetahui dengan lebih mendalam akan maksud dan pengertian Islam Liberal itu sendiri. Islam Liberal adalah satu fahaman sesat yang berpunca dari sifat tidak yakin diri, merasa rendah diri (inferiority complex) dan mengagung-agungkan gaya pemikiran Barat oleh segolongan orang Islam.

Menurut Kamus Dewan (DBP. Kuala Lumpur 1994), perkataan Liberal didefinisikan sebagai:

1. (bersifat) condong kepada kebebasan dan pemerintahan yang demokratik (misalnya menentang hak-hak keistimewaan kaum bangsawan), (fahaman) bebas.

2. bersifat atau berpandangan bebas, berpandangan terbuka (tidak terkongkong kepada sesuatu aliran pemikiran dan sebagainya).”

Ini bermakna, golongan yang mengaku menganut fahaman Islam Liberal, adalah golongan yang tidak terikat dengan mana-mana pandangan dan pendapat serta aliran pemikiran. Mereka ini juga akan mempraktikkan Islam itu dengan pandangan dan pendapat serta pemikiran yang terbuka dengan tidak merujuk kepada mana-mana ulama. Secara ringkasnya juga golongan ini boleh disebut sebagai golongan yang bersifat bebas dalam apa juga hal dalam Islam.

Menurut Charles Kurtzman pula, Islam liberal merujuk kepada pentafsiran Islam yang lebih terbuka terhadap idea-idea demokrasi, pengasingan agama daripada politik, hak-hak wanita, kebebasan berfikir dan kemajuan manusia (human progress). Pentafsiran ini, menurut Kurzman, adalah selari dengan faham liberalisme dan gerakan liberal dalam budaya dan agama lain.

Kurzman mengenal pasti tiga aliran Islam liberal iaitu (i) syaria’h liberal (liberal shariah); (ii) syari’ah diam (silent shari’ah); dan (iii) syariah yang ditafsirkan (interpreted  shari’ah). Aliran syari’ah liberal mengandaikan bahawa wahyu dan amalan Nabi Muhammad s.a.w. mengandungi  perintah-perintah yang mengkehendaki kaum Muslimin supaya mengambil sikap yang liberal dalam amalan dan fahaman agama. Ali Bula umpamanya memetik Ayat 6 Surah al-Kāfirūn yang bermaksud "kepada kamu agama kaum dan kepada ku agama ku” untuk menyokong pandangan ini. Beliau menyifatkan Perlembagaan Madinah yang menyediakan satu formula kehidupan bersama bagi masyarakat berlainan agama sebagai satu dokumen liberal.
                                                                                                                                                                   SEJARAH DAN ASAL-USUL ISLAM LIBERAL


Istilah “Islam Liberal” pertama kali digunakan oleh para penulis Barat seperti Leonard Binder dan Charles Kurzman. Namun dalam konteks Indonesia ada buku khusus yang ditulis oleh Greg Barton pada tahun 1995 mengenai kemunculan pemikiran liberal di kalangan pemikir Indonesia. Buku ini kemudiannya diterjemahkan dalam bahasa Indonesia dengan tajuk “Gagasan Islam Liberal di Indonesia: Pemikiran Neomodernisme Nurcholis Madjid, Djohan Effendi, Ahmad Wahib, dan Abdurrahman Wahid”, yang diterbitkan atas kerjasama Paramadina, Yayasan Adikarya Ikapi, dan Ford Foundation pada tahun 1999. 
                
Pemikiran Islam liberal, yang biasa disingkatkan sebagai ‘Islib’, kemudian dipopularkan oleh satu kumpulan para pemuda dengan menubuhkan satu rangkaian  kerjasama di dalam dan di luar negara, yang mereka namakan sebagai ‘Jaringan Islam Liberal’(JIL).[1]

Secara umumnya golongan ini muncul hasil dari jangkamasa penjajahan yang lama daripada pihak Barat ke atas umat Islam. Penjajahan yang lama ini telah mempengaruhi psikologi umat Islam amnya. Terdapat dua fenomena psikologi yang mempengaruhi umat Islam ketika jangkamasa kemunduran dan penjajahan.

Pertama adalah fenomena ‘penjajahan’ oleh negara-negara Barat ke atas hampir seluruh negara umat Islam. Kedua adalah fenomena ‘ketinggalan’ dari sudut sains dan teknologi di belakang kebanyakan negara-negara Barat. Apabila berhadapan dengan dua fenomena di atas, sikap umat Islam boleh dibahagikan kepada empat:

Pertama adalah mereka yang merasa putus asa secara keseluruhan dan duduk diam menerimanya sebagai satu ketentuan yang sememangnya merendah dan memundurkan mereka.

Kedua adalah mereka berpendapat agama adalah faktor penghalang bagi mencapai kekuatan dan kemajuan. Justeru untuk menjadi umat yang berkuasa dan maju, Islam perlu dipisahkan daripada kehidupan harian. Formula pemisahan ini yang digelar sekularisme terbukti berkesan mengingatkan bahawa semua negara Barat yang berkuasa lagi maju mempraktikkannya.

Ketiga adalah mereka yang juga berpendapat bahawa agama adalah faktor penghalang bagi mencapai kekuatan dan kemajuan. Namun untuk menyelesaikan faktor penghalang ini, mereka berpendapat caranya ialah membuka dan membebaskan agama daripada ajaran dan tafsirannya yang sekian lama telah menjadi pegangan umat. Kelemahan dan kemunduran umat Islam dianggap berpunca daripada belenggu kejumudan umat dalam menafsir dan mempraktikkan agama Islam. Kumpulan ketiga inilah yang digelar sebagai aliran Islam Liberal.

