Rabu, April 27, 2011

Rahsia Penyeri Wajah.

Al-Ahnaf bin Qais adalah seorang ulama yang terkenal di zamannya. Pada suatu hari seorang pemuda dari suku Taiyi datang berkunjung ke rumahnya. Ketika itu, rumah Al-Ahnaf dikunjungi oleh murid-murid dan sahabat-sahabatnya. Kedatangan pemuda dari suku Taiyi itu sangat menarik perhatian ulama besar kerana pemuda itu kelihatan sangat tampan dan kacak.
"Wahai anak muda, adakah engkau menghiasi wajah mu dengan sesuatu?" tanya Al-Ahnaf.
"Benar tuan, saya memang menghiasi wajah saya dengan sesuatu," jawab pemuda itu dengan sopan. Kemudian dia menyambung, "Kalau saya bercakap, saya tidak berbohong. Kalau ada orang brcakap, saya akan mendengar. Kalau berjanji, saya akan tepati dan kalau diberi amanah, saya tidak akan khianati."

Mendengar jawapan yang bernas itu, maka berkatalah ulamak itu, "Benar katamu wahai anak muda. Engkau telah menghias wajahmu dengan sifat yang terpuji."



*nota b.tan:-

Disamping itu amalkan juga selalu berwuduk (mengambil air sembahyang). Walaupun bukan untuk menunaikan solat atau membaca al-Quran. Kerana dengan mengekalkan wuduk, insyaAllah badan akan sihat dan segar dengan izin-Nya jua.

Sabtu, April 23, 2011

Terapi Ruqyah Syar’iyah

Ayat-ayat bacaan Terapi Ruqyah Syar’iyah

1 Al-Fatihah
2 Al-Baqarah 1-5
3 Al-Baqarah 102
4 Al-Baqarah 163-164
5 Al-Baqarah (Ayatul Kursi)
6 Al-Baqarah 285-286
7 Ali-Imran 18-19
8 Al-'Araf 54-56
9 Al-'Araf 117-122
10 Yunus 81-82
11 Toha 69
12 Al-Mukminun 115-118
13 As-Soffaat 1-10
14 Al-Ahqaaf 29-32
15 Ar-Rahman 33-36
16 Al-Hasyr 21-24
17 Al-Jin 1-9
18 Al-Ikhlas
19 Al-Falaq
20 An-Naas

Definisi RUQYAH

Ruqyah secara am adalah jampi-jampi atau mantera. Ruqyah secara syar'i ( Ruqyah Syar'iyah ) adalah jampi-jampi atau mantera yang dibacakan oleh seseorang untuk mengubati penyakit atau menghilangkan gangguan jin atau sihir atau untuk perlindungan dan sebagainya. Dengan hanya menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa yang bersumber dari hadiths-hadiths Rasulullah SAW yang dapat difahami maknanya selama tidak mengandungi unsur kesyirikan.


Ruqyah terbahagi kepada dua :-

Pertama : Ruqyah yang diperbolehkan oleh syari'at Islam iaitu disebut Ruqyah Syar'iyah.
Kedua : Ruqyah yang tidak dibenarkan oleh syari'at Islam, iaitu Ruqyah dengan menggunakan bahasa-bahasa yang tidak difahami maknanya atau Ruqyah yang mengandungi unsur-unsur kesyirikan.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, "Perlihatkan kepadaku ruqyah kalian, dan tidak apa-apa melakukan ruqyah selama tidak ada unsur syirik." ( HR. Muslim )

Syarat Ruqyah Syar'iyah

Para ulama sepakat membolehkan Ruqyah dengan tiga syarat :-

  1. Dengan mempergunakan firman Allah ( ayat-ayat Al-Quran ) atau nama-nama dan sifat-sifat-Nya.
  2. Mempergunakan Bahasa Arab atau bahasa yang dapat difahami maknanya.
  3. Berkeyakinan bahwa zat Ruqyah tidak berpengaruh apa-apa kecuali atas izin Allah SWT.

Ketentuan Meruqyah

Tatkala melakukan Ruqyah hendaknya diperhatikan ketentuan berikut :-

  1. Ruqyah tidak mengandungi unsur kesyirikan.
  2. Ruqyah tidak mengandungi unsur sihir.
  3. Ruqyah bukan berasal dari dukun, paranormal, tukan telek dan orang-orang yang segolongan dengan mereka, walaupun secara zahir mereka memakai sarban, jubah dan sebagainya. Kerana bukan penampilan yang menjamin seseorang itu terbebas dari perdukunan, sihir dan kesyirikan.
  4. Ruqyah tidak mempergunakan ungkapan yang tidak bermakna atau tidak difahami maknanya, seperti tulisan abjad atau tulisan yang tidak difahami.
  5. Ruqyah tidak dengan cara yang diharamkan seperti dalam keadaan junub, di kburan, di kamar mandi, di bilik yang gelap dan sebagainya.
  6. Ruqyah tidak mempergunakan ungkapan yang diharamkan, seperti celaan, cacian, laknat dan lain-lainnya.

Keutamaan Ruqyah mengikut Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang tidak menurunkan suatu penyakit kecuali Dia menurunkan juga ubat penawarnya.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, "Setiap penyakit ada ubat penawarnya dan apabila suatu ubat itu sesuai dengan jenis penyakitnya, maka penyakit itu akan sembuh dengan izin Allah." ( HR. Muslim ) Dan yakinlah bahwa tidka ada yang mampu menyembuhkan sesuatu penyakit melainkan hanya Allah SWT. Maka di antara cara yang paling tepatm efektif dan mujarab untuk menghilangkan sesuatu penyakit dan menangkal mara bahaya adalah dengan memfungsikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pengubatan. Al-Quran telah menjelaskan hal itu secara terang :

Katakanlah, "Al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar." ( QS. Fushshilat : 44 )

"Dan kami turunkan dari Al-Quran ( ada ) sesuatu yang menjadi ubat penawar dan menjadi rahmat bagi orang yang beriman." ( QS. Al-Isra' : 82 )

Junjungan kita Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya telah mencontohkan pengubatan dengan mempergunakan Al-Quran dan doa-doa untuk mengubati berbagai macam penyakit, baik disebabkan oleh tukang sihir seperti guna-guna dan lain-lainnya atau disebabkan oleh gangguan jin seperti kerasukan dan penyakit-penyakit aneh lainnya atau terkena gigitan binatang berbisa seperti kala-jengking, ular dan sebagainya. Rasulullah SAW juga mempergunakan ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa untuk penjagaan dan perlindungan diri.

Hadis sandaran berkaitan Ruqyah

Nabi Muhammad SAW meruqyah dirinya sendiri tatkala mau tidur dengan membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas lalu beliau tiupkan pada kedua telapak tangannya, kemudian usapkan ke seluruh tubuh terjangkau oleh kedua tangannya. (HR. Al-Bukhari )

Jabir Bin Abdullah r.a. berkata, "Seseorang di antara kami disengat kalajenking. Kemudian Jabir berkata, "Wahai Rasulullah apakah saya boleh meruqyahkannya? Maka beliau bersabda, "Barangsiapa di antara kalian yang sanggup memberikan manfaat kepada saudaranya, maka lakukanlah." ( HR. Muslim )

Aisyah r.a. juga mengatakan, "Rasulullah SAW memerintahkan padaku agar aku minta ruqyah dari pengaruh 'ain ( mata yang dengki )." ( HR. Muslim )

Dari Abu Sa'id Al-Khudhri r.a., Jibril mendatangi Nabi SAW, lalu berkata, "Wahai Muhammad apakah engkau mengeluh rasa sakit?" Beliau menjawab, "Ya!" Kemudian Jibril ( meruqyahnya ), "Bismillahi arqika, min kulli syai'in yu'dzika, min syarri kulli nafsin au 'aini hasidin, Allahu yasyfika, bismillahi arqika" ( "Dengan nam Allah aku meruqyahmu, dari segala hal yang menyakitimu, dan dari kejahatan segala jiwa manusia atau mata pendengki, semoga Allah menyembuhkan kamu, dengan nama Allah saya meruqyahmu") ( HR. Muslim )

Aisyah r.a. berkata, "Biasanya Rasulullah SAW apabila ada seorang yang mengeluh rasa sakit, beliau usap orang tersebut dengan tangan kanannya, kemudian berdoa, "Hilangkanlah penyakit wahai Rabb manusia, sembuhkanlah kerana Engkaulah pemberi penyembuh, tiada kesembuhan selain kesembuhan dari-Mu, kesembuhan yang tiada meninggalkan penyakit." ( HR. Muslim )

Uthman Bin Abil 'Ash r.a. datang menemui Rasulullah SAW mengadukan rasa sakit pada tubuhnya yang dia rasakan semenjak masuk Islam, kemudian Rasulullah SAW berkata, "Letakkan tanganmu pada tempat yang terasa sakit, kemudian bacalah; "Bismillahi" ( dengan menyebut nama Allah ) tiga kali, dan bacalah; "A'uzu billahi wa qudrotihi min syarri ma ajidu wa uhadziru" ( aku berlindung dengan Allah dan dengan qudrat-Nya dari kejahatan yang aku dapati dan yang aku hindari ) tujuh kali." ( HR. Muslim )


Sumber:-

http://urutdanrawat.com/
http://mp3ruqyah.com/

Jumaat, April 22, 2011

Pesanan ibu seorang JUSA 'C'.

1- Bersyukurlah kepada Allah kerana dapat kerja kerajaan, ada gaji tetap dan akan dapat pencen jika umur panjang.

2- Jangan sekali-kali lawan GB (hormati ketua), jika lawan ketua kamu akan susah nanti. Berbincang kalau ada masalah, cakap elok-elok, jangan sakiti hati orang.

3- Jangan sesekali ponteng kerja, supaya halal setiap sen gaji yang diterima.

4- Jika kamu sakit atau kurang sihat, kalau masih terdaya ke sekolah, pergi.... sebab murid kamu akan terbiar kalau tidak ada guru ganti. Kerja guru berbeza dengan kerja pegawai di pejabat, mereka menghadap fail, kamu menghadap murid.

5- Buat baik dengan semua orang, walaupun orang itu berbuat jahat kepada kita. Sedikit pun tidak rugi kalau kita buat dengan orang, malah untung.

6- Emak tak ada harta nak beri kamu, dengan kelulusan dan kerja yang kamu sudah dapat sekarang, itulah harta dari emak. Ingatlah, setiap harta yang kita miliki biar berkat.


*nota b.tan:-

catatan di atas aku salin semasa slot bicara tokoh dalam program Integriti dalam Pendidikan yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Bera anjuran bersama PPD Bera dan Institut Integriti Malaysia. Nama penceramah tu aku dah tak ingat, nak cari dalam pamplet atau buku program, tak tahu pulak di mana aku simpan. Cuma, kita boleh ambil iktibar atau pengajaran dari nota tersebut untuk kita menjalankan amanah atau tanggungjawab sebagai seorang kakitangan sektor perkhidmatan awam.

Antara disentuh ialah kepentingan integriri dalam pendidikan seperti ke arah mencapai kualiti perkhidmatan yang lebih tinggi, mengurangkan kesilapan salah urus, mengurangkan masalah pelajar, mencapai kesetiaan yang lebih tinggi, mencapai fokus yang sama, mencapai kepuasan di pihak pelanggan/pekerja, membendung gejala negatif seperti menipu, menjaga imej profesion keguruan, meningkatkan keimanan dan mengawal tingkah laku warga pendidikan.

Juga dinyatakan nikmat dari integriti ialah mengajar kita erti kesyukuran, erti kebahagiaan, erti pengorbanan, erti keikhlasan, erti dosa dan pahala, erti kedamaian, erti kepercayaan, erti ketenangan, erti kenikmatan dan akhir sekali erti kesejahteraan.

Sememangnya fitrah seorang insan itu ia menyukai segala yang bersih dan suci, benci kepada kepura-puraan disamping mengharapkan ketulenan dan jati diri yang kukuh serta tinggi integritinya. Sesungguhnya segala sifat yang baik ada dalam diri manusia, dan ia memungkinkan kita berpotensi untuk melakukan ke arah kebaikan, cuma tinggal kita saja yang lagi yang perlu memotivasikan diri kita ke arah itu, ke arah kebaikan yang hakiki. sekian, wassalam.

Khamis, April 14, 2011

Antara Perbezaan Mukmin dan Munafik.

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:-

Perumpamaan orang mukmin yang membaca al-Quran seperti bunga Utrujah, baunya harum dan rasanya lazat. Orang mukmin yang tidak membaca al-Quran umpama sebutir buah kurma, baunya tidak begitu harum tetapi manis rasanya. Orang munafik yang membaca al-Quran ibarat sekuntum bunga Raihanah, baunya harum tapi pahit rasanya. Dan orang munafik yang tidak membaca al-Quran tidak ubah seperti bunga Hanzalah, tidak berbau tapi rasanya pahit sekali.

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.


* nota b.tan-

Harum dan dan wangikanlah diri kita dengan memperbanyakkan membaca al-Quran, sesungguhnya ia akan datang kepada kita di alam kubur nanti sebagai teman dan penerang kegelapan alam barzah. Aku hanya sekadar memperingatkan diri ku dan kepada mereka yang ingin turut mengambil iktibar dari kehebatan kalamuLLah ini. Sebaik-baik bekalan adalah bekalan yang dapat menyelamatkan kita dari azab sengsara di hari akhirat nanti. sekian. Wassalam.

Sabtu, April 09, 2011

Asas Amalan Harian.

Sebagai manusia yang masih diberi kesempatan untuk hidup, kelakuan dan perbuatan kita diperhati dan dinilai. Jika kita sayangkan diri kita, sudah tentu kita ingin membina hidup yang baik dan sejahtera. Untuk membinanya, amal perbuatanlah yang menjadi ukuran dan antara asasnya ialah amalan harian yang baik.

1- Membaca al-Quran- jangan jadikan al-Quran sebagai pemenuh rak buku atau ayat al-Quran hanya digantung di dinding rumah sebagai hiasan.

2- Istighfar- jangan hanya bila ditimpa bencana saja baru nak beristighfar, tetapi semasa dalam kesenangan lupa segala-galanya.

3- Banyakkan berselawat- jangan dalam sembahyang saja berselawat, sedangkan di masa lain asyik bernyanyi untuk keseronokan dunia.

4- Berdoa- jangan di waktu senang kita amat payah mengangkat tangan untuk memohon doa, tapi bila telah susah mulalah mencari imam untuk mintak doa.

5- Berzikir- jangan semasa kenduri arwah saja kita berzikir, sedangkan dimasa lain dipenuhkan dengan berborak.


*nota b.tan-

Terlalu banyak amalan baik yang boleh dilakukan dalam seharian kita menjalani kehidupan. Setiap amalan baik adalah ibadah dan setiap ibadah yang dilakukan dengan keikhlasan pasti akan mendapat ganjaran dari Yang Maha Pemurah. Sambil memandu, sambil berjalan kaki walau untuk jarak yang dekat atau sambil menunggu seseorang, lazimkanlah dan basahkanlah lidah kita dengan zikrullah. Terlalu senang dan ringan untuk melafazkannya, cuma terkadang kita lebih selesa menyanyi-nyanyi di dalam hati atau bermain games di handphone dari menyebut kalimah-kalimah suci. Jadikanlah masa senggang kita dipenuhi dengan barokah untuk mencapai maghfiroh bukannya leka bersenda yang membuatkan kita alpa pada Yang Maha Esa. Sekian, Wassalam.

Ahad, April 03, 2011

Huraisy.

Apakah Huraisy? Untuk mengetahuinya sila teruskan pembacaan anda.

Semasa hari kiamat nanti akan keluar seekor binatang dari neraka Jahannam yang digelar Huraisy. Panjangnya ialah jarak antara langit dan bumi serta lebarnya pula dari timur ke barat. Apabila ia keluar, malaikat Jibril a.s. berkata, "Wahai Huraisy, kamu hendak kemana dan kamu hendak mencari siapa?" Huraisy menjawab, "Aku mencari lima jenis manusia. Mereka ialah:

1- Orang yang tidak mengerjakan solat.

2- Orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat.

3- Orang yang menderhakai ibubapa.

4- Orang yang suka minum arak.

5- Orang yang sangat suka bercakap hal-hal dunia di dalam masjid."



*nota b.tan-

Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada diri kita di masa hadapan. Segalanya memungkinkan, harus berwaspada dalam melayari kehidupan. Agar di penghujungnya nanti ia akan berakhir dengan sebaik-baik pengakhiran. Kita hidup perlu saling ingat mengingati dan nasihat menasihati, bukanlah aku yang terbaik, tapi "addinun naasihah"- agama itu adalah nasihat menasihati. Perlu kita menginsafi diri dan sering menghisab segala amalan perlakuan kita seharian, apakah kita sedar apa yang kita lakukan atau kita berada di bawah sedar? Sekian, tazkirah ringkas dari aku yang fakir ilaLlah.

Sabtu, April 02, 2011

Tanda-tanda Kebahagiaan.

Antara tanda-tanda kebahagiaan yang dapat kita kongsikan bersama di ruang yang terhad ini ialah:

1- Tiap kali bertambah ilmunya, bertambah pula rendah hatinya.

2- Tiap kali bertambah amalnya, bertambah pula takutnya kepada Allah.

3- Tiap bertambah umurnya, beransur kurang halobanya terhadap keduniaan.

4- Tiap bertambah harta kekayaannya, bertambah pula pemurahnya.

5- Tiap bertambah pangkat dan kedudukannya, bertambah dekatnya pada orang kebanyakan.


* nota b.tan:-

Dalam proses meningkatkan keimanan seseorang, peningkatan ilmu amat berkait rapat dan begitu penting bagi memperkukuhkan ketakwaan kepada Ilahi. Bertambah ilmu bererti bertambahlah iman seseorang dan sewajarnya ia makin takut kepada Allah dan gerun serta gementar hatinya jika diperdengarkan dengan janji-janji Allah terhadap mereka yang bijak berkata-kata tetapi tidak mengamalkan apa yang mereka lafazkan. Lalu mereka iaitu orang-orang yang beriman akan menambahkan amal-amal soleh dalam kehidupan seharian mereka. Mereka amat bimbang dan takut amal mereka tidak diterima oleh Allah, justeru setiap amalan perlulah dengan keikhlasan hati serta mengharapkan keredaan dari Yang Maha Esa.

Apatah lagi di usia yang sesingkat perjalanan hidup, sekadar menumpang teduh di bawah rendang sepohon kayu, apalah sangat yang hendak dibanggakan dengan kemewahan dunia yang dipinjamkan oleh Ar-Razak kepada kita semua. Sebaliknya hitunglah hari-hari mendatang dengan penuh kesyukuran kerana kita masih lagi diberi peluang dan kesempatan oleh-Nya, masih lagi kita diizinkan untuk menghirup seteguk nikmat dalam kehidupan ini, begitu juga kita sebenarnya masih lagi diberi peluang untuk bertaubat atas segala khilaf dan silap yang pernah kita lakukan dulu-dulu. Sebesar mana dosa yang kita lakukan, besar lagi pengampunan Allah terhadap hamba-hambanya yang sanggup dan rela mengakui kesilapan masa lalu. Insaf dan serahkanlah kesalahan kita kepadaNya, kerana Dialah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Usahlah terus dilekakan dengan sedikit nikmat, kita hanyut dalam arus kehidupan yang lalai yang kita sendiri cari dan bina tembok pemisah antara halal dan haram. Kita seolah lupa pada dosa dan pahala, dengan sedikit pangkat dan kuasa kita lupa pada kiblat, lupa pada matlamat kehidupan kita. Alangkah ruginya kita, jika kita masih lagi berenak-enak dan seronok dengan kehidupan yang lagho dan sia-sia. Umur panjang bukanlah masa untuk terus leka dan berpoya-poya, tapi masa untuk kita menghisab diri apakah amalan bekalan kita untuk menemui tuhan Robbul Jalil telah mencukupi. Atau apakah kita sanggup korbankan masa kita dengan menghampirkan diri dengan Yang Maha Pencipta. Terserahlah pada semua untuk menilainya, jalan kebahagiaan terbentang luas di hadapan kita, pilihlah lorong mana yang kita suka yang akan menjamin kita mencapai puncak kebahagiaan nanti dengan izin-Nya jua.