Pengenalan
Akhlak adalah merupakan suatu matlamat penting dalam
perutusan junjungan Nabi Muhammad SAW disamping membawa ajaran tauhid dan
ibadat ia juga adalah menjadi suatu ciri dari perutusan para rasul sejak Nabi
Adam AS.
Antara ajaran penting dalam agama samawi adalah
bertunjang kepada ajaran berbentuk akhlak:
-bagaimana seseorang hamba Allah berhubung dan beribadat
kepada tuhannya,
-bagaimana ia berhubung dengan sesama manusia dalam
masyarakat,
-bagaimana sikap dan layanannya terhadap
makhluk-makhluk yang lain.
Al-Quran dalam banyak ayat-ayatnya telah menyebut
tentang peri pentingnya akhlak yang mulia dan telah menerangkan bahawa tujuan
asal Allah mengutus manusia ke dunia adalah untuk memakmurkan dunia dengan
kebaikan dan kebenaran. Allah menegaskan dalam surah al-Haj ayat 41 yang
bermaksud:
(iaitu)
orang-orang yang jika Kami teguhkn kedudukan mereka di muka bumi, nescaya
mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf
dan mencegah perbuatan yang mungkar dan kepada Allah lah kembali segala urusan.
Pengertian Akhlak
Pengertian akhlak dari segi bahasa berasal dari kata
“khuluk” yang bererti perangai, budi
pekerti, tabiat dan adab.
Ibnu
Atsir dalam kitabnya “an-Nihayah” menerangkan hakikat makna “khuluk” itu ialah
gambaran batin manusia yang tepat iaitu jiwa dan sifat-sifatnya, sedangkan
“khalki” merupakan gambaran bentuk luarannya seperti raut muka, warna kulit,
tinggi rendah badan dan sebagainya.
Akhlak
dari segi istilah pula ialah tingkah laku yang baik atau buruk, contoh teladan
atau apa saja yang dilakukan oleh manusia dan kita mengetahuinya.
Ibnu
Maskawih pula mendefinisikan akhlak sebagai keadaan jiwa seseorang yang
mendorongnya untuk melakukan perbuatan-perbuatan tanpa melalui pertimbangan
fikiran terlebih dahulu.
Prof.
Dr. Ahmad Amin pula berkata bahawa yang disebut akhlak itu adalah iradah atau
kehendak yang dibiasakan (ertinya kehendak itu bila membiasakan sesuatu). Maka
kebiasaan itu dinamakan akhlak.
Dalam
pengertian yang sama Dr. Abdullah Diroz melalui bukunya “Kalimat fi mabadiu
al-akhlak” menyatakan akhlak adalah satu kekuatan dalam kehendak yang mantap. Kekuatan dan kehendak bergabung membawa kecenderungan
kepada pemilikan akhlak yang benar(baik) atau yang jahat.
Islam terdiri dari tiga asas atau perkara yang utama iaitu
:
a) Aqidah yang membicarakan soal
hubungan manusia selaku hamba dengan tuhannya.
b) Syariah yang membincangkan hubungan
atau ikatan antara individu dan masyarakat.
c) Akhlak yang merupakan tabie yang
memetrai hubungan dan ikatan keseluruhan dengan tabiat yang iltizam.
Hubungan di dalam Islam pula terbahagi kepada tiga
iaitu :
a) Sekumpulan sistem yang mengatur hubungan
antara manusia dengan penciptaNya yang dikenali sebagai ibadat.
b) Sekumpulan sistem yang mengatur
hubungan manusia dengan dirinya sendiri iaitu akhlak.
c) Sekumpulan system yang mengatur hubungan
manusia dengan orang lain yang dikenali sebagai muamalat yang mencakupi system
kekeluargaan, politik, ekonomi dan undang-undang.
Hubungan dan Kedudukan Akhlak Dalam Islam
a) Islam telah menjadikan akhlak sebagai alasan kenapa agama
Islam diturunkan. Rasulullah SAW sendiri diutuskan untuk menyempurnakan akhlak
yang mulia.
Sabda Rasusullah yang bermaksud:
Sesungguhnya
aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.
Pernyataan atau pengakuan yang
dibuat oleh Rasulullah menunjukkan peri pentingnya
kedudukan akhlak di
dalam Islam.
b) Islam menganggap orang yang paling tinggi darjat
keimanannya ialah mereka yang paling mulia akhlaknya. Dalam hadis ada
dinyatakan:
Rasulullah SAW telah ditanya: Wahai
Rasulullah, mukmin yang bagaimanakah yang
paling afdal imannya? Rasulullah
bersabda: Orang yang paling baik akhlaknya
diantara mereka. (Hadis riwayat Abu
Daud dan Tirmizi dari Abu Hurairah, dipetik
dari kitab Ihya’ Ulumiddin, jilid 4
mukasurat 136)
c)
Islam juga menganggap bahawa akhlak yang baik adalah
merupakan amalan yang utama yang dapat memberatkan neraca amalan baik di
akhirat kelak.
Hal ini dinyatakan dengan jelas dalam
hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
Perkara
yang lebih berat diletakkan dalam neraca hari kiamat ialah taqwa kepada
Allah dan akhlak yang baik.
d) Dalam ajaran Islam dinyatakan bahawa mereka yang berjaya
memenangi kasih sayang Rasulullah dan mendapat suatu kedudukan yang hampir
dengan baginda pada hari akhirat ialah orang yang lebih baik akhlaknya.
Sabda Rasulullah yang bermaksud:
Sesungguhnya orang yang sangat dicintai dan
yang paling dekat kedudukannya
denganku di hari kiamat ialah orang
yang paling baik akhlaknya diantara kamu.
e)
Dalam ajaran Islam juga dinyatakan bahawa
akhlak adalah merupakan syarat untuk membebaskan diri dari azab neraka dan
memenangi syurga.
f) Rasulullah SAW sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya
diperbaiki akhlaknya sedangkan baginda tergolong dalam golongan mereka yang
baik akhlaknya. Baginda sering berdoa yang bermaksud:
Tuhanku,
tunjukkilah aku akhlak yang paling baik.
g)
Allah telah memuji RasulNya kerana berakhlak mulia. Pujian yang didasarkan kepada
akhlak yang agung ini menunjukkan betapa tingginya kedudukan akhlak di sisi Allah.
Firman Allah Taala yang bermaksud:
Dan
sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung. (surah al-Qalam
ayat 4)
AKHLAK MANUSIA DENGAN ALLAH
Dunia ini dicipta oleh Allah untuk diwarisi manusia, maka untuk
menerima warisan itu manusia harus bekerjasama dan saling bantu membantu
sehingga tercapai semua apa yang dicita-citakannya itu.
Ada dua jalur hubungan yang harus dihadapi manusia dalam kehidupannya
di dunia ini, iaitu:
1- Jalur hubungan antaranya dengan
Allah.
2- Jalur hubungan antaranya dengan alam
sekitaran, terutama sesama manusia dengan manusia yang lain.
Allah sendiri telah mengariskan ketentuan demikian
di dalam firmanNya yang bermaksud:
“Ditimpa
ke atas mereka kehinaan di mana sahaja mereka berada,kecuali mereka menjaga hubungan (yang baik) dengan Allah dan hubungan (yang baik) dengan manusia.”
(ali-Imran:112)
Persoalannya
sekarang ialah bagaimana caranya supaya kita dapat menjalin hubungan baik kita
dengan Allah dan dengan sesama manusia. Jawapan yang pasti dan tegas ialah kita
mesti menjaga hubungan baik kita dengan kedua-duanya sekaligus, yakni hubungan
dengan Allah mestilah baik dan jujur, dan hubungan dengan manusia mestilah
sempurna dan tidak pincang. Untuk mencapai tingkat ini, kita mestilah menjaga
norma moral yang baik. Sebab itu kita perlu sekali mengetahui bagaimana
seharusnya kita bersopan santun dalam hubungan kita dengan Allah Taala, supaya
kita tidak dimurkainya. Berikut ialah beberapa cara untuk kita menjaga hubungan
baik dengan Allah iaitu:
Beriman
Kepada Allah.
Pada
dasarnya akhlak manusia kepada Allah ialah bahawa hendaklah manusia itu beriman
kepada Allah yang bererti mengakui dengan lisan dan menyakini dengan hati
bahawa Allah itu ADA dan bersifat dengan segala sifat-sifat yang baik dan
mulia, dan tersisih dari segala sifat-sifat yang buruk dan hina. Kita harus
menyakini, bahawa di alam ini ada satu kekuatan tunggal yang tersembunyi yang
dapat menggerakkan dan mengatur seluruh hal-ehwal alam ini. Kekuatan yang
tersembunyi itu ialah kekuatan Allah yang Mutlak, kekuatan Tuhan sru sekalian
alam.
Beribadah
dan Mengabdi Diri kepada Allah.
Beriman
kepada Allah tidak cukup hanya sekadar mempercayai akan adanya Allah sahaja,
melainkan sekaligus harus diikuti dengan beribadah dan mengabdi diri kepada Allah.
Dalam kehidupan sehari-hari yang realiti dan semestinya berupa: Diamalkannya
segala perintah Allah dan dijauhinya segala larangan Allah. Dan semua ini
dikerjakannya dengan tulus ikhlas, smata-mata hanya kerana Allah sahaja.
Ini
bermakna orang yang atheis, orang yang tidak beriman kepada Allah atau orang
yang derhaka dengan melakukan maksiat bererti ia tidak sopan kepada Allah.
Kerana mereka telah membelakangi Allah yang telah mencipta mereka dan memberi
segala macam kenikmatan untuk hidup di dunia ini.
Tidak
Menyekutukan Allah.
Menyekutukan
Allah dengan yang lain ialah membuat sekutu bagi Allah dalam kemutlakan
kedudukannya sebagai Tuhan yang sebenarnya. Tegasnya mempersekutukan Allah
dengan yang lain, sama ada mempertuhankan sesuatu yang bukan Tuhan, lalu
dianggapnya tuhan yang disembahnya. Ataupun mengadakan lagi tuhan yang lain
disamping Allah, Tuhan yang sebenarnya.
Perbuatan
demikian disebut syirik dan orang yang melakukannya dinamakan musyrik. Syirik
adalah dosa terbesar sekali disamping dosa-dosa yang lain di dalam Islam. Meski
pun dosa-dosa itu terbagi antara yang besar dan yang kecil, namun semuanya ada
cara-cara untuk memperolehi kemaafannya dari Allah Taala. Kecuali dosa besar
syirik, maka dosa itu tiada terampun lagi apabila seseorang itu mati dalam
syirik.
Takut
Kepada Allah.
Semua
manusia mestilah takut kepada Allah kerana takut kepada Alah ada nikmat
padanya. Orang yang takut kepada Allah sentiasa mendekatkan diri kepada Allah
yang mengandungi kenikmatan hidup di dunia dan kebahagian hidup di akhirat.
Kita harus takut kepada Allah kerana dua perkara;
a) Agama Islam memang mengajar kita
supaya hendaknya takut kepada Allah dengan sebenar-benar takut.
b) Allah Taala bukan hanya Maha
Pengasih Maha Penyayang, suka mengampun dosa orang yang bersalah, tetapi Dia
juga sangat keras siksaNya terhadap orang yang membuat dosa. Dia tetap akan
menghukum siapa yang berani derhaka kepadaNya. Disamping Dia memberikan syurga,
Dia juga mempunyai neraka.
Cinta
Kepada Allah.
Apabila
manusia benar-benar takut kepada Allah Taala, maka takwanya akan tumbuh hidup
subur, yakni kepatuhannya terhadap perintah-perintah Allah dan kejauhannya dari
larangan-larangan Allah akan jelas kelihatan dalam semua gerak-gerinya. Ketika
itu hatinya akan sentiasa ingat kepada Allah dan cinta kepadaNya.
Ada pun keharusan untuk mencintai Allah itu adalah
disebabkan oleh hal-hal yang berikut:
a) Agama Islam memang mengajar kita
semua mencintai Allah bahkan juga mencintai RasulNya.
b) Kita tidak mungkin mengakui beragama
Islam dengan baik dan sempurna kalau Allah dan RasulNya tidak kita cintai dan
kita sayangi.
c) Selain itu Allah memang Maha Pengasih
Maha Penyayang, bagaimana pula kita sampai tidak mencintaiNya. Tentu itu adalah
pelik sekali.
Imam Ghazali pula menerangkan, bahawa tanda-tanda orang
yang mencintai Allah ialah:
a) Orang yang selalu ingat akan mati,
kerana hanya dengan mati si pencinta akan dapat bertemu dengan siapa yang
dicintaiNya.
b) Orang yang selalu bersedia untuk
berqurban kerana Allah, dan ingin mendekatkan dirinya Kepada Allah.
c) Orang yang selalu ingat kepada
Tuhan, kerana mengingati Tuhan itu akan menyedari jiwanya.
d) Orang yang sentiasa mencintai kepada
firman-firman Allah, yakni selalu membaca Al-Quran dan mengambil pengiktibaran
daripadanya.
e) Orang yang sentiasa mencintai Nabi Muhammad
s.a.w. dan mengikut akhlak serta kelakuan beliau.
f) Orang yang suka beribadah kepada
Allah, dan merasa ringan bila berbuat sesuatu ibadah kepadaNya.
g) Orang yang suka berbakti pada jalan
Allah, dan membenci kaum kafir dan munafik.
Rela dan
Ikhlas Terhadap Qadhak dan Qadar Allah.
Kepercayaan
kepada Qadhak dan Qadar ini
mengajarkan kita, bahawa segala sesuatu yang terjadi di alam ini, termasuk yang
menimpa diri kita sendiri dari bahaya dan bencana adalah dari kehendak dan
takdir Allah Taala dan ketentuanNya. Segala sesuatu yang ditentukan oleh Allah
Taala itu ada sebab dan hikmatnya, yang mana manusia tiada campur tangan dalam
urusan itu.
Takdir apa pun, atau Qadhak dan Qadar apa pun yang
ditentukan Allah buat kita, wajib kita menerimanya dengan rela hati dan ikhlas
walaupun yang ditakdirkan untuk kita itu mungkin merugikan atau menyedihkan
kita. Sebab sama ada kita menerimanya dengan baik atau tidak, namun takdir
Allah itu tetap terjadi juga, dan tetap berlaku pada diri kita. Kita tidak ada
jalan untuk membantahnya.
Bertaubat
Kepada Allah
Orang
yang bertaubat kepada Allah ialah orang yang kembali kepadaNya serta mematuhi
perintahNya, yakni setelah dia membuat kederhakaan kepada Allah, lalu memohon
kemaaafan dan kembali membetulkan dirinya dari kederhakaan itu, dan berjanji
tidak akan mengulanginya lagi.
Manusia memang semestinya tunduk dan patuh kepada
perintah Allah. Akan tetapi kenyataannya menunjukkan bahawa manusia sering
melanggar perintah Allah dan menempuh laranganNya, sama ada dia sedar atau pun
tidak. Kenyataan ini sudah ada dan sudah berlaku pada manusia sejak manusia
pertama lagi iaitu nabi Adam a.s. Kerana itu kesalahan atau dosa adalah satu
hal yang tidak dapat dihindari oleh manusia, walau bagaimanapun semangatnya
dalam beragama. Bahkan manusia dipanggil manusia, ialah kerana Mahallul-Khatak
Wan-Nisyan, yakni
tempat berlakunya salah dan silap.
Rasulullah
s.a.w. pernah bersabda: “Semua
anak Adam mempunyai kesalahan, dan sebaik-baik orang yang mempunyai kesalahan
ialah mereka yang mahu bertaubat.” (Riwayat Termizi dan Ibnu Majah)
Bersyukur Kepada Allah.
Bersyukur adalah satu hal yang diperintahkan oleh
Allah dan RasulNya kepada sekalian para hamba. Bersyukur menunjukkan rela atas
takdir Allah Taala yang dikurniakan kepada seseorang hamba. Bersyukur itu bukan
saja ditunjuk bila ada nikmat yang mewah daripada Allah, bahkan pada masa tidak
dikurniakan nikmat pun harus bersyukur. Apatah lagi bila nikmat yang
diterimanya ada tetapi tidak cukup, mestilah juga dia tidak melupakan bersyukur
kepada Allah Taala. Itulah sifat mukmin yang sejati.
Tetapi yang sebenarnya erti syukur ialah,
mempergunakan nikmat dan kurnia Allah yang berada di tangan kita sesuai dengan
apa yang dikehendaki dan disuruh oleh
Tuhan yang memberikan kita nikmat dan kurnia itu. Atau pun boleh juga bersyukur
itu diertikan dengan mempergunakan segala sesuatu pemberian dan kemewahan yang
diberikan Allah kepada kita untuk dibelanjakan
kepada berbagai-bagai fungsinya yang wajar, sesuai dengan apa yang
ditentukan olh Allah Taala.
Kesimpulan.
Akhlak setiap insan sehari-hari adalah berkaitan
dengan amalan yang dilakukan sama ada baik atau sebaliknya dan akan dihitungkan
pada hari akhirat kelak. Justeru, setiap insan diseru agar melakukan kebaikan
dengan menambah pahala dan menebus dosa. Memelihara akhlak dan akidah merupakan
langkah terbaik meningkatkan keimanan serta ketakwaan kepada Allah s.w.t.
Menjaga keperibadian atau akhlak merupakan tuntutan dalam Islam tidak kira sama
ada akhlak sesama manusia, sesama makhluk lain dan juga akhlak dengan Allah
s.w.t.
Rujukan.
1- Harun Arrasyid Hj Tuskan, (2003) Akhlak Harian Setiap Muslim. Kuala Lumpur,
Al-Hidayah
Publishers.
2- Humaidi Tatapangarsa(Drs.), (1997) Akhlak Yang Mulia. Singapura: Pustaka Nasional Pte
Ltd.