Isnin, Mei 27, 2013

PENGUKUHAN DAN KEYAKINAN AKIDAH



Pengenalan

Sebaik-baik kejadian ialah manusia. Di atas landasan itulah maka manusia telah dipilih dan dilantik untuk menjadi khalifah di muka bumi ini oleh Allah Subhanahu wa Taala. Kenapa dikatakan sebaik-baik kejadian? Kerana manusia memiliki akal yang dikurniakan oleh Allah SWT. Dengan akallah manusia mengurus dan mentadbir alam ini menurut hukum dan ketetapan yang telah ditentukan Allah SWT.  Sebagai bekalan panduan, Allah SWT  telah menurunkan Al-Quran melalui lisan nabi Muhammad SAW dengan perantaraan malaikat Jibril a.s. Sesungguhnya Al-Quran adalah antara sumber bagi memantapkan akidah seseorang muslim dalam mengharungi hidup di maya pada ini.

Pengukuhan Akidah Melalui Solat

Solat adalah tiang agama. Oleh itu sudah semestinya ibadah solat adalah ibadah terpenting di dalam Islam yang telah difardukan oleh Allah SWT ke atas hamba-Nya. Kewajipan ini berterusan selagi manusia itu masih lagi bernafas dan berakal tidak kira di mana ia berada atau apa situasinya sekali pun.
Melalui ibadah solat ini manusia diingatkan siapakah diri mereka yang sebenarnya di sisi Allah SWT. Hakikat bahawa Allah SWT itu adalah tuhan atau majikan sedangkan manusia ini hanyalah hamba atau kuli sahaja. Sebagai hamba atau kuli hendaklah kita sentiasa mematuhi perintah dan larangannya dan jangan sesekali cuba mengingkarinya kerana balasan buruk sedia menanti di alam akhirat yang kekal abadi.
Semasa di dalam solatnya manusia mengakui akan kelemahan dan kekurangan, kehinaan dan kedaifannya di hadapan Allah SWT yang diimplimentasikan di dalam perlakuan sujudnya. Di mana kepala yang terletaknya akal dan wajah seseorang diturunkan ke tanah iaitu tempat yang setaraf dengan kedudukan kakinya.

Selain dari itu, ketika sujudlah kedudukan manusia yang paling hampir dengan Allah SWT. Manusia hendaklah merasakan kehinaan dirinya dan sentiasa berharap akan keampunan dari Allah SWT atas dosa-dosa yang telah dilakukan dan takut akan azab seksa darI Allah SWT.
Ibadat solat yang didirikan akan menjadi banteng atau tembok yang akan menghalang manusia dari melakukan perkara-perkara maksiat dalam kehidupan seharian mereka. Justeru, manusia akan sentiasa terpelihara dalam kehidupan dan sentiasa berusaha untuk melakukan kebaikan kerana mereka mengetahui bahawa mereka adalah hamba dan mereka amat mengharapkan pertolongan dari Allah SWT dalam mematuhi perintah atau menjauhi larangan Allah SWT.
Mereka juga sedar bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara sahaja sedangkan kehidupan di akhirat nanti adalah kekal dan abadi. Hanya mereka yang berjaya dan beriman dengan penuh yakin sahaja yang akan terselamat dari azab neraka.
Ini bermakna ibadat solat mempunyai kedudukan yang sangat penting di dalam kehidupan manusia. Sehinggakan mereka yang meminggirkan ibadat ini dikatakan seperti mereka meruntuhkan agama mereka sendiri. Dari ibadat solat juga Allah SWT telah menyediakan satu sistem yang lengkap untuk memantapkan iman atau akidah seseorang itu dari tergelincir atau terpesong dari landasan yang telah diasaskan oleh Rasulullah SAW seterusnya membawa kebahagian hidup di dunia dan di akhirat kelak.

Pengukuhan Akidah Melalui Berfikir Tentang Kejadian Alam

Alam sekeliling atau alam sekitar yang dijadikan oleh Allah SWT mampu berperanan bagi mengukuhkan akidah umat Islam. Dengan berfikir dan merenungi, melihat dan menghayati keindahan ciptaan tuhan, seseorang itu akan bertambah takwanya kepada Allah SWT. Sama ada di bumi, di langit yang luas, malah di dasar lautan semuanya merupakan ciptaan Allah SWT Yang Maha Berkuasa. Tanpa penolong atau pembantu, Allah SWT mampu menjadikan alam ini untuk bukti kewujudan,  kuasaan, keagunggan dan sebagai lambang kesempurnaan-Nya.
Bagi mereka yang benar-benar beriman, hati dan jiwa mereka akan sentiasa terarah untuk mengingati pencipta alam ini. Tidak kira apa keadaan mereka, fikiran orang yang beriman tidak lepas dari menghubungkan kejadian alam ini dengan kekuasaan Allah SWT. Tiada alasan bagi mereka untuk lalai walau sedetik pun dari mengingati Allah SWT.
Natijah dari perintah Allah SWT agar manusia berfikir tentang kejadian alam ini ialah untuk mendekatkan diri seseorang hamba dengan penciptanya. Apabila mereka sedar akan hakikat kejadian manusia dan penciptaan alam ini, nescaya mereka akan menjadi hamba yang taat dan patuh serta takut kepada Tuhannya. Kerana hamba yang baik ialah hamba yang taat kepada perintah Tuhannya.
Akhirnya, ingatan yang berterusan  kepada Allah SWT mampu mengukuhkan akidah seseorang sebagai hamba yang pasti melakukan tindakan bersesuaian dengan sifatnya seorang hamba. Tidak mungkin baginya untuk melakukan sesuatu tindakan yang boleh menimbulkan kemarahan Tuhannya. Mereka sentiasa berharap agar mendapat keampunan dari Allah SWT atas segala kesalahan yang pernah mereka lakukan dan dimasukkan ke syurga sebagai anugerah yang tidak ternilai harganya.

Keyakinan Akidah

Keyakinan akidah yang mantap adalah hasil dari usaha pengukuhan yang berterusan dalam mendidik jiwa dan rohani seseorang. Ia juga mencakupi keyakinan terhadap hari akhirat yang pasti akan terjadi. Di hari akhirat nanti, orang yang beriman percaya dan yakin akan pembalasan dari Allah SWT terhadap segala amalan yang telah mereka lakukan semasa hidup di dunia dahulu.
Dengan keyakinan itu, orang yang beriman telah menyiapkan bekalan dengan melakukan amalan-amalan yang soleh serta menjauhi perkara dan perbuatan yang buruk. Mereka akan menjadi insan yang benar-benar yakin dan bertakwa kepada Allah SWT tanpa rasa ragu dan syak lagi.
Antara ciri penting dalam proses mengukuhkan akidah ialah kemampuan seseorang untuk sentiasa mengingati Allah SWT pada setiap masa dan ketika. Disamping itu juga rasa kecintaan terhadap Rasulullah SAW akan dapat membentuk peribadi yang luhur yang berpandukan peribadi Rasulullah SAW. Rasulullah SAW akan dijadikan sebagai ikutan dan suri teladan dalam melayari bahtera kehidupan berlandaskan syariat yang dibawanya. Segala keputusan yang diambil dalam melangsungkan kehidupan ini dibuat dengan menepati kehendak yang telah ditetapkan oleh ajaran Islam. Mereka hanya berkeyakinan bahawa akidah yang kukuh adalah dengan mematuhi dan mentaati perintah dan larangan Allah SWT dengan tanpa berbelah bagi disamping mengharapkan balasan syurga di akhirat nanti.

Pendidikan dan Pengisian Akidah

Bagi Imam al-Ghazali, akidah itu tidak memadai dengan hanya setakat membaca, mendengar, lulus peperiksaan, tetapi ia ikut sama seiring dengan proses pembesaran seseorang anak. Beliau menyarankan pertama sekali hendaklah anak itu menghafaz. Manakala makna akan terserlah kepadanya sedikit demi sedikit sepanjang masa anak itu membesar. Maka pada peringkat permulaan ialah hafaz, selepas itu faham, selepas itu I’ktikad, yaqin dan tasdiq. Menurut beliau, hakikat ini tidak boleh disangkal sekali-kali kerana semua akidah orang awam bermula dengan mengikut sebutan lisan dan taklid semata-mata.
Memanglah i’ktikad yang diperolehi dengan cara taklid ini pada tahap permulaan ada kelemahannya. Ia boleh luntur jika datang godaan. Sebab itu, tegas Imam al-Ghazali, hendaklah anak atau orang awam itu dididik dan diasuh supaya iman mereka jadi kukuh dan tahan di cabar. Cara mengukuhkan iman mereka, tegas al-Ghazali, bukan sekali-kali dengan cara belajar Ilmu Jadal (ilmu perdebatan, dimaksudkan Ilmu Kalam, Ilmu Sifat Dua Puluh yang menggunakan teknik perdebatan akal), tetapi:

  Pertama ialah dengan cara membaca al-Quran serta tafsirnya.
  Kedua ialah dengan membaca hadis serta memahami ertinya.
  Ketiga ialah tekun mengerjakan amal ibadat.
  Keempat ialah berdampingan dengan orang salih. 

Dengan empat cara ini akidah seseorang anak itu akan bertambah kukuh beserta berkat mendengar dalil-dalil, hujah-hujah dan faedah selalu mendengar al-Quran dan hadis. Tidak kurang juga peranan cahaya ketekunan beramal ibadat serta peranan berdampingan dengan orang-orang salih tidaklah boleh dipandang kecil. Dengan melihat seri wajah ketengan peribadi mereka, rendah hati, serta penuh dengan penghayatan takwa kepada  Allah menjadi semaian iman ke dalam dada anak-anak. Cara tersebut juga adalah seperti membaja dan menyiram benih iman dalam dada anak-anak dan orang awam itu. Lambat laun benih itu bercambah, berdahan, berdaun membesar tinggi menjulang ke langit biru, dan berakar berumbi kukuh mencengkam bumi, tidak akan tumbang walau bagaimana kuat landaan badai, rebut dan taufan.
Dalam mendidik akidah anak-anak ini, Imam al-Ghazali mengingatkan kepada pendidik supaya jangan mendekati Ilmu Kalam. Beliau menyarankan supaya telinga mereka dikawal dengan seketat-ketatnya daripada mendengar cara perdebatan Ilmu Kalam. Dengan alasan bahawa Ilmu ini lebih banyak menimbulkan kekeliruan dan bukan sekali-kali menguatkan iman. Kalau mahu menguatkan iman dengan Ilmu Kalam, samalah seperti mahu menguatkan tumbuh-tumbuhan pokok dengan memukul batang dan dahannya dengan tukul. Akibatnya  bukan menguatkan pokok itu tetapi merosakkannya. (lihat Ahli Sunnah & Wujudiah-Batiniah(Mengenai Ajaran Salah-Jakim 1999) muka surat 28-30).

Rujukan:
1-    Mohd Radhi Ibrahim & Kamaluddin Nurdin Marjuni. 2012. Akidah Islam. Nilai: Penerbit USIM.

2-    Abdul Fatah Haron Ibrahim. 1999. Ahli Sunnah & Wujudiah-Batiniah (Mengenai Ajaran Salah). Kuala Lumpur: Jakim.