Keempat  adalah mereka yang mengakui akan hakikat kelemahan dan kemunduran yang dialami umat. Namun hakikat ini tidak mereka persalahkan kepada agama atau selainnya kecuali terhadap diri mereka sendiri dan umat Islam seluruhnya yang telah leka daripada berpegang dan mempraktikkan ajaran Islam yang sebenar. Oleh itu untuk kembali kuat dan maju, umat Islam perlu mempelajari, memahami dan mempraktikkan semula secara sepenuhnya ajaran Islam yang asli lagi tulen.

Formula ‘Islam Sekular’ atau ‘Islam Liberal’ tidak menjadi pilihan kelompok keempat ini kerana ia bukan cara untuk mencapai kekuatan dan kejayaan yang sebenarnya. Kekuatan dan kejayaan yang sebenar hendaklah diukur dengan neraca wahyu Illahi yakni Islam yang berteraskan al-Qur’an dan al-Sunnah, bukan neraca peradaban Barat yang berteraskan materialisme dan hawa nafsu. Golongan keempat inilah yang benar. Insya-Allah dengan kesungguhan mereka, kekuatan dan kejayaan akan kembali ke tangan umat Islam.

Yang paling menjauhi kebenaran adalah kelompok ketiga, iaitu kelompok Islam Liberal. Secara lebih terperinci, kelompok Islam Liberal adalah aliran yang muncul kerana kesan psikologi kekerdilan diri (inferiority complex) yang dihadapi oleh sebahagian umat Islam hasil penjajahan dan kemunduran yang dihadapi oleh mereka. Kesan kekerdilan ini diburukkan lagi dengan sikap terngiur dan menyembah kepada negara-negara Barat yang menjajah sehingga menyebabkan mereka sendiri terasa hina, diperbudak dan hilang kejatian serta kebanggaan diri. Semua ini menghasilkan satu rumusan bahawa untuk mencapai kekuatan dan kemajuan, caranya adalah meniru segala formula peradaban yang dipraktikkan oleh negara Barat. Rumusan ini tidak akan berjaya selagi mana tidak dibuka dan dibebaskan tafsiran Islam daripada kejumudan pegangan umat selama ini.

Kenapa golongan ini paling berbahaya? Berbanding kelompok kedua,golongan ini bagaikan parasit yang memusnahkan Islam dari dalam. Kelompok kedua iaitu golongan sekular tidak menyentuh ajaran agama sebaliknya cuba memisahkan pengaruh agama ke dalam politik atau pun urusan kehidupan dunia mereka. Apabila mereka memerlukan kehidupan ritual, spiritual mahu pun pandangan agama barulah mereka merujuk kembali kepada agama itu tanpa mengganggu hukum-hakam apatah lagi mengubah syariat agama. Tetapi jika terdapat hukum agama yang mengganggu kehidupan sekular mereka, mereka akan tolak. Jadi golongan sekular akan mengambil mana-mana hukum agama yang sesuai dengan selera mereka dan membuang mana-mana yang tidak sesuai pada pandangan mereka.

Namun golongan Islam Liberal yang rata-ratanya terdiri dari lulusan agama, pengamal undang-undang dan cendekiawan ini cuba mengubah konsep di dalam ajaran Islam itu sendiri. Mereka bagaikan ‘mengedit’ syariat Islam di sana-sini sesuka hati berdasarkan hujah-hujah mereka yang terhasil dari gabungan fahaman sekular dan Darwinisme yang berdasarkan logik akal semata. Golongan ini akan berusaha menghapuskan unsur-unsur bersifat ritual (tawaf, solat, mencium batu Hajar Aswad) dan mistik (ghaib-seperti syurga dan neraka, azab kubur dll) dalam Islam malah mengatakan itu semua karut dan tahyul serta menjadi penyebab fikiran menjadi jumud dan mundur, padahal pada masa yang sama mereka menghormati unsur-unsur ritual agama lain seperti Hindu dan Buddha. Mereka lama kelamaan seolah-olah bersikap atheis apabila hanya mengambil bahagian-bahagian yang pada mereka sesuai dengan pandangan sekular Barat dan kehidupan moden hari ini. Unsur-unsur mistik seperti Tuhan, syurga dan neraka, azab kubur, padang mahsyar, kiamat dan lain-lain akhirnya dikatakan sekadar simbolik sahaja.

Secara ringkas Islam liberal adalah satu bentuk pemikiran Jahiliah baru moden yang dianuti oeh sebahagian cerdik pandai Muslim hari ini khususnya yang berlatarbelakangkan pendidikan Barat yang cuba membebaskan diri daripada disiplin ilmu agama yang digagaskan oleh ulamak. Pemikiran ini berasal dari ideologi sekular-liberal yang lahir di Barat. Pada hakikatnya pendokong pemikiran Islam Liberal bermatlamat menimbulkan keraguan terhadap kebenaran agama Islam dalam kalangan penganut-penganutnya. Gerakan pemikiran ini semakin membiak sehingga berjaya mempengaruhi para cerdik pandai, ulama dan pemimpin-pemimpin Negara Islam.

Memang terlihat jelas bahawa pemikiran-pemikiran liberal yang dilontarkan oleh golongan ini merupakan penyerapan dan pengaruh dari isu-isu pemikiran yang berkembang di dunia Barat. Proses pembaratan dan globalisasi budaya yang berjalan selama ini telah melahirkan golongan pemikir yang merasa selesa dengan pemikiran agama seperti yang terjadi di Barat. Islam Liberal kini menjadi satu lagi jentera globalisasi, bukan dalam bidang ekonomi, tetapi sebaliknya dalam bidang agama. Seperti juga nasib yang menimpa agama-agama di Barat, Islam Liberal hendak menjadikan Islam sama seperti Kristian atau Faham Yahudi di Barat yang tunduk dengan kehidupan duniawi, dengan cara membebaskan umat Islam dari ajaran-ajaran Islam yang tulin menerusi tafsiran atau perubahan ajaran Islam itu sendiri sehingga sesuai dengan selera dan agenda Barat. Hal ini bersesuaian dengan motto dan syiar Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia iaitu “Islam Yang Membebaskan.” Pembebasan yang pertama, seperti yang terjadi di dunia Barat, adalah menerusi proses sekularisasi dan sekularisme yang bertujuan membebaskan umat manusia dari pengaruh-pengaruh alam rohani.

BENTUK FAHAMAN DAN PEMIKIRAN ISLAM LIBERAL

Golongan Islam Liberal  ini mempunyai berbagai-bagai fahaman dan pemikiran yang menjadi dasar kepada perjuangan golongan tersebut yang mana ianya juga turut disebarkan kepada masyarakat dengan tujuan mempengaruhi masyarakat supaya sama-sama membela dan mendokongi perjuangan golongan tersebut. Kesan dan keburukan yang lahir daripada pemahaman dan pemikiran golongan tersebut amatlah merbahaya dan boleh merosakkan aqidah umat Islam. Ini kerana pola pemikiran dan fahaman mereka telah pun jelas menyimpang dari landasan Islam yang sebenar.

Antara ajaran dan pemikiran songsang yang dipelopori oleh golongan mereka ini ialah :

Sekularisasi dan Sekularisme

Sejarah telah mencatatkan bahawa sekularisme barat menyerang dunia Islam dari berbagai-bagai sudut kehidupan. Mereka memasukkan fahaman-fahaman yang bercanggah dengan Islam atas nama kemodenan dan perkembangan atau peredaran zaman. Golongan ini menamakan diri mereka sebagai Mustacmir [2]. Penjajahan / pemakmuran ( Isticmar [3] ) adalah strategi yang paling disukai oleh golongan sekularisme barat , kerana dengannya mereka boleh membawa masuk segala macam bentuk ideologi-ideologi kotor yang digunakan untuk meracuni pemikiran dan perlakuan umat manusia terutama golongan muda. Sekularisme barat menjajah negara-negara umat Islam di seluruh dunia dengan begitu meluas sekali. Ia mencengkam dan mempengaruhi serta menguasai negara-negara umat Islam semenjak pertengahan kurun ke-19 sehinggalah ke awal kurun ke-20.

Golongan Islam Liberal ini adalah golongan yang ingin mengembangkan fahaman sekularisme barat ke dalam kehidupan masyarakat Islam yang mana bagi golongan ini fahaman tersebut adalah fahaman ‘bebas’ yang tidak menyekat dan mengongkong kebebasan umat Islam untuk melakukan apa sahaja sehingga sanggup mempertikaikan hukum Allah swt dan perintah Rasul-Nya.

Sekularisme sebenarnya adalah musuh Islam dan proses sekularisasi memang ditujukan untuk melawan Islam. Oleh sebab itu istilah-istilah seperti sekularisme, sekularisasi, dan sekular itu sendiri tidak boleh dihubungkaitkan dengan Islam. Bahkan terjemahan perkataan sekularisme dalam bahasa Arab seperti ‘ilmaniyyah’ atau ‘almaniyyah’ adalah tidak tepat sama sekali, karena tidak ada padanannya dalam konsep  Islam. Begitu juga pemikir Islam yang lain seperti Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi, menyatakan pendapat yang sama bahawa sekularisme dan sekularisasi itu bercanggah dengan Islam dan akan sentiasa berkonfrantasi dengan Islam, seperti dinyatakan dalam buku beliau “al-Islam wa al-’Ilmaniyyah Wajhan li Wajhin” [4]. Kita mesti terus menerus mengawasi, waspada dan peka terhadap perjuangan kelompok Islam Liberal yang terang-terangan hendak membentuk negara sekular yang tidak akan memberi ruang kepada Islam yang syamil dan kamil.

Pluralisme Agama

Yang dimaksudkan dengan pluralisme agama adalah faham yang menyamakan semua agama.  Faham ini lahir sebagai akibat sekularisme and proses sekularisasi masyarakat Barat. Secara ringkasnya terdapat empat aliran pemikiran pluralisme agama yang berkembang sekarang ini: (1) Civil Religion; (2) Global Theology;       (3) Transcendent Unity of Religions; dan (4) Syncretism. Dua yang pertama lahir di Barat akibat faham sekularisme, dan dua yang terakhir merupakan reaksi terhadap sekularisme.  Di Indonesia nampaknya aliran Transcendent Unity of Religions (TUR) mendapat sambutan dari tokoh-tokoh pemikir Islam Liberal. [5]

Dalam konteks Negara kita Malaysia , golongan yang ingin menyamakan semua fahaman agama dalam satu platform atau wadah ialah rancangan pembentukan dan penubuhan Interfaith Relegions atau lebih dikenali dengan nama IFC. Daripada apa yang berlaku jelas menunjukkan bahawa kedua-dua pertubuhan tersebut ada persamaan dari segi perjuangan dan konsep pemikiran mereka. Ini kerana IFC secara terang-terangan mendokongi fahaman pluralisme agama yang dicanang oleh golongan Islam Liberal ini. Ia juga dibuktikan dengan beberapa tuntutan yang dikeluarkan oleh golongan IFC ini.

Semua tuntutan golongan ini tanpa segan silu lagi jelas menyerang prinsip-prinsip Islam sebagai agama rasmi yang dilindungi oleh perlembagaan Malaysia. Mari kita perhatikan tuntutan-tuntutan golongan ini: [6]

1. Seorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa Islam tidak mengharuskan secara terus            menjadi orang Islam.

2. Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada asal agama mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

3. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah Syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah civil.

4. Tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam.

5. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.

6. Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak.

7. Orang-orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.

8. Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadah orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid.

9. Orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.

10. Bible dalam bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka.

11. Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah.

12. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda suatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing.

13. Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang-orang bukan Islam.

14. Sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.

Tuntutan-tuntutan di atas sebahagian besarnya bercanggah dengan ajaran Islam dan kepentingan umat Islam di Malaysia. Bukankan aneh apabila ada orang Islam atau kumpulan Islam yang mendokongnya? Namun kenyataannya ada kumpulan yang menamakan diri mreka “Sisters In Islam” (SIS) menyetujui dan menyokong IFC. Itulah realiti pemikiran Islam Liberal; orang-orang Islam sendiri yang secara zahirnya tidak mahu dikatakan bukan Islam, tetapi batinnya tidak mahu tunduk dan patuh pada ajaran-ajaran Islam, atau seperti ungkapan Pak Rasjidi, orang Islam “yang tidak mempunyai hubungan batin dengan Islam.”[7]

Idea dan gerakan modenisme.

Gerakan modenisme ini adalah satu idea bagaimana untuk menjadikan masyarakat itu tidak terkongkong dengan adat resam dan tradisi yang sempit yang dianggap sebagai penghalang kepada budaya kemajuan dan kebebasan. Golongan Islam Liberal adalah golongan yang bertanggungjawab memainkan peranan dalam menyebarkan ajaran dan idea gerakan modenisme ini. Bagi mereka, untuk mengecapi kemajuan hidup , masyarakat perlu membebaskan diri mereka dari kongkongan tradisi.

Gerakan modenisme ini sepanjang sejarahnya telah berjaya merombak sistem tradisi masyarakat Barat dalam segenap aspek kehidupannya meliputi bidang pemerintahan, keilmuan, perundanngan, seni, hiburan dan tatacara moral. Menerusi faham sekularisme, gerakan modenisme menentukan tafsiran baru terhadap dimensi-dimensi ini menerusi kerangka rasionalisme. Peranan ajaran agama tidak lagi menjadi faktor penentu terhadap makna sesuatu kebenaran.

Aliran ini kini bertapak kukuh tidak sahaja dalam konteks masyarakat Barat malah juga di kalangan masyarakat Timur.  Ia telah dikembangkan oleh penjajah-penjajah menerusi sistem pendidikan yang ditubuhkan di tanah-tanah jajahan. Aliran modenisme ini juga berkembang menerusi intekasi kebudayaan terutama apabila negara–negara bekas jajahan – setelah memperoleh kemerdekaan, telah menghantar sejumlah besar anak warganya ke negara Barat bagi mendapatkan latihan dan pendidikan.

Di negara ini secara khusus tidak terkecuali dari mendapat pengaruh aliran modenisme ini. Salah satu dari kesan pengaruh modenisme ialah perspektif dan kefahaman terhadap agama Islam.  Perspektif ini pada hari ini dikenali sebagai `Islam liberal’ di mana pandangan atau tasawwurnya terhadap agama bercorak liberal atau tidak terikat dengan dasar-dasar tradisi yang diamalkan atau dianuti oleh masyarakat terbanyak. Ini dapat dilihat menerusi beberapa isu agama yang sedang rancak dibahaskan semenjak akhir-akhir ini yang meliputi perundangan, gender, poligami dan amalan sosial agama seperti aurat.[8]

Gerakan Feminisme

Gerakan feminisme Barat yang bertujuan mewujudkan persamaan lelaki dan perempuan (gender equality), juga telah mempengaruhi pemikiran Islam liberal. Feminisme ala Islam LIiberal biasanya menuntut persamaan hukum-hakam syariah antara lelaki dan wanita. Perbezaan hukum syara’ antara wanita dan lelaki Islam dianggap tidak adil oleh golongan ini.

Golongan ini menganggap bahawa dalam Islam, wanita dan lelaki itu adalah dicipta dari kejadian yang satu. Maka apa sahaja hak yang menjadi hak lelaki , mestilah juga menjadi hak kepada wanita. Sebarang perbezaan yang berlaku di antara lelaki dan wanita mestilah dihapuskan kerana bagi mereka ianya bersifat diskriminasi dan menindas kaum wanita.

Bibit-bibit feminisme sebagaimana yang dimaklumi , sudah mulai muncul di Malaysia. Kewujudan kumpulan Sisters In Islam (SIS) yang dahulunya didirikan oleh Amina Wadud kini mulai mempengaruhi anak-anak perempuan tokoh-tokoh negarawan Malaysia. BBC News (On Line) 11hb Mac 2006 misalnya telah menyiarkan kenyataan Marina Mahathir yang konon ‘di Malaysia wanita Muslim menjadi mangsa ‘apartheid’. Kata Marina, “We should also note that only in Malaysia are Muslim women regressing; in every other Muslim country in the world, women have been gaining rights, not losing them” seperti yang dipetik BBC. Kenyataan beliau itu sebenarnya bercanggah dengan realiti sebenar di mana wanita di Malaysia memainkan peranan yang lebih aktif dalam semua bidang kerjaya dibandingkan dengan kebanyakan wanita di negara-negara Islam lainnya.

Amina Wadud, tokoh pengasas SIS, yang belum lama ini menggemparkan dunia Islam dengan bertindak sebagai khatib dan imam solat Juma’at, masih mendapat sokongan kuat dari SIS. Laman Web SIS sehingga kini  masih lagi menyiarkan hujah-hujah yang mendokong wanita menjadi imam bagi lelaki. Selain itu kita pun tahu juga adanya hubungan komunikasi antara SIS dan JIL di Indonesia. Sebahagian mereka biasa berkunjung ke pejabat JIL di Jalan Utan Kayu, Jakarta untuk berdiskusi.[9]

Gerakan atau fahaman feminisme ini sebenarnya membawa kesan yang amat buruk terhadap institusi masyarakat. Golongan wanita yang mempunyai kerjaya yang dianggap terbaik adalah antara golongan yang amat terikut-ikut dengan pengaruh fahaman feminisme ini. Bagi mereka, tanggapan sesetengah masyarakat yang meletakkan taraf wanita hanyalah didapur adalah satu mitos dongengan lagenda orang tua-tua dahulu kala. Apa sahaja yang lelaki dapat, kaum wanita juga berhak untuk mendaptkannya,  apatah lagi jika perkara tersebut memang boleh dikecapi oleh pihak wanita.

Apa yang sangat membimbang dan menyedihkan ialah, fahaman feminisme ini bukan sahaja menganggap kesamaan taraf dari segi hak dan pemilikan antara lelaki dan wanita itu berlaku pada perkara-perkara duniawi sahaja, malah golongan ini juga menganggap bahawa segala hukum syarak dan ketetapan Ilahi juga perlu adanya persamaan hak antara lelaki dan wanita, terutama sekali dalam bab pembahagian harta pusaka dan perwarisan.  Secara tak langsung fahaman ini ada persamaannya dengan gerakan memperjuangkan hak-hak wanita yang banyak berlaku di negara-negara luar terutama sekali di Eropah. Inilah senario yang sedang hangat berlaku di Negara kita Malaysia dan juga di mana-mana sahaja Negara Islam.

KESAN DAN PENGARUH GOLONGAN ISLAM LIBERAL DALAM MASYARAKAT MALAYSIA.

Kemasukkan fahaman dan pemikiran kotor Islam Liberal ini sebenarnya membawa kesan dan pengaruh yang sangat buruk dan amat merbahaya jika ianya dibiarkan terus bertapak dan melebarkan sayapnya ke serata pelusuk negara.
Antara kesan dari Islam Liberal kepada masyarakat di Malaysia ialah:

i.        ketulinan agama Islam yang sebenar akan tercabar sehingga menjejaskan kemurnian      agama Islam.

ii.            umat Islam akan bersikap anti-Islam dan memusuhi ulama-ulamanya.

iii.           menjejaskan pembangunan ummah dan kemajuan Islam.

Langkah bagi mengatasi pemikiran Islam Liberal dari terus mempengaruhi umat Islam ialah:

i.              Memperkukuhkan ilmu, iman dan amal umat Islam.

ii.            Memberi kesedaran kepada umat Islam tentang bahaya Islam Liberal.

iii.           Memperkukuhkan dan memperkasakan institusi pendidikan Islam secara menyeluruh.

Ini adalah kerana golongan Islam Liberal ini sudah jelas akan kesesatan dan kekeliruan dari sudut fahaman dan pemikiran mereka terhadap agama Islam itu sendiri. Malah ianya akan memberikan kesan negatif terhadap kesucian dan ketulenan agama Islam. Lebih-lebih lagi jika sesuatu kenyataan itu datangnya dari seseorang yang mengaku menganut agama Islam tulen tetapi setiap butir kenyataannya tidak lain hanyalah memburuk-buruk dan merendah-rendahkan martabat Islam.

Di bawah ini disertakan sekali Kandungan Resolusi Muzakarah Ulama 2006 sebagai menyatakan bantahan terhadap golongan Islam Liberal yang semakin membimbangkan masyarakat Muslim Malaysia.

KANDUNGAN RESOLUSI MUZAKARAH ULAMA KE – 78 [10]

R E S O L U S I MUZAKARAH ULAMA 2006 SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-78 KEPUTERAAN DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN.

Tema: Pemurnian Islam daripada Liberalisme dan Pluralisme
Bismillahi ‘r-Rahmani ‘r-Rahim

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai- beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian Itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. Al-An`am: 153.

Dengan limpah rahmat petunjuk Yang Maha Esa, Muzakarah Ulama yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan dan Hotel Casuarina, Ipoh pada 14-16 Jamadil Awwal 1427H, bersamaan 11 -13 Jun 2006 telah berkesempatan meneliti, membahas dan merumuskan tiga kertas kerja di sekitar isu “Islam liberal” dan pluralisme agama.

Muzakarah telah mencapai kesepakatan menilai dan menyikapi aliran pemikiran “Islam liberal”, termasuk faham pluralisme agama (menyamakan semua agama/mengakui kebenaran semua agama) sebagai penyimpangan serius dan berbahaya. Ia adalah sebahagian daripada agenda al-ghazw al-fikriy (serangan pemikiran) yang didalangi oleh kaum orientalis dan dilatari oleh pengaruh faham asing: sekularisme modenisme dan pascamodenisme. Pemikiran liberal dan plural dalam konteks tersebut jelas menggugat pokok-pokok ajaran Islam serta mencemarkan kemurnian dan ketulenannya, termasuk :

• Mencemarkan kemurnian tauhid (teras `aqidah Islamiah).
• Menggugat kemutlakan al-Qur’an sebagai kitab suci, wahyu Ilahi (kalamu ‘LLah).
• Menggugat martabat kerasulan dan keluhuran peribadi Nabi Muhammad s.`a. w.
• Menggugat autoriti al-Sunnah dan ijma` `ulama’.
• Menggugat keunggulan syari`at dan kedaulatannya.

Berasaskan hakikat tersebut, muzakarah dengan penuh kesedaran dan keprihatinan membuat resolusi-resolusi berikut:

DASAR-DASAR KERAJAAN

1. Sesuai dengan tanggungjawab pemegang amanah hirasatu ‘d-din wa siyasatu ‘d-dunya bih (memelihara agama dan mengurus kehidupan duniawi dengannya) serta kewajipan melaksanakan perintah al-amru bi ‘l-ma`ruf dan an-nahyu `ani ‘l-munkar (memerintahkan kebaikan dan mencegah kemungkaran), maka pemerintah hendaklah membuat pendirian tegas tentang penyelewengan aliran pemikiran “Islam liberal”, termasuk faham pluralisme agama. Sehubungan dengan itu langkah-langkah seperlunya hendaklah segera diambil bagi mencegah penyebaran pemikiran tersebut, termasuk larangan pengedaran bahan-bahan bercetak atau penyiaran program-program (media elektronik) yang mempromosikan idea liberalisme dan pluralisme dalam pengertian tersebut.

2. Demi memelihara kemurnian `aqidah Islamiah, amalan berkongsi perayaan hari kebesaran keagamaan di kalangan penganut pelbagai agama hendaklah ditinjau kembali dari segi keselarasannya dengan hukum syara` kerana dikhuatiri terdapatnya unsur-unsur yang boleh membawa kepada syirik.

3. Peruntukan perlembagaan yang mencatatkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan hendaklah dipertahankan, direalisasikan dan diterjemahkan secara yang lebih nyata dan bermakna dengan mendaulatkan syari`atnya, menguatkuasakan undang-undangnya, menerapkan nilai-nilai murninya dan memperkasakan institusi-institusinya. Sehubungan dengan itu hak dan kewajipan umat Islam untuk menghayati dan mengamalkan Islam secara utuh dan murni sebagai cara hidup hendaklah sentiasa dilindungi daripada sebarang gangguan mana-mana pihak.

4. Selaras dengan semangat tersebut, pemerintah hendaklah dengan tegas dan muktamad menolak IFC ((Interfaith Commission) dan gagasan-gagasan lain sepertinya yang bermotif menggugat Islam (ajarannya, undang-undangnya dan institusi-institusinya) serta mencampuri urusan keagamaan masyarakat Islam.

5. Melihat gejala penyuburan gaya hidup sekularistik-materialistik sebagaimana yang terjelma dalam bentuk keleluasaan budaya hedonistik pesta-pestaan dan hiburan yang melampau-lampau, muzakarah ini berpendapat bahawa perkembangan tersebut akhirnya akan mengakibatkan pendangkalan agama dalam erti pemusnahan kekuatan rohaniah dan pencemaran iklim kehidupan keagamaan di kalangan rakyat. Sehubungan dengan itu muzakarah ini mendesak pemerintah segera bertindak mengawal perkembangan tersebut, terutama media massa (cetak dan elektronik) yang seharusnya berfungsi mendidik rakyat dengan nilai-nilai murni keagamaan untuk merealisasikan cita-cita pembinaan masyarakat yang religius (masyarakat yang taat beragama).

PENDIDIKAN DAN PENYELIDIKAN

6. Menyedari betapa seriusnya ancaman terhadap keutuhan dan kemurnian Islam akibat berleluasanya penyebaran faham dan aliran pemikiran yang menyeleweng seperti yang dilakukan oleh JIL (Jaringan Islam Liberal) dan sekutu-sekutunya, maka muzakarah ini mengusulkan penubuhan badan atau institusi khusus yang dianggotai oleh ulama dan ahli-ahli akademik untuk memantau dan menangani ancaman pemikiran tersebut , sebuah unit khas dengan fungsi seperti di atas perlu diwujudkan di Jabatan Mufti.

7. Berdasarkan kenyataan bahawa faham sesat yang memakai label “Islam liberal” tersebut selalu diperlihatkan sebagai wacana yang bersifat keintelektualan dan disasarkan terutamanya kepada golongan terpelajar, maka muzakarah ini menyarankan agar kursus mengenai aliran-aliran pemikiran yang menyeleweng diajarkan di institusi-institusi pengajian tinggi dengan penekanan khusus pada kritik dan sanggahan terhadap “Islam liberal” dan aliran-aliran lain sepertinya.

8. Sehubungan dengan perkara di atas, program penghantaran pelajar-pelajar bidang pengajian Islam ke institusi-institusi pengajian tinggi luar negara hendaklah dilaksanakan secara yang lebih selektif dan berhati-hati dengan mengambil kira risiko pengaruh pemikiran “Islam liberal” ke atas pelajar-pelajar berkenaan.

9. Menginsafi pengaruh aliran-aliran pemikiran yang membahayakan faham dan pegangan keagamaan di kalangan umat, muzakarah ini merasakan perlunya usaha pemantapan pendidikan `aqidah Islamiah (berasaskan faham ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah) di semua peringkat pendidikan formal dan tidak formal.

DAKWAH DAN DIALOG

10. Menyedari hakikat bahawa kegiatan jahat mencemarkan kemurnian ajaran Islam adalah bersifat global, intensif dan terancang, muzakarah ini menggesa semua pihak, institusi-institusi kerajaan, badan-badan dakwah, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik agar lebih prihatin dan berpartisipasi secara aktif, serius dan penuh komitmen dalam gerakan membasmi faham-faham perosak, dan menyedarkan umat tentang bahaya “Islam liberal” termasuk faham pluralisme agama.

11. Di samping meningkatkan usaha pemurnian Islam dengan menolak “Islam liberal” dan faham pluralisme agama, muzakarah ini ikut mendukung idea dialog antara agama dengan semangat untuk saling memahami dan saling menghormati tanpa mencairkan jati diri dan keyakinan terhadap agama masing- masing. Selain itu, pintu dialog juga seharusnya sentiasa terbuka kepada semua pihak termasuk para pendukung “Islam liberal” dan lain-lainnya.

PEMBAHARUAN, IJTIHAD DAN PERSYARATANNYA

12. Muzakarah ini juga menyepakati keperluan melakukan pembaharuan keislaman dalam erti tajdid, islah dan ijtihad. Bagaimanapun, usaha-usaha tersebut harus dilaksanakan berasaskan prinsip dan kaedah yang sah mengikut ajaran Islam. Dalam kaitan ini, muzakarah mengingatkan bahawa pembukaan pintu ijtihad tidak dengan sendirinya bererti kebebasan dan kesewenang-wenangan ber”ijtihad” tanpa tertakluk kepada sebarang syarat. Ijtihad adalah `ilmun wa amanah (ilmu dan sekaligus amanah) yang harus dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab oleh mereka yang memenuhi segala persyaratannya.

TEKAD DAN KOMITMEN MUZAKARAH

13. Menyedari berlakunya pelbagai percubaan untuk mendistorsikan hakikat Islam dan mencipta “Islam” versi liberal, muzakarah ini bertekad untuk berjuang mempertahankan dan mempromosikan Islam hakiki, tulen dan murni berdasarkan sumber asasinya, al-Qur’an dan al-Sunnah. Sehubungan dengan itu muzakarah menyeru seluruh umat untuk menentang usaha musuh-musuh Islam untuk merubah wajah dan citra Islam mengikut selera dan keinginanan mereka.

Hotel Casuarina, Ipoh, Perak Darul Ridzuan

16 Jamadil Awwal 1427H,
13 Jun 2006.


PENUTUP

Isu Islam Liberal walaupun pada mulanya muncul di Indonesia tidak mustahil mempengaruhi masyarakat Islam di Malaysia juga. Isu pluralisme agama dan feminisme nampaknya sudah mula bertapak. Walaupun Malaysia beruntung kerana undang-undang yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi, tetapi tekanan globalisasi apabila tidak ditangani secara bijaksana, boleh mengakibatkan terhakisnya fungsi undang-undang ini.

Komitmen Malaysia yang bersikap tegas terhadap pemikiran Islib perlulah dihargai. Datuk Dr. Abdullah Md. Zin semasa menjadi  Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengingatkan umat Islam di negara ini supaya tidak terpengaruh dengan fahaman Islam liberal kerana ia bertentangan dengan akidah dan syariat Islam. [11] Katanya, ini boleh dilihat melalui prinsip fahaman ini yang melihat sesuatu perkara dalam kehidupan mengikut penerimaan masyarakat semasa, mengutamakan rasional pemikiran semata-mata dan menganggap semua agama adalah sama. “Dan paling bahaya sekali ajaran ini turut disebarkan melalui serangan pemikiran yang dibuat secara halus…Malah, pengikut fahaman ini telah mewujudkan sebuah badan yang dikenali sebagai Jaringan Islam Liberal yang bertujuan untuk menyebarkan seluas-luasnya fahaman ini di samping mewujudkan rangkaian ke negara-negara lain.” 

Bagaimanapun katanya, Malaysia yang jelas termaktub Islam sebagai agama rasminya tetap akan menghalang perkembangan ini walau melalui apa cara sekali pun. “Kita akan menggunakan segala saluran secara bersepadu dan terancang bermula dari pendidikan hinggalah ke penguatkuasaan undang-undang bagi memelihara akidah umat Islam di negara ini,” tambahnya.

Mudah-mudahan Allah melindungi Indonesia dan Malaysia dari fitnah pemikiran Islam Liberal. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Sekian, Terima Kasih.


RUJUKAN

Dr Ugi Oleh Suharto (UIA) , Isu-isu sentral dalam pemikiran Islam Liberal Kes Indonesia dan Pengajarannya untuk Malaysia. Kertas Kerja ini dibentangkan dalam Seminar Ancaman Islam Liberal anjuran Kerajaan Kelantan dan Gabungan Persatuan Profesional Kelantan, di Balai Islam, Lundang, Kota Baharu, Kelantan, pada 3hb. Jun, 2006.

Dr Yusuf al-Qaradawi, al-Islam wa al-’Ilmaniyyah Wajhan li Wajhin, Get. 7, Kairo: Maktabah Wahbah, 1977.

Kamus Dewan Edisi Baru Dengan Tambahan Dan Pindaan (Cetakan Kelima) 1994. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.

Muhamad Razak Idris , Aliran Islam Liberal : Cabaran baru Umat Islam , http://www.geocities.com/ummahonline/artikel/050517razak-islamliberal.html

Secretariat ACCIN (Allied Coordinating Committee of Islamic NGO’s) yang beralamat di Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Anjung Rahmat, Batu 6, Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur; atau lihat laman www.geocities.com/bantah-ifc

Resolusi Muzakarah Ulama 2006 Sempena Ulangtahun ke-78 Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. http://mufti.perak.gov.my/isu/RESOLUSI%20MUzakarah%202006.pdf

Utusan Malaysia , 21 Mei 2005


Nota Kaki:-
[1] Dr Ugi Oleh Suharto (UIA) , Isu-isu sentral dalam pemikiran Islam Liberal : Kes Indonesia dan Pengajarannya untuk Malaysia. Kertas Kerja ini dibentangkan dalam Seminar Ancaman Islam Liberal anjuran Kerajaan Kelantan dan Gabungan Persatuan Profesional Kelantan, di Balai Islam, Lundang, Kota Baharu, Kelantan, pada 3hb. Jun, 2006.

[2] Mustacmir membawa maksud “yang memakmurkan” .Golongan ini mendakwa bahawa mereka membawa perubahan kepada bumi yang dijajah dengan cara memakmurkannya.Mereka ini membawa masuk berbagai-bagai perubahan atas nama kemakmuran.Tujuan dan strategi mereka tidak lain hanya ingin mengaburi mata dan fikiran masyarakat dengan menganggap bahawa apa yang dibawa adalah untuk kebaikan semua.Akhirnya , masyarakat mula mengagumi dan menyanjung segala budaya dan pemikiran mereka.

[3] Isticmar adalah istilah yang diguna pakai dalam bahasa arab yang digunakan bagi membawa maksud penjajahan. Sebenarnya kalau dilihat dari sudut bahasa Isticmar bererti pemakmuran.Tetapi inilah istilah yang digunakan dalam bahasa Arab yang membawa maksud tersebut bagi mengelirukan manusia.Hal ini perlu diperhatikan agar tidak timbul sebarang kekeliruan perbezaan istilah antara bahasa Arab dan bahasa Malaysia.

[4] Lihat Yusuf al-Qaradawi, al-Islam wa al-’Ilmaniyyah Wajhan li Wajhin, Get. 7, Kairo: Maktabah Wahbah, 1977.

[5] Dr Ugi Oleh Suharto (UIA) , Isu-isu sentral dalam pemikiran Islam Liberal : Kes Indonesia dan Pengajarannya untuk Malaysia.

[6] Dikeluarkan oleh Secretariat ACCIN (Allied Coordinating Committee of Islamic NGO’s) yang beralamat di Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Anjung Rahmat, Batu 6, Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur; atau lihat laman www.geocities.com/bantah-ifc

[7] Dr Ugi Oleh Suharto (UIA) , Isu-isu sentral dalam pemikiran Islam Liberal : Kes Indonesia dan Pengajarannya untuk Malaysia.

[8] Muhamad Razak Idris , Aliran Islam Liberal : Cabaran baru Umat Islam , http://www.geocities.com/ummahonline/artikel/050517razak-islamliberal.htm

[9] Dr Ugi Oleh Suharto (UIA) , Isu-isu sentral dalam pemikiran Islam Liberal : Kes Indonesia dan Pengajarannya untuk Malaysia.

[10] http://mufti.perak.gov.my/isu/RESOLUSI%20MUzakarah%202006.pdf

[11] Utusan Malaysia , 21 Mei 2005


LAMPIRAN

Aliran Pemikiran Liberal: Hukum dan Implikasinya Kepada Islam Di Malaysia
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25 -27 Julai 2006 telah membincangkan Aliran Pemikiran Liberal: Hukum dan Implikasinya Kepada Islam Di Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Gerakan Pemikiran Liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah seperti berikut:

Aspek Akidah

a. Berpegang kepada Konsep Pluralisme
Konsep pluralisme adalah menjadi pegangan utama dalam aliran pemikiran liberal. Pluralisme agama berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung.

b. Akal Manusia Adalah Wahyu
Aliran ini membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis dan wahyu yang tidak bertulis. Wahyu bertulis adalah al-Quran dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Quran berdasarkan tujuan, konteks suasana zaman.

c. Meragui Ketulinan Al-Quran
Aliran pemikiran ini mendakwa al-Quran diresapi dengan budaya Arab kerana orang Arab menjadi pemilik bahasa itu, tambahan pula katanya Nabi Muhammad yang menjadi pembawa risalah juga terdiri dari orang Arab. Mereka menyatakan bahawa kesahihan risalah tersebut tidak ada lagi kerana sebenarnya yang ada hanyalah message budaya Arab.

Aspek Syariah

a. Mempersoalkan Methodologi Pentafsiran Al-Qur’an Dan Al-Hadith
Aliran pemikiran ini mempersoalkan cara atau methodologi pentafsiran al-Quran yang digunapakai kini. Dengan slogan “membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran”, aliran pemikiran ini menggunakan pendekatan takwilan sendiri terhadap beberapa ajaran al-Quran yang jauh berbeza dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Contohnya, mereka mendakwa syurga dan neraka tidak wujud melainkan kesan psikologi kegembiraan dan kesedihan manusia. Hari akhirat ditafsirkan sebagai tidak wujud melainkan satu fasa untuk manusia mencapai satu tingkatan kepada tingkatan yang lebih matang dan sempurna.

b. Menggesa Tafsiran Baru Konsep Ibadat
Aliran pemikiran ini juga berpegang ‘membuka dan membebaskan' tafsiran al-Quran, sebagai alasan untuk memajukan umat Islam dan menganjurkan agar teks-teks al-Quran menempuh proses dekonstraksi bagi membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat.

c. Mempertikaikan Kriteria Dan Akhlak Kenabian
Aliran pemikiran ini secara sinis mengkritik sifat Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasululah s.a.w. dengan mengatakan ia tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke atas manusia lain (leadership value). Justeru sesiapapun boleh mempunyai sifat nubuwwah tersebut untuk memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang baik. Malah mukjizat seperti peristiwa Isra’ dan Mikraj dianggap sebagai bahan cerita yang sengaja diperbesarkan (exageration) oleh pengikut baginda yang taksub sedangkan ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak terjadi di alam realiti.

d. Sikap Terhadap Ilmu-Ilmu Islam
Ilmu-ilmu Islam seperti Usul al-tafsir, Usul al-Fiqh, Usul alHadith, al-Jarah wa al-Ta’dil dan sebagainya yang telah secara Ijma’ diterima sebagai metod dalam displin ilmu, telah dikritik oleh aliran pemikiran ini sebagai buatan manusia. Penentuan hukum yang telah qat’ie dan hukum yang tidak qat’ie menurut mereka perlu dinilai semula dalam usaha merealisasikan konsep membuka dan membebaskan Islam melalui tafsiran semula ajaran Islam.

e. Sikap Terhadap Hukum
Aliran pemikiran liberal ini mempunyai kaedah yang tersendiri apabila merujuk kepada hukum-hukum Fiqh iaitu mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum.

Berdasarkan kepada ciri-ciri penyelewengan tersebut, Muzakarah memutuskan bahawa Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam.