Rabu, Mei 09, 2012
Siti Fatimah Az-Zahrah.
Siti Fatimah Az-Zahrah rodiaAllahu 'anha adalah puteri Rasulullah s.a.w. Sejak usianya masih mentah lagi Siti Fatimah telah menghadapi kehidupan yang susah dan menempuh pelbagai dugaan. Dia telah biasa melakukan berbagai-bagai pekerjaan dan urusan rumah tangga. Ini kerana ibunya Siti Khadijah telah wafat sejak dia masih kecil lagi.
Sebagai puteri nabi, selain melakukan tugas-tugas di dalam rumah masanya juga banyak dihabiskan dengan mengikuti Rasulullah pergi berdakwah kepada kaum Quraisy dan menyaksikan sendiri bagaimana bapanya diperlakukan dengan amat buruk. Secara tidak sedar dia meninggalkan perkara-perkara yang biasanya dilakukan oleh kanak-kanak lain seperti gemar bermain-main, manja, ingin dipuji dan sebagainya. Sebaliknya, kehidupan yang ditempuhinya sejak kanak-kanak membentuk Siti Fatimah menjadi seorang yang cerdik, kuat semangat, tabah, rajin, serta kuat keimanannya kepada Allah s.w.t.
Siti Fatimah telah dikahwinkan dengan Syaidina Ali. Walaupun beliau seorang yang miskin, Rasulullah telah menerima Syaidina Ali sebagai menantu baginda kerana beliau mempunyai keimanan yang sangat tinggi serta gigih memperjuangkan agama Allah. Setelah menjadi isteri Syaidina Ali, Siti Fatimah hidup dalam keadaan yang lebih sempit. Tambahan pula, Syaidina Ali merupakan seorang ahli perang yang kerap keluar untuk pergi berjuang, Syaidina Ali sering pergi untuk jangka waktu yang agak lama.
Oleh kerana memahami keadaan suaminya yang berjuang di medan peperangan dan melakukan tugas-tugas menyebarkan Islam, Siti Fatimah mengusahakan sendiri keperluan makan minum harian mereka sekeluarga sewaktu ketiadaan suaminya. Dengan keadaan padang pasir yang berbahang, setiap hari Siti Fatimah menggangkat air dari sebuah telaga yang terletak sejauh dua batu dari rumah mereka. Walaupun ia menghadapi keadaan sedemikian, Siti Fatimah tidak pula mengeluh. Beliau sedikit pun tidak berasa sedih, kecewa atau berdukacita. Sebaliknya dia melakukan segala tugasnya dengan begitu tekun dan rajin.
Namun, dalam kesibukan melakukan semua urusan rumah tangga, mulutnya tidak henti-henti berzikir kepada Allah. Begitulah keadaan Siti Fatimah yang telah dididik dan diasuh oleh Rasulullah. Siti Fatimah memahami apabila Tuhan menimpakan sesuatu kesusahan dan sekiranya seseorang itu bersabar serta menerimanya dengan hati yang redha maka Tuhan amat sayang kepada hamba-Nya itu serta mengampunkan dosa-dosanya.
Walaupun kehidupan Siti Fatimah dan Syaidina Ali sekeluarga serba kekurangan, mereka masih dapat memenuhi tanggungjawab mereka kepada orang lain. Apabila mereka mempunyai makanan atau Siti Fatimah menyediakan makanan untuk keluarga mereka, dia tidak lupa untuk mengasingkan sebahagian daripada makanan itu untuk jiran-jiran mereka. Akan tetapi, jiran-jiran mereka tidak pernah terfikir bahawa makanan itu telah diletakkan di muka pintu rumah mereka oleh Syaidina Ali.
Begitulah kesahnya, bukan harta kekayaan yang mendorong seseorang itu membantu orang lain, tetapi kasih sayang sesama insan yang bertunjangkan keimanan kepada Tuhan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan