Khamis, Ogos 04, 2011

Allah Menutup Aib Hamba-Nya.

Sebagai makhluk yang bersifat lemah dan serba kekurangan, setiap orang ada perkara rahsia yang tidak ingin diketahui oleh orang lain. Mungkin yang berbentuk aib atau seumpamanya. Dia tidak akan menceritakan kepada orang lain, walaupun kepada kawan rapatnya.
Kita perlu ingat, diriwayatkan pada hari kiamat kelak, apabila Allah mendedahkan aib seseorang, orang itu akan berasa malu yang amat sangat hingga luruh daging-daging di muka.

Pada waktu itu, tidak ada lagi tempat hendak bersembunyi. Malah, lidah menjadi kelu. Tidak boleh lagi menafikan kesalahan dan aib yang kita lakukan itu. Sebaliknya seluruh anggota akan menjadi saksi, mengaku dan mendedahkan segala-galanya.

Jadi, sementara masih hidup ini, kita masih boleh menyelamatkan diri daripada keadaan yang amat dahsyat itu. Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Dengan bertaubat, mudah-mudahan segala kesalahan kita dihapuskan oleh Allah.

Kita juga hendaklah menutup aib atau keburukan orang lain, kerana orang yang menutup aib orang lain Allah akan tutup pula aibnya di akhirat kelak. Jangan menceritakan keburukan kawan kita kepada orang lain. Kalau kita tidak suka keburukan kita dihebahkan kepada orang lain, begitu jugalah kawan atau saudara mara kita. Mereka juga tidak suka aib atau keburukan mereka dicerikan merata-rata.

Begitulah Islam mengajar kita menjaga akhlak dalam bergaul dan berkawan. Tutup keburukan mereka, tapi dedahkan kebaikan dan amal kebajikannya. Bukan sahaja tidak boleh mendedahkan kejahatan orang lain, kita juga tidak boleh mendedahkan kejahatan yang kita lakukan dengan tujuan berbangga-bangga. Perbuatan sebegitu juga dikira berdosa. Allah tutup kejahatan yang kita lakukan daripada diketahui umum agar kita segera bertaubat. Tetapi, kenapa pula kita menceritakannya sambil berbangga-bangga?

Selain daripada kita mesti merahsiakan aib kawan-kawan atau orang lain, kita juga mesti menjaga rahsia yang diamanahkan kepada kita. Tidak kiralah sama ada perkara itu kecil atau remeh sahaja, tetapi kalau sudah diamanahkan supaya merahsiakannya, kita tidak boleh menceritakan kepada orang lain.

Jika kita ingkar, ertinya kita sudah berbuat khianat. Khianat merupakan satu daripada tiga sifat
munafik iaitu berbohong, mungkir janji dan khianat. Semoga kita sentiasa dipeliharakan oleh Allah daripada melakukan sifat-sifat keji dan tercela itu, lebih-lebih di bulan ramadhan yang mulia ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan