Jumaat, Julai 29, 2011

Penentuan.

1- Orang yang pertama dipanggil ke syurga pada hari kiamat ialah mereka yang memuji
(bertahmid) kepada Allah dalam segala keadaan. - Ibnu Abbas.

2- Siapa yang tidak redha dengan qada' Allah, maka tidak adalah ubat bagi kebodohan itu.
- Maimon bin Mahram.

3- Jikalau engkau tidak sabar atas takdir Allah, nescaya engkau tidak sabar atas takdir (penentuan) diri engkau sendiri. - Al-Fudhail.

4- Apabila sama padanya diberi dengan tidak diberi, maka ia telah redha kepada Allah.
- Al-Fudhail.



* nota b.tan:-

pertama-Marilah kita perbanyakkan memuji Allah dengan melafazkan zikrullah sama ada dalam terang atau sembunyi. Terang bermaksud di tengah orang ramai atau memuji Allah secara beramai-ramai seperti dalam majlis tahlil arwah atau kenduri doa selamat. Sembunyi pula bermaksud dalam keadaan kita berseorangan atau bersendirian. Apa yang biasa kita lakukan ketika berseorangan tanpa teman, apakah kita hanya melakukan kerja sahaja tanpa kumat kamit melafazkan zikrullah yang amat mudah untuk diamalkan. Tepuk dada tanyalah iman.

kedua-Perkara ini amat berat sekali kerana apakah tujuan atau matlamat hidup kita di muka bumi ini. Apakah hanya hidup seperti orang lain yang hidup sekadar melakukan perkara yang biasa-biasa sahaja. Ketahuilah antara tujuan dan matlamat hidup adalah untuk mendapat keredhaan dari Allah Taala. Tiada gunanya panjang umur, kaya raya, harta bertimbun, hidup mewah tapi jauh dari rahmat Allah. Lebih malang lagi, jika hidup dalam kemurkaan Allah. Usahlah terpedaya dengan kesenangan dan kesihatan yang dinikmati kerana ia hanyalah ujian dari Allah sama ada kita bersyukur atau sebaliknya.

ketiga-Susah atau senang, menang atau kalah, miskin atau kaya, sakit mahu pun sihat, sedarlah kita ia adalah ujian dalam menentukan tahap keimanan kita. Sabarkah kita, berkeluh kesahkah kita atau mengeluh di atas musibah yang menimpa semuanya menjadi ukuran akan tingkatan iman kita. Di sisi Allah manusia itu sama saja melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh disamping redha dengan apa yang telah ditentukan oleh Yang Maha Esa.

keempat-Ketahuilah setiap apa yang kita miliki adalah hak milik Allah yang diberi pinjam kepada kita sekadar waktu yang telah ditentukan. Berapa lama ia berada dalam simpanan kita bererti selama itulah Allah memberi keizinan kepada kita sebagai pemegang amanahnya. Meski pun kita tidak diberi apa-apa atau tidak dikurniakan apa-apa oleh Allah, bukanlah pula bermakna Allah tidak suka kepada kita. Sebaliknya Ia ingin menguji kita, apakah kita akan bersungut atau akan menyesali diri dengan kekurangan dalam menempuh kehidupan.

Berwaspadalah kita semua dengan perangkap hidup yang sengaja dipasang oleh nafsu serta kuncu-kuncunya terdiri dari kalangan jin dan syaitan, malah manusia juga turut berperanan dalam menyesatkan sesama insan. Sedikit peringatan buat diri aku untuk dikongsi bersama sesiapa yang membaca coretan yang tak seberapa ini, yang baik dijadikan teladan dan yang buruk mari kita hindarkan. Wassalam.