Sabtu, September 24, 2011

Penyesalan.

Keampunan Allah S.W.T terhadap hamba-Nya adalah dengan terlaksananya amalan taubat dan istighfar. Kedua-dua amalan ini saling lengkap melengkapi untuk memastikan Allah S.W.T mengurniakan kita pengampunan-Nya. Namun beberapa perkara perlu diambil perhatian dalam menuntut keampunan Ilahi, antaranya:

1- Tinggalkan maksiat tersebut.

2- Menyesal dengan maksiat yang telah dilakukan.

3- Berazam tidak mengulangi maksiat itu lagi.

4- Memperbanyakkan ibadah dan berbuat amal kebajikan seperti bersedekah, memberi makan kepada fakir miskin dan menolong mereka yang dalam kesusahan.



*nota b.tan:-

Rasa kesal atau sesal sering kali timbul apabila kita terlajak atau telah berbuat sesuatu yang salah. Tak kiralah kecil atau besar kesalahan atau kesilapan yang telah dilakukan, perasaan itu tetap timbul dan sering menganggu perjalanan hidup. Apa yang penting ialah kesedaran dari kesalahan yang telah terjadi. Kerana atas kesedaran itulah seseorang akan mengubah corak dan cara ia melayari kehidupan ini. Berubah dari yang negatif kepada yang positif, dari hitam kepada putih dan dari lalai kepada taat.

Cuma yang menghairankan ialah terdapat segelintir manusia yang terus-terusan hanyut dalam kelalaian dan keseronokan yang menjerumuskan mereka ke lembah kehinaan. Mereka tahu, mereka telah terpesong jauh dari landasan kebenaran, jauh dari petunjuk Allah, tetapi mereka sengaja tidak mahu berubah malah ingkar akan janji Allah yang akan menerima taubat sesiapa saja yang ingin berbuat demikian. Asal saja taubat itu dengan sebenar-benar taubat dan diiringi dengan rasa penyesalan dan berikrar tidak mahu melakukan atau mengulanginya lagi.

Terkadang kedapatan mereka yang bertindak nakal dengan memberi label atau gelaran seperti "taubat sambal belacan". Ketika pedas, konon tak mahu dah memakannya di masa akan datang,
tetapi apabila rasa pedas itu telah hilang, tak usah kan besok, pada hari yang sama juga ia menikmati lagi kepedasan sambal tersebut.

Semoga dengan sedikit catatan ini, dapatlah dikongsi sedikit pengajaran darinya dalam kita meneruskan kehidupan ini. sekian, wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan