Ahad, Oktober 16, 2011

secebis kisah-1.

Setiap ujian yang datang adalah nikmat baginya, begitulah apa yang terjadi kepada seorang sufi Allah, Ibrahim bin Adham. Ada yang bertanya kepadanya, "Apakah yang paling mengembirakan engkau setelah memasuki dunia sufi?" Jawab Ibrahim, "Ya, ada dua kegembiraan selama aku hidup sebagai seorang sufi. Pertama, semasa aku menumpang sebuah perahu dengan memakai pakaian yang compang camping, rambut yang kusut masai serta keadaan tubuh badan yang tidak terurus. Tiba-tiba datang seorang lelaki lalu memaki hamun dan memukul aku. Aku sungguh gembira dengan peristiwa ini kerana merasakan diri ini terlalu hina.

Keduanya, pada suatu malam aku tertidur dalam sebuah masjid kerana terlalu letih. Tiba-tiba datang pengawal masjid lalu menarik kaki ku dengan marahnya. Ia terus mencampakkan aku keluar dari masjid melalui tangga. Maka bergoleklah badanku dari tangga atas hingga ke bawah. Kepala aku berdarah dan kaki ku patah. Pada setiap anak tangga tempat aku jatuh, masuklah ilmu kerohanian ke dalam hatiku, dan ianya amat mengembirakan. Setelah jatuh pada anak tangga yang terakhir, aku berasa terlalu sedih kerana aku tidak akan merasakan nikmat sepertinya lagi pada masa-masa akan datang.


* nota b.tan:

secebis kisah dari pengalaman seorang ahli sufi Allah yang dapat kita ambil pengajaran, bahawa setiap ujian dari Allah itu ada kenikmatannya yang tersembunyi yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar oleh insan biasa seperti kita. Hanya mereka yang hampir dan dekat dengan Allah sahaja yang dapat merasainya, betapa kepedihan dan kesakitan sebenarnya adalah satu nikmat dari Allah kepada hambaNya yang terpilih sahaja. Teringat aku kepada kisah semasa Rasulullah s.a.w pergi berdakwah ke Thoif, di sana beliau telah dibaling dengan batu oleh kanak-kanak dan dimaki hamun oleh penduduk Thoif. Tetapi Baginda tetap bersabar kerana terdapat nikmat yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata dan tidak dapat digambarkan oleh mata yang melihatnya. Malah malaikat Jibril berasa amat sedih hingga menawarkan bantuan untuk membalas perilaku penduduk Thoif yang bersikap kasar terhadap Rasulullah s.a.w dengan menghempapkan mereka dengan bukit yang ada di Thoif. Tetapi telah dilarang oleh Rasulullah s.a.w dengan menyatakan bahawa penduduk Thoif tidak mengetahui apa-apa dan mereka hanyalah golongan yang jahil dari mengenal ilmu Allah, iaitu tidak tahu tentang hakikat keujudan Allah s.w.t.

Bagaimana pula kita dan bagaimana pula aku dalam menghadapi sesuatu situasi yang genting dan mencabar. Apakah kita juga bertindak seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan Ibrahim bin Adham? Semuanya bergantung kepada amalan kita dan tahap keimanan kita terhadap Allah, jika kuat dan padu imannya, insyaAllah, sabar dan tabahlah ia menghadapinya. Tetapi jika ia mengeluh dan bersunggut akan ujian dari Allah, dapatlah kita buat kesimpulan bahawa seseorang itu kurang sabar dengan dugaan yang menimpanya. Bukan kita hendak menghukum sesiapa dengan berkata sipolan itu beriman dan sipolan ini kurang beriman, tetapi itulah gambaran darjat keimanan seseorang kepada Allah. Makin hampir seseorang dengan Allah makin tinggi darjat keimanannya kepada Allah dan berusahalah kita semua supaya kita juga tergolong dalam mereka yang sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri dengan Allah. Sekian, wa Allahu a'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan