Sabtu, April 02, 2011

Tanda-tanda Kebahagiaan.

Antara tanda-tanda kebahagiaan yang dapat kita kongsikan bersama di ruang yang terhad ini ialah:

1- Tiap kali bertambah ilmunya, bertambah pula rendah hatinya.

2- Tiap kali bertambah amalnya, bertambah pula takutnya kepada Allah.

3- Tiap bertambah umurnya, beransur kurang halobanya terhadap keduniaan.

4- Tiap bertambah harta kekayaannya, bertambah pula pemurahnya.

5- Tiap bertambah pangkat dan kedudukannya, bertambah dekatnya pada orang kebanyakan.


* nota b.tan:-

Dalam proses meningkatkan keimanan seseorang, peningkatan ilmu amat berkait rapat dan begitu penting bagi memperkukuhkan ketakwaan kepada Ilahi. Bertambah ilmu bererti bertambahlah iman seseorang dan sewajarnya ia makin takut kepada Allah dan gerun serta gementar hatinya jika diperdengarkan dengan janji-janji Allah terhadap mereka yang bijak berkata-kata tetapi tidak mengamalkan apa yang mereka lafazkan. Lalu mereka iaitu orang-orang yang beriman akan menambahkan amal-amal soleh dalam kehidupan seharian mereka. Mereka amat bimbang dan takut amal mereka tidak diterima oleh Allah, justeru setiap amalan perlulah dengan keikhlasan hati serta mengharapkan keredaan dari Yang Maha Esa.

Apatah lagi di usia yang sesingkat perjalanan hidup, sekadar menumpang teduh di bawah rendang sepohon kayu, apalah sangat yang hendak dibanggakan dengan kemewahan dunia yang dipinjamkan oleh Ar-Razak kepada kita semua. Sebaliknya hitunglah hari-hari mendatang dengan penuh kesyukuran kerana kita masih lagi diberi peluang dan kesempatan oleh-Nya, masih lagi kita diizinkan untuk menghirup seteguk nikmat dalam kehidupan ini, begitu juga kita sebenarnya masih lagi diberi peluang untuk bertaubat atas segala khilaf dan silap yang pernah kita lakukan dulu-dulu. Sebesar mana dosa yang kita lakukan, besar lagi pengampunan Allah terhadap hamba-hambanya yang sanggup dan rela mengakui kesilapan masa lalu. Insaf dan serahkanlah kesalahan kita kepadaNya, kerana Dialah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Usahlah terus dilekakan dengan sedikit nikmat, kita hanyut dalam arus kehidupan yang lalai yang kita sendiri cari dan bina tembok pemisah antara halal dan haram. Kita seolah lupa pada dosa dan pahala, dengan sedikit pangkat dan kuasa kita lupa pada kiblat, lupa pada matlamat kehidupan kita. Alangkah ruginya kita, jika kita masih lagi berenak-enak dan seronok dengan kehidupan yang lagho dan sia-sia. Umur panjang bukanlah masa untuk terus leka dan berpoya-poya, tapi masa untuk kita menghisab diri apakah amalan bekalan kita untuk menemui tuhan Robbul Jalil telah mencukupi. Atau apakah kita sanggup korbankan masa kita dengan menghampirkan diri dengan Yang Maha Pencipta. Terserahlah pada semua untuk menilainya, jalan kebahagiaan terbentang luas di hadapan kita, pilihlah lorong mana yang kita suka yang akan menjamin kita mencapai puncak kebahagiaan nanti dengan izin-Nya jua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan