Sabtu, Januari 15, 2011

Bahagiakah Kita?



Kebahagian itu bukan bererti tidak ada masalah, tetapi kemampuan menghadapi masalah. Serta kemampuan kita untuk menyelesaikan masalah, sama ada masalah diri sendiri dan keluarga. Atau pun masalah rakan sekerja apa tah lagi tindakan kita itu akan membuat orang lain turut merasa bahagia dan tersenyum puas. Itulah kebahagian sejati selain dari dapat menunaikan perintah Allah dengan penuh kejujuran dan rasa tanggungjawab sebagai seorang hamba yang menginsafi dirinya hanyalah sekadar menumpang di atas muka bumi milik Yang Maha Esa ini.

Persoalannya sekuat mana kemampuan kita untuk menghadapi masalah? Apakah mereka yang berbadan sasa, tegap dan berotot mampu dan cekal dalam menyelesaikan masalah atau tiada bermasalah. Atau mugkin juga mereka yang berwajah cantik, tampan atau jelita tidak memiliki masalah. Apakah mereka yang kaya raya bergelar hartawan mahu pun jutawan tiada masalah, kerana mereka mempunyai kemewahan dan kesenangan hidup yang mencukupi untuk berbuat apa saja. Mengikut apa yang mereka hajati dan idamkan. Atau orang dari kalangan yang kuat beragama akan mudah dan selesa hidupnya tanpa masalah. Semuanya memerlukan kepada kesabaran dan ketabahan hati dalam melayari kehidupan ini.

Kita mungkin juga tercari-cari atau terfikir, apakah ciri-ciri orang yang bahagia? Bagaimanakah jalan atau kaedah untuk mencapai bahagia? Apakah panduan atau petunjuk untuk mengecapi bahagia? Seharusnya semua itu menjadi kayu pengukur kepada kita untuk berfikir demi membahagiakan sebuah kehidupan.

BAHAGIAKAH KITA?