Pengenalan
Sebaik-baik
kejadian ialah manusia. Di atas landasan itulah maka manusia telah dipilih dan
dilantik untuk menjadi khalifah di muka bumi ini oleh Allah Subhanahu wa Taala.
Kenapa dikatakan sebaik-baik kejadian? Kerana manusia memiliki akal yang
dikurniakan oleh Allah SWT. Dengan akallah manusia mengurus dan mentadbir alam
ini menurut hukum dan ketetapan yang telah ditentukan Allah SWT. Sebagai bekalan panduan, Allah SWT telah menurunkan Al-Quran melalui lisan nabi
Muhammad SAW dengan perantaraan malaikat Jibril a.s. Sesungguhnya Al-Quran adalah
antara sumber bagi memantapkan akidah seseorang muslim dalam mengharungi hidup
di maya pada ini.
Pengukuhan
Akidah Melalui Solat
Solat
adalah tiang agama. Oleh itu sudah semestinya ibadah solat adalah ibadah
terpenting di dalam Islam yang telah difardukan oleh Allah SWT ke atas
hamba-Nya. Kewajipan ini berterusan selagi manusia itu masih lagi bernafas dan
berakal tidak kira di mana ia berada atau apa situasinya sekali pun.
Melalui
ibadah solat ini manusia diingatkan siapakah diri mereka yang sebenarnya di
sisi Allah SWT. Hakikat bahawa Allah SWT itu adalah tuhan atau majikan
sedangkan manusia ini hanyalah hamba atau kuli sahaja. Sebagai hamba atau kuli
hendaklah kita sentiasa mematuhi perintah dan larangannya dan jangan sesekali
cuba mengingkarinya kerana balasan buruk sedia menanti di alam akhirat yang
kekal abadi.
Semasa
di dalam solatnya manusia mengakui akan kelemahan dan kekurangan, kehinaan dan
kedaifannya di hadapan Allah SWT yang diimplimentasikan di dalam perlakuan
sujudnya. Di mana kepala yang terletaknya akal dan wajah seseorang diturunkan
ke tanah iaitu tempat yang setaraf dengan kedudukan kakinya.
Selain
dari itu, ketika sujudlah kedudukan manusia yang paling hampir dengan Allah
SWT. Manusia hendaklah merasakan kehinaan dirinya dan sentiasa berharap akan
keampunan dari Allah SWT atas dosa-dosa yang telah dilakukan dan takut akan
azab seksa darI Allah SWT.
Ibadat
solat yang didirikan akan menjadi banteng atau tembok yang akan menghalang
manusia dari melakukan perkara-perkara maksiat dalam kehidupan seharian mereka.
Justeru, manusia akan sentiasa terpelihara dalam kehidupan dan sentiasa
berusaha untuk melakukan kebaikan kerana mereka mengetahui bahawa mereka adalah
hamba dan mereka amat mengharapkan pertolongan dari Allah SWT dalam mematuhi
perintah atau menjauhi larangan Allah SWT.
Mereka
juga sedar bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara sahaja sedangkan
kehidupan di akhirat nanti adalah kekal dan abadi. Hanya mereka yang berjaya dan
beriman dengan penuh yakin sahaja yang akan terselamat dari azab neraka.
Ini
bermakna ibadat solat mempunyai kedudukan yang sangat penting di dalam
kehidupan manusia. Sehinggakan mereka yang meminggirkan ibadat ini dikatakan
seperti mereka meruntuhkan agama mereka sendiri. Dari ibadat solat juga Allah
SWT telah menyediakan satu sistem yang lengkap untuk memantapkan iman atau
akidah seseorang itu dari tergelincir atau terpesong dari landasan yang telah
diasaskan oleh Rasulullah SAW seterusnya membawa kebahagian hidup di dunia dan
di akhirat kelak.
Pengukuhan
Akidah Melalui Berfikir Tentang Kejadian Alam
Alam
sekeliling atau alam sekitar yang dijadikan oleh Allah SWT mampu berperanan
bagi mengukuhkan akidah umat Islam. Dengan berfikir dan merenungi, melihat dan
menghayati keindahan ciptaan tuhan, seseorang itu akan bertambah takwanya
kepada Allah SWT. Sama ada di bumi, di langit yang luas, malah di dasar lautan
semuanya merupakan ciptaan Allah SWT Yang Maha Berkuasa. Tanpa penolong atau
pembantu, Allah SWT mampu menjadikan alam ini untuk bukti kewujudan, kuasaan, keagunggan dan sebagai lambang
kesempurnaan-Nya.
Bagi
mereka yang benar-benar beriman, hati dan jiwa mereka akan sentiasa terarah
untuk mengingati pencipta alam ini. Tidak kira apa keadaan mereka, fikiran
orang yang beriman tidak lepas dari menghubungkan kejadian alam ini dengan
kekuasaan Allah SWT. Tiada alasan bagi mereka untuk lalai walau sedetik pun
dari mengingati Allah SWT.
Natijah
dari perintah Allah SWT agar manusia berfikir tentang kejadian alam ini ialah
untuk mendekatkan diri seseorang hamba dengan penciptanya. Apabila mereka sedar
akan hakikat kejadian manusia dan penciptaan alam ini, nescaya mereka akan
menjadi hamba yang taat dan patuh serta takut kepada Tuhannya. Kerana hamba
yang baik ialah hamba yang taat kepada perintah Tuhannya.
Akhirnya,
ingatan yang berterusan kepada Allah SWT
mampu mengukuhkan akidah seseorang sebagai hamba yang pasti melakukan tindakan
bersesuaian dengan sifatnya seorang hamba. Tidak mungkin baginya untuk
melakukan sesuatu tindakan yang boleh menimbulkan kemarahan Tuhannya. Mereka
sentiasa berharap agar mendapat keampunan dari Allah SWT atas segala kesalahan
yang pernah mereka lakukan dan dimasukkan ke syurga sebagai anugerah yang tidak
ternilai harganya.
Keyakinan
Akidah
Keyakinan
akidah yang mantap adalah hasil dari usaha pengukuhan yang berterusan dalam
mendidik jiwa dan rohani seseorang. Ia juga mencakupi keyakinan terhadap hari
akhirat yang pasti akan terjadi. Di hari akhirat nanti, orang yang beriman
percaya dan yakin akan pembalasan dari Allah SWT terhadap segala amalan yang
telah mereka lakukan semasa hidup di dunia dahulu.
Dengan
keyakinan itu, orang yang beriman telah menyiapkan bekalan dengan melakukan
amalan-amalan yang soleh serta menjauhi perkara dan perbuatan yang buruk.
Mereka akan menjadi insan yang benar-benar yakin dan bertakwa kepada Allah SWT
tanpa rasa ragu dan syak lagi.
Antara
ciri penting dalam proses mengukuhkan akidah ialah kemampuan seseorang untuk
sentiasa mengingati Allah SWT pada setiap masa dan ketika. Disamping itu juga
rasa kecintaan terhadap Rasulullah SAW akan dapat membentuk peribadi yang luhur
yang berpandukan peribadi Rasulullah SAW. Rasulullah SAW akan dijadikan sebagai
ikutan dan suri teladan dalam melayari bahtera kehidupan berlandaskan syariat
yang dibawanya. Segala keputusan yang diambil dalam melangsungkan kehidupan ini
dibuat dengan menepati kehendak yang telah ditetapkan oleh ajaran Islam. Mereka
hanya berkeyakinan bahawa akidah yang kukuh adalah dengan mematuhi dan mentaati
perintah dan larangan Allah SWT dengan tanpa berbelah bagi disamping
mengharapkan balasan syurga di akhirat nanti.
Pendidikan dan Pengisian Akidah
Bagi
Imam al-Ghazali, akidah itu tidak memadai dengan hanya setakat membaca,
mendengar, lulus peperiksaan, tetapi ia ikut sama seiring dengan proses
pembesaran seseorang anak. Beliau menyarankan pertama sekali hendaklah anak itu
menghafaz. Manakala makna akan terserlah kepadanya sedikit demi sedikit
sepanjang masa anak itu membesar. Maka pada peringkat permulaan ialah hafaz,
selepas itu faham, selepas itu I’ktikad, yaqin dan tasdiq. Menurut
beliau, hakikat ini tidak boleh disangkal sekali-kali kerana semua akidah orang
awam bermula dengan mengikut sebutan lisan dan taklid semata-mata.
Memanglah
i’ktikad yang diperolehi dengan cara taklid ini pada tahap permulaan ada
kelemahannya. Ia boleh luntur jika datang godaan. Sebab itu, tegas Imam
al-Ghazali, hendaklah anak atau orang awam itu dididik dan diasuh supaya iman
mereka jadi kukuh dan tahan di cabar. Cara mengukuhkan iman mereka, tegas
al-Ghazali, bukan sekali-kali dengan cara belajar Ilmu Jadal (ilmu perdebatan,
dimaksudkan Ilmu Kalam, Ilmu Sifat Dua Puluh yang menggunakan teknik perdebatan
akal), tetapi:
Pertama
ialah dengan cara membaca al-Quran serta tafsirnya.
Kedua ialah dengan membaca hadis
serta memahami ertinya.
Ketiga ialah tekun mengerjakan
amal ibadat.
Keempat ialah berdampingan
dengan orang salih.
Dengan
empat cara ini akidah seseorang anak itu akan bertambah kukuh beserta berkat
mendengar dalil-dalil, hujah-hujah dan faedah selalu mendengar al-Quran dan
hadis. Tidak kurang juga peranan cahaya ketekunan beramal ibadat serta peranan berdampingan
dengan orang-orang salih tidaklah boleh dipandang kecil. Dengan melihat seri
wajah ketengan peribadi mereka, rendah hati, serta penuh dengan penghayatan
takwa kepada Allah menjadi semaian iman
ke dalam dada anak-anak. Cara tersebut juga adalah seperti membaja dan menyiram
benih iman dalam dada anak-anak dan orang awam itu. Lambat laun benih itu
bercambah, berdahan, berdaun membesar tinggi menjulang ke langit biru, dan
berakar berumbi kukuh mencengkam bumi, tidak akan tumbang walau bagaimana kuat
landaan badai, rebut dan taufan.
Dalam
mendidik akidah anak-anak ini, Imam al-Ghazali mengingatkan kepada pendidik
supaya jangan mendekati Ilmu Kalam. Beliau menyarankan supaya telinga mereka
dikawal dengan seketat-ketatnya daripada mendengar cara perdebatan Ilmu Kalam.
Dengan alasan bahawa Ilmu ini lebih banyak menimbulkan kekeliruan dan bukan
sekali-kali menguatkan iman. Kalau mahu menguatkan iman dengan Ilmu Kalam, samalah
seperti mahu menguatkan tumbuh-tumbuhan pokok dengan memukul batang dan dahannya
dengan tukul. Akibatnya bukan menguatkan
pokok itu tetapi merosakkannya. (lihat Ahli Sunnah &
Wujudiah-Batiniah(Mengenai Ajaran Salah-Jakim 1999) muka surat 28-30).
Rujukan:
1-
Mohd Radhi Ibrahim & Kamaluddin Nurdin
Marjuni. 2012. Akidah Islam. Nilai: Penerbit
USIM.
2-
Abdul Fatah Haron Ibrahim. 1999. Ahli Sunnah & Wujudiah-Batiniah (Mengenai Ajaran Salah). Kuala Lumpur: Jakim.
apakah kesan pengukuhan aqidah ini?
BalasPadamBila akidah kukuh, kita akan lebih percaya kepada kewujudan allah dan ibadat yg dilakukan akan jadi lebih khusyuk. So pengukuhan akidah dlm diri seorg muslim tu asas untuk menjadi seorang muslim yg sejati.
BalasPadam